Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nabila, Keisha trauma

PETANG Ahad lalu, hujan yang turun membasahi hampir kesemua negeri di Malaysia membawa cerita duka buat aktres Nabila Huda. Aktres tersebut telah terbabit dalam sebuah kemalangan di Kilometer 71, Lebuh Raya Karak dekat Bentong sekitar pukul 3.20 petang. Pada waktu itu, dia menumpang naik kenderaan pacuan empat roda milik rakan artis, Syazwan Zulkifli pulang daripada melakukan promosi drama Jodoh Itu Milik Kita di Karnival Planet Gempak Astro di Kuantan, Pahang. Kenderaan tersebut dikatakan hilang kawalan akibat jalan licin lalu terbalik beberapa kali. Bersama Nabila ialah anak kesayangannya, Keisha Laila Zaidi, berusia empat tahun. Akibat kemalangan tersebut, Keisha patah tangan kiri dan luka-luka. Nabila pula mengalami luka serta menerima jahitan pada tapak kakinya selepas dia terpijak banyak kaca yang pecah sewaktu mahu menyelamatkan Keisha yang tercampak keluar dari kenderaan tersebut. Sementara itu, Syazwan yang memandu turut mengalami kecederaan kecil. Selepas kemalangan, mereka telah dikejarkan ke Hospital Bentong, Pahang sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Pakar Damansara, Selangor sebaik tiba di ibu kota. Bagaimanapun, hanya Keisha yang dimasukkan ke hospital tersebut.
Berbicara dengan Nabila melalui sistem WatsApp sehari selepas kemalangan, aktres tersebut memberitahu, dia masih trauma dengan kemalangan yang berlaku sekelip mata. “Saya masih trauma dengan apa yang terjadi. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana walaupun kami semua cedera, namun selamat. Terima kasih atas doa semua orang terhadap kami,” ujarnya. Tambahnya yang berehat seminggu daripada menjalani sebarang penggambaran, apa yang cukup menggusarkan dirinya adalah keselamatan anaknya, berbanding dirinya sendiri. Tentang dirinya sendiri, Nabila menulis: “Saya hanya mengalami luka-luka pada beberapa bahagian badan manakala tapak kaki menerima jahitan kerana dimasuki kaca. “Sekarang, badan baru terasa sakit dan saya sedang dalam perjalanan ke hospital untuk menjalani imbasan pada seluruh badan.” Aktres berusia 29 tahun itu saat ditanya tentang tindakan bekas suaminya, Zaidi atau Eddie yang meluahkan rasa kecewa di halaman Twitter mengenai musibah yang menimpa anak mereka, hanya memberi jawapan ringkas. “Sebagai ibu, saya sangat sedih apabila kejadian ini berlaku. Ia tidak dirancang tetapi sudah terjadi. Saya sedih. Tak apalah, biar dia mahu tulis apa.” Sementara itu, Keisha kini menetap sementara di kediaman bapa Nabila, Amy Seacrh. Vokalis tersebut sewaktu dihubungi melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana biarpun anak dan cucunya mengalami kecederaan, namun apa yang penting mereka berada dalam keadaan selamat.
“Keisha hanya mengalami luka dan selepas menjalani imbasan seluruh tubuh, doktor mengesahkan dia tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman. “Walaupun dia selamat, namun Keisha agak trauma dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun, apa yang paling penting, cucu dan anak saya selamat,” ujarnya yang merancang untuk menjaga Keisha sehingga pulih dan menghantar cucu sulungnya itu ke prasekolah bersama anak bongsunya, Qaqa At-Tameemi, 4. Pada masa yang sama, pelakon yang terkenal menerusi drama rantaian Juvana, Syazwan gagal dihubungi. Dia menutup telefon bimbitnya, namun sempat menulis beberapa perkembangan terkini menerusi laman Twitter miliknya termasuk memuat naik gambar kenderaan miliknya yang terbalik pada hari kejadian. Malah, Syazwan yang sempat ‘diserang’ bekas suami Nabila, Eddie yang mendakwa dia bersikap tidak prihatin, membidas dengan menyatakan kekesalannya terhadap musibah yang telah menimpa mereka. Antara petikan Twitter Syazwan kepada Eddie: “Saya bukan manusia yang tiada perasaan. Maafkan saya, saya faham perasaan awak dan saya juga kesal dengan apa yang terjadi.”

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails