Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ella cari kelainan

ELLA bukanlah satu nama asing di pentas muzik tempatan Penyanyi yang diberi julukan Ratu Rock Malaysia itu juga mempunyai pengaruh yang amat besar memandangkan pengalaman selama 31 tahun yang dimilikinya. Selaku orang lama yang berpengalaman serta dilengkapi bakat luar biasa, kebarangkalian bagi pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin, 47 ini gagal dalam memasarkan produk seninya adalah rendah peratusannya. Jika dia tampil dengan single baharu secara solo sekalipun, tidak mustahil Ella masih mampu lagi untuk mendapat perhatian pendengar muzik tempatan, terutamanya sokongan daripada peminat setianya sejak mula dia bergelar anak seni. Walau bagaimanapun, Ella tetap mahukan kelainan dalam setiap hasil kreatifnya bagi menghargai jasa-jasa peminat yang disifatkan sebagai tulang belakang kejayaan yang dikecapinya kini. Terkini, Ella yang pernah berduet dengan nama besar antaranya Datuk Ramli Sarip, Amy Search, Awie dan penyanyi Indonesia Deddy Dores tampil pula dengan buah tangan terbaharu apabila memilih seorang lagi penyanyi dari seberang iaitu Anji sebagai rakan duetnya menerusi dua buah lagu. Lagu yang diberi judul Pilu dan Risalah Hati itu amat mengujakan Ella kerana beranggapan vokal yang dipersembahkan Anji begitu menakjubkan, selain menyuntik keistimewaan terhadap kedua-dua karya ciptaan Adi Priyo daripada kumpulan Sixth Sense itu. “Sudah sekian lama saya tidak muncul dengan single baharu. Disebabkan faktor itu, saya yakin peminat di luar sana menantikan suatu kelainan daripada saya. Sebab itulah saya memilih untuk berduet dengan Anji. “Selain mempunyai suara gemersik yang bersesuaian untuk 'disatukan' dengan vokal saya, Anji turut mempunyai pengaruh tersendiri di pasaran muzik Indonesia. Ia secara tidak langsung mempromosikan nama Ella di sana," katanya kepada Hits menjelaskan strategi pemasarannya. Gandingan serasi Mengulas mengenai pemilihan Anji yang dilihat tidak begitu popular di persada muzik Malaysia, Ella berkata, ia bukanlah suatu masalah besar kerana dia lebih percaya sesuatu produk yang berkualiti mampu mengatasi isu tersebut. “Gandingan vokal kami amat serasi. Alunan suara Anju memikat hati saya dan saya begitu pasti bahawa dialah calon tepat untuk menjadi rakan duet saya. Sekalipun saya memilih seseorang penyanyi Indonesia yang ada nama di sini tetapi suara kami tidak serasi, maka tiada gunanya juga kerana hasilnya tidak berkualiti. “Sebab itulah saya memastikan sesuatu karya itu lebih berkualiti berbanding hanya bergantung terhadap populariti seseorang artis atau penyanyi. Apa yang pasti, Anji pada kaca mata saya adalah pasangan duet paling sesuai," jelas Ella menetapkan pendiriannya. Pada masa yang sama, Ella menyatakan bahawa dia begitu selesa dengan sikap Anji yang begitu terbuka membicarakan soal muzik serta menerima kritikan dengan baik sekiranya ada pendapat antara mereka berdua yang bercanggah. “Anji sangat optimistik. Jika ada yang tidak kena, kami dapat menyelesaikannya dengan kadar segera disebabkan keterbukaan masing-masing menerima pandangan," tambahnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails