Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sherry beralih arah

NAMA Sherry Ibrahim kembali menjadi sebutan peminat industri hiburan tempatan apabila dia terlibat dalam drama bersiri popular Teduhan Kasih selepas beberapa tahun 'melarikan' diri daripada bidang lakonan. Ternyata, rezeki wanita berusia 30 tahun ini masih lagi kuat dalam bidang yang telah diceburinya kira-kira tujuh tahun lalu kerana peminat masih mahu melihat kelibat dan lakonannya di kaca televisyen. Sherry kini turut terlibat dengan proses pembikinan mini album apabila sudah siap merakam tiga buah lagu. Dua daripadanya merupakan duet bersama penyanyi Indonesia iaitu Gusti Arya dan sebuah lagu solo. Menurut Sherry, single solonya berjudul Aku Yang Salah, manakala salah satu duetnya bersama Gusti pula berjudul Semakin Jauh dan dijangka mula dilancarkan penghujung tahun ini. Jelas Sherry, bidang nyanyian adalah minat pertamanya dan bukan sebaliknya iaitu bidang lakonan, kerana dia sudah menceburkan diri dengan dunia nyanyian sewaktu zaman sekolah dahulu. "Sebenarnya, saya amat meminati dunia muzik. Sejak dari zaman sekolah lagi saya sudah banyak terlibat dengan pertandingan nyanyian dan persembahan. "Cuma mungkin pada waktu tersebut rezeki saya lebih kepada bidang lakonan. Jadi, saya simpan dahulu cita-cita dan keinginan saya terhadap bidang nyanyian," katanya. Tambah Sherry, walaupun mungkin ada pihak yang mengatakan usianya sudah meningkat dan sedikit terlewat baginya untuk memulakan karier sebagai penyanyi, itu tidak penting kerana dia tahu apa yang dimahukannya dalam hidup. "Bagi saya, adalah penting kita melakukan sesuatu perkara yang diingini daripada bertindak mengikut kata-kata orang. Ini kerana pada akhirnya nanti, apa yang kita lakukan akan memberi kesan kepada diri kita di masa hadapan. "Mungkin orang ramai masih belum bersedia menerima saya sebagai penyanyi tetapi saya akan buktikan diri sendiri dan berharap peminat sedia untuk melihat sisi berbeza daripada saya," katanya yang turut merakamkan sebuah single solo berirama elektro-pop. Sherry juga baru kini berkesempatan menginjakkan kaki dalam bidang nyanyian kerana peluang berbuat demikian baru sahaja muncul. "Dalam hidup saya, banyak perkara yang terjadi bukan dirancang. Seperti dalam karier lakonan kerana semuanya berlaku secara kebetulan. "Kebetulan juga kini peluang untuk saya bernyanyi ada di depan mata. Tidak salah rasanya sekiranya saya mengambil peluang dan kesempatan yang ada," katanya. Tambah Sherry, dia bakal berkunjung ke studio rakaman milik Gusti di Bali, Indonesia tidak lama lagi untuk merakamkan beberapa buah single lagu yang juga dijangka dapat diperdengar penghujung tahun ini. Tidak mahu jalan serentak Dewasa ini sering kita mendengar perihal seorang penyanyi terjun ke bidang lakonan dan begitu juga sebaliknya, dan jelas mereka, mereka mahu mengejar kedua-dua bidang secara serentak. Tetapi berbeza buat wanita yang memulakan karier lakonan melalui drama Dunia Baru pada 2006 ini, dia tidak mahu menjalankan karier lakonan dan nyanyian secara serentak kerana dia tidak mampu melakukan sedemikian. "Mungkin kebanyakan pihak lain dapat melakukan tugas sebagai penyanyi dan pelakon secara serentak, tetapi tidak bagi saya. "Ini kerana saya sudah terbiasa melakukan satu kerja dalam satu-satu masa dan begitulah juga perihal perancangan saya apabila mula menjejakkan kaki ke dalam industri nyanyian. "Jika saya terikat dengan produksi, saya akan beri fokus sepenuhnya kepada karier lakonan dan apabila sudah tidak terikat barulah saya akan merancang untuk bidang nyanyian," katanya yang anggun mengenakan busana cheongsam berwarna biru. Mengulas tentang kemunculan semulanya, dia menerima tawaran untuk terlibat dengan drama Teduhan Kasih kerana kebetulan pada waktu itu dia tidak melakukan apa-apa selepas tamat tugasnya sebagai pramugari bersama salah sebuah syarikat penerbangan terkemuka dunia. "Kebetulan pada waktu saya sedang bercuti dan tidak mempunyai apa-apa perancangan jadi apa salahnya saya mengisi masa lapang dengan menerima tawaran lakonan semula. "Alhamdulillah drama tersebut mendapat sambutan hangat daripada peminat sehingga kembali menaikkan nama saya semula dalam industri ini," katanya. Sherry ditemui sewaktu terlibat sebagai seorang model pakaian tradisional masyarakat Cina, iaitu cheongsam dalam sebuah majlis memperagakan fesyen tersebut di pusat beli belah The Weld, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails