Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Fizz Fairuz Tarik Diri, Bukan Kami Singkir' - TV3

TV3 menepis dakwaan stesen televisyen itu telah menyingkirkan pelakon Fizz Fairuz dalam Liga Lawak Superstar sebaliknya pelakon itu yang memohon untuk menarik diri. TV3 dalam satu kenyataan yang di e-mel kepada mStar Online pada Khamis berkata, Fizz berbuat demikian kerana dia tidak dapat memberi komitmen sepenuh masa kepada program tersebut. "Semasa pihak kami memberi tawaran kepada Fizz untuk menyertai LLS, segala informasi mengenai program termasuklah tarikh jadual program telah diterangkan oleh pihak produksi kepadanya dengan jelas. "Jadi, apabila dia bersetuju menjadi salah seorang peserta LLS, pihak kami menganggap beliau sudah bersedia memberi 100 peratus komitmen terhadap program ini daripada mula sehingga berakhirnya LLS musim pertama," kata kenyataan media tersebut. Pada siaran langsung LLS Ahad lalu, pihak TV3 mengumumkan Fizz yang merupakan ahli kumpulan Apa Kasih Toq (AKT) bersama dengan Kamal Adli dan Didie Alias telah menarik diri daripada menyertai program tersebut kerana mempunyai masalah tertentu. Bagaimanapun pada hari sama, Fizz mengeluarkan status di Twitter miliknya mengatakan dia sebenarnya disingkirkan oleh pihak stesen televisyen itu. mStar Online pada Khamis kemudian melaporkan Kamal terkilan apabila mendapati tindakan Fizz itu disebabkan dia mahu ke United Kingdom bersama syarikat mutiara, Rafflesia bagi menyaksikan perlawanan Liga Inggeris antara kelab Cardiff City menentang Manchester United (MU) pada 24 November lalu. Turut menyertai rombongan itu ialah Fizo Omar, Fahrin Ahmad dan Iqram Dinzly. Sementara itu, menurut kenyataan itu lagi, menurut perjanjiannya jika salah seorang peserta dalam sesebuah kumpulan tidak dapat memberi komitmen pada jadual yang diberikan, kesemua ahli kumpulan hendaklah menarik diri daripada program tersebut. Bagaimanapun dalam kes ini pihak TV3 boleh bertolak ansur dengan memberi peluang kepada Didie dan Kamal meneruskan perjuangan dengan mencari ahli baharu menggantikan Fizz dan mereka memilih Syafiq Kyle. "Untuk bersikap adil, pihak kami memberi peluang kepada Didie dan Kamal untuk meneruskan perjuangan mereka dan turut diberi pilihan sama ada mereka mahu terus kekal berdua atau mereka boleh memilih ahli baru daripada kalangan peserta yang sudah tersingkir awal. "Selepas membuat perbincangan, Didie dan Kamal membuat keputusan untuk mengambil Syafiq Kyle sebagai pengganti kerana merasakan pelakon itu mempunyai potensi dalam membantu kumpulan AKT meneruskan pertandingan hingga ke peringkat akhir," katanya.

Sharnaaz Dilarang Bersara, Buat Keputusan Tergesa-Gesa

Pelakon Sharnaaz Ahmad berkata, keputusannya untuk bersara dalam dunia lakonan mendapat bantahan ramai terutamanya pengarah dan penerbit drama tempatan. Menurut Sharnaaz, antara individu yang menghubunginya termasuklah pengarah Shirin Khuzaimi, Michael Ang, Bade Azmi dan penerbit Sheila Rusly yang menasihatinya agar berfikir dahulu sebelum membuat keputusan meninggalkan industri seni tempatan. "Selepas membuat kenyataan ingin bersara, saya tidak sangka ramai yang memberi pelbagai respons dan ramai juga penggiat seni menghubungi saya dan memberi pelbagai nasihat. "Mereka kata industri seni kita sedang tenat dan memerlukan pelakon yang mempunyai ideologi dan pembawaan tersendiri. Dan kerana itu, mereka meminta saya untuk fikir betul-betul sebelum membuat keputusan," katanya. Sharnaaz ditemui pada pratonton drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Hotel Best Western Premier Dua Sentral di sini pada Khamis. Pada Isnin lalu, Sharnaaz menerusi laporan sebuah akhbar menyatakan ingin bersara daripada dunia lakonan dan kembali semula bekerja di bidang hartanah atau industri minyak dan gas selepas berlakon Bukan Kerana Aku Tak Cinta. Keputusan itu dibuat selepas dia berasa tertekan dengan pelbagai kontroversi yang membabitkannya selama ini. Bagaimanapun tambah Sharnaaz, dia mengakui kenyataannya itu bersifat tergesa-gesa kerana dia lupa bahawa jadual lakonannya sudah pun disusun sehingga Jun tahun depan. "Saya lupa pula yang saya dah berjanji secara lisan dengan beberapa syarikat produksi untuk bekerjasama dalam beberapa drama. "Memandangkan saya sudah berjanji, maka saya akan siapkan kesemua kerja dan kemudian baru berfikir semula dengan niat mahu bersara itu. Tetapi jujurnya, saya memang dah nekad," ujarnya.

Syazwan Zulkifly Mengaku Silap Timbulkan Masalah

Pelakon Syazwan Zulkifly menjelaskan kegagalannya menjayakan sebuah drama terbitan Primeworks Studio baru-baru ini adalah disebabkan kesilapannya dalam menyusun jadual kerja. Syazwan, 26, berkata, dia terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir apabila menyedari tarikh penggambaran tersebut bertindan dengan penggambaran drama yang sedang dijalankan di luar negara. "Saya tidak mempunyai pengurus peribadi, jadi jadual kerja, saya atur sendiri dan hanya ingat di kepala, bila saya sedar tarikh penggambaran tersebut bertindih dengan tarikh penggambaran telefilem Suamiku Encik Perfect 10 di London. "Saya mengaku ia terjadi kerana kesilapan saya dan saya sudah minta maaf kepada pihak produksi tersebut. Saya tahu sukar untuk mencari pengganti pada saat-saat akhir," katanya kepada mStar Online. Syazwan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang salah faham di antara dia dengan pihak produksi apabila dia dikatakan menarik diri pada saat-saat akhir penggambaran drama Terukir Di Bintang terbitan Primeworks, anak syarikat TV3. Syazwan dikatakan menarik diri semata-mata untuk menjayakan penggambaran di London dengan sebuah produksi lain. "Saya tidak boleh tarik diri untuk ke London kerana penggambaran sudah dilakukan separuh di Malaysia. Lagi pula drama Terukir Di Bintang itu belum mula penggambaran," katanya. Bagaimanapun, Syazwan berkata, dia kesal dengan perkara tersebut dan sudah meminta maaf dengan pihak yang terlibat. "Saya kesal sangat kesal dengan kesilapan itu, namun Alhamdulillah semuanya sudah selesai," katanya.

Jimmy kahwin atau tidak?

PADA bulan Jun lalu, di sebuah akhbar tempatan ada tersiar gosip mengatakan pengacara dan penyampai radio kontroversi, Jimmy Shanley yang dikatakan sudah berkahwin dengan seorang janda beranak satu. Ramai yang ingin tahu kesahihan perkahwinan duda kepada anak jutawan kosmetik, Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy itu. Ini kerana tiada pengakuan yang dibuat oleh Jimmy biarpun diasak dengan pertanyaan mengenai perkahwinannya itu. Bagaimanapun, teka-teki mengenai status perkahwinan Jimmy bakal terjawab apabila dia mengakui akan mengadakan satu sidang akhbar tidak lama lagi. Namun, Jimmy sudi untuk berkongsi serba sedikit mengenai wanita yang rela menerima dirinya seadanya itu kepada Kosmo! ketika dia ditemui pada majlis pelancaran stesen radio baharu Ultra FM di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini. Selain bercerita mengenai hal peribadinya, bekas pengacara program Trek Selebriti itu juga meluahkan perasaan mengenai gandingannya bersama pelawak Mamat Sepah dalam segmen Ultra 610 untuk stesen radio terbaharu berkenaan. Kosmo!: Sebelum ini ada yang mendakwa Jimmy sudah berkahwin semula dan ikut ceritanya, dengan seorang janda. Benarkah? JIMMY: Cerita kahwin itu bukan datang dari mulut saya. Apa yang pasti, saya tidak akan sesekali berkahwin di Siam. Jadi, apakah status Jimmy sekarang? Berkahwin atau masih duda? Saya akan adakan satu sidang akhbar tidak lama lagi bagi memperkenalkan dia serta memberitahu segalanya. Buat masa ini, saya mahu selesaikan dulu kes mahkamah dengan bekas isteri. Kes mahkamah apakah yang dimaksudkan Jimmy itu? Pada 12 Disember ini, saya akan hadir ke mahkamah ekoran tuntutan bekas isteri yang mahukan hak penjagaan sepenuhnya ke atas anak kami, Zahrah Rania, 2. Sebelum ini, saya dapat kebenaran mahkamah untuk bersama anak selama tiga hari dua malam setiap minggu. Bagaimanapun, dia (bekas isteri) mahu hak penjagaan sepenuhnya. Apakah perasaan Jimmy bila bekas isteri bertindak sedemikian? Saya kecewa dengan apa yang berlaku. Sebelum ini lagi kata mahu bagi anak beraya dengan saya tetapi tidak bagi. Sekarang, mahu tuntut sepenuhnya pula hak penjagaan anak. Banyak sangat isu yang cuba dibangkitkannya tetapi saya tidak akan mengalah dan mahu mempertahankan hak penjagaan anak ke atas saya. Adakah Jimmy sedih dengan apa yang terjadi? Saya anggap apa yang berlaku ke atas kami adalah salah saya sendiri. Apa yang boleh Jimmy perbaiki dengan kesilapan lalu itu dan praktikkan dalam perkahwinan selepas ini? Saya akan lebih menghargai pasangan dan bersikap lebih sabar berbanding dahulu. Saya juga akan cuba memahami kehendak pasangan. Selepas ini, saya tiada masalah kalau dia ingin keluar bersama teman. Asalkan dia tidak melanggar batas-batas seorang isteri dan agamanya. Boleh ceritakan mengenai wanita yang berjaya mencuri hati Jimmy itu? Dia seorang yang bertudung dan sangat memahami saya. Dia juga sanggup terima perkara yang terjadi dalam hidup saya. Beralih pada soalan lain, boleh kongsikan mengenai gandingan dengan Mamat dalam stesen radio baharu Ultra FM? Saya tiada masalah kerja dengan orang tetapi mungkin orang lain yang akan ada masalah bekerja dengan saya. Sebabnya, saya seorang yang tegas dan berdedikasi dalam bekerja. Saya tidak boleh terima alasan orang yang ingin cuti lama. Saya juga lebih suka berbual mengenai isu semasa berbanding hiburan. Esok (hari ini) adalah hari pertama kami bakal ke udara dalam segmen Ultra 610 bermula pukul 6 hingga 10 pagi di 101.3 FM. Kalau boleh saya tidak mahu beri tekanan kepada Mamat. Bagi dia tempoh sebulan untuk mencari keserasian bersama saya. Saya tidak kisah dia merapu asalkan ada isi dan maklumat yang cuba disampaikannya. Selain menjadi penyampai radio, bagaimana pula dengan bidang pengacaraan? Saya masih mengacarakan program Fun Dance setiap hari Sabtu di TV2.

Azad Jazmin Dimarahi Doktor Selepas Jatuh Longkang

Pelakon Azad Jazmin telah dimarahi oleh seorang doktor gara-gara tercedera akibat mahu membeli sekotak rokok di sebuah kedai serba guna di Puchong, dekat sini minggu lalu. Azad, 37, berkata, doktor berkenaan bertindak demikian selepas dia memberitahu kecederaan itu kerana mahu membeli rokok apabila terjatuh di dalam longkang sehingga menyebabkan buku lali kanan tercedera. "Akibat kejadian itu saya terpaksa menerima 13 jahitan. Doktor yang merawat saya ketika itu memarahi saya apabila mendapat tahu saya terjatuh selepas membeli sekotak rokok. "Pelbagai perkara yang dia beritahu tentang bahaya mengenai rokok sehingga saya terlupa tentang kesakitan pada bahagian kaki," katanya kepada mStar Online. Azad berkata, dia tidak memberi apa-apa reaksi ketika mendengar nasihat doktor itu kerana apa yang diperkatakannya adalah benar. Dalam pada itu bercakap mengenai filem terbaharu lakonannya berjudul Kolumpo, Azad berkata, dia teruja apabila diberi kepercayaan untuk memegang watak utama dalam filem berkenaan. Jelas Azad, menerusi watak Rahul iaitu seorang pendatang asing tanpa izin dari India, dia terpaksa belajar bahasa Tamil selain bercampur dengan golongan berkenaan selama sebulan. "Bukan mudah untuk membawakan watak berkenaan kerana saya perlu bercakap dalam bahasa Tamil selain perlu memahami kehidupan golongan tersebut. "Pun begitu saya berjaya melakukannya dan watak Rahul adalah paling mencabar kredibiliti saya sebagai seorang pelakon," katanya. Filem yang diarahkan oleh Sheikh Munasar, Bront Palarae dan Rozi Izma itu memaparkan tiga cerita berbeza dengan berlatar belakangkan kehidupan di Kuala Lumpur. Selain Azad, filem berkenaan turut menampilkan barisan pelakon seperti Sharifah Amani, Ruminah Sidek, Nell Ng, Mano Maniam, Soffi Jikan, Sabri Yunus, Sherry Alhadad, Along Eyzandy, Radhi Khalid dan Emely Poon. Sementara itu, Azad berkata, tahun hadapan akan menyaksikan 16 buah filem lakonannya bakal ditayangkan dan dia berharap kesemua karya tersebut mendapat sambutan daripada penonton. Antara filem-filem itu ialah Paku, Sejoli, Tujuh, Showdown dan Pilot Cafe.

Kamal Adli Kecewa Sikap Buruk Fizz Fairuz

Sikap pelakon Fizz Fairuz yang dilihat acuh tak acuh untuk berganding bahu dalam kumpulan Apa Kasih Toq (AKT) menerusi Liga Lawak Superstar (LLS) menimbulkan rasa kecewa seorang ahli kumpulannya, Kamal Adli. Kamal berkata, selepas dimaklumkan pihak TV3 mengenai penarikan diri Fizz itu, dia bertambah terasa hati apabila mendapati tindakan Fizz itu disebabkan dia mahu ke United Kingdom bersama syarikat mutiara, Rafflesia. "Apabila pihak TV3 mengesahkan Fizz terpaksa menarik diri kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan, kami akur. "Cuma saya terkejut dan terkilan apabila melihat di Instagram miliknya, dia bersama tiga artis lain iaitu Fizo Omar, Fahrin Ahmad dan Iqram Dinzly menyertai rombongan ke Cardiff yang dibawakan oleh Rafflesia,” katanya kepada mStar Online pada Rabu. Fizz dan kesemua pelakon berkenaan dibawa menyaksikan perlawanan Liga Inggeris antara kelab Cardiff City menentang Manchester United (MU) di United Kingdom (UK) pada 24 November lalu.
Mesej Fizz Fairuz ini mendakwa dia disingkirkan dalam Liga Lawak Superstar tetapi TV3 memaklumkan dia sebenarnya menarik diri. Mana
Fizz turut menyindir Syafiq Kyle kononnya pelakon remaja itu tidak layak bersama Apa Kasih Tok. Selain Kamal dan Fizz, Apa Kasih Tok turut disertai oleh Didie Alias. Bagaimanapun tempat Fizz telah digantikan oleh pelakon Syafiq Kyle. Menurut Kamal, disebabkan komitmennya dalam rancangan LLS, dia turut menolak tawaran untuk ke Cardiff tetapi berasa terkejut kenapa Fizz mengambil alih tempatnya sedangkan mereka bersama terlibat dalam rancangan lawak berkenaan. “Sebenarnya saya pun dijemput oleh Rafflesia untuk ke UK tetapi saya terpaksa tolak kerana komitmen dalam LLS. Saya tak sangka pula tempat saya itu Fizz yang ambil,” katanya. Dalam pada itu, Kamal berkata, dia keliru apabila Fizz menghantar mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) memaklumkan telah disingkir dalam rancangan itu tetapi pihak TV3 pula memaklumkan pelakon itu yang memohon untuk menarik diri.
Bagaimanapun Kamal tidak mahu terlalu memikirkan hal berkenaan sebaliknya ingin mencari keserasian bersama ahli baharu iaitu Syafiq. "Dia SMS saya meminta agar saya tenang dan berharap kumpulan kami berjaya sehingga ke peringkat akhir. Saya sebenarnya enggan masuk campur tentang urusan ini kerana ia lebih membabitkan antara Fizz dan pihak TV3. Saya pun tidak tahu situasi sebenar diri Fizz,” katanya. Dalam pada itu Syafiq Kyle yang dihubungi memberitahu pemilihannya menggantikan Fizz dibuat oleh pihak TV3 serta dipersetujui oleh Kamal dan juga Didie. Kata Syafiq, walaupun kemunculannya dalam rancangan itu dilihat agak kaku tetapi dia akan menggunakan pengalamannya bersama kumpulan Spy Kampung yang telah terkeluar untuk memantapkan lagi AKT. “Saya akan berusaha untuk memastikan kumpulan AKT ini akan berjaya sehingga ke peringkat akhir,” katanya. Dalam pada itu ditanya mengenai sendirian Fizz dalam Twitter yang mengatakan Syafiq tidak layak menyertai grup berkenaan, pelakon remaja itu bagaimanapun enggan mengulas mengenainya. “Saya ada baca Twitter itu tetapi biarlah... TV3 yang panggil saya. Jadi, saya terima saja,” katanya.

Wan Raja Akui Artis Baharu Perlu Kontroversi Untuk Popular

Pelakon Wan Raja menganggap ketiadaan kontroversi panas terhadapnya membuatkan dia sukar untuk popular dan dikenali umum. Wan atau nama sebenarnya Saiful Redzuan A Bakar, 35, berkata, dia melihat seseorang pelakon baharu mampu meraih populariti secara drastik apabila tercetusnya sesebuah kontroversi. "Saya nampak, untuk mudah dikenali, seseorang artis itu kena ada kontroversi dan kerana itu juga saya beranggapan disebabkan saya tiada cerita panas, saya sukar untuk dikenali ramai. "Entahlah, saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya tetapi itulah yang saya lihat sekarang ini. Kalau nak diikutkan saya sentiasa berlakon pelbagai drama, tetapi nama saya belum cukup kuat lagi dalam industri hiburan tempatan," katanya kepada mStar Online. Bagaimanapun tambah Wan, dia tidak pernah merungut dengan kegagalannya mencipta nama sebaliknya percaya bahawa bakatnya satu hari nanti pasti akan diiktiraf. Sementara itu, Wan kini sibuk dengan penggambaran drama Jiwa, arahan Kabir Bhatia dan Nurhanisyam Muhammad bersama pelakon-pelakon lain iaitu Faizal Hussein, Remy Ishak, Kamal Adli dan Siti Elizad. Menerusi drama 13 episod itu, Wan membawakan watak sebagai Peca, ketua kawasan bagi pertandingan Muay Thai. "Saya gembira apabila terlibat dengan mana-mana projek arahan Kabir kerana saya tahu hasil jalan ceritanya pasti menarik. "Dalam drama ini, saya sebagai Peca yang akan memperdayakan Iskandar (Remy) menyertai sebuah pertandingan Muay Thai dan kerana kehebatannya dalam aksi lawan, saya mengaut keuntungan besar daripada dia. "Menerusi drama ini juga, saya berharap ia dapat membuka mata masyarakat mengenai kewujudan saya sebagai pelakon kerana watak ini berbeza," ujarnya. Jiwa yang turut melibatkan pelakon Siti Elizad, Cico Harahap Sheila Mambo dan Liza Shadan ini bakal disiarkan setiap Rabu mulai 5 Februari 2014 bermula pukul 9 malam di TV3.

Saman jangan tak saman - Hanez Suraya

Bila ditanya memang jawapan matinya tidak pernah buat apa-apa di kulit wajah, hanya tempek krim muka sahaja. Tetapi kalau diamati, sah-sah dagu awak tu pelik dari wanita lain, kalau wartawan mungkin mereka bersikap profesional menulis apa yang diberitahu, tetapi melihat keberanian komen di ruangan beberapa laman gosip alam maya ternyata bukan semua peminat kini bodoh. Perbuatan memuat naik gambar kemudian memberitahu tidak melakukan apa-apa terhadap wajah sebenarnya memang mengundang padah, bukan apa kalau mahu dibandingkan gambar terdahulu dengan gambar terkininya sah-sah perbezaan yang dilihat sangat ketara. Dasarnya memanglah dia rasa cantik, tetapi kalau sudah terlalu buat wajah ini memang perlu diakui semua pihak yang mula-mula indah juga akan nampak hodoh. Kadang-kadang Aida tergelak juga dengan keberanian beberapa komen peminat ini yang menggelarkan selebriti ini dengan pelbagai gelaran, mungkin mahu menggambarkan betapa lainnya personaliti , selebriti itu kini. Mungkin sudah sampai masanya untuk selebriti ini tidak bercakap langsung atau mengenai perubahan wajahnya, bukan apa dari menipu dan diketawakan baik dia berdiam diri sahaja. Nota lutut : Isu menciplak lagu semakin menjadi-jadi, kurang idea atau memang tiada idea? Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba penyampai radio terkenal ini mengambil keputusan untuk berhenti, ramai yang bingung sebenarnya dengan keputusan penyampai terkenal tersebut memandangkan dia sebenarnya sedang berada di kemuncak karier. Bila ditanya wartawan rupa-rupanya dia menegaskan mahu memberi tumpuan buat perniagaannya yang baharu diceburinya, kalau diikutkan memang dia mengambil langkah yang berani sebenarnya, memandangkan perniagaan tersebut baharu sahaja beroperasi. Rupanya-rupanya ada yang memberitahu, penyampai ini memang sudah lama mahu meninggalkan stesen radio berkenaan kerana memendam perasaan amarah kepada salah seorang “orang besar” di sana. Kalau di luarnya nampak mesra, tetapi kedua mereka ini khabarnya memang tidak sebulu, malah pernah berlaku beberapa pertelingkahan kecil. Dan pertelingkahan terbaharu berlaku ketika kedua mereka sedang bermain futsal, di mana selepas itu penyampai ini terus membuat keputusan berhenti. Atas sebab apa berlaku pergaduhan itu, tidak pula Aida tahu, namun apa yang pasti dari kisah yang diperdengarkan ini memang ada sesuatu yang menyebabkan penyampai itu tergesa-gesa meninggalkan stesen radio berkenaan. Tetapi itulah bezanya karier berdasarkan bakat ini, dimana-mana sahaja mereka mampu menyerlah asalkan berusaha, mungkin bukan sesuatu yang mengejutkan untuk melihat penyampai ini kembali beraksi. Nota lutut : Ada penyampai radio lebihkan gelak dari bercakap, sampai pendengar pening? Pelakon kontroversi Hanez Suraya mengambil tindakan berani menyaman bekas pembantu peribadinya yang dikenali sebagai Dasha Sultan. Tindakan itu ekoran dakwaan keceluparan mulut bekas pembantu itu menyebarkan fitnah terhadapnya. Bagi Aida ada betulnya tindakan Hanez ini, mungkin kalau tidak bertegas semakin banyak fitnah yang akan dikeluarkan, bukan apa sebagai artis reputasi merupakan sesuatu yang amat penting buat Hanez. Tetapi tidak dinafikan dalam hal ini kita tidak boleh salahkan satu pihak sahaja. Mungkin sikap terlalu mempercayai Hanez sendiri membawa padah. Bila seseorang itu sudah tahu banyak mengenai diri kita, bukan mudah sebenarnya untuk memastikan rahsia itu disimpan kemas, pasti ada yang akan terbocor. Senang cerita macam inilah, kalau kita sendiri bijak menjaga perilaku pasti susah buat sesiapa juga mahu menuduh kita . Menurut penyataan Hanez, bekas pembantu peribadinya itu tidak sudah-sudah memburukkan dia di media dan dalam kalangan rakan artis lain. Dendam sungguh nampaknya pembantu peribadi itu. Apa sebenarnya yang sudah berlaku di antara mereka Aida juga kurang pasti. Tetapi sepatutnya persengketaan ini tidak perlu sampai ke pemerhatian pihak luar, takut macam-macam versi pula yang keluar nanti. Bagi artis, tindakkan Hanez ini juga mampu menjadi contoh terbaik sebenarnya. Jangan terlalu mempercayai orang walaupun pembantu peribadi sendiri. Kalau benda nak jadi, kawan baik juga mampu menjatuhkan kita, bak kata pepatah buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Gosip Cinta Elfaeza & Sharnaaz Tersebar Di Singapura

Pelakon Elfaeza Ul Haq terkejut apabila gosip cintanya dengan pelakon popular Sharnaaz Ahmad turut mendapat perhatian dan tersebar luas di media Singapura. Elfaeza, atau nama sebenarnya Siti Elfaeza Binte Mohmed Ehsan Ul Haq, 28, berkata, khabar angin tersebut turut disiarkan oleh sebuah saluran radio tempatan di negara itu. "Tak sangka pula media di Singapura turut mengambil serius dengan gosip itu kerana ia merupakan perkara tidak benar. "Berita itu disampaikan kepada saya selepas dia mendengar gosip berkenaan di radio. Mujurlah keluarga saya tidak hairan dengan gosip tersebut," katanya yang berasal dari negara itu. Tambah Elfaeza, dia berharap agar khabar angin percintaannya dengan Sharnaaz tidak lagi menjadi isu memandangkan tiada apa-apa perhubungan yang terjalin di antara mereka melainkan sekadar rakan artis.
Sementara itu pelakon yang popular menerusi drama Adam dan Hawa itu berkata, tawaran lakonan yang diterimanya pada tahun ini tidak sebanyak tahun lalu. Namun dia tetap berpuas hati kerana kebanyakan watak yang diterima kesemuanya peranan utama. "Ini menunjukkan para penerbit mula mempercayai bakat lakonan saya yang mana sebelum ini mereka kurang yakin dengan saya. "Walaupun tidak banyak tawaran yang saya terima pada tahun ini tetapi watak yang saya dapat semuanya peranan penting. "Ini merupakan peluang saya untuk menonjolkan bakat kepada penonton yang masih belum mengenali saya lagi," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Elfaeza akan memulakan penggambaran drama berjudul Janji Adam di bawah produksi Singapura iaitu CSS Productions.

Amy (Search) Berhasrat Sambung Belajar Di Universiti

Vokalis kumpulan Search iaitu Amy bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan walaupun usianya kini telah pun mencecah 55 tahun. Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, berkata, keadaan kewangan yang tidak mengizinkan selepas tamat persekolahan telah membuatkan hasratnya untuk ke menara gading terbantut pada ketika itu. "Selepas tamat sekolah semua orang berlumba-lumba untuk memasuki universiti tetapi saya tidak berkesempatan kerana keadaan kewangan yang tidak mengizinkan. "Namun sehingga hari ini saya masih berhasrat untuk menyambung pelajaran di menara gading kerana itu adalah impian saya," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Amy berkata, dia tidak menolak untuk menyambung pelajaran sekiranya ada tawaran daripada mana-mana universiti pada masa hadapan. Jelasnya lagi, dia sangat meminati bidang arkitek selain seni lukis dan berharap dapat mendalami bidang berkenaan suatu hari nanti. "Ilmu itu boleh dituntut tidak kira usia dan masa kerana ia adalah perkara yang cukup berguna dan sekiranya ada yang ingin menawarkan saya tempat di universiti pasti saya akan terima," ujarnya yang sering mengisi masa lapang dengan aktiviti melukis di rumah. Sementara itu, bercakap mengenai Konsert Destini yang dianjurkan Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) bagi mengutip dana untuk membantu penuntut universiti kurang berkemampuan, Amy berkata, dia berbesar hati apabila dilamar oleh pihak penganjur. Jelas Amy, menerusi konsert amal itu dia dapat menyumbangkan sesuatu kepada generasi muda supaya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat universiti. "Saya tidak mahu anak-anak muda berpotensi menjadi seperti saya dan berharap sumbangan yang saya berikan dari segi nyanyian dapat membantu mereka merealisasikan impian untuk ke universiti," jelasnya. Konsert itu bakal diadakan pada 20 dan 21 Disember depan di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, dekat sini. Ia bakal menampilkan barisan artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Rossa, Pansha (Ungu), Adira, Hafiz, Jaclyn Victor, Awie dan Dayang Nurfaizah. Tiket menyaksikan konsert ini dijual dengan harga RM30, RM80, RM200, RM300, RM500 dan RM1,000. Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi 019-6704734, 013-3959839, 03-79622186.

Isu Larikan RM200,000, Bekas Pemandu Saman Zahida Rafik

Bekas pemandu peribadi kepada pelakon Zahida Rafik memfailkan saman fitnah terhadap aktres itu di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu. Noor Azman, 39, selaku plaintif mengemukakan saman tersebut selepas pelakon berkenaan gagal membuktikan tuduhan yang dia telah melarikan wang tunai berjumlah RM200,000 yang didakwa milik Zahida pada tahun lalu. Peguam kepada Noor Azman iaitu Latheefa Koya ketika ditemui berkata, pihaknya pada 4 April lalu telah menghantar satu surat tuntutan kepada Zahida supaya menarik semula laporan polis, memohon maaf dan membayar ganti rugi kepada plaintif namun dia gagal berbuat demikian. Disebabkan kegagalan Zahida itu jelas Latheefa, pihak plaintif terpaksa memfailkan saman selain menuntut satu perintah injunksi bagi menghalang Zahida daripada terus memfitnah plaintif secara lisan, menerusi media atau pun Internet. "Selain itu kami turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi tauladan dan apa-apa yang difikirkan sesuai oleh mahkamah terhadap defendan," katanya. Bagaimanapun pihak plaintif tidak menetapkan sebarang jumlah terhadap saman yang dikemukakan terhadap Zahida. Nama Noor Azman sebelum ini menjadi kontroversi apabila dia mendakwa Zahida mempunyai hubungan intim dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal selama beberapa tahun.
Dia turut mendakwa telah dibayar oleh menteri terbabit untuk menjadi pemandu kepada pelakon itu. Noor Azman meletak jawatan sebagai pemandu Zahida pada 29 Februari tahun lalu dan membuat laporan polis untuk membersihkan namanya selepas dituduh melarikan wang RM200,000 kononnya milik Zahida. Dalam pada itu, Noor Azman berkata, ekoran fitnah berkenaan dia gagal mendapatkan pekerjaan baharu selepas dipecat oleh Zahida selain reputasinya tercalar. Jelasnya, perbuatan Zahida yang sengaja mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya kepada pemberita disifatkan sebagai berniat jahat. "Saya telah berulang kali dipanggil untuk temu duga kerja namun tidak berjaya kerana fitnah yang dilemparkan kepada saya. "Akibat daripada kejadian itu juga saya terpaksa menanggung malu kerana telah disoal siat polis dan ditahan reman dalam lokap polis selama empat hari," katanya. Sementara itu, ibu saudara kepada Noor Azman iaitu penyanyi Dayangku Intan yang turut menemani anak saudaranya itu berkata, dia dan keluarganya turut menanggung malu besar akibat kejadian tersebut. Dayangku Intan yang juga seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata, nama Noor Azman perlu dibersihkan kerana dia berkenaan tidak bersalah dan fitnah itu telah memberi kesan kepada kehidupannya.

BEKAS SUAMI WAN NUR AZLIN MENINGGAL DUNIA

Bekas suami aktres Wan Nor Azlin iaitu Mohd Yazli Yaacob diberitakan meninggal dunia malam tadi akibat serangan jantung. Berita tersebut telah di sahkan sendiri oleh kawan arwah di facebook iaitu Hafizd Azmi.
Menurut info mereka... jenazah Allahyarham telah di kebumikan pada pukul 10 pagi tadi di Kampung ibunya di Kampung Rizab Melayu, Tambun Perak. Sementara itu menurut dramatis Wan Nor Azlin sendiri, pada jam 5 pagi (kelmarin), bekas suaminya mengadu sakit dada dan dihantar ke Klinik Kesihatan Gombak sebelum dirujuk ke Hospital Selayang. Namun disebabkan keadaannya makin kritikal, pihak hospital terus membawanya ke IJN. “Anak masih tidak mampu menerima berita kematian ayah mereka, terutama anak perempuan, Dania Camelia yang sangat rapat dengan arwah,” katanya yang turut berada di samping arwah ketika menghembuskan nafas terakhir sambil dikelilingi ahli keluarga lain.

MAJLIS BERTUNANG ANAK AZIZ M OSMAN

Tahniah buat pelakon, penerbit dan pengarah Aziz M Osman sempena majlis pertunangan anak perempuan nya Puteri Nurul Fatehah hari ini. Untuk info, mereka sekeluarga mengenakan pakaian merah jambu sebagai tanda satu hati dalam majlis penuh meriah itu. Nampaknya tidak lama lagi, Aziz bakal menjadi datuk pula dan bertambah besarlah keluarga mereka nanti. Ahak!

Almy Nadia merentan pasal Fizz lagi

SAMBIL baca kisah pereka fesyen terkenal Jovian Mandagie yang bakal menikah dengan kakak Dafi AF, Nina Ismail Sabri, tiba-tiba Diva teringatkan janji-janji pelakon Fizz Fairuzz yang baru-baru ini ada keluarkan kenyataan mahu hantar rombongan merisik Almy Nadia, kekasih lamanya. Diva kira, tempoh masa 'minggu hadapan' yang dikatakan oleh Fizz sudah lama berlalu tapi secebis berita tentang majlis risik-merisik itu tak muncul tiba. Tapi disebabkan Diva faham sangat perangai Fizz yang rasa-rasanya ibarat sudah 18 juta kali hendak masuk merisik si Almy, jadi Diva biarkan sahaja janji manis Fizz itu berlalu. Cuma apabila kawan-kawan Diva mula bercakap pasal Almy yang meluahkan status-status beremosi rentan dalam akaun Twitter miliknya, Diva rasa macam ada sesuatu yang tak kena. Nak tekan telefon bercakap sendiri dengan Almy, rasanya sama juga jawapan yang akan Almy katakan. Paling-paling dia akan suruh kita tanyakan sendiri kepada Fizz. Fikir-fikir, simpati pula terhadap Almy. Macam tunggu bulan jatuh ke riba pun ada. Si Fizz pula, kalau tak mahu nak merisik atau masuk meminang janganlah buat janji. Ini asal media tanya, dia pun siaplah buka cerita nak bertunang nak merisik bagai. Janji palsu sangat, yang jadi mangsa si perempuan macam Almy, tunggu punya tunggu, habuk pun tak ada.
Diva bukan nak menyibuk dalam kes orang nak menikah atau nak bercerai, tapi kalau cakap tak serupa bikin, macam mana orang tak kisah. Kalau tak silap Diva, rasanya dah dekat lapan tahun Fizz dan Almy bercinta, putus-sambung dan putus kemudian bersambung lagi, wartawan asyik ulang cerita yang sama cuma berbeza masa dan tarikh. Kalau Diva jadi Almy, tak payah asyik tunggu Fizz, awak pun bukannya tidak lawa, jumpa mana-mana lelaki yang serius, awak suka dia, dia suka awak, rasa boleh percaya, terus ikat sahaja. Kalau nak tunggu, makan tahun lagi gamaknya. Diva faham perasaan Almy. Almy nak merentan pasal hubungan dan nasib dirinya yang macam bola kena tendang sana sini. Almy berhak rasa sakit hati.

Farid belum jumpa mertua

USAHKAN gambar terbaharu, nama bayi sulungnya pun masih tersimpan kemas dalam simpanan Farid Kamil dan Diana Danielle. Biarpun nama bukanlah persoalan yang besar namun sudah menjadi etika dalam penulisan dan kewartawanan, nama itu sesuatu yang lazim kecualilah jika boleh mendatangkan darurat. Dalam kes pasangan selebriti terkenal, Farid dan Diana itu, mereka sekadar berkongsi pangkal nama anak lelaki mereka iaitu Muhammad sahaja. Selebihnya harus menunggu izin gara-gara terikat untuk muncul secara eksklusif dalam sebuah program terbitan Astro. Tegas pelakon dengan nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 32, dia harus menghormati perjanjian yang telah dibuat bersama stesen penyiaran berbayar berkenaan. "Pihak Astro mempunyai perancangan khas untuk memperkenalkan bayi saya kelak," ujarnya. Bukan itu sahaja, kata Farid, majlis pengumuman nama penuh Muhammad juga akan dilangsungkan sekali gus dengan majlis khatam al-Quran isterinya Diana dan majlis akikah untuk bayinya itu. Soal tarikh majlis itu dapat dilangsungkan, semuanya terpulang kepada Diana yang sedang belajar membaca al-Quran. "Proses Diana untuk khatam al-Quran akan mengambil masa. Semuanya terpulang kepada Diana kerana ini merupakan keinginannya untuk melunaskan janji dan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Saya tidak mendesak dia untuk belajar dalam temoh yang singkat. "Sejujurnya saya tidak sabar untuk mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran daripada Diana kerana itu hadiah yang dijanjikannya kepada saya. "Diana belum bersedia untuk memperdengarkan bacaannya, namun saya tidak mahu menambah tekanan terhadapnya. "Saya akui Diana tiada asas dalam mempelajari al-Quran tetapi saya percaya dia akan berjaya khatam al-Quran," ujarnya ketika ditemui pada majlis siaran langsung episod terakhir drama Jodoh Itu Milik Kita di Kuala Lumpur Selasa lalu.
Farid turut memperbetulkan laporan terdahulu yang menyebut bahawa majlis pengumuman nama anaknya itu akan dilakukan dalam sebuah majlis cukur jambul. Menurutnya, bukan majlis cukur jambul yang akan diadakan sebaliknya kenduri doa selamat berserta majlis akikah. "Keluarga saya tidak mengamalkan adat mencukur jambul, cukup dengan majlis akikah sahaja," kata Farid berhubung anaknya yang dilahirkan di Australia itu. Beralih kepada isu perang dingin dengan ibu mertuanya, Norsiah Ramli, Farid pernah mengatakan bahawa dia dalam proses mahu menjernihkan kekeruhan yang berlaku antara mereka. Ditanyakan semula isu itu kepadanya, ternyata kesibukan bersama isteri, anak dan lakonan belum mengizinkan Farid untuk bertemu dengan ibu mertuanya itu. "Saya tidak tahu di mana ibu mertua saya tinggal sekarang, jadi rancangan untuk bertemu dengannya belum kesampaian," tutur Farid yang membawa anak isterinya pulang ke Malaysia sejak Hari Raya Aidilfitri lalu. Tidak mahu memanjangkan cerita, Farid seronok bercerita tentang pernikahannya yang sudah mencecah usia setahun itu. Anak pertama sudah ditimang, kini terserah pula kepada Diana jika ada perancangan menambah bilangan ahli keluarga. "Saya terbuka dalam soal jumlah anak. Saya beri kebebasan kepada Diana untuk membuat perancangan keluarga dan selebihnya berserah kepada rezeki yang telah Tuhan tentukan kepada kami," cerita Farid yang kini dalam penggambaran filem berjudul Kitai arahan Amirul Rozali.

Kepercayaan jangan didesak - Fasha

HATI wanitanya pernah berdetik, usai bergelar ibu, pastinya segala perhatian dan tumpuan industri glamor akan beralih menjauhi wajahnya. Namun, tumbuh melata atau memanjat junjung, sudah adat menjadi orang popular, setiap langkah yang diatur pesonanya tetap mencuri perhatian. Fasha Sandha barangkali satu nama yang sedang memasuki fasa sedemikian. Berkahwin dan sudahpun tujuh bulan menimang cahaya mata, tetapi dalam tempoh yang sama, karier seninya sedang menari atas tempo baharu. Ritmanya mungkin tidak serancak sewaktu bergerak solo tetapi kesinambungannya berhasil memecahkan semula ingatan orang. "Saya ingat selepas berkahwin, bersalin dan bergelar ibu, industri sudah boleh melupakan saya, rupa-rupanya tidak. Saya masih di sini dan boleh meneruskan kecintaan saya ini ikut kemampuan saya sendiri. "Lebih seronoknya, saya tidak mengejar banyak benda sebaliknya bekerja atas dasar minat mendalam saya terhadap bidang seni bukan atas tuntutan kewangan semata-mata," ujarnya yang boleh hidup selesa atas kestabilan kewangan suaminya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai Jejai. Suami nombor satu Di samping menjadi juri tetap sebuah program realiti pencarian wartawan penyiaran sehingga pertengahan Disember nanti, Fasha juga bakal membintangi drama bersiri berjudul Miranda. Miranda akan disiarkan menerusi slot Samarinda dan akan memulakan penggambaran minggu hadapan. "Mulanya berat juga hati apabila terpaksa meninggalkan anak kecil yang sudah pandai hendak bermain di rumah bersama pembantu dan keluarga, sedangkan saya kena keluar bekerja. "Tapi kena buat juga, sebab saya tak mahu sekadar menjadi 'mem' dalam rumah. Saya suka bekerja, masa hamil pun saya akan pastikan salun saya terurus dengan baik. "Sekarang, memanglah suami dan anak perkara nombor satu, tapi saya kerja demi kepuasan saya sebagai anak seni. Duit daripada suami tetap ada tetapi saya lebih puas hati apabila dapat berbelanja dengan hasil duit gaji sendiri," katanya yang kini sibuk dalam rangka promosi filem terbaharunya bertajuk Penanggal.
Sambil melahirkan rasa bangga kerana berpeluang terlibat dalam sebuah karya yang disifatkan berbaloi menjadi bahan tontonan penggemar filem itu, Fasha layak dipuji kerana tampil berdialog bahasa Arab sebagai Sharifah Zahrah dalam filem arahan Ellie Suriaty Omar itu. "Saya dedikasikan kesungguhan itu untuk Kak Ellie. Dia pengarah yang bersungguh-sungguh memastikan filem pertamanya mencapai tahap yang dimahukan. Setelah melihat sendiri hasilnya ketika sesi pratonton baru-baru ini, saya lega. Curiga "Memang ada beberapa babak lakonan saya yang dipotong atas faktor durasi, tapi saya sendiri rasa besar hati kerana diberi peluang untuk bersama-sama dalam filem seram itu," ucap Fasha tentang filem yang bakal ke pawagam 28 November nanti. Kami kembali bercanda tentang kehidupan sebagai wanita, isteri dan ibu yang sedang dijalaninya. Kisah Fasha dan Jejai pernah menggegarkan persada hiburan. Tidak hairanlah jika khalayak sangat maklum mengenai susur perjalanan yang pernah dilewati pasangan itu sebelum mereka bergelar suami isteri pada 27 April 2012. Lebih setahun mengenal erti hidup berkelamin, zaman berkasih masih segar mengulit hari-hari Fasha dan Jejai yang kini tambah bahagia dengan kehadiran Putra Rayfal Ramli, tujuh bulan. "Saya anggap fasa menjadi isteri dan ibu sebagai anugerah paling hebat yang pernah saya peroleh sebagai wanita. Ini semua macam magis buat saya. Saya serahkan seluruh hidup dan kepercayaan saya kepada kehidupan ini sekarang," katanya lunak saat diminta menterjemah kisah kehidupannya ketika ini. Kehidupan berumah tangga juga menjadikan Fasha seorang wanita yang lebih matang. Bicaranya konkrit sama seperti kepercayaan yang ditumpahkan buat si suami yang barangkali pernah meninggalkan skeptikal kepada umum.
"Apa yang telah berlalu, biarkan ia berlalu. Dalam hubungan saya dan Jejai, kami seolah-olah masih di alam berkasih-kasihan dahulu. Hubungan suami isteri tidak perlu terlalu dikongkong oleh perasaan curiga. "Saya letakkan kepercayaan saya terhadap Jejai begitu juga Jejai terhadap saya. Saya kena percaya dia, jika selalu ada perasaan curiga hubungan tidak akan menjadi enak," tutur Fasha faham persoalan yang masih berlegar di minda umum. Bercerita tentang mahligai yang mahu dibaja dengan limpah kasih sayang itu, Fasha tersenyum mengenangkan Jejai yang masih melayaninya tidak ubah seperti kekasih di alam percintaan. "Saya kenal Jejai sudah lama, dan sampai sekarang rasanya dia masih seperti seorang kekasih, status suami tidak mengubah dia menjadi seorang yang berlainan layanannya terhadap saya bahkan lebih baik. "Lebih setahun kahwin, rasanya kami masih dalam tempoh bulan madu," lentur Fasha tentang kebahagiaan yang sedang ditempuhi. Kembara pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan itu cukup berliku, cukup banyak kontroversi sudah ditelan dan ditepisnya sepanjang bergelar pelakon sejak berusia 17 tahun. Pada usia 29 tahun, Fasha yakin sepenuh hati bahawa disiplin ialah kata kunci kepada kesinambungan penerimaan khalayak terhadap dirinya. "Saya tidak pandai beri nasihat kepada artis baharu tetapi pengalaman banyak mengajar saya. Biarlah dikritik dan tidak habis-habis dengan cerita kontroversi, tetapi jangan sekali-kali kita ambil mudah soal disiplin. Jangan datang lambat atau tidak pegang pada janji, itu prinsip saya. "Seperkara lagi yang penting juga ialah hubungan dengan media. Soal kontroversi itu hal yang lain, tapi bagaimana kebijaksanaan seseorang artis menangani kontroversi itu yang paling penting. "Saya tak boleh ubah masa lalu tetapi syukurlah saya masih diterima sehingga hari ini," tutup Fasha.

'Saya Umpama Cuci Tahi Dalam Seniman' - Zed Zaidi

“Saya umpama mencuci najis,” demikian luah bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi yang terpaksa akur jawatannya telah gugur selepas Mahkamah Tinggi di sini Khamis lalu memutuskan semua ahli jawatankuasa persatuan berkenaan tidak sah. Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 33, berkata, kesilapan yang dilakukan oleh pasukan pemimpin Seniman sebelumnya adalah satu perkara yang amat menyedihkan kerana ia turut mengheret kepimpinan terbaharu dalam kemelut tersebut sehingga peranan mereka dibatalkan. “Saya umpama mencuci tahi orang. Bila kita dah cuci (tahi) itu bersih-bersih, ia jadi (tahi) semula. Kami adalah mangsa keadaan kerana kesilapan pemimpin-pemimpin terdahulu. “Saya amat-amat sedih dengan keputusan mahkamah ini tetapi apa boleh buat. Saya terpaksa terima. Kami benar-benar teraniaya,” kata Zed Zaidi dalam satu pertemuan dengan kira-kira 50 ahli Seniman di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini pada Sabtu. Selain Zed Zaidi, pertemuan itu turut disertai beberapa bekas ahli jawatankuasa persatuan tersebut termasuklah bekas Setiausaha Kehormat, Zahrin Ishak. Pertemuan itu diaturkan oleh Setiausaha Kerja Seniman 1 dan 2, Raja Mohd Faizal Raja Mohamad Anuar dan Juniza Maslan yang mengambil alih tugas mengemudi persatuan buat sementara waktu. Zed berkata, semasa menjadi Presiden Seniman, pelbagai usaha telah dilakukannya termasuklah berhasrat mewujudkan kad diskaun 1Malaysia untuk golongan artis, insurans serta perumahan rakyat bagi golongan berkenaan.
Bagaimanapun usaha itu terbantut selepas beliau dan beberapa pemimpin lain telah gugur jawatan akibat arahan mahkamah. “Agenda saya dalam Seniman ini amat besar. Saya mahu meningkatkan darjat artis-artis yang sering dipandang rendah agar terus dihormati, tetapi saya tidak berjaya,” katanya dalam keadaan yang cukup hiba. Dalam pada itu Zahrin yang masih kekal jawatannya sebagai penasihat undang-undang persatuan itu berkata, walaupun tidak berpuas hati dengan beberapa perkara, pihaknya tidak berhasrat mencabar keputusan Mahkamah Tinggi sebaliknya menantikan pemilihan jawatankuasa baharu yang akan diuruskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam masa dua bulan bermula 21 November 2013. Katanya, mereka tidak mahu membazir kerana sesuatu perkara yang dibawa ke mahkamah akan memakan masa yang lama selain melibatkan kos yang tinggi. “Sesuatu kes akan memakan masa yang lama kadang-kadang sehingga dua tahun. Malah, berkemungkinan besar ia memerlukan kos yang tinggi, mungkin lebih besar daripada kos yang sepatutnya pihak defendan diarahkan bayar,” katanya. Ditanya pemberita sebagai penasihat undang-undang sejak era Harun Salim Bachik sebagai presiden, kenapa beliau gagal menasihati ahli-ahli Seniman agar tidak meneruskan mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke 14 kerana pemimpin ketika itu gagal mengesahkan minit mesyuarat sebelumnya Zahrin berkata, ia diadakan selepas mendapat mandat ahli-ahli. Katanya, majoriti ahli bersetuju untuk meneruskan AGM-14 walaupun Harun serta pemimpin-pemimpin yang lain memberi alasan tidak dapat membentangkan minit mesyuarat untuk disahkan kerana dokumen itu hilang selepas pejabat Seniman didakwa mereka telah dipecah masuk. “Ahli-ahli telah bersetuju untuk meneruskan AGM-14 bagi memilih kepimpinan baru maka sebab itulah mesyuarat berkenaan diteruskan juga dan Zed Zaidi dipilih sebagai presidennya. Kami tidak menyangka ia akan jadi seperti ini,” katanya. Terdahulu dalam sidang media berkenaan, Zed Zaidi masih mendapat sokongan kuat apabila sebahagian besar ahli-ahli yang hadir memberi kepercayaan untuknya memimpin persatuan berkenaan dalam AGM akan datang.
Sambil melaungkan kata-kata ‘hidup Zed Zaidi’ ahli-ahli Seniman itu antara lain memuji Zed Zaidi antara pemimpin yang cekap dalam menjalankan tugasnya membela nasib artis-artis di negara ini. Pada Khamis lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi di sini Rosilah Yop memutuskan apa-apa pemilihan ahli jawatankuasa Persatuan Seniman yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Ke-14 yang diadakan 26 Mei 2012 di Dataran Karyawan Finas, di sini, adalah terbatal dan tidak sah. Rosilah turut memerintahkan defendan kedua hingga keempat iaitu bekas presiden persatuan itu Haron Aminar Rashid Salim (Harun Salim Bachik), Omar Kamarudin (Yusof Kelana) dan Wafa A.Kadir membayar ganti rugi khas sebanyak RM56,000 berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa kepada Persatuan Seniman. Turut dinamakan sebagai defendan ialah Rozaidi Jamil (Zed Zaidi), Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Sean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab). Beliau juga turut memerintahkan ketujuh-tujuh defendan berkenaan membayar kos tindakan sebanyak RM60,000 kepada pihak plaintif. Pada 25 Januari lepas lima artis veteran telah memfailkan saman terhadap persatuan itu termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk mengisytiharkan AGM ke 14 persatuan berkenaan tidak sah kerana disyaki berlaku penyelewengan dan beberapa perkara termasuk pemalsuan pindaan undang-undang. Lima artis veteran berkenaan yang dinamakan sebagai plaintif ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (Sahlan), Roslinda Buang, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani.

Adira terima cincin kekasih

MEMUAT NAIK gambar sebentuk cincin tersarung di jari manis awal minggu lalu di laman Instagram, penyanyi Siti Adira Suhaimi atau Adira akhirnya membuka mulut untuk berkongsi cerita. Biarpun selama ini sering menafikan hubungannya dengan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia (GBB1M), Shahrul Nasrun Kamarudin, kenyataan Adira secara tidak langsung mengiakan hubungan cintanya bersama jejaka yang berasal dari Kelantan itu. Sebelum ini, baik Adira atau Shahrul Nasrun, masing-masing menyifatkan hubungan mereka sekadar kawan biasa dan tidak sampai ke peringkat bercinta. Namun, gosip hubungan cinta mereka semakin kencang diperkatakan apabila Adira berkunjung ke rumah keluarga Shahrul Nasrun di Kelantan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan Ogos lalu. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Adira yang ditemui pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 28 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam berhubung penjelasan mengenai cincin tersebut. Kosmo!: Adira ada memuat naik sekeping gambar menyarung sebentuk cincin di laman sosial Instagram, adakah itu cincin merisik atau bertunang? ADIRA: It is just a ring (Itu cuma sebentuk cincin). Bukan cincin merisik atau bertunang pun (ketawa). Ia merupakan hadiah sempena hari jadi saya yang jatuh pada 19 September. Pemberian itu pun kejutan selepas hari jadi saya. Kalau dirisik dalam masa terdekat, adakah Adira sudah bersedia? Saya tidak merancang ke tahap bertunang atau merisik dalam waktu terdekat, terus terang saya katakan saya masih belum bersedia. Untuk ke peringkat itu saya perlu berjaya dalam karier terlebih dahulu dan merealisasikan impian saya kerana banyak lagi yang masih belum tercapai. Sepanjang menjalinkan hubungan, adakah dia (Shahrul Nasrun) tidak mendesak Adira untuk mengikat tali pertunangan atau ke peringkat selanjutnya selain kekasih? Tidak. Dia memahami situasi saya dan tidak pernah mendesak tapi saya tidak tahu apa kata hatinya, tunggu masa saja. Apakah kualiti yang ada padanya (Shahrul Nasrun) yang membuatkan Adira terpikat? Dia seorang yang matang dan saya memerlukan seseorang yang boleh membimbing saya. Jodoh itu saya tidak tahu tapi saya cuba melakukan yang terbaik. Memandangkan Shahrul Nasrun hadir untuk memberikan sokongan pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 28 kali ini, adakah dia akan sentiasa hadir ke majlis yang membabitkan Adira selepas ini? Kami sebenarnya jarang keluar kerana masing-masing sibuk. Kalau hujung minggu pun apabila dia ada kelapangan, saya pula sibuk dengan persembahan. Jadi, masa untuk berjumpa sangat terhad dan dia pun tidak kerap menemani saya. Ini baru kali kedua dia menemani saya ke acara hiburan. Berbalik pada lagu Dewi Cinta yang gagal tersenarai antara enam lagu terbaik minggu kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 28 tahun ini, apakah komen Adira? Single ini dikeluarkan pada bulan September lalu, jadi mungkin masih tidak ramai yang menyedari akan lagu ini. Saya tidak meletakkan sebarang harapan pun tetapi Alhamdulillah sampai ke peringkat ini. Insya-Allah muzik video lagu ini akan ditayangkan tidak lama lagi.

Penyanyi Ella Buang Apendiks Disangka Hamil

Ratu rock Ella menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia sudah hamil sebaliknya mengalami radang apendiks dan telah menjalani rawatan apendisektomi. Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin, 46, berkata, dia telah melakukan apendisektomi iaitu pembedahan membuang apendiks kira-kira dua bulan lalu di Hospital Ampang Puteri di sini dan sedang dalam proses pemulihan. "Saya ada dengar juga orang kata saya sedang hamil, tetapi sebenarnya tidak. Tetapi saya menjalani pembedahan membuang apendiks baru-baru ini. Mungkin orang salah faham tentang perkara itu," katanya kepada mStar Online. Ella ditemui pada pertandingan akhir Ratu Rania di Studio 2, Astro Bukit Jalil di sini malam Rabu. Tambah Ella, bagaimanapun dia menyifatkan sangkaan beberapa pihak mengenai kehamilannya itu sekadar mengambil berat terhadapnya. Dalam pada itu, Ella tidak menolak dia masih berharap agar rumah tangganya dan suami, Azhar Ghazali segera dimeriahkan dengan kehadiran cahaya mata agar kehidupan berkeluarga menjadi lebih sempurna. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ella bakal muncul dengan album terbaharunya pada tahun depan yang kini masih dalam proses pembikinan. "Alhamdulillah, saya tidak sabar untuk menghadiahkan peminat-peminat dengan lagu terbaru. "Malah selepas pelancaran album tersebut, saya akan mengadakan konsert jelajah pula," ujarnya.

Bakal kahwin, Zain dan Che Ta habiskan RM200,000

KISAH percintaan mereka pernah menjadi kontroversi suatu ketika dahulu. Kini, Zain dan pelakon jelita, Rozita Che Wan bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan Disember depan. Walaupun sebelum ini ada dakwaan yang mengatakan mereka bakal berkahwin pada tarikh 11.12.13, namun baik Zain mahupun kekasihnya itu menafikan hal tersebut. Ujar Zain, dia hanya akan memberitahu tarikh perkahwinannya kepada umum pada majlis sidang media yang bakal diadakan 25 November ini. Selain itu, ada juga kenyataan yang dibuat Zain mungkin tidak akan menyenangkan banyak pihak. Zain yang memegang watak Mr. Mid- dleton itu, ditemui pada majlis pra tayangan telefilem Oh! My Ganu bertempat di GSC, The Garden untuk mempromosi lakonan terbaharunya itu. Oh! My Ganu akan bersiaran pada 27 November ini pukul 9 malam di TVIQ (saluran 135 dan 610). Ikuti temu bual Kosmo! bersama Zain yang berkongsi kisah tentang persiapannya untuk bergelar suami. Kosmo!: Boleh ceritakan serba sedikit tentang persediaan perkahwinan anda dan Rozita Che Wan? ZAIN: Oleh kerana semakin hampir tarikhnya, jadi kebanyakan sudah hampir siap, cuma tinggal sedikit sahaja lagi. Sehubungan dengan itu, kami akan mengadakan satu sidang akhbar pada 25 November ini untuk membuat pengumuman tentang tarikh pernikahan kami. Pada majlis itu, kami akan menjawab soalan yang selama ini ditanya oleh semua. Diharap semua dapat bersabar.
Berapa peratuskah persiapan yang sudah anda buat menjelang hari tersebut? Lebih kurang 80 peratus dan bakinya 20 peratus lagi seperti pemilihan tarikh dan ada juga sedikit yang masih perlu dikemas kini lagi. Memang kalian tidak mahu mendedahkan lagi tarikh perkahwinan walaupun semakin hampir seperti yang dikatakan tadi? Memang belum lagi dan akan diberitahu kelak. Saya memang suka sebenarnya ramai yang membuat spekulasi tentang tarikh kahwin kami. Kami berdua juga memang benar-benar belum tetapkan sebarang tarikh kerana kami masih lagi mencari hari yang sesuai. Mungkin tempat semua kami boleh tetapkan, namun hanya ingin mencari tarikh yang sesuai bagi semua orang. Ada yang mendakwa persiapan perkahwinan anda mencecah sehingga RM200,000. Boleh komen? Ya, lebih kurang begitu kosnya. Bagi sebelah pihak saya, RM100,000 dan begitu juga Rozita. Jadi, apabila campurkan kedua jumlah itu, maka ia menjadi RM200,000. Ia termasuk hantaran, mas kahwin dan wang yang dikeluarkan untuk majlis tersebut. Lokasi masih sama seperti yang didengar iaitu bertempat di Shah Alam? Lokasi juga masih lagi tidak mahu didedahkan. Ada beberapa lokasi yang menjadi pilihan dan mungkin Shah Alam, Selangor salah satu daripadanya. Apa yang membuatkan anda sukar untuk memilih tarikh kahwin? Ini kerana kami masih lagi ingin mencari tarikh yang sesuai untuk semua orang. Oleh kerana Disember hampir tiba, ramai yang ingin pergi bercuti dan sebagainya. Jadi, kesemua perkara tersebut akan diambil kira, terutamanya keluarga kedua belah pihak. Kami ingin mereka semua hadir menjadi saksi hari bahagia kami berdua. Itu yang kami cuba untuk mencari yang terbaik.
Ada yang berkata, pada hari perkahwinan, kalian tidak mahu menjemput media. Adakah benar dakwaan tersebut? Bukan tidak mahu jemput media. Sebenarnya kami rasa ada hadnya yang kami perlu sediakan. Kami hanya menjemput wartawan sahaja, tidak jurugambar. Ini kerana, kami telah mengupah jurugambar peribadi dan akan memberikan gambar majlis tersebut sebaik majlis tamat. Boleh kongsikan tentang perasaan anda memandangkan tarikh perkahwinan yang semakin hampir? Saya sudah mula rasa debarannya dan persiapan kecil-kecil yang tinggal ini saya perlu pastikan ia baik. Memang ketika ini perasaan.

Nabil Ahmad Tukar Nombor Kereta Takut Jadi Sasaran Penjenayah

Pelawak Ahmad Nabil Ahmad, 30, mengambil keputusan untuk menukar nombor plat keretanya kerana bimbang menjadi sasaran penjenayah selepas kenderaannya itu dipecah masuk pada Isnin lalu. Nabil berkata, dia nekad berbuat demikian kerana ketika ini nombor plat kereta Mitshubishi Lanser miliknya itu menggunakan kombinasi huruf yang ada persamaan dengan namanya. "Ini merupakan pengalaman pertama apabila kereta saya dipecah masuk dan ia membuatkan saya risau apa yang bakal terjadi pada masa depan jika penjenayah atau sesiapa sahaja mengetahui ia adalah kereta saya kerana nombor pendaftarannya. “Tindakan itu juga bagi menjamin keselamatan saya dan keluarga," katanya kepada mStar Online. Nabil ditemui di Hotel Istana di sini pada Selasa sempena majlis pengumuman barisan artis yang bakal membuat persembahan dalam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) yang akan berlangsung pada 14 Disember depan. Dalam kejadian Isnin lalu, Nabil menyedari keretanya dipecah masuk oleh penjenayah selepas dia bersama isteri, Nazirah Ayub, 25, dan anak mereka Naira Mikayla yang berusia setahun selesai makan malam di sebuah restoran di Sungai Buloh, dekat sini. Kejadian itu disedari ketika Nabil hendak mengundurkan keretanya apabila dia melihat cermin belakang sebelah kanan keretanya pecah. Selain kad pengenalan, beg galas yang diisi baju sukan turut dilarikan penjenayah. Sementara itu, Nabil menyifatkan memiliki nombor plat kenderaan yang mempunyai persamaan dengan nama sendiri terutamanya bagi seseorang selebriti boleh mengundang bahaya tanpa sedar. Beritahunya, walaupun nombor itu dilihat unik dan glamor, tetapi ia lebih memudahkan individu yang berniat tidak baik untuk melakukan jenayah. "Saya nasihatkan buat para artis, walaupun seronok memiliki nombor plat seperti yang diinginkan, tetapi ia sebenarnya membahayakan. Lebih baik kita menggunakan nombor biasa sebagai langkah keselamatan," tegasnya.

Kes Dera Punca Faezah Elai Enggan Percaya Pembantu Rumah

Pelakon Faezah Elai tidak akan membiarkan anak kecilnya dijaga oleh pembantu rumah kerana bimbang terjadi kes penderaan atau pun dilarikan seperti yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini. Faezah, 31, berkata, dia sanggup meminta bantuan ibunya untuk menjaga anaknya, Dealova Heyrinna, yang kini berusia sembilan bulan setiap kali dia ke lokasi penggambaran. “Saya bukan nak kata tak percaya dengan pembantu rumah tetapi saya kena berhati-hati. Sekarang ini macam-macam hal boleh jadi walaupun pembantu rumah saya setakat ini tidak pernah timbulkan masalah,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin. Faezah yang berkahwin dengan pengarah drama Heykal Hanifah, 39, pada September tahun lalu turut mempunyai anak tiri hasil perkahwinan terdahulu Heykal iaituLuqman Hakim, 13, Sarah, 11, dan Luq Adam yang berusia tiga tahun. Faezah berkata, disebabkan anaknya masih kecil, dia tidak akan pastikan tidak berada lama di lokasi penggambaran dan akan meminta pulang ke rumah sebelum pukul 11 malam kerana bimbang akan wujud budaya ‘anak tidak kenal ibu-bapa’. Tambah wanita ini, dia tidak mahu anak-anaknya membesar tanpa kasih sayang dan perhatian keluarga kerana ia akan membuatkan tumbesaran mereka tidak seimbang. Dalam pada itu buat masa ini Faezah hanya akan menerima tawaran berlakon di bawah pengarahan suaminya sahaja agar mudah untuk mereka berbincang soal pengurusan masa agar boleh menjaga anak. “Saya hanya boleh terima tawaran berlakon untuk telefilem sahaja. Itu pun pukul 11 malam saya kena balik rumah. Sebab itu bila ada tawaran berlakon daripada produksi lain saya terpaksa tolak keran bimbang mereka tak boleh ikut masa saya. “Buat masa ini lebih mudah saya berlakon dalam produksi bawah arahan Heykal sendiri,” katanya. Jelas Faezah lagi, dia hanya boleh memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang lakonan selepas anaknya mencecah usia tiga atau empat tahun. Dalam perkembangan lain Faezah baharu sahaja selesai penggambaran telefilem Akhirnya Kau Mengeti untuk siaran TV Al Hijrah.

Anak Wajar Tahu Kisah Kontroversi Adi Putra

Pelakon Adi Putra sedia menjelaskan isu-isu kontroversi yang pernah membabitkan diri dia kepada anaknya iaitu Zara Adelia, 1 tahun, apabila kanak-kanak itu dewasa kelak. Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera, 32, berkata, dia tidak mahu anaknya membuat pelbagai andaian melalui berita yang disebar menerusi Internet selain mahu Zara Adelia bersedia menjawab persoalan masyakat di luar sana. "Sebelum dia (Zara) mendapat tahu sesuatu kontroversi mengenai diri saya, saya akan menerangkan dahulu kepadanya. Yalah... sekurang-kurangnya bila dia cari melalui ‘Google’ di Internet, tidaklah dia terkejut," katanya kepada mStar Online. Sebelum ini Adi pernah menimbulkan kontroversi selepas seorang lelaki membuat laporan polis selepas Adi dikatakan mengirimkan mesej dan gambar berunsur lucah kepada isterinya. Adi dikatakan berkenalan dengan wanita berusia 30 tahun itu menerusi laman Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp sejak 29 Julai lalu. Suami kepada wanita itu mengesan hubungan mereka selepas dia terbaca SMS (khidmat pesanan ringkas) ketika berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Skudai-Pontian, awal Ogos lalu sehingga mendorongnya membuat laporan polis. Bercerita mengenai perkembangan kes terbabit Adi berkata, dia masih menunggu jawapan daripada pihak polis dan berharap orang ramai tidak membuat kononnya dia menggunakan pihak berpengaruh untuk menyelesaikan kes berkenaan. "Saya tetap berpegang kepada janji di mana apabila konklusi kes itu keluar, saya akan kongsi kepada semua, tetapi setakat ini ia masih lagi dalam siasatan. "Cuma saya harap orang ramai tidak mempercayai kononnya saya menggunakan orang atasan untuk menyelesaikan kes tersebut. Bagi yang percaya terpulanglah, cuma saya percaya kebenaran akan muncul juga," tegasnya. Sementara itu, Adi yang bakal mempromosikan filem Balistik pada hujung bulan depan itu sedang mengusahakan perniagaan keperluan mandian jenama Hadaz di bawah syarikat miliknya iaitu Nur ADP Sdn Bhd. "Apa yang saya lihat, segala kontroversi yang timbul mengenai diri saya sedikit sebanyak memberi kesan positif dalam kerjaya, apatah lagi sekarang ini saya sedang mengembangkan perniagaan keperluan mandian Hadaz. "Alhamdulillah, perniagaan ini mendapat respons yang bagus kerana ia jarang diusahakan orang Melayu," ujarnya.

Cahaya Mata Ubah Sikap ‘Angin’ Farid Kamil

Pelakon Farid Kamil menyifatkan kehadiran anak sulungnya yang lahir pada 2 Julai lalu hasil perkongsian hidup dengan Diana Danielle telah memberikan banyak perubahan pada dirinya termasuklah perubahan sikap. Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 32, berkata, anak lelakinya itu telah berjaya melembutkan hatinya yang sebelum ini mudah naik angin selain menjadikannya seorang yang lebih matang. "Kehidupan saya sebagai seorang bapa benar-benar membuatkan kehidupan saya berbeza dan ia susah untuk digambarkan dengan kata-kata. "Saya tak pasti sama ada saya dah berubah atau tidak tetapi kehadiran anak saya itu membuatkan saya lebih matang berbanding sebelum ini sehinggakan David Teo (Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG )) juga berpendapat sedemikian.
“Anak akan buatkan saya tersenyum tenang walaupun ketika dilanda masalah," katanya kepada mStar Online. Pelakon filem Pe3 itu masih belum mendedahkan nama anaknya dan mempunyai perancangan khas untuk memperkenalkan bayi tersebut kepada umum menerusi sebuah program khas yang bakal diterbitkan oleh pihak Astro. Dalam pada itu, tambah Farid, dia bersama-sama isterinya Diana Danielle juga teruja untuk melihat anak mereka membesar di depan mata dan ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada zuriat itu walaupun sibuk dengan kerjaya lakonan. Dalam perkembangan terbaharu, Farid kini sibuk di set penggambaran bagi menjayakan filem Kitai, arahan Amiro Ghozali bersama barisan pelakon lain iaitu Shaheizy Sam dan Fezrul Khan. "Buat masa ini saya fokus untuk filem Kitai dahulu dan kemudian pihak MIG akan menerbitkan sebuah projek filem yang berbajet besar. "Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas mengenai perkara itu dengan lebih lanjut. Tunggu sahaja pelancarannya nanti," ujar Farid.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails