Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Persefahaman kekuatan Jambu

DUO Jambu barangkali tidak mendapat liputan berlebihan seperti mana duo humor popular, Jozan. Bagaimanapun, Jambu yang dianggotai oleh Yusri Edoo (Yus) dan Zamaratul Amri Zakaria (Tauke), tidak dinafikan mempunyai aura tersendiri. Jenaka mereka menggeletek hati secara spontan. Malah, tanpa wajah yang 'jambu', mereka mengumpul peminat tersendiri yang sering menanti bahan-bahan humor daripada mereka berdua. Paling ketara, keserasian dan 'sambut-menyambut' jenaka mereka itulah yang membuatkan Jambu kuat. Bagi Tauke, dia mengakui sangat terharu dengan penerimaan peminat terhadap dirinya dan Yus sekarang ini serta tidak menyangka Jambu mampu memberikan saingan kepada pelawak sedia ada. "Saya dan Yus menganggap Jambu ini merupakan sebuah produk yang telah mengangkat nama kami. Lagipun kami mula dikenali ramai apabila bergabung bersama untuk bertanding dalam Maharaja Lawak. "Kalau melihat dari segi tawaran pula, biasanya lapan daripada 10 tawaran yang diterima pastinya membabitkan Jambu. Ramai yang melihat kemampuan gandingan kami berdua berbanding secara solo," ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran Lawak Ke Der 3 baru-baru ini. Menurut Tauke, dia sendiri lebih selesa untuk bergerak bersama-sama Yus kerana melihat kepada kekuatan yang dimiliki masing-masing apabila menghiburkan peminat dalam sesebuah acara. Ujarnya, biarpun tidak menafikan terdapat tawaran solo yang diterima oleh mereka berdua, namun keutamaan pastinya akan lebih diberikan kepada Jambu. "Sebenarnya kami sudah mencapai kata sepakat untuk tidak menghalang karier solo masing-masing kerana ia merupakan rezeki. Asalkan ia tidak bertembung dengan jadual Jambu.
"Andai kata kalau tawaran solo dan Jambu datang serentak, kami akan terima tawaran yang membabitkan Jambu. Mungkin tawaran solo itu lebih lumayan bayarannya tetapi kami lebih selesa kalau beraksi bersama-sama," jelasnya. Memandangkan kini Jambu dilihat sebagai sebuah kumpulan pelawak yang semakin meningkat naik, Tauke menyatakan bahawa persefahaman merupakan kriteria utama untuk mereka terus kekal bersama. Ujarnya, untuk terus kekal dalam industri hiburan bagi jangka masa panjang, persefahaman itu sangat penting sekiranya timbul sebarang perkara yang berbangkit. "Tidak dinafikan memang ada sesekali timbul krisis antara kami berdua. Namun begitu, ia langsung tidak menggugat kami kerana percaya setiap permasalahan yang timbul itu ada jalan keluar untuk diselesaikan. "Kalau wujud sebarang permasalahan, kami akan selalu berbincang dan segera menyelesaikannya. Kami tidak mahu masalah yang kecil sekalipun menggugat gandingan kami ini," ujarnya. Peribadi Biarpun dirinya bersama Jambu menjadi sebutan peminat tetapi Tauke turut tidak terlepas daripada dilanda cerita-cerita hangat yang membabitkan dirinya. Antaranya, dia telah dikaitkan kerap bertukar-tukar teman wanita apabila sering muncul dengan wanita berlainan ketika hadir dalam sesebuah acara hiburan sehingga digelar playboy. Ketika ditanya sama ada kontroversi terhadap dirinya itu menjejaskan nama Jambu, Tauke berkata, ia langsung tidak memberi sebarang impak dan tawaran yang diterima masih lagi banyak. "Sebarang cerita yang timbul itu lebih kepada membabitkan perkara peribadi saya dan tidak berkaitan dengan Jambu. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu masyarakat mengaitkan perkara peribadi dengan kerjaya. "Bagaimanapun, saya percaya peminat sekarang ini sudah lebih profesional dan tahu membezakan antara kerja dan cerita peribadi. Apa sahaja cerita kurang baik tentang diri saya, jangan kaitkan pula dengan Jambu," tegasnya. Apabila diajukan pertanyaan mengenai sikapnya yang dilihat gemar berdampingan dengan wanita yang berbeza, Tauke memberitahu, ketika ini dia masih lagi sedang dalam proses untuk memilih wanita paling sesuai buat dirinya.
Kembali popular Dalam pada itu, menurut Yus, dia sendiri tidak menyangka keputusannya untuk bergandingan dengan Tauke akhirnya telah membuahkan hasil. Mengakui terpaksa pulang ke kampung halamannya di Perlis setelah muncul juara Raja Lawak musim pertama dahulu, hasratnya untuk terus mencipta nama sebagai seorang pelawak tidak pernah padam. "Dahulu saya pulang ke kampung kerana keadaan memaksa memandangkan tawaran yang diterima agak kurang sehingga menjejaskan sumber kewangan saya termasuk perbelanjaan harian. "Sepanjang berada di kampung saya melakukan kerja asal iaitu sebagai guru tarian. Namun begitu, saya tetap bertekad untuk kembali ke Kuala Lumpur dan mengembangkan bakat sebagai pelawak," ujarnya. Menurut Yus, ternyata tuah akhirnya memihak kepada dirinya apabila dihubungi oleh pihak Astro yang menawarkannya menyertai Maharaja Lawak dan bergandingan dengan Tauke. "Sebenarnya saya sudah 13 tahun mengenali Tauke dan ketika berbincang dengannya untuk menyertai Maharaja Lawak, dia terus memberikan persetujuan dan akhirnya wujudlah Jambu. "Kemudian, kami tidak sangka pula wujudnya keserasian antara kami sehinggalah Jambu semakin popular dan diminati ramai. "Ini semua merupakan rezeki yang tidak dijangka sama sekali," ungkapnya yang turut terharu dengan sokongan peminat.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails