Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nadiya Nisaa Dinasihati Agar Sedia Hadapi Zaman Kejatuhan

Pelakon Nadiya Nisaa menerima kata-kata nasihat daripada aktres Noorkhiriah agar sentiasa beringat dan bersedia untuk melalui zaman kejatuhan suatu hari nanti. Nadiya berkata, pelakon wanita tersebut memberitahu bahawa kegemilangan sebagai seorang pelakon dengan menerima pelbagai tawaran hanya sementara sahaja. "Saya baharu sahaja habis berlakon telefilem bersama Noorkhairiah untuk drama Qaseh Tanpa Suara dan dia merupakan antara artis yang paling saya kagumi selama ini. "Sepanjang penggambaran dia banyak bercerita tentang kehidupan selepas popular. Dia suruh saya beringgat dan bersedia untuk melalui zaman sepertinya kini," ujarnya kepada mStar Online.
Bagaimanapun, dia tidak menyifatkan nasihat tersebut sebagai berniat untuk menghalang atau cemburu dengan kerjayanya sekarang. Sebaliknya, Nadiya berkata, Noorkhairiah memberi semangat agar dia dan rakan-rakan artis yang sedang meningkat naik sekarang ini mencuba pelbagai watak yang lebih mencabar. "Dia tidak menghalang atau cemburu kepada pelakon baru, malah dia suruh kami cuba pelbagai watak selagi mempunyai peluang. "Katanya, zaman kegemilangan pelakon tidak lama jadi jangan lepaskan peluang yang datang dan dia sudah puas melalui zaman tersebut dahulu, sekarang masa dia tumpukan perhataian kepada keluarga. "Perkara yang sama itu juga akan kami lalui suatu hari nanti," ujarnya. Tambah Nadiya, kata-kata nasihat yang diberikan pelakon tersebut memberi inspirasi kepadanya agar tidak mensia-siakan peluang lakonan yang datang. Dalam pada itu, ditanya tentang beberapa filem dan drama yang dibintanginya disiarkan dalam suatu masa yang sama, Nadiya berkata, ia tidak menjangkakan perkara tersebut. "Filem Gila Baby dan Terbaik Dari Langit serta telemovie Oh My English: Villa Isabellaaa! keluar secara berturut-turut bulan ini. "Saya pun tidak sangka kerana penggambaran filem Gila Baby pada dua tahun lalu, manakala Terbaik Dari Langit pula tahun lalu sementara Oh My English pada awal tahun ini, saya harap penonton tidak bosan tengok saya," ujarnya.

Mawi Banyak Baca Buku Sejak Bergelar Pengacara

Penyanyi Mawi mengakui semakin selesa bergelar pengacara program bual bicara berjudul Seindah Kata yang disiarkan di TV internet iaitu Capital TV sejak 12 November lalu. Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 33, berkata, sejak mengendalikan program itu dia kini lebih banyak menghabiskan masa dengan membaca terutamanya berkaitan topik yang dibincangkan menerusi rancangan berdurasi setengah jam itu. "Alhamdulillah biarpun pada awalnya agak kekok tetapi saya semakin seronok bergelar pengacara kerana ia banyak mengajar saya untuk menjadi seorang yang lebih fokus dan berpengetahuan. "Untuk tujuan itu juga saya kini lebih banyak membaca pelbagai jenis buku termasuk membuat carian maklumat di internet bagi menambahkan ilmu pengetahuan," katanya kepada mStar Online. Mawi turut mengendalikan Seindah Kata bersama penyanyi Hafiz Hamidun dan program berkenaan disiarkan setiap hari Rabu pada pukul 8.30 malam di Capital TV. Dalam pada itu, selain mengacara, Mawi juga memberitahu dia kini turut sibuk dengan kerja-kerja penulisan lagu dan setakat ini telah mencipta enam buah lagu. Jelas Mawi, mentornya, Datuk M.Nasir adalah individu yang banyak mendorongnya dalam menghasilkan lagu dan lirik selain memberi tunjuk ajar kepadanya. "Apabila saya tiba-tiba mendapat melodi sesuatu lagu saya segera akan rakamkan bimbang terlupa dan selepas itu baharulah saya tulis lirik mengikut kesesuaian. "Itu antara nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh M.Nasir dan Alhamdulillah kini saya sedang dalam proses mencipta bebeapa buah lagu lagi," katanya. Antara lagu yang mendapat sentuhan Mawi adalah Hijab, Ayah dan Al-Haq Yang Satu nyanyian bersama Datuk AC Mizal. Sementara itu, Mawi berkata, biarpun kerjaya nyanyiannya kelihatan perlahan namun dia menjelaskan undangan nyanyian masih banyak selain sibuk menguruskan perniagaan bersama isterinya.

Farah Asyikin Mahu Pertahankan Rumah Tangga

Penyanyi Farah Asyikin menjelaskan dia tidak mahu perkahwinan keduanya dengan Zaahier Stanley berakhir dengan perceraian biarpun masalah rumah tangga mereka kini telah pun dibawa ke mahkamah syariah. Farah, 35, berkata, mereka berdua sedang berusaha memperbaiki masalah yang berlaku selain memikirkan masa depan anak lelaki mereka, Ebrahim Owais yang baharu sahaja berusia lapan bulan. "Biarpun kes kami dibawa ke mahkamah tetapi kami masih suami-isteri yang sah dan apa yang boleh saya katakan kami masing-masing sedang berusaha memperbaiki keadaan. "Apa yang saya minta doa daripada semua agar kami dapat mengharungi saat getir ini sekaligus menjernihkan keadaan kerana perceraian adalah jalan terakhir," katanya. Nama Farah dan Zaahier dilihat berada di papan kenyataan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan dekat sini berhubung permohonan perceraian mereka pada 18 Disember lalu. Bagaimanapun Fara dan Zaahier tidak hadir ke mahkamah dan kes berkenaan ditangguh pada 21 Januari untuk sebutan semula. Dalam pada itu, Farah berkata, biarpun sudah tidak tinggal sebumbung hampir tujuh bulan lalu namun hubungan mereka berdua masih baik dan sering berjumpa demi anak mereka. "Buat masa sekarang saya tinggal bersama keluarga di Taman Tun Dr Ismail dan bersyukur mereka sentiasa memberi semangat kepada saya untuk mengharungi dugaan ini. "Saya dan suami masih berhubung biarpun tidak tinggal sebumbung malah kami ada bertemu untuk bertanya khabar dan melawat Ebrahim," katanya. Farah dan Zaaher iaitu warganegara Afrika Selatan yang berketurunan Melayu Cape berkahwin pada 15 Februari tahun lalu selepas berkenalan selama setahun menerusi Twitter.

Tolak Tawaran Berlakon Punca Amyra Rosli Dituduh 'Demand'

Pelakon Amyra Rosli menjelaskan gosip yang mengatakan dia mula bersikap 'demand' mungkin berpunca daripada dia menolak beberapa tawaran berlakon sebelum ini. Amyra atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli, 23, berkata, dia terpaksa menolak beberapa tawaran bukan disebabkan tidak berpuas hati dengan soal bayaran sebaliknya faktor masa menjadi penyebab dia berbuat demikian. "Siapa yang pernah bekerja dengan saya tahu saya tidak bersikap 'demand' dan saya tolak kerana faktor jadual yang padat dengan projek lain. "Saya boleh terima tetapi saya sedar ia akan menimbulkan masalah lain kerana tidak dapat memberikan komitmen," katanya kepada mStar Online. Amyra menjelaskan gosip kononnya dia mula berubah sikap semenjak namanya sebagai pelakon semakin melonjak selain seringkali diberikan peranan utama oleh produksi. Dalam pada itu, Amyra berkata, sepanjang dua tahun melibatkan diri sebagai pelakon dia tidak pernah meletakkan harga kerana menyedarai masih baharu dalam bidang seni. Malah dia dan ibu yang juga pengurusnya, Noor Zaridah Ahmad sentiasa bertoleransi berhubung soal bayaran dan setakat ini tidak pernah merungut dengan hasil diterima.
"Semua perkara boleh dibawa berbincang dan sekiranya ada toleransi antara kedua-dua belah pihak pasti tiada masalah," ujarnya. Sementara itu, pelakon utama drama bersiri Suamiku Encik Sotong itu memberitahu dia tidak kisah sekiranya ada produksi yang ingin menggandingkannya dengan bekas tunangnya, Dazrin Kamaruddin dalam sesebuah projek. Jelas Amyra, dia profesional sekiranya ia melibatkan kerjaya dan apa yang berlaku diantaranya dengan Dazrin adalah masalah peribadi. "Jika ada tawaran saya akan lihat skrip terlebih dahulu dan jika bersesuaian saya tidak lihat mengapa perlu tolak," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Amyra berkata, buat masa ini dia ingin memberikan tumpuan kepada kerjaya dan tidak terlalu memikirkan soal cinta. Jelas Amyra, tahun hadapan dia ingin mengembangkan kerjaya lakonannya ke tahap lebih baik dan tidak mahu berada di tahap sama. "Bukan bererti saya serik untuk bercinta tetapi buat masa ini biarlah dahulu dan kerjaya harus diutamakan," katanya.

Zizan Razak Sangkal Hubungan Dengan Emma Maembong Putus

Pelakon dan pelawak Zizan Razak menyangkal dakwaan hubungannya dengan aktres Emma Maembong sudah berakhir seperti mana dilaporkan dalam ruangan gosip sebuah akhbar mingguan pada Ahad. Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abd Razak, 30, menerusi laman Instagramnya menjelaskan percintaan mereka tidak mempunyai sebarang masalah seperti dilaporkan akhbar itu. "Kami di sini baik-baik sahaja. Terima kasih rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan yang baik untuk hubungan kami berdua," tulisnya. Laporan itu menyebut pasangan itu dikatakan sudah tidak bersama sejak sebulan lalu malah malah Emma dilaporkan sudah mempunyai pengganti iaitu pelakon Kamal Adli yang juga pasangannya dalam drama bersiri Syurga Tanpa Cinta.
Dalam pada itu, dalam status sama, Zizan turut menulis dia mencintai Emma dan memberitahu wanita itu sentiasa berada di dalam hatinya. "Emma Maembong sentiasa saya cintai. You always in my heart," ujarnya. Malah Emma menerusi laman Instagram miliknya meminta peminat tidak mempercayai gosip berkenaan selain turut memuat naik gambar mereka berjalan berdua. Sementara itu, usaha mStar Online untuk mendapatkan kenyataan lanjut daripada Zizan dan Kamal berhubung gosip berkenaan gagal apabila mereka masing-masing tidak menjawab panggilan dan mesej yang dihantar.

Anak Disuruh Buka Tudung, Butik Hamleys Mohon Maaf Kepada Rosyam

Pihak pengurusan butik permainan kanak-kanak, Hamleys Malaysia telah mengambil tindakan disiplin terhadap salah seorang pekerjanya yang tidak membenarkan anak kepada penerbit dan pelakon Datuk Rosyam Nor memakai tudung sekiranya ingin bekerja dipremis berkenaan. Menerusi satu kenyataan dikeluarkan butik berkenaan di Facebook pada Ahad, pekerja yang mengendalikan sesi temu duga itu tidak mempunyai kuasa untuk menemuduga atau mengambil pekerja selain memberikan maklumat tidak benar kepada Nur Lisa, 17. "Setelah disiasat salah seorang pekerja kami yang baru dan tidak mempunyai kuasa untuk menemuduga atau mengambil pekerja telah memberi maklumat yang tidak betul kepada anak Datuk Rosyam. "Tindakan disiplin telah pun diambil terhadap pekerja ini dan pihak kami berasa amat kesal dengan insiden ini dan berharap pihak Datuk Rosyam dan anaknya menerima permohonan maaf ini," kata kenyataan itu.
Terdahulu, Rosyam menerusi laman Twitter miliknta meluahkan rasa kecewa apabila sebuah butik Hamleys cawangan One utama di sini mengarahkan anak perempuannya membuka tudung sebagai syarat untuk ditawarkan bekerja di kedai alat permainan kanak-kanak itu. Rosyam yang berang dengan syarat berkenaan menyifatkan permintaan itu sebagai biadap dan meminta pelanggan tidak lagi mengunjungi butik tersebut. "Sedih, hari ini anak saya yang baru habis SPM pergi minta kerja untuk isi masa terluang tetapi dengan syarat kena bukak tudung. Kedai Hamleys kurang ajar!," tulisnya di Twitter. Dalam pada itu, Hamleys dalam kenyataan sama memberitahu pihaknya tidak pernah meletakkan sebarang polisi yang tidak membenarkan pekerja wanita memakai tudung sebagai salah satu syarat untuk bekerja dengan syarikat tersebut. "Hamleys tidak mempunyai sebarang polisi yang mana pekerja wanita tidak dibenarkan memakai hijab malah kami mengalu-alukan semua yang ingin bekerja untuk datang membuat permohonan kerja, tidak kira bangsa atau agama," jelas kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Rosyam yang dihubungi berkata, dia menerima dengan hati terbuka permohonan maaf tersebut dan berharap kejadian serupa tidak berulang dengan mana-mana premis lain. "Sekiranya ada diskriminasi sebegitu bagaimana wanita Islam yang bertudung ingin mencari kerja? Tidak salah rasanya mengambil pekerja yang menutup aurat. "Kelantangan saya mengenai perkara ini bukan ingin memburuk-burukkan sesiapa tetapi sebagai pengajaran agar ia tidak berulang di kemudian hari," katanya.

'BULAN JATUH KE BAHU' BILA FAZURA LENTOK DI BAHU WAK DOYOK

Jika baru-baru ini penonton Astro yang menyaksikan Maharajalawak perasan mengenai jelingan Wak Doyok terhadap Fazura di dalam TV, terkini ramai yang makan hati apabila tersebar gambar kepala Fazura melentok manja di bahu Wak Doyok. "Muka ada senyum..!!! Dah boleh mimpi yang indah-indah @missfazura ini malam. Ini lah yang dikatakan bulan jatuh kebahu. Dia suke orang yang kelako.. untung abang Jamil.
"Bersama si cantik jelita lagi menawan @missfazura misai ku naik boleh dipintal. Hari tu jeling kecoh satu kapal. Hari ini dapat bersua muka aku jadi tebal.," begitulah caption Wak Doyok melalui IGnya. Untuk makluman semua, kemesraan Wak Doyok dengan Fazura ini telah dirakamkan di sebuah pertunjukan fesyen yang berlangsung semalam. Dan bak kata Wak Doyok, memang bukan jatuh ke bahu bila mimpi jadi kenyataan. Ahak!

AKSI 'HANGAT' HETTY SARLENE BERSAMA MAT SALLEH

Jika anda masih ingat pada Januari lalu, pelakon Singapura yang pernah popular melalui drama bersiri Sembilu Kasih, Hetty Sarlene tiba-tiba bikin panas apabila tampil seksi berbanding imej sebelumnya. Terkini, artis yang kembali ke negara asalnya iaitu di Singapura dilihat amat bahagia dengan kekasih barunya seorang jejaka mat salleh. Malah bukan setakat bahagia, tetapi agak intim apabila fotonya bersama boyfriend mat salleh tersebut dikongsinya melalui Instagram.

VELVET AF4 LAHIRKAN ANAK KETIGA

Dalam diam, Velvet AF4 yang mengahwini lelaki yang juga bakatnya digilap menerusi Akademi Fantasia iaitu penyanyi kumpulan Estranged, Richael L Gimbang ( Rich AF4) telah selamat melahirkan anak. Dia melahirkan anak lelakinya itu secara normal tiga hari lalu dan bayi tersebut diberi nama Kianu Richael Gimbang. Selain Kianu, Velvet dan Richael mempunyai dua anak lain bernama Joshua dan Caroline. "Seperti melahirkan anak pertama dan kedua, perasaan yang sama dirasai. Teruja itu pastinya. Saya bersyukur anak lahir dengan sihat," ujar Velvet dipetik sebagai berkata. Untuk info, Velvet mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Estranged itu pada 5 Disember 2008.

AKSI TERKINI CICO HARAHAP DAN TUNANGNYA FERNIE

Tentu anda semua masih ingat cerita tentang Cico Harahap, 36, atau nama sebenarnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin yang sudah bertunang dengan gadis bernama Fernnie Yong yang kami siarkan pada awal Januari lalu. Terkini, mereka berdua ditemui media ketika menyertai sesi mini bootcamp dan zumba anjuran Tuty D'adza di Leha Fitness, Taman Melati, Kuala Lumpur. "Kami banyak berkongsi minat yang sama termasuklah dalam bidang kecergasan. Tapi setakat ini belum lagi ada perancangan nak kahwin. "Lagipun anak saya mulakan persekolahan tahun depan. Memang anak keutamaan saya kini. Saya kenal dia sejak dua tahun lalu. "Bagi saya status duda ini sudah jadi perkara biasa dalam hidup saya. Ibu saya sendiri bergelar ibu tunggal. "Jadi masa saya sejak kecil memang kebanyakan dihabiskan dengan ibu. Cuma sekarang bezanya saya sudah ada anak.
"Jadi tak kisah kalau ada soal pengganti atau tidak. Tapi kalau ada itu ia bonus dan saya gembira bertemu dia (Fernie). Pendek kata kehidupan saya masih sama. Saya banyak mengembara dengan anak. Tak kosong pun hidup ini," ujar Cico dipetik sebagai berkata kepada BH Online. Untuk rekod, anak kepada pelakon dan penyanyi Uji Rashid ini pernah berkahwin dengan Elle pada 25 Februari 2008 di Songkla, Thailand sebelum mereka mengambil keputusan bercerai. Hasil perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Rindu Nur Fitrah.

Izzue Islam Enggan Sentuh Wanita Untuk Jaga Status

Pelakon Izzue Islam meletakkan syarat tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita dalam mana-mana drama lakonannya bagi menjaga status dia sebagai seorang suami. Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 24, juga menganggap prinsip itu juga bagi menjaga maruah pelakon wanita yang digandingkan bersamanya sama ada dalam filem ataupun drama. "Ya, saya ada meletakkan syarat agar tidak ada adegan bersentuhan antara saya dengan pelakon wanita dalam beberapa drama yang saya lakonkan kebelakangan ini. "Saya rasa ia adalah untuk menjaga status saya sebagai lelaki sudah berkahwin dan untuk menjaga maruah pelakon wanita itu juga," ujarnya kepada mStar Online. Izzue berkata demikian ketika diminta mengulas syaratnya tidak mahu bersentuhan dengan pelakon wanita dalam drama terbaharunya berjudul Suami Sebelah Rumah. Drama yang bakal ditayangkan di TV3 pada Mac depan itu turut dilakonkan oleh aktres Ayda Jebat. Tambah Izzue, banyak cara lain yang boleh dilakukan selain berpelukan atau bersentuhan bagi menghidupkan sesuatu babak romantik.
"Saya rasa tidak semestinya kita perlu berpelukkan atau bersentuhan untuk menampakkan ia babak romantik. "Banyak sahaja cara lain yang tidak memerlukan kita berbuat demikian tetapi masih boleh nampak ia sebagai romantik," katanya. Bagaimanapun dia akan berbincang dengan pengarah terlebih dahulu sebelum menerima mana-mana tawaran lakonan. Sementara itu, Izzue berkata, prinsip tersebut tidak mempunyai kaitan dengan isterinya, Nurinafilah Waharudin (Awin), 32, yang sebelum ini dikatakan seorang yang kuat cemburu. "Keputusan itu atas diri saya sendiri dan bukannya sebab isteri saya cemburu atau tidak. Dia tidak mempengaruhi keputusan apa yang saya lakukan. "Saya berbuat demikian kerana memikirkan ia adalah hal saya sebagai seorang lelaki yang menjadi suami orang," ujarnya. Izzue bernikah dengan Awin yang juga pengurusnya pada 2 Jun 2013.

Adlin Aman Ramlie Larang Emelda Rosemila Aktif Berlakon

Pelakon Emelda Rosemila memberitahu suaminya aktor Adlin Aman Ramli tidak menggalakkan dia untuk terlalu aktif dalam bidang lakonan. Emelda atau nama sebenarnya, Emelda Rosmila Abdul Hamid, 34, berkata, disebabkan perkara itu, dia terpaksa memilih watak yang terbaik dan benar-benar ingin dilakonkan sahaja. "Sejak berkahwin suami tidak benarkan saya untuk berlakon, cuma kalau ada cerita dan watak yang bagus dan saya ingin berlakon sahaja dia benarkan. "Dia tidak mahu saya susahkan diri terutama apabila watak-watak berat yang akan memenatkan saya," katanya kepada mStar Online. Emelda berkata demikian ketika ditemui selepas tayangan telefilem Oh My English: Villa Isabellaaa!, di GSC Signature, The Gardens, Rabu lalu. Telefilem komedi ini bakal bersiaran pada 27 Disember ini, pukul 9 malam di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya (saluran 135). Dalam pada itu, tambah Emelda, dia tidak pernah menerima tawaran lakonan yang berkehendakkan dia berada di luar Kuala Lumpur dan Selangor.
Sementara itu, bercerita tentang watak telefilem terbaharunya itu Emelda berkata, dia menerima watak sebagai Puan Ponti berikutan watak tersebut belum pernah dibawa sebelum ini. Dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk berlakon dalam drama siri popular yang juga menjadi kegemarannya iaitu Oh My English. "Saya suka tengok cerita ini sebab itu ketika ditawarkan saya terus terima. Lebih-lebih lagi watak seram saya dalam telefilem itu sangat menarik," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Emelda kini berjinak-jinak dalam bidang rekaan baju di bawah label sendiri iaitu 'Emelda Rose Kuala Lumpur.' Bisnes yang sudah hampir tiga tahun itu kini semakin berkembang dan dia mula membuat rekaan untuk pakaian pengantin dan tajaan baju artis di acara hiburan tertentu. "Alhamdulillah label pakaian saya iaitu Emelda Rose semakin berkembang dan saya kini akan keluar pakaian pengantin serta gaun petang. "Setakat ini saya banyak menaja baju-baju selebriti untuk hadir ke majlis-majlis hiburan," ujarnya. Emelda mendirikan rumah tangga dengan Adlin Aman Ramlie pada 22 Mei 2009.

Bekas Suami Rayu Penyanyi Syura Rujuk Kembali

Bekas suami Syura iaitu Mohd Fadhly Md Yassin merayu penyanyi itu agar menerima cintanya semula dan bersedia untuk rujuk kembali kerana masih mempunyai perasaan sayang terhadapnya. Mohd Fadhly, 33, berkata, dia berharap Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron bersetuju untuk memulakan kehidupan baharu bersama tiga anak mereka yang sedang membesar. "Sejak dari awal saya tidak pernah terfikir untuk bercerai tetapi perkara sudah berlaku dan saya sudah pun merujuk dengannya secara lisan bulan lalu. "Tetapi nampaknya dia tetap dengan pendiriannya untuk berpisah dan saya masih berusaha untuk memenangi kembali hati dia," katanya kepada mStar Online. Terdahulu, Mohd Fadhly yang merupakan seorang guru sekolah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Khamis untuk mendapatkan pengesahan lafaz rujuk yang dibuat terhadap Syura pada 10 November lalu secara lisan. Bagaimanapun kes berkenaan ditangguhkan selepas Syura, 28, yang juga juara program Masterchef Selebriti Malaysia musim kedua, gagal menghadirkan diri pada sidang tersebut. Hakim Syarie Ab Malek Awang menetapkan 20 Januari 2015 untuk sebutan semula kes berkenaan.
Mohd Fadhly turut mendedahkan mereka sah bercerai talak satu pada September lalu. Dalam pada itu, Mohd Fadhly berkata, sejak bercerai hidupnya dirasakan kosong tanpa kehadiran isteri disisinya selain ia mula memberi kesan kepada anak-anak mereka. "Hidup saya kosong tanpa dia dan ia mula memberikan kesan kepada anak-anak kami yang sedang membesar. "Saya tidak pernah bencikan dia malah menyintai dia namun keputusan sama ada untuk meneruskan perkahwinan ini terletak ditangannya," kata Mohd Fadhly. Sementara itu, Mohd Fadhly berkata, dia reda sekiranya Syura masih dengan keputusannya dan berhasrat untuk memohon pertukaran sekolah dari Kuala Lumpur ke Johor Baharu bagi membolehkan dia membesarkan tiga anak mereka di sana. "Sekiranya tiada lagi jodoh diantara kami, saya akan memohon pertukaran sekolah di Johor supaya dapat membesarkan anak-anak yang kini di bawah jagaan ibu saya," katanya.

Bekas Suami Abby Abadi Sudah Sedia Jadi Pelakon

Bekas suami kepada artis Abby Abadi iaitu Muhammad Noor Farhan Che Bakar sudah bersedia untuk menjadi pelakon selepas kontroversi perceraiannya dengan wanita itu tidak lagi diperkatakan. Farhan, 26, berkata, dia sudah menjalani beberapa uji bakat termasuklah sesi fotografi dengan majalah hiburan. "Saya ingin cuba nasib dalam bidang lakonan dan tidak kisah watak apa yang ingin diberikan asalkan ia memberi pengalaman dan laluan kepada saya berada dalam bidang ini. "Sebelum ini saya memang tidak ada pengalaman berlakon tetapi saya sangat berminat dan ingin cuba sahaja dulu dalam bidang ini," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Jumaat.
Tambah Farhan, selepas perceraiannya dengan Abby Abadi pada Mei lalu, dia ada menerima tawaran berlakon namun terpaksa ditolak kerana belum bersedia. Katanya, kini adalah masa yang paling sesuai berikutan kontroversi perceraian yang dilaluinya sudah mulai reda. Sementara itu, sebagai persediaan menjadi seorang artis dia kini mula meluangkan masa ke gim bagi membina badan. "Selepas bercerai ada juga yang risik dan tawarkan saya untuk berlakon tetapi saya tolak kerana rasa tidak bersedia lagi mungkin faktor badan saya. "Baru-baru ini ada kawan bertanya semula tentang tawaran lakonan dan saya fikir ini masa yang sesuai," ujarnya. Sementara itu, Farhan turut memberitahu niat untuk berlakon dipendam sejak berkahwin dengan aktres tersebut. Dia pernah mengutarakan hasrat berkenaan namun ditentang oleh bekas isterinya itu. "Dulu saya pernah cakap dengan dia yang saya ingin cuba nasib jadi pelakon tetapi dia tidak benarkan langsung. Sekarang ini senang, tidak banyak yang perlu difikirkan," ujarnya. Muhammad Noor Farhan dan Abby atau atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 37, bernikah pada 9 Julai 2013 di Selatan Thailand. Mereka disahkan bercerai pada 9 Mei lalu dengan talak satu.

Mamat (Exists) Buat Ifa Raziah Menitis Air Mata

Bekas vokalis kumpulan Exists Mamat telah menyebabkan penyanyi Ifa Raziah menitiskan air mata ketika mendendangkan lagu Untukmu Ibu pada pertandingan Gegar Verganza pada 7 Disember lalu. Ifa menitiskan air mata kerana terkenangkan saat indah bersama arwah ibunya, Maimunah Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 2010 akibat komplikasi penyakit buah pinggang. "Saya sudah tiada ibu atau pun bapa, jadi apabila Mamat mendendangkan lagu tersebut saya jadi emosi sedikit kerana terkenangkan saat-saat indah bersama ibu ketika hayatnya. "Sedar tidak sedar sudah empat tahun dia meninggalkan saya dan lagu Untukmu Ibu mengingatkan betapa saya merindui ibu saya," katanya kepada mStar Online. Gegar Veganza 2014 disiarkan pada setiap hari Ahad pada pukul 9 malam di Astro Ria dan Maya HD. Selain Ifa dan Mamat, artis lain yang turut bertanding termasuklah Shima, Adilla, Haleeda, Ayai (Ilusi), Fazli Zainal, Sharifah Zarina dan Rahmat (Mega). Bagaimanapun pada Ahad lalu, Adilla diumumkan tersingkir.
Dalam pada itu, Ifa berkata, jika ibunya masih ada hari ini, wanita itu akan menjadi penyokong kuatnya untuk berjaya dalam pertandingan tersebut. Kata Ifa, sebelum ini sekiranya dia ada memasuki apa-apa pertandingan arwah akan mendoakan untuknya dan membuatkan dia bersemangat untuk melakukan terbaik. "Itu lagi salah satu sebab saya begitu emosi kerana saya sudah tiada ibu yang akan mendoakan kejayaan saya namun saya bersyukur kerana ada suami, anak-anak dan keluarga mertua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya," katanya. Sementara itu, bercakap mengenai pertandingan berkenaan, Ifa berkata, biarpun dia tidak meletakkan sebarang harapan tinggi namun dia tetap memberikan persembahan terbaik setiap minggu. Jelas Ifa, Gegar Veganza adalah platform terbaik buatnya untuk membuktikan dia masih serius dengan karier nyanyian dan berharap ia dapat membuka peluang lebih luas untuknya selepas ini. "Alhamdulillah sokongan peminat sentiasa membuatkan saya bersemangat untuk terus berjuang dalam memberikan terbaik dan berharap pertandingan ini akan membuka lebih ruang kepada saya sebagai penyanyi selepas ini," katanya.

Memey Suhaiza Batal Hasrat Bercuti Kerana Risiko Kandungan

Pelakon Memey Suhaiza terpaksa membatalkan hasratnya untuk bercuti ke Korea Selatan pada Januari depan bagi mengelakkan risiko keguguran terhadap kandungannya yang kini berusia lima bulan. Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 26, berkata, doktor menasihatinya agar tidak menaiki pesawat pada tarikh tersebut berikutan kandungannya ketika itu tidak bersesuaian untuknya menaiki pesawat. "Saya dan suami memang sudah rancang dan membuat persiapan untuk melancong ke Korea pada 8 Januari depan. Kami sudah kosongkan jadual dan hampir-hampir membeli tiket. "Tetapi saya perlu meminta surat kebenaran daripada doktor untuk menaiki pesawat sebelum membeli tiket. Namun, selepas itu doktor menasihatkan agar tidak menaiki pesawat pada usia kandungan enam bulan kerana bimbang berhadapan dengan pelbagai risiko,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa. Memey berkata, sejurus mendapat tahu perkara itu, suaminya pelakon Norman Hakim membuat keputusan agar rancangan percutian mereka ditangguhkan sehinggalah selepas dia selamat bersalin. Jelasnya, biarpun berasa terkilan, namun dia percaya ada hikmah disebalik perkara tersebut. "Selepas berjumpa doktor, abang Norman terus membatalkan percutian tersebut kerana dia tidak mahu apa-apa terjadi. "Doktor beritahu terpulang kepada kami sama ada untuk pergi atau tidak. Tidak mengapalah mungkin kami boleh pergi lain kali sahaja," ujarnya. Dalam pada itu, bercerita tentang kehamilan cahaya mata keduanya ini, Memey tidak mempunyai banyak alahan seperti kandungan pertama dahulu. Jelasnya, setakat ini dia masih boleh menjalani penggambaran beberapa buah drama. "Alhamdulillah, kandungan saya sekarang sudah lima bulan dan saya tidak mengalami banyak alahan. Kalau kandungan pertama dulu memang banyak ragam, mungkin sebab anak pertama,” katanya. Memey berkata, hasil imbasan yang dilakukan, berkemungkinan dia bakal melahirkan bayi lelaki yang dijangka pada April 2015. Sebelum ini iaitu pada 1 Februari 2013, Memey turut melahirkan anak lelaki yang diberi nama Mohamed Darwisz Hakim.

Khalwat: Putri Mardiana Anggap Selesai, Jais Pula Akan Siasat

Pelakon filem Ngangkung, Putri Mardiana Zainal Abidin menjelaskan isu dia dan teman lelakinya yang dikenali sebagai Shahrizan Abdullah dicekup oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada Ahad lalu telah pun selesai. Putri Mardiana atau lebih mesra dengan sapaan Nina, 33, memaklumkan kes berkenaan tidak akan dibawa ke mahkamah syariah atas sebab-sebab tidak dijelaskan selain mendakwa mereka tidak bersalah. "Semuanya telah pun selesai kerana semasa kejadian di rumah, tiada apa-apa yang berlaku di antara kami. "Kes berkenaan juga tidak akan dibawa ke Jais atau pun mahkamah," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.
Akhbar melaporkan, Nina yang juga seorang ibu tunggal kepada tiga cahaya mata diserbu oleh Jais kira-kira pukul 3.23 pagi Ahad lalu di sebuah kondominium dekat Ukay Perdana, Ampang dalam satu siri serbuan Bahagian Penguatkuasaan Jais berdasarkan maklumat orang awam. Pelakon itu mendakwa serbuan tersebut sengaja dirancang oleh bekas teman lelakinya dan bekas isteri Shahrizam dengan tujuan untuk memalukannya. Dalam pada itu, Nina berkata, biarpun berasa terainaya ekoran kejadian itu namun dia tidak berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menjatuhkan maruahnya. "Saya tidak akan panjangkan perkara itu kerana rasanya meraka sudah berpuas hati dapat memalukan saya seperti itu. "Tiada gunanya hendak membalas dendam kerana apabila mereka letih nanti mereka akan diam sendiri," ujarnya. Sementara itu, mengulas mengenai pandangan negatif diterimanya ekoran kejadian berkenaan Nina berkata, dia tidak terlalu memikirkan tentang perkara itu dan meneruskan kehidupannya seperti biasa. "Biasalah mulut orang dan saya tidak mampu melakukan apa-apa untuk menghentikan daripada mereka terus bercakap perkara buruk tentang saya. "Paling penting saya dan keluarga tahu tentang apa yang sebenarnya berlaku dan ia sudah memadai," ujarnya. Sementara itu, Jais dalam satu kenyataannya yang dikeluarkan di sini pada Rabu memaklumkan, pelakon itu ditahan mengikut seksyen 29 (1) A dan B Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Penolong Pengarah, Unit Perhubungan Awam & Penerbitannya, Nurhamizah Othman berkata, pemeriksaan ke atas Putri Mardiana dan seorang pemuda iaitu Shahrizan Abdullah, 30, telah dilakukan di sebuah premis kediaman di Ukay Perdana, Hulu Klang berdasarkan aduan awam kepada Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu. Jika disabitkan kesalahan pasangan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selema tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. "Mereka telah dilepaskan dengan ikat jamin dan diarahkan hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak bagi siasatan lanjut dan kes ini sedang dalam siasatan Jais," katanya menerusi kenyataan itu.

"Ada Yang Cemburu Hubungan Saya Dengan Izreen Azminda" - Amar Baharin

Pelakon Amar Baharin mendedahkan ada pihak yang cemburu terhadap hubungan rapatnya dengan aktres Izreen Azminda selepas mereka digosipkan sedang bercinta. Amar atau nama sebenarnya Amar Mohd Baharin, 29, berkata, pihak tersebut kebanyakkannya menyatakan perasaan cemburu dan kurang senang mereka di laman sosial peribadi kedua-dua artis ini. "Ya, ada yang cemburu dan memberi komen yang bukan-bukan di laman sosial kami. Ada juga peminat yang tukar-tukar muka pada gambar Izreen kepada muka mereka. "Tapi setakat ini tidaklah teruk hingga boleh menjejaskan keselamatan kami," katanya kepada mStar Online. Amar berkata demikian ketika diminta mengulas tentang perkembangan hubungan rapatnya dengan pelakon Izreen Azminda selepas drama bersiri popular Kerana Terpaksa Aku Relakan.
Tambah Amar, hubungannya dengan pelakon wanita itu masih rapat seperti dahulu, namun belum memutuskan sebagai pasangan kekasih. Katanya, dia lebih selesa menganggap Izreen sebagai kawan rapat dan tempat dia berkongsi segala masalah tentang kerja dan peribadi. "Kawan rapat sahajalah, itu lebih mudah daripada bercinta. Saya lagi takut kalau hubungan kawan itu bertukar menjadi cinta. "Hubungan cinta kalau putus akan merosakkan hubungan persahabatan, jadi biarlah kami kawan rapat sampai bila-bila," ujarnya. Sementara itu, bercerita tentang perkembangan kerjayanya, Amar berkata, buat masa ini dia sedang bercuti sehingga awal tahun 2015. Jelasnya, dia mengambil masa ini untuk berehat selepas tamat drama Suamiku Encik Sotong yang mengambil masa dua bulan penggambaran. "Saya baru saja tamat penggambaran drama Suamiku Encik Sotong selama dua bulan. Sekarang ini rehat hujung tahun dan habiskan masa dengan keluarga, Insya-Allah awal tahun depan sambung bekerja semula," ujarnya.

Emma Maembong Tidak Mahu Peminat Bosan Cerita Kahwin

Pelakon Emma Maembong memberitahu dia tidak mahu lagi bercakap tentang soal perkahwinan dengan pelawak Zizan Razak selagi ia belum benar-benar pasti. Emma, 22, berkata, dia tidak mahu perkara itu membuatkan peminat-peminat yang membaca berita itu berasa bosan dengan jawapan klise yang diberikan seperti sebelum ini. "Saya tidak mahu bercakap tentang itu kerana jawapannya masih sama seperti tahun lepas, saya tidak mahu cerita berpusing-pusing hingga sebenarnya tiada jawapan tentang itu. "Orang akan bosan dan marah dengan saya bila bercakap benda yang sama sahaja," ujarnya kepada mStar Online.
Emma berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pernikahan kakaknya Yaya Maembong dengan pelakon Wan Raja, pada 12 Disember lalu. Katanya, dia bersyukur kedua-dua kakaknya iaitu Shikin dan Yaya sudah selamat mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihan masing-masing. "Sebagai adik sudah tentu saya gembira kedua-dua kakak saya sudah ditemukan jodoh pada tahun ini dengan lelaki pilihan mereka. "Insya-Allah kalau ada jodoh saya nanti saya akan beritahu dan jemput semua," ujarnya. Sementara itu, bercerita tentang perkembangan terbaharu, Emma berkata, sejak penampilan bertudung jadual kerjayanya masih sama seperti dahulu. Emma berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Hantu Selfie 2 bersama kekasihnya Zizan. "Lepas bertudung tawaran yang saya terima masih sama seperti dahulu. Pada awalnya saya fikir selepas bertudung tawaran akan berkurangan. "Saya cuba buat bisnes untuk sediakan strategi andai tawaran berkurangan. Tapi Alhamdulillah, sekarang saya sedang menjalani penggambaran drama Hantu Selfie 2," ujarnya. Dalam pada itu, Emma berkata, beberapa buah drama ketika belum berhijab belum disiarkan di televisyen lagi. Katanya, perkara tersebut juga bakal menjadi pertikaian segelintir pengguna internet yang tidak memahami situasi tersebut. "Ada beberapa drama saya sebelum bertudung yang belum lagi keluar. Itu pun saya pasti ada segelintir yang akan pertikaikan kenapa saya tidak bertudung. "Mereka tidak faham penggambaran itu dilakukan sebelum saya bertudung dan saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana saya sudah menandatangani kontrak dengan produksi tersebut," ujarnya.

Perubahan Mendadak Shera Aiyob Yang Mengejutkan Zahiril Adzim

Pasangan suami isteri berstatus selebriti, Zahiril Adzim dan Shera Aiyob telah hangat menjadi bahan bualan oleh para peminat di laman sosial sejak kebelakangan ini. Isteri kepada Zahiril Adzim iaitu Shera Aiyob kini sudah mengenakan tudung sepenuhnya selepas kesemua gambar beliau tidak bertudung sudah dipadam di laman sosial. “Tidaklah, tiada apa berlaku sebelum saya membuat keputusan ini. Tetapi perasaan itu memang ada sudah lama, cuma baru sekarang ia berlaku. Memang saya bersyukur sangat mungkin ini janji yang sudah tertulis yang saya akan mengenakan tudung sekarang,” ujarnya. Tambah Shera Aiyob, suaminya tidak pernah memaksa dirinya untuk berubah kerana Zahiril Adzim percaya perubahan perlu datang dari diri sendiri. “Dia tidak ada cakap apa-apa, cuma saya tahu memang dia juga nantikan keadaan ini sudah lama. Mungkin ini doa dia dan saya juga. Kali pertama saya mengenakan tudung ketika keluar rumah dia cuma tanya, betul ke? Bila saya cakap ya, dia hanya senyum,” ujarnya.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails