Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hati menangis siapalah yang tahu - Rita Rudiani

CERITA cinta mereka telah berlalu, tetapi jutaan peminat tetap mahu tahu apa yang berlaku terhadap kisah Rita dan Aidil selepas bertahun-tahun mereka ‘dipisahkan’ oleh takdir. Dengan dua anak lelaki yang kini semakin membesar dan cerdik, Rayyan dan Arjuna, kisah hidup dramatis popular ini barangkali lebih menarik untuk diceritakan berbanding dengan kisah lakonannya di layar kaca. Ketika bekas suami, Aidil Zafuan Abdul Radzak memilih untuk kembali ke alam perkahwinan dengan mengahwini kekasih hati, Zarema Zainal hanya setelah beberapa bulan perceraian dengan Rita disahkan, banyak yang meminta Mega untuk menyelami perasaan Rita sebagai bekas isteri. Awalnya, Rita yang menghabiskan tempoh edahnya pada November 2013, menolak untuk dipotretkan dengan anak-anak. Dia tidak mahu dikatakan mengambil kesempatan atas kebahagiaan orang lain ketika ini. Pun, beberapa kali dipujuk, dia akhirnya menjemput kami ke rumahnya untuk sesi khas ini. Mega memilih untuk bertanya soalan-soalan jujur kepada Rita. Hits: Banyak yang ingin tahu, bagaimana sebenarnya perasaan Rita pada hari bekas suami akhiri zaman duda minggu lepas? Rita: Perasaan saya dah tak penting sebenarnya. Saya pernah lalui peristiwa yang lebih ‘dahsyat’ daripada itu. Ditinggalkan pada ketika Rayyan masih kecil, dalam keadaan mengandungkan Arjuna lagi. Apakah ada lagi kesedihan yang lebih teruk daripada itu? Hanya wanita yang pernah mengalaminya sahaja akan tahu bagaimana ‘kesakitan’ saya pada waktu itu. Perkahwinan dia, soal yang sudah agak ‘kecil’ bagi saya. Lagipun, ia sudah dijangka, tidak terkejut pun. Insya Allah, ia tidak akan menjejaskan apa-apa bagi saya. Seronok tengok dia (Aidil) sudah bahagia sekarang ini. Hari Aidil bernikah, hanya berteman anak-anak? Ya. Saya kebetulan cuti, tak buat apa-apa pun. Layan anak-anak macam biasa. Saya tak fikir sangat pun dia hendak kahwin ke apa. Kisah dia sudah berakhir, yang ada hanya kisah dia dengan anak-anak sahaja. Perasaan anak-anak lebih penting buat saya ketika ini. Sedikitpun Rita tidak menangis? Kenapa saya perlu menangis? Saya sudah puas menangis sebelum ini. Airmata saya pun sudah tidak ada lagi. (Ketawa). Sebelum berkahwin, Aidil ada berjumpa dengan anak-anak? Ada, dia datang, jumpa anak-anak. Dia mesej saya mahu datang. Mulanya memang saya terkejut sebab setelah sekian lama, akhirnya dia datang juga untuk jumpa anak-anak. Saya pun tak ada masalah sebab dia sudah lebih sembilan bulan tak jumpa anak. Saya faham perasaan dia sebab dulu dia dan Rayyan memang terlalu rapat. Hati saya pun jadi semakin terbuka. Sebab itu saya menerima kehadiran dia kerana anak-anak sudah lama tidak melihat bapa sendiri. Bila tu? Sekitar dua minggu sebelum dia berkahwin. Hampir setiap hari dia habiskan masa dengan anak-anak. Mereka tidur bersama, makan bersama, buat macam-macam aktiviti bersama-sama. Punyalah anak-anak seronok. Melihat keakraban mereka semula, saya sebagai ibu merasa sangat gembira. Saya merasa sebak sangat sebab sebelum ini anak kami, terutamanya Arjuna tak pernah tahu apa itu makna Daddy. Baru sekarang Arjuna tahu yang Daddy tu ayah dan dia ada ayah. Anak-anak masih kenal Aidil? Hmmm, masa mula-mula mereka bertemu, Rayyan boleh tanya “Siapa ni Mommy?" Kasihan juga pada Aidil, saya nampak dia sedih. Tetapi dia pun faham sebab sudah lebih sembilan bulan dia tidak berjumpa dengan anak-anak, budak-budak cepat lupa. Dik Mok (Arjuna) pula, langsung tak kenal dia, tidak mahu dekat dengan Aidil dan awalnya buat tak peduli sahaja. Tetapi setelah beberapa jam, akhirnya dia okey dan boleh bermain bersama-sama. Sekarang Dik Mok pun sudah pandai panggil Daddy. Cuma sekarang ni saya susah pula nak menjawab bila anak anak tanya: “Kenapa daddy sudah lama tak datang? Kenapa Daddy tinggalkan Dik Mok semula?" Apa Rita jawab? Apa lagi? Saya beritahu, daddy sibuk di padang bola! (Ketawa). Kononnya Rita menghalang anak-anak daripada bertemu Aidil sebelum ini? Kenapa? Tidaklah! Itu hanya fitnah. Selama ini saya tidak pernah menghalang Aidil untuk bertemu anak-anak.Sebagai ibu, saya selalu fikir, biarlah anak-anak mendapat kasih sayang daripada seorang bapa sepenuhnya, saya cuba dekatkan mereka. Saya fikir, walaupun ibu bapa telah bercerai, anak-anak ada hak untuk mendapat sepenuh kasih sayang kami berdua. Cuma perkara begini kena buat bersama-sama, kalau saya seorang saja usaha tidak akan menjadi. Mungkin kerana keadaan, ada halangan lain, dia tidak dapat datang jumpa anak-anak sebelum ini. Apa yang Rita harapkan daripada ‘penyatuan’ semula anak-anak dan bapa ini? Saya harap, dia akan terus bersama-sama membantu saya demi kebahagiaan anak-anak. Itu juga yang dia janji sebelum dia berkahwin. Dia kata mahu memberikan semula kasih-sayang yang sempurna kepada anak-anak yang selama ini diabaikan. Saya harap dia tunaikan kerana anak-anak sudah faham dan tahu yang mereka juga ada Daddy. Jika kita sudah lama hidup, anak-anak pula baharu hendak kenal dunia. Jadi, dahulukan anak-anak dalam apa juga perkara. Jangan pinggirkan anak-anak lagi, walau apa sekalipun berlaku. Aidil sudah berkahwin semula, Rita bila lagi? Selagi Rita belum ada pengganti, orang akan bertanya, sampai bila mahu sendiri? Hmmm... sampai berapa lama boleh hidup sendiri, saya pun tak tahu. Jujur saya katakan, ketika ini tiada hati untuk menjalin hubungan dengan sesiapa pun. Langsung tak ada rasa untuk kembali bercinta. Mungkin sibuk dengan anak-anak, aktiviti harian saya penuh. Walaupun dunia saya hanya di rumah dan di lokasi, ia memang memenatkan. Jadi, saya mahu enjoy menikmati tanggungjawab membesarkan anak-anak ini dengan sebaik-baiknya, tanpa gangguan pihak lain. Solo pun boleh bahagia juga, kan? Tidak risau orang akan cakap, seolah-olah Rita tidak boleh lupakan dia? Tak boleh lupakan dia? (Beberapa saat terdiam, mengambil nafas panjang). Beginilah, kisah kami sudah lama berlalu. Kalau orang kata saya tak mahu kahwin lagi sebab tidak boleh lupakan Aidil, itu salah sama sekali. Salah! Untuk menjalin hubungan baharu, kena ada rasa suka, ada keinginan untuk bercinta lagi. Tetapi buat masa sekarang, hati saya masih kosong, tanpa rasa. Kalau kahwin lagi pun, saya selalu fikir, ada ke lelaki yang boleh sayangkan anak aku? Atau dia hanya suka aku? Saya takkan cari ‘lelaki’ lain hanya kerana tanggapan orang yang sebegitu. Kasih sayang boleh dipupuk, kenapa mahu lari daripada cinta baharu? Saya fikir anak orang tetap anak orang, berbeza dengan anak sendiri. Ada ke orang hendak sayangkan anak kita, sama macam kasih sayang ibu bapanya sendiri? Saya pasrah dan reda kalau saya akan jadi ibu tunggal sampai ke usia tua. Bukan cakap takbur, tetapi jujur saya katakan ruang sunyi sedikit pun tak ada dalam diri saya ketika ini. Sebab itu saya tak pernah fikir soal lelaki. Kalau hendak kata perempuan tak boleh hidup tanpa suami tu, tak semestinya. Sekarang pun anak-anak sudah semakin membesar, kesusahan sudah hampir berlalu. Masalah pun sudah tak banyak. Jadi, saya tak perlu risau kalau hidup sendirian. Jangan bohong, tidakkah ada waktu ‘lemah’ seorang Rita Rudaini? Ada, memang ada. Waktu paling lemah bila malam menjelang, anak-anak sudah tidur, suasana sunyi sepi. Waktu itu saya selalu akan menangis. Saya jadi tak kuat apabila tengok anak tidur, saya sendiri. Rasa bersalah kepada anak-anak datang tiba-tiba. Selalu terfikir, kenapa orang buat kami sampai jadi macam ni? Pernah juga terfikir, kenapa dulu kami tak boleh korbankan perasaan sendiri, tolak ego, berkorban perasaan untuk anak-anak sendiri? Kenapa juga orang di sekeliling hidup kami lebih pentingkan untuk menjaga perasaan mereka sendiri daripada pentingkan kehidupan kami anak-beranak? Sekarang adalah masa untuk kami tebus dosa pada anak-anak.Kesilapan saya, saya akui, kesilapan orang lain saya tak nak ambil tahu lagi. Apa rancangan untuk anak-anak selepas ini? Banyak yang saya rancang untuk anak-anak. Memandangkan mereka hanya ada saya sebagai ibu dan bapa seharian, saya fikir perlu kurangkan aktiviti seni. Mereka tidak mempunyai pengasuh atau penghibur hati yang lain.Jadi, dunia saya sepenuhnya untuk mereka. Sekarang saya pun sudah ada perniagaan sendiri, lebih mudah untuk uruskan soal hidup termasuk soal kewangan dan waktu kerja. Saya juga lebih banyak menyimpan untuk anak-anak berbanding diri sendiri, itu pun tujuan saya berniaga. Saya selalu katakan kepada diri sendiri, seorang lelaki pergi, diberikan-Nya kepada saya dua lagi lelaki. Lelaki-lelaki kecil ini adalah dunia yang membuatkan saya mampu terus hidup. Petang itu, setelah lebih enam jam bersama di rumahnya, kami tinggalkan Rita dengan doa dan harapan. Semoga suatu hari nanti, hadir seorang lelaki yang baik, yang mampu menjaganya untuk seluruh kehidupan dan memimpin seorang Rita Rudaini ke syurga firdausi...Amin!

Isteri saya lebih kuat - Noh

Mengakui isterinya Mizz Nina jauh lebih kuat dari dirinya dalam membuat keputusan, Noh percaya akan sampai suatu masa di mana keputusan untuk meninggalkan dunia seni akan berlaku juga pada dirinya. Itu bukanlah suatu yang mustahil. Cuma, sebagai seorang yang telah berada hampir sembilan tahun dalam industri hiburan, dia percaya ia harus berlaku secara perlahan. Melihat keputusannya untuk mengeluarkan album solo setelah sekian lama selesa dengan gelaran vokalis kumpulan Hujan, bagaikan dia cuba menyampaikan sesuatu yang berbeza buat peminat kumpulan itu. Adakah ini bermakna Hujan itu sendiri sudah sampai ke garisan penamat dalam berkarya sehingga Noh sendiri mencari haluan berbeza? Menyentuh perubahan itu, Noh bagaimanapun tidak menafikan dia mempunyai perancangan untuk mencuba lebih banyak perkara berbeza tanpa Hujan. Namun. dia menegaskan Hujan bukan sekadar kumpulan muzik. Noh mahu peminat faham Hujan merupakan sebahagian daripada hidupnya. Lebih jelas, kehadiran Hujan dalam hidupnya tidak akan dapat diganti dengan apa juga memandangkan hubungan yang terjalin antara mereka bagaikan adik beradik. “Dalam Hujan kami memang mahu setiap dari kami mempunyai keinginan sendiri. Maksudnya, masing-masing juga ada projek yang berbeza di luar kumpulan. “Sebab itu kami tidak kisah sebenarnya untuk tampil tanpa Hujan sekali sekala. Masing-masing faham sokongan setiap dari kami perlu ada dalam memastikan kami mencapai apa yang dimahukan," katanya ketika di temui pada sesi pradengar album solonya di studio miliknya, Pharcyde Studio, di Ampang, Selangor. Menolak album ini nanti sebagai tanda persediaan awal dari Noh sebelum Hujan ‘berhenti". Anak seni kelahiran Sarawak ini dengan jelas memberitahu itu bukan penyebab utama mengapa dia perlu mengeluarkan album solo. Baginya berada dalam dunia hiburan, dia sendiri tahu pelbagai kemungkinan boleh terjadi. “Saya tahu sewaktu Hujan naik, memang terlalu cepat. Memang saya sudah bersedia dengan apa juga kemungkinan ketika itu. “Bagaimanapun kami tidak melihat perpecahan dalam Hujan memandangkan hubungan kami lebih dari rakan muzik. Mereka semua merupakan keluarga saya. "Malah kalau bertemu, muzik bukanlah perkara utama yang dibincangkan kami, tetapi lebih kepada kehidupan masing-masing," katanya. Membina kepercayaan diri selama lapan tahun sebelum benar-benar yakin dengan kemampuan diri membuat album solo, menurut Noh atau nama sebenarnya Noh Salleh, 29, dia tidak pernah mahu muziknya terlalu disamakan dengan Hujan. “Kalau kata saya buat album ini hanya mahu bertahan, lebih baik saya buat muzik yang lebih didengari peminat kini. Tetapi saya pilih elemen muzik lama, yang seakan-akan membawa pendengar kembali ke era 50-an. “Ini merupakan muzik pilihan saya. Sebenarnya saya tidak berharap peminat Hujan akan turut suka muzik yang saya bawa ini. Saya lebih suka bereksperimen, dan mahu muzik ini didengar semua golongan," katanya. Meletakkan isterinya Shazrina Azman, 33, sebagai inspirasi utama dalam menghasilkan lagu-lagu dalam albumnya ini, perkongsian rasa cinta dia terhadap Mizz Nina lebih kepada menghargai pengorbanan wanita tersebut. “Memang saya menjadikan isteri sebagai inspirasi dalam menghidupkan lagu-lagu dalam album ini. Bagaimanapun pertambahan elemen itu juga datang dari kisah perjalanan kumpulan Hujan itu sendiri. Bila isteri saya dengar lagu-lagu ini, dia sangat menyukainya," katanya. Sokong pilihan isteri Noh sendiri amat terkejut dengan kekuatan isterinya. Kata Noh sebagai suami dia tidak menolak untuk merasa bahagia melihat perubahan yang dialami Mizz Nina. Sungguhpun pilihannya masih untuk berada dalam bidang muzik, Noh tidak terlalu gusar kerana kepercayaan Mizz Nina seakan dorongan terbesarnya. “Kita sendiri tahu bagaimana dia (Mizz Nina) dalam bidang muzik. Memang dia sangat suka. Tetapi bila dia buat keputusan untuk terus tinggalkan bidang ini secara tiba-tiba, memang ia menyentuh perasaan saya. Jujurnya memang isteri saya seorang yang kuat," pujinya. Menurut Noh, isterinya itu memang ada berbincang dengannya sebelum memutuskan untuk meninggalkan bidang ini. Sebagai suami tiada apa yang boleh diberikan selain kata-kata semangat serta dorongan tidak berbelah bahagi. “Sebelum menunaikan haji kami ada melakukan umrah bersama. Sewaktu itu memang sudah terdetik dalam hatinya untuk meninggalkan dunia nyanyian. “Melihat dia melakukan keputusan ini saya akui bukan mudah. Tetapi semua yang berlaku mengikut apa yang dimahukan dirinya sendiri. Saya tahu dia gembira sekarang. Saya juga lega melihat perubahan ini," katanya. Menguak sedikit kisah kehidupannya kini, menurut Noh memang di kala ini proses pengajian mendalami ilmu agama sedang giat berjalan. Malah permulaan setiap paginya setiap hari kini lebih indah berbanding dahulu. “Kami berdua memang dalam proses lebih mendalami ilmu agama. Memang ada kelas agama yang kami hadiri bersama-sama. Bagaimanapun saya masih dengan muzik saya, cuba seimbangkan permintaan isteri. “Tetapi tiada apa yang lebih indah untuk melihat permulaan setiap pagi itu dengan dikejutkan isteri untuk solat Subuh bersama-sama," katanya.

Kami memang bermasam muka - Anzalna

Baru-baru ini, nama pelakon Anzalna sedikit tercalar dihimpit isu terkini. Dilaporkan, dia dan pelakon Izzue Islam tidak berpuas hati antara satu sama lain sewaktu berlakon bersama di lokasi, sehingga bermasam muka. Ini gara-gara sikap Anzalna yang dikatakan agak berlebih-lebihan dalam menghayati watak sebagai Mya Arlissa ketika penggambaran drama Aku Isterinya, beberapa bulan sudah. Sikap Anzalna itu telah menyebabkan Izzue yang melakonkan watak sebagai Mikail kurang selesa. Keadaan lebih panas apabila isteri kepada Izzue, Awin Nurin turut cemburu, gara-gara sikap Anzalna. Enggan terus menambahkan duka dalam dada, Anzalna memberitahu dia tidak mahu memanjangkan isu tersebut lagi. Ini kerana dibimbangi akan menjatuhkan semangatnya untuk berlakon selepas ini. “Memang apa yang diperkatakan dan dilaporkan media sebelum ini adalah benar, kami memang mempunyai masalah ketika dalam set. Tetapi ia tidak berlanjutan, habis begitu sahaja," katanya, menjelaskan duduk perkara. Tidak mahu meneruskan permusuhan, Anzalna bersungguh-sungguh mempertahankan kelakuannya sewaktu di depan kamera. Apa yang dilakukan tidak keterlaluan dan mengikut kehendak etika kerjanya semata-mata. “Setiap tindakan saya di lokasi adalah atas tuntutan skrip. Tidak ada istilah saya berlebih-lebih dalam lakonan termasuklah dengan Izzue. Saya juga mempunyai cara tersendiri bagaimana untuk menghayati sesuatu watak yang diberi," katanya, yakin. Menurut Anzalna, isu seperti yang didakwa sepatutnya tidak perlu dipanjangkan kerana itu adalah perkara remeh dan bersifat kebudak-budakan. “Sekali lagi ingin saya tegaskan, apa yang diperkatakan bukan berpunca daripada diri saya. Saya tidak pernah timbulkan apa-apa masalah dengan dia (Izzue) atau sesiapa sahaja di lokasi, saya bekerja dan bukan mencari musuh dengan sesiapa," tegasnya. Cukup matang berdepan situasi seperti itu, Anzalna mengakui tidak berhasrat untuk bersemuka dengan Izzue atau isteri pelakon itu ekoran perselisihan faham tersebut. “Tiada sebab untuk saya berbuat demikian dan melayan perkara yang kebudak-budakkan. Tambahan pula ia isu kecil dan telah pun selesai," jelasnya.

Syamsul Yusof Mula Edar Kad kahwin

Pengarah filem Syamsul Yusof dan isterinya Puteri Sarah Liyana mula mengedarkan kad undangan majlis persandingan mereka yang akan berlangsung pada 18 April ini di Dewan Perdana Felda dekat sini. Ibu Syamsul, Datin Patimah Ismail berkata, majlis akan diadakan secara sederhana dan bakal dihadiri oleh rakan-rakan dan pihak media yang dianggarkan kira-kira 1,000 orang. Sebanyak 500 kad jemputan akan diedarkan. "Alhamdulillah, setakat ini persiapan berjalan dengan lancar. Malah Syamsul juga sudah sembuh daripada penyakit demam denggi dan mereka pun sudah berbulan madu ke Pulau Pinang. "Pada 18 April nanti, majlis persandingan akan dihadiri seramai 1,000 orang tetamu manakala pada 20 April, kami turut mengadakan majlis di rumah bersama keluarga yang dianggarkan seramai 1,000 orang tetamu juga," katanya yang dihubungi mStar Online.
Majlis persandingan bertemakan putih dan merah jambu itu turut dilakukan serentak bersama adik SyamSul iaitu Syafik. Sebelum itu, Syafik dan tunangnya, Aiesyah Zainal akan bernikah pada 5 April depan. Kata Patimah, memandangkan kediaman baru Syamsul di Ukay Perdana, Ampang masih lagi belum siap, dia gembira apabila pasangan pengantin baharu itu akan tinggal bersamanya buat sementara waktu. "Buat masa ini, meriahlah rumah kami kerana kedua-dua anak lelaki saya bersama menantu pun ada sama. Rasa seronok pula apabila anak-anak berkumpul di rumah. Doakan kami agar semua majlis berjalan dengan lancar, InsyaAllah," pintanya. Sementara itu, majlis di pihak perempuan akan diadakan pada Sabtu ini di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam bertemakan Islamic Arabian Night. Syamsul telah diijabkabulkan dengan Puteri Sarah pada 8 Mac lalu di Masjid Sri Damansara di sini.

Diana Danielle Kongsi Kisah Cemas Enjin Pesawat Berhenti Di Udara

Pelakon Diana Danielle sangat terkesan dengan insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 kerana dia turut mengalami saat-saat mencemaskan ketika dalam penerbangan ke Amerika Syarikat tiga tahun lalu. Diana atau nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson, 23, berkata, dalam kejadian itu, pesawat yang dinaikinya mengalami masalah pada bahagian enjin sehingga ia terpaksa mendarat di lapangan terbang terdekat bagi membolehkan penumpang berpindah ke pesawat lain. "Ia sukar untuk digambarkan keadaan itu kerana saya rasakan seperti pesawat itu menjunam selama enam saat dengan enjinnya berhenti. "Ketika itu saya dapat rasakan semua penumpang berada dalam keadaan cemas dan saling berpandangan antara satu sama lain," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Dunia Sinema HyppTV, di Menara TM, di sini, Rabu. Tambahnya, masalah kerosakan enjin itu diberitahu selepas kapal terbang tersebut selamat mendarat bagi memindahkan penumpang ke pesawat lain untuk meneruskan perjalanan ke Amerika Syarikat. Kata Diana, kejadian itu juga membuatkan dia fobia setiap kali terpaksa menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara untuk ke sesuatu destinasi. "Kalau boleh saya tidak mahu menaiki kapal terbang terutama jika pergi ke tempat-tempat yang dekat dan ia boleh naiki kereta sahaja."Setiap kali ketika kapal terbang ingin berlepas atau mendarat saya akan rasa terlalu takut sehingga kadang-kala terpaksa memeluk penumpang di sebelah," katanya. Dalam pada itu, Diana berkata, insiden MH370 sangat menyentuh perasaan, namun jauh di sudut hatinya masih berharap penumpang dan anak kapal itu selamat selagi belum ada bukti kukuh yang mengesahkan ia terhempas di Lautan Hindi seperti dilaporkan. Tambahnya, sejak insiden yang bermula pada 8 Mac lalu itu, dia antara individu yang tidak terkecuali mahu mendapatkan maklumat terkini tentang pesawat berkenaan. "Sejak kejadian ini semua orang jadi pakar penerbangan termasuklah saya. Sedikit sebanyak saya belajar tentang penerbangan. "Namun begitu, jika ingin berkongsi tentang sesuatu maklumat, kita perlu pastikan ia sahih dan tidak menimbulkan provokasi mana-mana pihak," katanya sambil mengecam tindakan media barat yang sering melaporkan berita negatif tentang Malaysia.

Ali Mamak Meninggal Dunia Akibat Lukemia

Pelawak dan penyanyi veteran Datuk Ali Mamak yang terkenal menerusi sitkom 'Santan Berlada' pada era 80′an meninggal dunia pada pukul 4.20 pagi Khamis di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Kuala Lumpur akibat penyakit lukemia. Rakan baik Allahyarham iaitu pelakon dan pelawak Abon ketika dihubungi mStar Online berkata, Ali atau nama sebenarnya Jantan Osman, 63, mengalami pelbagai komplikasi dua hari sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya. "Pada asalnya arwah dimasukkan ke hospital akibat penyakit gout yang dihidapinya tetapi kesihatannya tiba-tiba merosot sehinggalah doktor mengesahkan beliau menghidap lukemia. "Malah beliau sempat menjalani rawatan kimoterapi sebelum mengalami pelbagai komplikasi lain akibat penyakit itu," katanya. Sementara itu, Abon berkata, Allahyarham masih berada dalam keadaan baik pada Rabu (semalam) selain mampu bercakap dan memberikan isyarat tangan apabila ada tetamu yang datang menziarahinya. Sebagai sahabat dia tidak menyangka Ali berada dalam keadaan kritikal kerana sebelum dimasukkan ke hospital keadaan beliau sihat selain sempat mengadakan persembahan di Melaka. "Keadaan arwah semalam (Rabu) masih baik dan mampu memberi respon sekiranya ada tetamu datang menziarah selain masih boleh bercakap seperti biasa walaupun keadaannya lemah. "Saya balik sebentar untuk solat Maghrib di rumah dan apabila saya kembali ke hospital keluarganya memberitahu dia sudah tidak sedarkan diri dan dipindahkan ke wad CCU (Unit Rawatan Kritikal)," katanya. Allahyarham yang juga anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka sudah berkecimpung dalam bidang seni selama kira-kira 25 tahun dan telah dianugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk. Selain melawak, Ali juga merupakan seorang penyanyi lagu-lagu komedi yang tidak asing lagi dengan pelbagai rentak dan lagunya pula sarat dengan mesej berunsur kritikan sosial atas isu-isu semasa. Jenazah dibawa pulang ke rumah keluarganya di Dusun Tua, Batu 16, Hulu Langat dekat sini dan akan dikebumikan sebelun solat Zohor pada Khamis.

Cinta Nazim Othman & Bella Dally Sudah Berakhir

Pelakon Nazim Othman enggan mengulas panjang mengenai status perhubungan cintanya dengan aktress Bella Dally yang didakwa sudah putus sejak beberapa hari lalu sebaliknya merumuskan 'ia sudah berakhir'. Nazim, 30, berkata, dia mempunyai hak sama ada ingin memberitahu status hubungan cintanya itu atau tidak dan pada masa sama enggan kisah peribadinya diberitakan kepada umum. "Saya tidak berminat untuk menjawab soalan (putus cinta) itu dan tidak mahu berkongsi kepada umum. "Ia juga menjadi hak saya sama ada untuk menjelaskan tentang perkara ini atau tidak. Apa yang saya boleh katakan, it's over (telah berakhir)," katanya yang dihubungi mStar Online tengah hari Khamis.
Nazim pada Rabu telah memuat naik gambar yang menceritakan mengenai kesan apabila lelaki dan wanita yang sudah putus cinta. Kemudian, dia memuat naik pula foto dirinya sendiri dengan kapsyen 'This mourning phase shall pass and I'll get back on my feet, stronger' (Fasa bersedih akan berakhir dan saya akan kembali berdiri dengan lebih kuat). Beritahu Nazim, apa yang dikeluarkan di akaun Instagram miliknya sekadar perkongsian luahan perasaannya terhadap umum, namun ia tidak bermakna dia perlu menjelaskan maksud luahan tersebut kepada media untuk diberitakan. Sementara itu, Bella atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally, 24, yang dihubungi mStar Online juga enggan mengulas tindakan Nazim memuatkan foto tersebut di Instagram. "Kami masih baik. Saya tidak tahu kenapa dia berbuat demikian. Itu saja yang boleh saya ulas. Saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenai perkara ini. Diharap semua pihak faham," tegasnya.

Lana Nordin Masih Belum Bertemu Jodoh

Pelakon Lana Nordin mengakui masih belum bertemu jodoh sejak putus cinta dengan aktor Johan As'ari pada akhir tahun lalu. Lana berkata, dia enggan terlalu teruja dalam mencari pasangan yang sesuai sebaliknya hanya menyerah perkara itu kepada takdir. "Jodoh itu kan di tangan Tuhan. Siapalah saya untuk menentukannya. "Saya tidak serik dengan cinta, cuma masih belum bertemu dengan jodoh yang sesuai," katanya kepada mStar Online yang dihubungi pada petang Khamis. Tambah Lana, buat masa ini, dia lebih senang dengan statusnya sebagai wanita solo namun tidak menolak sekiranya bertemu dengan lelaki yang sesuai dalam masa terdekat ini. Dalam pada itu, Lana yang baru pulang dari menunaikan Umrah di Mekah pada 28 Februari lalu berkata, dia kini lebih tenang dalam menjalani kehidupan hariannya. Malah dia juga berharap agar dapat menjadi wanita Muslim yang lebih baik dengan mengubah diri sedikit demi sedikit. "Alhamdulillah, sekarang ini saya lebih fokus dengan setiap perkara yang saya lakukan dalam ingin menjadi seorang wanita yang lebih baik," ujarnya. Terdahulu, ketika masih lagi menjalinkan hubungan dengan Johan, Lana pernah meluahkan hasratnya untuk berubah menjadi seorang wanita Muslim yang lebih baik sedikit demi sedikit. Dalam perkembangan lain, Lana baru saja selesai menjalani penggambaran drama Joyah vs Bedah, terbitan Zeel Production untuk siaran TV9 dan akan menjalani beberapa penggambaran drama pada bulan depan. "Alhamdulillah, rezeki lakonan masih lagi di pihak saya. Tawaran yang diterima juga masih ada dan saya harap dapat bekerja keras lagi untuk menjadii pelakon yang terbaik juga," tuturnya.

Deejay Red FM, Azura Zainal Bagi Tempoh Dua Tahun Timang Anak

Penyampai radio Red FM, Azura Zainal ingin melalui kehidupan berumah tangga bersama suami, Ibrahim Cristiano Genuino Da Silva terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk menimang cahaya mata. Azura, 33, berkata, pelbagai perkara yang ingin dia lakukan bersama suami dalam mengeratkan hubungan mereka manakala rancangan untuk mendapatkan cahaya mata ditetapkan dua tahun lagi. "Setiap perkahwinan pasti lebih manis dengan kehadiran cahaya mata tetapi buat masa ini kami berdua ingin lebih banyak menghabiskan masa berdua dan melakukan pelbagai perkara bersama. "Tentang anak kami merancang untuk tunggu dua tahun lagi namun sekiranya rezeki kami awal saya terima dengan hati terbuka," katanya kepada mStar Online. Azura ditemui pada majlis pelancaran buku pertamanya berjudul Azura Zainal's Guide to Radio & TV Hosting di Kitchen Creatures di sini, Khamis. Pasangan itu berkahwin dalam sebuah majlis sederhana di Restoran Subak, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada 28 Disember 2013. Dalam perkembangan sama, Azura berkata, pada peringkat ini juga dia ingin memahami budaya suaminya yang berasal dari Brazil dengan lebih mendalam. Jelas Azura, menerusi cara itu ia akan dapat mengeratkan hubungan mereka suami isteri selain mewujudkan persefahaman yang lebih kukuh. "Ibrahim sudah tujuh tahun berada di Malaysia dan pemahamannya tentang budaya orang Melayu dan Islam sangat banyak memandangkan kenalannya ramai dari kaum itu. "Jadi sebab itu saya ingin memahami budaya dia pula supaya kami lebih memahami antara satu lain dengan lebih baik," jelasnya.
Tambah Azura, dia juga kini sedang dalam proses mempelajari bahasa Brazil-Portugis daripada suaminya. Sementara itu, bercakap mengenai penerbitan buku pertamanya, Azura berkata, ia diterbitkan bagi berkongsi pengalamannya sendiri dan memberi inspirasi kepada golongan muda yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang pengacaraan dan penyampaian radio. Jelasnya lagi, buku berkenaan dihasilkan berdasarkan perspektifnya dan pengalaman selama 16 tahun dalam bidang pengacaraan dan sebagai penyampai radio dengan pendekatan tersendiri agar lebih dekat dengan pembaca tempatan. "Kebanyakan buku mengenai tajuk sama lebih bersifat universal dan kebaratan malah belum ada yang benar-benar dihasilkan oleh penulis tempatan bersesuaian dengan senario di negara ini. "Ini adalah salah satu usaha saya dalam memberikan sesuatu kepada masyarakat dari perspektif saya tentang dunia penyiaran di Malaysia dan pengalaman saya selama 16 tahun," ujarnya. Kata Azura, dia mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan buku tersebut dengan bantuan seorang penulis, Michelle Yoon. "Sukar sebenarnya untuk menulis sebuah buku dan saya bertuah kerana ada penulis berpengalaman membantu merealisasikan impian tersebut. "Ia proses menyeronokkan dan pada masa sama memberi saya ilmu baharu," ujarnya. Buku berkenaan dijual pada harga RM35.90 yang boleh didapati di semua rangkaian kedai buku MPH.

Kak Engku kebas satu badan

BAK kata pepatah Inggeris, action speaks louder than words, hal itu dibuktikan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura atau cukup dikenali dengan nama ringkasnya, Kak Engku. Dia ternyata bukan hanya berani bercakap kosong tanpa berani bertindak. Kata Kak Engku, selama ini dia hanya berani bersuara mengenai isu pemerka- saan golongan wanita tapi kali ini dia membuktikan wanita juga mampu melakukan setiap perkara yang dituturkan. “Selama ini saya hanya berani bercakap, wanita perlu kuat, tabah, sabar dan mampu buat apa saja tapi kali ini saya sendiri mahu membuktikan saya boleh buat apa yang saya perkatakan. “Dengan itu, saya menyahut cabaran untuk bersiaran secara langsung sempena segmen Sinar Pagi di tebing pencakar langit Menara Kuala Lumpur dan Alhamdulillah, saya berjaya melaksanakan misi ini dengan baik,” ujarnya yang ditemui usai program yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Zuraidah Mohd. Said.
Empat peringkat Kak Engku atau nama sebenarnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 42, menyahut seruan itu sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu. Teruja dan bangga dengan pencapaian terbabit, ibu kepada tiga cahaya mata itu berjaya melepasi empat cabaran utama sepanjang ke udara bersama dua penyampai radio, Salleh Yaacob dan Krill. “Saya bangga kerana menjadi penyampai radio wanita pertama di Malaysia yang melakukan cabaran ini. Cuma, ketika berada di ketinggian lebih 300 meter itu hanya Allah saja yang tahu perasaan saya. “Mula-mula saya dikehendaki berdiri di luar lapangan terbuka menara itu. Berderau darah saya sampai tidak boleh langsung melihat ke bawah. “Apabila sudah stabil saya dikehendaki melangkah setapak lagi ke tebing paling hujung. Mujur pernah belajar jurus silat, jadi saya bergantung sepenuhnya pada kekuatan kaki yang perlu sentiasa pasang kuda-kuda.
“Akhir sekali, saya dicabar untuk menurunkan sebelah kaki kiri saya. Ketika itu separuh badan rasa kebas dan selama 10 saat, saya rasa badan saya hilang sebelum menggigil secara sendirinya. “Tak cukup dengan itu, cabaran terakhir adalah menjulurkan kedua-dua belah kaki saya ke bawah. Memang berderau darah!” ceritanya. Tambah mendebarkan, Kak Engku dipasangkan pelbagai alatan komunikasi untuk rakaman stesen radio dan televisyen termasuk mikrofon Sinar FM, Primadona dan kamera go pro sepanjang ke udara selama empat jam bermula pukul 6 pagi.
Tak tidur malam Kak Engku mengakui sebelum melakukan cabaran itu dia tidak boleh tidur malam kerana bimbang akan segala hal. Tidak cukup dengan khuatir akan faktor keselamatan, dia juga gusar akan kemampuannya. “Takut tak boleh buat sampai saya tak tidur malam sebelumnya tapi apabila mendapat kata-kata semangat menerusi laman sosial Facebook dan Instagram, saya kembali pulih. “Sebelum melakukan cabaran itu saya menghubungi ibu saya untuk mendoakan kesejahteraan dan keselamatan saya. “Cabaran utama berdiri di tebing itu sambil ke udara di corong radio adalah untuk menyeimbangkan percakapan dan rasa gugup. Jadi, saya perlu sentiasa bercakap,” tambahnya yang tidak menjamah makanan sebelum mula berdiri di tebing menara itu. Idea itu telah dikemukakan Pengurus Kandungan Sinar FM, Rizal Sahimy dua minggu lalu dan menerusi usaha itu, stesen radio tersebut berjaya mengumpul dana RM3,000 untuk disalur- kan kepada persatuan ibu tunggal. Selepas berjaya melaksanakan cabaran itu, Kak Engku mengakui akan melakukan cabaran base jump di lokasi sama pada bulan September depan.

Saya tiada masalah dengan isteri - Black

AWAL minggu ini penyanyi bersuara lantang Black, 27, memuat naik sekeping gambar bertulis di akaun Instagramnya. Menerusi gambar tersebut, Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanifah meluahkan perasaan kecewanya terhadap seseorang. Antara luahan Black yang mendapat perhatian: “Kami bukan nak harta, kami bukan nak duit. Cuma mahu kejujuran, cuma mahu keadilan.” Selain itu, dia turut menyelitkan tentang ibu dan bapanya di dalam gambar tersebut berkenaan wang dan keadilan. Setelah beberapa jam gambar tersebut dimuat naik, para peminat sudah mula membuat spekulasi mengatakan Black kini sedang mengalami persengketaan dengan isterinya, Naquia Yasirah Mohd Khair, 29. Ketika dihubungi Kosmo!, penyanyi yang pernah menjuarai pertandingan nyanyian Mentor itu menafikan bahawa dia kini sedang mengalami masalah rumah tangga dengan isterinya. Ujar Black, kehidupan rumah tangganya berjalan tanpa sebarang masalah. Sebaliknya, luahan rasa itu ditujukan kepada beberapa orang ahli keluarga yang sedang mengalami krisis dalaman dengan ibu dan bapanya. Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Black. Kosmo!: Setelah memuat naik gambar bertulis itu, ada segelintir peminat yang menganggap anda sedang bersengketa dengan isteri. Betulkah tanggapan itu? BLACK: Andaian yang dibuat oleh mereka tidak benar sama sekali. Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan isteri saya. Namun, gambar bertulis itu dimuat naik kerana rasa kecewa dengan tindakan beberapa orang ahli keluarga terhadap kedua ibu bapa saya. Jadi, mengapakah anda bertindak sedemikian? Sejujurnya, laman sosial bukanlah tempat terbaik untuk melontarkan pandangan mahupun bertelagah. Ia juga bukanlah platform yang sesuai untuk melepaskan ketidakpuasan hati kepada orang lain. Namun, ini sahaja saluran yang saya ada untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam jiwa saya. Apa yang sedang berlaku antara ibu dan bapa anda dengan individu-individu yang anda maksudkan? Masalah antara mereka dan ibu bapa saya telah lama berlaku dan ternyata ia masih berlanjutan hingga ke hari ini. Saya berasa sedih dengan apa yang telah berlaku kepada mereka. Sebagai seorang anak, saya rasa terpanggil untuk melindungi ibu dan bapa saya. Pada pendapat anda, adakah dengan cara ini mereka yang terlibat faham dengan apa yang anda luahkan? Ya, saya harap mereka membaca dan mengerti tentang perasaan kecewa saya. Cuma, ini adalah kali terakhir saya menggunakan media sosial untuk menyampaikan rasa kecewa saya kepada mereka. Apakah pesanan anda kepada mereka? Saya berharap mereka akan lebih bersikap jujur dan sedar tentang kesilapan yang mereka lakukan selama ini. Setelah apa yang berlaku kepada anda, bagaimana hubungan anda dan isteri? Alhamdulillah, hubungan kami tetap tidak tergugat dengan kejadian ini. Dia juga banyak memberikan nasihat kepada saya supaya berfikir panjang sebelum mengambil keputusan untuk mengeluarkan sebarang kenyataan. Apakah perkembangan terbaharu anda? Saya bakal muncul dengan album terbaharu pada bulan Mei depan. Selain itu, saya kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk drama Ohsem Music Group (OMG) bagi musim kedua. Pada musim ini, ia akan ditayangkan di TV3 juga pada bulan Mei depan. Ada sebarang perancangan untuk menerbitkan lagu daripada drama berkenaan? Ya, kami merancang untuk mengeluarkan sebuah album berdasarkan drama bersiri itu. Album itu nanti bakal mengandungi enam buah lagu dan tiga daripadanya lagu berbahasa Inggeris.

Zila Bakarin Kesal Dituduh Jadi Penghasut

Pelakon Zila Bakarin berasa kesal apabila mendapat tahu dia kononnya cuba memburukkan seorang produser yang tidak menjelaskan bayaran lakonan kepada artis -artis lain. Zila atau nama sebenarnya Rosmawati Bakarin, 39, berkata, dia juga terkejut apabila dituduh menyampaikan berita tersebut kepada media sehingga ia keluar di ruangan pojok di sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu. "Bertahun-tahun bekerja di bidang ini (lakonan), saya tidak pernah memburukkan sesiapa dan kenapa tiba-tiba cerita ini timbul? "Saya seorang yang berterus terang jika tidak berpuas hati dengan sesiapa. Tidak perlu untuk saya sampaikan kepada mana-mana pihak semata-mata mahu memburukkan orang," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin. Ahad lalu, Zila telah memuat naik sebuah foto di akaun Instagram miliknya yang menunjukkan perbualan Whatsapp seorang produser dan rakan artisnya yang menuduh dia menyebarkan cerita buruk lelaki berkenaan kepada pihak media.
Berita tersebut telah dikeluarkan di ruangan pojok akhbar mingguan berkenaan mengatakan produser tersebut tidak menjelaskan bayaran lakonan kepada pelakon-pelakon yang terlibat dengan sebuah drama terbitannya di mana ia yang sepatutnya telah dijelaskan Januari lalu. Tambah Zila, sepatutnya produser yang enggan didedahkan identiti itu yang patut berasa serba salah kerana tidak menjelaskan bayaran kepada pelakon-pelakon yang terlibat, sebaliknya dia pula yang dipersalahkan. "Saya malas nak beri komen sebenarnya kerana tidak mahu mengaibkan sesiapa. Nak bawa kes ini ke mahkamah pun saya tidak ada duit. "Diakui memang sebelum ini saya sering mendesak produser berkenaan untuk menjelaskan bayaran saya. Sehingga saya dah letih nak mesej dia. Jadi sejak Februari lalu kalau tak silap saya sehinggalah sekarang saya tidak menghubunginya langsung. "Tiba-tiba dia nak salahkan saya kerana buat cerita. Secara logiknya, siapa yang perlu dipersalahlkan? Saya hanya meminta hak saya itu sahaja," tegasnya.

Anzalna Akui Wujud Salah Faham Dengan Izzue Islam

Pelakon Anzalna Nasir tidak menafikan wujud masalah di antaranya dengan aktor Izzue Islam sepanjang mereka terlibat dalam penggambaran drama bersiri Aku Isterinya seperti mana dilaporkan sebelum ini. Anzalna, 26, bagaimanapun berkata, dia enggan memanjangkan isu berkenaan kerana menyifatkan kontroversi itu sebagai remeh dan bersifat kebudak-budakkan. "Apa yang diperkatakan atau dilaporkan sebelum ini benar tetapi ingin saya tegaskan ia bukan berpunca daripada saya. "Saya juga pelik dengan apa yang berlaku kerana tidak pernah menggangu sesiapa atau mahu menimbulkan kemarahan pihak dan hanya menjalankan tugas sebagai pelakon," katanya kepada mStar Online. Anzalna ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri berkenaan di Sri Pentas di sini, Isnin. Pelakon itu mengulas laporan kononnya kedua-dua pelakon itu dilaporkan bermasam muka gara-gara Izzue dikatakan kurang selesa dengan Anzalna yang dikatakan berlebih-lebihan dalam menghayati watak dalam drama tersebut sehingga menyebabkan isterinya cemburu. Selain Anzalna dan Izzue, Aku Isterinya turut dijayakan oleh Syazwan Zulkifly, Shakilla Khoriri, Marissa Yasmin dan Syatila Melvin. Ia bakal bersiaran menerusi slot Akasia di TV3 bermula 31 Mac ini pada setiap hari Isnin hingga Khamis, 7 malam. Izzue bagaimanapun tidak hadir pada majlis pelancaran tersebut. Dalam pada itu, Anzalna menjelaskan dia tidak berhasrat untuk bersemuka dengan Izzue atau isteri pelakon itu ekoran perselisihan faham tersebut. Ini kerana katanya, dia tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian tambahan pula insiden itu bukan ditimbulkan olehnya. "Tiada sebab untuk saya berbuat demikian dan melayan perkara yang kebudak-budakkan tambahan pula ia isu kecil dan telah pun selesai," jelasnya. Sementara itu, Anzalna berkata, walaupun tohmahan yang dilemparkan cukup berat untuk dipikul namun dia sentiasa bersikap positif dalam menangani isu tersebut. Kata Anzalna, dia juga enggan melibatkan pihak lain dalam masalah tersebut terutama kekasihnya namun bersyukur lelaki berkenaan adalah penyokong setianya. "Biarlah apa pun orang hendak kata kerana saya lebih mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan kejadian sebegini tidak melemahkan semangat saya," katanya.

MAJLIS TERTUTUP HARI LAHIR LISA SURIHANI

Memang bertuah Lisa Surihani! Selain menjadi jemputan bagi saluran televisyen E! News Asia untuk program istimewa, minggu ini juga merupakan minggu ulang tahun kelahirannya yang ke 28.
Sehubungan itu, suaminya Yusry KRU telah mengadakan majlis sambutan tertutup yang dihadiri oleh kaum keluarga dan rakan artis sahaja. "Happy birthday isteriku. Wishing you all the joy, happiness and love you can handle. Thank you for being so wonderful, I love you with all my heart," ujar Yusry melalui laman sosialnya.

AKIBAT SIBUK BERLAKON - ANAK TAK KENAL ZAHIRIL ADZIM

Memang sesuatu yang agak menyedihkan apabila anak sendiri 'lupa' dan tidak mengenali bapanya sendiri. Semuanya gara-gara terlalu lama di lokasi penggambaran iaitu hampir sebulan meninggalkan rumah. Itulah yang berlaku terhadap Zahiril Adzim dengan anak sulungnya yang diberi nama Nadi Anaqi, yang kini berusia sembilan bulan. Entah bagaimana, Nadi tidak mesra dan tidak mengenali Zahiril akibat ayahnya sibuk berlakon filem berjudul 'Pekak'.
"Pernah beberapa bulan lepas saya terlalu sibuk di lokasi penggambaran sehinggakan tidak berjumpa anak saya selama sebulan. Lebih menyedihkan, apabila saya pulang ke rumah anak saya sudah tidak mengenali diri ini. "Sebab masa tu bila saya balik dari kerja dia dah tidur dan bila saya keluar ke lokasi dia masih tidur.
"Jadi bila tamat penggambaran, saya gunakanlah peluang bersama dia. Tapi malangnya semasa saya dukung dia, dia menangis, dia tak kenal lagi saya. Masa tu saya sentap (terasa hati) sangat. "Isteri saya perasaan perubahan air muka saya dan dia cuba tenangkan saya. Ketika tu anak saya baru berusia 3 bulan", ujar Zahiril dipetik sebagai berkata. Namun sekarang, kalau anaknya nampak Zahiril dari jauh dia akan melompat-lompat kerana mula mesra kembali. Ia membuat Zahiril makin seronok dengan kehidupan sebagai bapa. Malah dia kini juga akan fikirkan anak dahulu meskipun terpaksa bekerja keras dalam lakonan.

Kerana sindiran anak-anak - Mac Ruhayu

HIDAYAH untuk berubah termasuklah bertudung atau menutup aurat bagi seseorang wanita itu boleh datang daripada pelbagai pihak. Dorongan itu ada yang datangnya daripada ibu, bapa, suami ataupun kawan-kawan yang prihatin demi untuk melaksanakan perintah agama. Bagaimanapun, bagi ibu tunggal seperti penyanyi Mac Ruhayu, hatinya pula paling terkesan apabila empat orang anak lelakinya yang paling banyak mengambil berat akan dirinya yang masih belum bertudung sebelum Ramadan tahun lalu. Menurut penyanyi berusia 39 tahun ini, empat anak lelakinya iaitu Muhd. Adzhim, 19, Muhd. Akhmal, 16, Muhd. Adib Azree, 13, dan Muhd. Adiel Adli, 10, banyak memberi galakan kepadanya supaya menutup aurat sejak beberapa tahun lepas lagi. Malah, Mac yang dilahirkan di Ipoh, Perak dan dibesarkan di Kuching, Sarawak turut mendapat banyak sindiran daripada anak-anaknya itu sehingga dia berfikir panjang, sekali gus terbuka hati untuk bertudung sehinggalah kini. “Saya mula bertudung dua hari sebelum bulan puasa tahun lepas. Sebelum ini, anak-anak saya selalu menyaran agar bertudung. Mereka tidaklah cakap secara terus tetapi macam menyindir atau perli saya sahaja setiap kali ada masa untuk berborak di rumah. “Antaranya mereka cakap, mak orang lain ramai yang sudah bertudung. Nampak lagi cantik dan bestlah tetapi mak kita ini tidak tahu bilalah agaknya. Lebih kurang macam itulah ayat anak-anak saya dalam kes ini. “Saya cakap perlahan-lahanlah. Mak engkau orang ini kan kerja menyanyi di kelab malam. Nak suruh saya berhenti kerja terus ke? Lepas itu engkau orang semua makan pasirlah nanti," cerita Mac kepada Hits tentang penghijrahannya daripada tidak menutup aurat kepada bertudung. Dia ditemui sewaktu hadir pada suatu majlis anjuran badan pengutip royalti pelaku muzik dan persembahan, Prism Berhad di Kuala Lumpur baru-baru ini yang mana dia merupakan salah seorang ahli badan terbabit. Ekoran dorongan, sokongan dan desakan anak-anaknya itu dia tidak berubah secara drastik, dia mula bermuhasabah diri serta berubah sedikit demi sedikit mengikut kemampuannya agar dapat istiqamah dalam mentaati suruhan Allah. “Saya tidak mahulah dikatakan bertudung kerana ikut cakap anak-anak. Saya bertudung atas dasar kesedaran dan kerana taufik serta hidayah daripada Allah. Sebab itu, saya cuba buat secara perlahan-lahan. “Pada mulanya, saya cuma pakai selendang yang tutup bahagian rambut sahaja. Selepas beberapa bulan saya pun cuba pakai tudung dan rasa selesa dan seronok sampailah sekarang ini. Selepas tengok saya bertudung anak-anak saya tidak ada komen apa-apa lagi. “Tidak lama selepas itu, saya juga mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi di kelab-kelab malam sejak Januari lepas kerana cukuplah setakat itu. Lagipun tidak sesuailah kalau bertudung menyanyi di kelab malam," ujarnya. Selepas tidak menyanyi di kelab-kelab malam, bekas artis syarikat rakaman antarabangsa, EMI ini banyak memberi tumpuan kepada perniagaan menjual kek selain membantu ibunya menguruskan perniagaan menjual makanan di sebuah medan selera di Sarawak. Ternyata penyanyi yang pernah popular dengan lagu berjudul Kita Ditakdirkan Bersama ini cukup bahagia dengan imej dan kehidupannya hari ini meskipun cuma menjalani kehidupan secara sederhana bersama anak-anaknya. “Saya jalankan bisnes buat kek di rumah dengan nama Mac Ruhayu Home Made Cake yang dibantu oleh anak-anak saya. Antara nama kek yang saya hasilkan adalah Harimau Malaya yang mana ada di antaranya saya jual secara satu bar atau sekeping kek dengan harga RM15. “Tetapi saya juga jual kek dalam bentuk sebiji atau satu acuan dengan harga sehingga RM70. Sejak menjalankan perniagaan ini yang pada mulanya hanya secara kecil-kecilan tiga tahun lepas saya dan sekarang ia semakin berkembang," katanya. Selain menjalankan perniagaan sendiri, Mac juga mula aktif dalam kerja-kerja amal sejak kebelakangan ini. Dia antaranya terbabit dalam Pertubuhan Baitul Fiqh yang disertainya sejak Disember tahun lalu bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik. Antara golongan yang mendapat perhatian dalam kerja-kerja yang dilakukannya secara sukarela itu adalah membantu ibu-ibu tunggal dan remaja-remaja yang menghadapi masalah sosial terutama di kawasan bandar. “Pertubuhan itu juga mempunyai aktiviti memberi makan kepada golongan gelandangan di bandar-bandar yang kami lawati selain aktiviti seperti menganjurkan majlis khatam al-Quran dan kelas-kelas ceramah yang mana saya ada juga menyedekahkan kek yang saya buat itu. “Pada masa sama saya juga aktif dalam aktiviti yang dijalankan oleh Yayasan Artis 1Malaysia yang diketuai oleh Datuk D.J. Dave. Semua kerja yang saya lakukan itu semata-mata kerana tujuan amal jariah dan tanpa bayaran," jelasnya.

Aidil jadi balik suami

TAHNIAH buat Aidil Zafuan yang baru sahaja menamatkan zaman dudanya pada 15 Mac lalu. Memilih Zarema Zakaria sebagai isteri baharu, semoga perkahwinan ini kekal membahagiakan dan menamatkan segala spekulasi yang timbul. Maklum sajalah dulu kedua-duanya beria-ia benar menafikan saling bercinta (ketika Aidil belum bercerai dengan bekas isteri), sekarang sudah terbukti apa yang diperkatakan selama ini betul belaka. Joyah juga teruja bila dapat tahu yang perkahwinan ini disokong penuh oleh keluarga Aidil. Ternyata kini Aidil sedar, restu ibu bapa merupakan perkara penting dalam kebahagiaan selain kematangan sebagai suami dalam mentadbir rumah tangga. Kisah antara bekas isteri dengan Aidil juga sudah berakhir. Rita Rudaini kini bukan lagi sesiapa dalam hidup Aidil. Bagaimanapun, Aidil perlu terus menjadi bapa yang baik buat anak-anaknya, Rayyan dan Arjuna yang sebelum ini amat jarang diziarahi. Nasihat ini Joyah panjangkan juga kepada Zarema kerana sudahpun bergelar ibu tiri kepada dua anak suaminya itu. Kenalah ingat, Zarema sendiri memilih untuk berkahwin dengan duda punya anak dua. Jangan buat-buat lupa pula tau. Mungkin tanggungjawab itu tidak seberat ibu kandung tetapi gelaran ‘ibu’ itu sendiri sudah memerlukan Zarema memberi secebis kasih sayang buat kedua anak tirinya itu. Kepada Aidil juga, harap segeralah selesaikan segala kes di mahkamah yang tertangguh. Bukan apa, agak tidak manis kalau kisah Aidil ‘lokek’ terhadap susu dan lampin pakai buang anak-anak terus diperkatakan, setelah buat majlis pernikahan ‘gah’ di tiga lokasi berbeza. Banyak duit Aidil sebenarnya tu!

Lufya Omar!

KEKELIRUAN dek memiliki wajah seiras pelakon sensasi, Zarina Anjoulie sebelum ini hampir merencatkan perjalanan karier seni dan menutup periuk nasinya, kata Lufya Omar. Ibarat orang lain makan nangka, orang lain kena getahnya kata penyanyi dan pelakon berusia 29 tahun ini, dia juga berdepan dengan pandangan serong masyarakat. Keadaan itu secara tidak langsung menimbulkan rasa rimas . Apatah lagi apabila tidak semena-mena dilontarkan kata-kata kejian. "Saya adalah Lufya Omar dan bukan Zarina Anjoulie . Kalau pandang sekali imbas mungkin ada iras tapi memang ada bezanya. "Saya tak selesa kalau diikatkan dengan perkara yang negatif. Hati saya pedih apabila dilontar dengan pelbagai kata-kata kesat sedangkan saya bukan begitu," katanya pada pertemuan Rabu lalu. Mengakui sekadar mengenali tetapi tidak rapat dengan Zarina kata Lufya, dia juga kecewa apabila ada pihak melaga-lagakan mereka. Semuanya gara-gara iras wajah mereka. Pada waktu itu berlaku pertikaman lidah antara dua pihak yang akhirnya membuatkan pemilik nama penuh Lutfyah Sheikh Omar memohon kemaafan kerana tidak mahu memanaskan keadaan. Menyifatkan perkara itu sebagai kes lapuk namun apa yang membimbangkan Lufya ini adalah apabila pandangan yang berterusan itu bakal menjejaskan nama baiknya. Lantas kata Lufya, dia perlu menjaga tatatertib dan tidak boleh terlibat dalam mana-mana aktiviti yang boleh menambah teruk keadaan sedia ada. "Selepas kes itu saya lebih suka mendiamkan diri. Buat hal sendiri sebab tak mahu orang bercakap pasal kes itu lagi," katanya yang enggan mengulas kejadian memalukan itu. Putus cinta MENGAJUKAN soalan ke mana menghilangnya Lufya selepas namanya terpalit dengan isu berkenaan membuatkan wanita itu terdiam seketika. Kata Lufya, dia tidak menghilangkan diri ke mana-mana tetapi sibuk mencipta lagu yang merupakan keutamaannya pada waktu itu. Mengakui sudah menyiapkan 11 lagu berentak balada sepanjang tempoh persembunyiannya itu kata Lufya, dia juga tidak menyangka berbakat dalam bidang tersebut. "Saya sendiri tidak menyangka boleh menyiapkan lagu sebanyak itu. "Ada yang minta saya buat album tapi saya tak nak. Saya ingat nak jual lagu-lagu itu kepada sesiapa yang berminat," katanya yang bersyukur apabila salah sebuah lagu ciptaanya Doa bakal menjadi runut bunyi telefilem Ramadan Jangan Pergi. Mengulas tentang kebanyakan latar belakang lagu yang berkisar kekecewaan terhadap cinta kata Lufya, dia turut mendapat inspirasi selepas putus cinta dengan seorang ahli perniagaan sebelum ini. Kata Lufya, tidak salah jika dia mengabadikan situasi itu dalam lagu dan didendangkan kepada khalayak kerana setiap manusia juga pernah mengalami keadaan yang sama. Sengaja mengusik Lufya tentang lelaki yang pernah cuba menawan hatinya menyebabkan wanita yang mempunyai darah Arab-Melayu-Indonesia ini tersenyum. "Saya masing solo dan belum ada kekasih buat masa sekarang. Malas saya nak fikir, kalau ada jodoh, adalah. Tapi saya tidak menaruh sepenuh harapan. "Lebih mudah lagi kalau ikut saja peredaran masa," katanya yang meminati lelaki yang boleh berkomunikasi secara baik selain mampu membimbingnya.

Anzalna dihina aktor

ADA yang mengadu kasihan dengan pelakon Anzalna apabila dia diperlakukan tidak sewajarnya oleh seorang aktor di set lokasi penggambaran sebuah drama. Bagaikan wanita tidak bermaruah, Anzalna dilayan seperti wanita jijik dan kotor. Cukup meloyakan untuk dilihat secara fizikal, mungkin itu yang dirasakan aktor itu. Si aktor itu dikatakan tidak boleh langsung melihat wajah Anzalna. Langsung tak boleh! Walhal mereka berlakon sama. Sehinggakan kalau ada babak drama yang mengkehendakkan si aktor itu tersentuh kulitnya, si aktor itu berat hati. Dia sedaya upaya untuk tidak menyentuh. Jika tersentuh si aktor itu pasti bergegas menuju ke bilik air sejurus pengarah jerit ‘cut!’ Nampak sangat sesuatu, bukan? Agaknya si aktor cepat-cepat membasuh tangannya sebab bimbang kot kot si Anzalna ini ada ‘penyakit’. Nanti merebak kepadanya, susah pula. Tapi sebenarnya Miss J dengar yang mereka berdua ini memang sedang ‘perang dingin’. Ada satu peristiwa yang membuat hati si aktor terasa dengan Anzalna. Itu yang dia boikot Anzalna! Miss J tersenyum sinis sahaja sebab cerita mereka berdua ini dah masuk kategori budak-budak sekolah. Lagipun kedua-duanya cari makan dalam industri yang sama. Buat apa nak bergaduh antara satu sama lain. Berdamai sajalah. Jangan layan sangat aktor itu. Buat biasa saja sudah!

Kalis provokasi - Diana Danielle

SABTU lalu, suasana meriah di dalam Auditorium 1, Universiti Antarabangsa UNITAR, Kelana Jaya, Selangor bertukar sedikit bungkam tatkala kelibat pelakon tinggi lampai, Diana Danielle masuk ke ruang acara sambil diiringi oleh adik iparnya, Fadzil Zahari. Tidak hanya tampil berdua, ekor mata puluhan tetamu yang hadir pada majlis tayangan amal filem animasi SuperSquad anjuran Netcarbon Sdn. Bhd. itu tertancap kemas pada susuk tubuh bayi lelaki yang sedang dikendong erat oleh Fadzil. Bayi kecil itu ialah Muhammad, anak sulung Diana dan suaminya, pelakon Farid Kamil yang kini berusia sembilan bulan. Itu merupakan kali pertama Diana membawa cahaya mata kesayangannya menghadiri majlis rasmi yang melibatkan kehadiran pihak media. Namun begitu, apabila menyedari lampu denyar jurufoto mula menyimbah untuk merakamkan detik-detik kehadiran mereka, Fadzil dilihat bergegas membawa Muhammad keluar meninggalkan auditorium tersebut sebelum majlis yang dihadiri mereka tamat. Ketika meminta untuk bergambar bersama Muhammad usai majlis itu, Diana, 23, memohon maaf kerana dia belum bersedia untuk membuka ruang kepada anaknya muncul di mana-mana media. Tidak selesa "Minta maaf banyak-banyak. Saya bukan membawa Muhammad 'lari' daripada media. Saya cuma tidak selesa apabila jurufoto mula merakamkan gambar kami bertiga sebentar tadi," ujarnya sambil tersenyum. "Apabila tiba masa yang sesuai, saya dan Farid pasti akan mengumumkannya kepada pihak media," kata pelakon yang pernah popular menerusi filem muzikal Magika itu. Ditanya mengapa membawa Muhammad bersama ketika menghadiri majlis rasmi sedangkan dia enggan untuk mempertemukan anaknya itu dengan pihak media, jawab Diana, dia terpaksa berbuat demikian kerana tiada sesiapa yang dapat menjaga anaknya ketika itu. "Saya terpaksa membawa Muhammad bersama kerana pengasuhnya sedang bercuti.
"Sepatutnya Farid yang mengambil alih tugas penjagaan tetapi kebetulan dia diserang demam. "Justeru, saya terpaksa membawanya bersama bagi menghadiri majlis tayangan amal filem SuperSquad," kata Diana yang turut menjadi salah seorang pelakon yang meminjamkan suara bagi filem animasi tersebut. Kehidupan seimbang Sejak bergelar ibu, kehidupan wanita berdarah kacukan Melayu-Amerika ini ternyata jauh berubah. Lebih menumpukan perhatiannya pada Muhammad, Diana mengakui dia banyak menghabiskan masanya di rumah jika tidak terlibat dengan sebarang penggambaran. "Jika tiada sebarang tawaran berlakon atau tugasan untuk mempromosikan filem, saya lebih gemar untuk menghabiskan masa bersama Muhammad di rumah. "Kadangkala, saya akan membawanya keluar untuk bersiar-siar. Hubungan saya dan anak saya sangat rapat. "Saya akui, kehidupan saya dan Farid banyak berubah sejak bergelar ibu dan bapa. "Jika kami mengalami perselisihan faham, kami tidak akan memanjangkan sengketa kerana sering memikirkan tentang anak. "Secara keseluruhan, kehidupan kami sebagai pasangan suami isteri semakin seimbang dengan kehadiran Muhammad," jelasnya yang kehilangan berat badan kerana sibuk melayan karenah Muhammad yang semakin aktif bergerak. Sebagai seorang ibu muda, Diana memberitahu, dia banyak membaca buku, majalah serta info-info yang terdapat di internet bagi menambah pengetahuannya tentang kanak-kanak.
"Maklumat-maklumat yang terdapat dalam buku serta majalah banyak membantu saya dalam rutin menjaga anak saya. "Selain itu, saya ada meminta pendapat kenalan-kenalan yang lebih senior tentang cara mereka menjaga anak," katanya yang menggunakan khidmat pengasuh daripada Filipina untuk menjaga Muhammad. Debat Twitter Baru-baru ini, menerusi akaun Twitter peribadi miliknya, Diana ada menyatakan pendapat tentang misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370. Menerusi kemas kini tersebut, ujar Diana, dia tidak percaya bahawa juruterbang pesawat itu ada kaitan dengan kehilangan pesawat yang telah hilang sejak 8 Mac lalu. Malangnya, salah seorang pengikut akaun Twitternya membidas pendapat tersebut dengan kenyataan-kenyataan yang kurang enak didengar. Terpukul dengan kenyataan itu, Diana bertindak membalas kata- kata pengikutnya itu sehingga menimbulkan pergaduhan. "Saya hanya menulis di Twitter bagi meluahkan pendapat saya sahaja tetapi dengan tidak semena- mena, ada segelintir individu yang marah dan tidak berpuas hati dengan pendapat itu. "Itu hanya pendapat saya sahaja. Jika dia berasa juruterbang itu bersalah, itu adalah hak dia. Jangan pula memaksa saya untuk bersetuju dengan pendapatnya," katanya. Tambah Diana, pengikut akaun Twitternya itu bersikap biadab dan kedengaran seperti mahu menjatuhkan hukuman kepada juruterbang tersebut. "Saya berasa tercabar apabila membaca kenyataan-kenyataan tersebut. "Bayangkan perasaan ahli keluarga juruterbang itu jika mereka membaca tentang berita-berita dan kenyataan yang kurang sahih berkenaan tragedi ini. Ia pasti menyedihkan. "Selain itu, sebagai seorang rakyat Malaysia, saya berasa terkesan dengan tuduhan yang dilemparkan oleh media Barat terhadap juruterbang kita. "Jadi, tidak menjadi suatu kesalahan bagi saya untuk mempertahankan maruah negara sendiri daripada diperkotak-katikkan," katanya lagi. Pinjam suara Melanjutkan perbualan pada petang itu, Diana berkata, filem animasi yang meminjam suaranya, SuperSquad merupakan sebuah projek yang belum pernah dicubanya sebelum ini. Katanya, selain pertama kali menjadi pelakon suara, dia turut mempelajari beberapa perkara baharu sepanjang proses pembikinan filem animasi tersebut. "Filem animasi terbitan Netcarbon Sdn. Bhd. ini mula dibikin pada tahun 2011. "Pada waktu itu, proses memasukkan suara (dubbing) dilakukan terlebih dahulu sebelum proses melukis watak-watak animasi. "Ia merupakan perkara yang baharu buat saya dan para pelakon yang lain. "Sebelum ini, kita akan berlakon terlebih dahulu sebelum menjalani proses memasukkan suara. "Namun, untuk filem SuperSquad, kami perlu merakamkan suara terlebih dahulu bagi memudahkan pelukis animasi mencipta watak berdasarkan dialog yang dilontarkan," kata Diana yang meminjamkan suara untuk watak Elly. Walaupun industri perfileman negara ketika ini masih tidak serancak dahulu, namun Diana yakin bahawa filem ini mampu menarik perhatian penonton, terutamanya daripada golongan kanak-kanak. "Sebelum dibikin untuk tayangan di pawagam, SuperSquad terlebih dahulu telah diterbitkan dalam bentuk siri yang disiarkan di televisyen berjudul Supertots. "Justeru, dengan adanya kehadiran suara-suara pelakon popular seperti Aaron Aziz, Radhi Khalid dan Dafi serta ditambah dengan penonton yang sedia ada, filem ini mampu untuk berdiri dengan sendirinya," ujar Diana positif. Filem arahan Mohd. Rashdan Ramlee yang menelan belanja sebanyak RM6 juta ini dijangka menemui penonton pada 5 Jun depan.

Jamal Abdillah letak sempadan

PENYANYI terkenal Datuk Jamal Abdillah, 54, mengaku dirinya cukup menjaga nilai eksklusif untuk terus kekal popular dan relevan sehingga hari ini. Selain kurang muncul di tempat awam, Jamal juga tidak terlalu ghairah untuk memuat naik sebarang status mahupun gambar dalam akaun laman sosialnya. Bukan buta IT mahupun teknologi tetapi tegas pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Ali itu, dia harus meletakkan sempadan antaranya dan peminat, tidak seperti artis sekarang yang dilihat terlalu mudah untuk didekati. Kata bapa kepada Osama Yamani, 12, dan Ahmad Zaki Yamani, 8, itu, keghairahan artis untuk terlalu dekat dengan peminat membuatkan nilai eksklusif artis tersebut jatuh. Selain itu, Jamal juga menegur ramai penyanyi muda hari ini tidak ikhlas untuk menjadi penyanyi seperti penyanyi yang lahir pada zamannya. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Jamal yang ditemui pada majlis sidang akhbar Minggu Setiausaha Antarabangsa bersama Datuk Jamal Abdillah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. Kosmo!: Mengapakah Jamal meletakkan sempadan dengan peminat? JAMAL: Saya letak sempadan untuk kekal popular dan sentiasa relevan dengan pasaran walaupun saya sudah berusia. Bukanlah saya sombong dengan peminat tetapi bagi saya sempadan itu perlu apabila kita tinggal di dunia tanpa sempadan, sekarang menerusi telefon pun semuanya boleh dilihat. Maknanya Jamal menolak kewujudan laman sosial? Bukanlah menolak sebab saya sendiri pun ada akaun laman sosial cuma diuruskan oleh orang yang saya percayai. Laman sosial bagus untuk saya mempromosikan persembahan dan peminat mengetahui perkembangan saya. Namun, jika artis buat silap, laman sosial itu akan memakan diri apabila menjadi medan orang ramai mengutuk artis itu. Jika sudah bersedia dengan segala kemungkinan bolehlah tetapi saya tidak mahu ambil risiko. Bagaimanapun, saya percaya kalau peminat jarang bertemu artis pujaannya, mereka lebih teruja apabila berjumpa atau menonton persembahannya.
Adakah itu rahsia Jamal popular sehingga kini? Ya, kerana sudah lama saya amalkan. Sebagai penyanyi lama, saya harus menjaga nilai eksklusif. Saya jarang keluar rumah jika tiada persembahan, jarang mengambil persembahan yang boleh ditonton secara percuma, jarang muncul dalam program televisyen dan juga jarang memuat naik status atau gambar di laman sosial. Apabila peminat tidak dapat berinteraksi atau menonton persembahan saya di tempat lain secara percuma, mereka tidak ralat membayar untuk menyaksikan persembahan saya. Alhamdulillah, tawaran persembahan pentas tidak pernah putus. Mengapakah Jamal mengatakan penyanyi sekarang tidak ikhlas apabila menyanyi? Disebabkan terlalu banyak program realiti nyanyian sejak kebelakangan ini, ramai penyanyi realiti yang muncul. Ada yang benar-benar bagus tetapi ramai yang menyanyi tidak ikhlas. Apabila muncul di atas pentas mereka menyanyi untuk kamera, juri dan penonton bukannya untuk diri mereka sendiri. Jika menyanyi dengan ikhlas untuk diri sendiri secara tidak langsung cara nyanyian itu akan menyentuh perasaan semua yang mendengar. Apakah nasihat Jamal untuk penyanyi baharu? Jangan buat kerja sambil lewa dan selalu buat kajian sebelum persembahan. Apabila menyanyi tidak kiralah di mana sahaja, menyanyilah dengan ikhlas dan penuh perasaan. Harus diingat kita mungkin akan dipanggil menyanyi oleh salah seorang penonton yang sedang menonton persembahan kita. Jadi, menyanyi dengan bersungguh bukan semata-mata untuk wang sahaja. Khabarnya Jamal sangat sibuk pada bulan April sempena Minggu Setiausaha? Alhamdulillah, saya mempunyai tiga persembahan untuk Minggu Setiausaha dan satu persembahan Hari Ibu. Setiap persembahan saya adalah berbeza. Di Kuala Lumpur, saya akan adakan persembahan Minggu Setiausaha bersama Dee di Dewan Merdeka, PWTC pada 22 April depan. Meja dijual antara RM2,000 sehingga RM5,000 ke atas. Sebarang tempahan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-2614 6701 atau layari laman web www.pwtc.com.my. Bagaimana pula dengan kehidupan peribadi? Kehidupan saya seperti biasa, masih selesa dengan status duda selama 10 tahun. Sebelum ini gosip yang mengaitkan saya dengan Nas Adila itu tidak betul kerana dia terlalu muda untuk saya. Jika ditakdirkan bertemu jodoh sekali lagi, saya terima tetapi buat masa sekarang biarlah saya sibuk dengan kerja dan anak-anak.

Aweera jawab gosip

MENGANGGAP tuduhan meminta bantuan kewangan VIP sebagai cerita tidak berasas dan fitnah, Aweera menafikan sekeras-kerasnya cerita yang disiarkan oleh Pancaindera minggu lalu. Baginya, dakwaan tersebut mengarut dan dia sendiri tidak mengetahui siapakah VIP yang dimaksudkan dalam rencana itu. "Semua itu fitnah dan tuduhan yang mengarut. Saya tak pernah minta bantuan kewangan mana-mana VIP. Perkara ini sangat memalukan saya sebagai anak seni. "Buruk sangatkan bekerja sebagai penyanyi sehingga perlu minta duit VIP? Saya tak pernah lagi buat kerja macam itu dan saya anggap ini untuk menyebar cerita negatif tentang saya," tegas Aweera. Menjelaskan lebih lanjut perkara berkenaan, Aweera tidak menafikan yang dia cukup malu dengan pandangan masyarakat tentang isu tersebut. Lebih memalukan apabila dia sendiri tidak pernah berbuat demikian. Paling dikesalkan apabila keluarganya di kampung turut terkena tempias dan terkejut dengan gosip tersebut. Namun awal-awal lagi dia telah menjelaskan perkara sebenar untuk meleraikan kekusutan. "Kalau benar saya ada ada berhutang atau ada minta bantuan VIP kenapa VIP berkenaan tak jumpa saya? Kenapa tak tanya saya sendiri kalau ada masalah atau tak puas hati. "Jika saya pernah berurusan dengan dia sepatutnya dia jumpa saya terus. Tak payah nak libatkan pihak media untuk mengaibkan saya kalau benar saya pernah berurusan dengannya," tegas Aweera tetapi tidak menyebut siapa VIP yang dimaksudkan itu. "Saya jenis orang yang gentleman kalau rasa tak puas hati, apa kata datang jumpa saya dan cakap depan-depan. Saya anak jantan. Kita berterus terang dan kita selesai baik-baik. "Ini melibatkan maruah saya. Mana nak letak muka apabila bertemu peminat dan masyarakat? Satu kerja pula saya nak terangkan perkara sebenar," luah Aweera lagi. Mengakui sedikit tertekan dengan tuduhan tersebut, Aweera berkata cerita ini mungkin berpunca daripada orang yang sakit hati dan dengki dengan dirinya. Walaupun kerjaya seninya tidak segah penyanyi popular yang lain namun tegasnya dia belum sampai ke tahap untuk meminta-minta. "Saya masih ada undangan menyanyi dan bukan tak berduit langsung. Walaupun tak banyak tapi tak sampai mengharapkan duit mana-mana VIP untuk menyara kehidupan saya. "Kalau saya minta duit mereka sudah lama saya kaya. Tak payah menyanyi dan boleh hidup mewah dengan cara macam itu. Senang kerja kalau main minta-minta wang orang ini," katanya penuh makna.

Hanez Suraya Bersyukur Kontroversi Cinta Makin Reda

Pelakon Hanez Suraya meluahkan rasa syukur apabila kontroversi percintaannya dengan ahli perniagaan, Romie Razin Adilha yang masih bergelar suami orang semakin reda. Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abd Aziz, 29, berkata, keadaan itu membuatkan dia berasa lega untuk meneruskan kehidupannya seperti biasa tanpa memikirkan isu tersebut. "Alhamdulillah, saya bersyukur sangat apabila kontroversi ini semakin surut. Walaupun masih ada lagi segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan saya, tidak apa. "Yang penting saya dapat mengharungi kehidupan dengan lebih positif berbanding sebelum ini," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Ahad. Kontroversi mula tercetus selepas Hanez membuat pengakuan dia bakal berkahwin dengan seorang lelaki kononnya berstatus duda yang dikenali sebagai Mr.R atau nama sebenarnya Romie Razin Adilha, 34, sehingga menjadi punca keretakan rumah tangga pasangan berkenaan.
Situasi bertambah tegang apabila isteri Romie membuat kenyataan kepada media 2 Mac lalu menuduh Hanez sebagai punca pergolakan rumah tangganya. Bagaimanapun Hanez menafikan dia sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan berkenaan. Sementara itu, Hanez memberitahu, walaupun ramai yang mahu dia disingkirkan daripada melibatkan diri dengan teater Projek Kahwin yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 6 hingga 14 Jun depan, namun dia nekad untuk meneruskan pementasan tersebut tanpa ragu-ragu. "Sebelum ini, saya pernah berniat untuk menarik diri tetapi pihak penerbit iaitu Mask Team tidak membenarkan saya berbuat demikian. "Dan saya ambil semangat dengan menyifatkan ia sebagai salah satu peluang untuk membuktikan bakat saya yang pertama kali melibatkan diri di pentas teater. "Sebelum bermulanya latihan pada bulan Mei ini, saya akan persiapkan diri dulu dengan berlatih dengan seorang guru teater. Setakat ini saya belum memutuskan siapa yang akan mengajar saya," ujarnya. Projek Kahwin bakal menampilkan barisan pelakon seperti Izzue Islam, Hanez Suraya, Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz. Tiket untuk menyaksikan pementasan teater itu dijual pada harga RM35, RM55, RM85, RM185 dan RM225 dan tempahan tiket boleh dibuat menerusi AirAsiaRedTix.com atau di kaunter Box Office Istana Budaya. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Amirul di talian 013-3962612.

Faizal Hussein Dianggap Sombong Tidak Bergaul Di Set Penggambaran

Pelakon Faizal Hussein mengakui dia sering dianggap sombong oleh segelintir pelakon dan kru produksi kerana tidak bergaul di sesebuah set penggambaran. Faizal, 47, bagaimanapun berkata, tidak kisah dengan tanggapan tersebut memandangkan dia sendiri mahu bersendirian bagi mempersiapkan diri menghafal skrip selain menjiwai wataknya. "Saya memang tidak berkumpul di bilik persalinan beramai-ramai seperti artis-artis lain selalu buat, sampaikan ada orang kata saya sombong sebab asyik duduk dalam kereta sahaja. "Tetapi itu adalah cara saya untuk berfikir dan menghayati watak. Saya tidak mahu emosi terganggu terutamanya apabila melibatkan babak-babak yang berat," katanya. Tambah Faizal, mengasingkan diri daripada orang lain juga merupakan sebahagian tips untuk dirinya menghayati watak sebaik mungkin dan pada masa sama bersyukur kerana sikap 'sombong' itu tidak diberitakan sehingga menjadi kontroversi. Malah dia juga mahu penggambaran yang dilakonkan hanya dilakukan sekali rakaman sahaja, tidak perlu banyak kali seperti yang sering dilakukan segelintir pelakon. "Saya tidak suka menyusahkan orang dan sebab itu kalau boleh saya berlakon hanya satu take sahaja. Jadi, tak perlulah saya nak menyusahkan orang lain untuk berlakon banyak kali," ujarnya. Sementara itu, Faizal turut memberitahu mengenai sikapnya yang sentiasa tenang apabila berdepan dengan masalah produksi terutamanya bagi pelakon yang gemar datang lewat ke lokasi. Malah dia tidak pernah terasa hati dengan sikap pelakon yang membuat masalah kerana menganggap ia sebahagian perkara yang harus dilalui sebagai pelakon apabila sedang bekerja. "Saya sudah dibayar gaji untuk datang ke set penggambaran. Jadi, sama ada pelakon lain datang lewat tiga atau lapan jam sekalipun, saya tidak boleh nak marah pelakon berkenaan. "Bukannya apa, ia akan mengganggu konsentrasi ketika berlakon dengan pelakon yang lewat itu nanti. Biarlah sesiapa yang nak datang lewat, tetapi kalau melebihi hari penggambaran, saya akan minta pihak penerbit membayar masa lebih itu," selorohnya. Dalam perkembangan lain, Faizal bakal terlibat dengan penggambaran filem Gudang Kubur , arahan Eyra Rahman pada 25 Mac ini.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails