Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Pada Usia Tua, Mariani Penat Jadi 'Hantu'

Pelakon veteran Mariani mendedahkan dia sudah penat untuk memegang watak hantu yang sering ditawarkan kepadanya memandangkan usianya sudah semakin lanjut. Mariani atau nama sebenarnya Siti Mariam Ismail, 81, berkata, tidak mudah baginya melakonkan watak itu kerana ia memerlukan tenaga walaupun tidak banyak dialog yang diperlukan. Lebih menyedihkan, ada juga sesetengah syarikat produksi yang mengambil kesempatan dengan menawarkannya bayaran rendah dan tidak berbaloi dengan hasil kerja yang dilakukan. “Pada usia sebegini, bukan budak untuk saya membawakan watak hantu. Walaupun tidak banyak dialog, tetapi kadang-kala solekan yang tebal membuatkan saya berasa kaku dan tidak boleh bergerak selain ia memaksa saya mengeluarkan tenaga yang banyak. “Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini saya banyak tolak tawaran itu. Anak saya, Melissa Saila pun tidak membenarkan saya mengambil tawaran sebegitu lagi,” katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, Mariani berkata, dia kini sudah nekad untuk menetapkan harga bayarannya sebanyak RM1,000 sehari kepada mana-mana produksi yang ingin mengambilnya berlakon sama seperti bayaran yang diberikan kepada sesetengah artis popular lain. Katanya, harga bayaran yang ditetapkan itu membuatkan tidak banyak syarikat produksi yang ingin menawarkannya berlakon namun dia tetap dengan keputusan untuk tidak menurunkan harganya. "Nampak macam besar amaunnya tetapi sebagai seorang pelakon yang lama di bidang ini, harga itu sangat kecil. Pada hal artis-artis muda lain mendapat pendapatan yang lebih tinggi daripada apa yang saya minta. "Dan kerana itu juga tidak banyak produksi yang mahu mengambil saya berlakon, tetapi tidak mengapa. Saya hanya akan bekerja dengan pihak yang menghargai kerja saya sahaja," ujarnya.
Mengenai sambutan hari lahirnya yang ke 81 tahun pada Ahad lalu Mariani berkata, dia tidak menyangka umurnya mampu mencecah angka itu manakala keadaan kesihatannya juga sihat. "Alhamdulillah saya masih lagi hidup pada usia ini. Syukur kepada Allah. Ketika melahirkan Melissa, usia saya sudah pun 39 tahun dan ketika itu saya risau adakah saya mampu melihat anak bongsu saya itu 20 tahun selepas kelahirannya? "Sekarang ini Melissa sudah pun 42 tahun dan saya masih lagi bernafas. "Ramai yang bertanya apa rahsia saya kekal sihat? Entahlah... tiada rahsia, sebaliknya saya sentiasa berfikiran positif dalam segala hal dan elakkan berfikiran burukterhadap orang lain," tuturnya. Kira-kira 200 tetamu hadir pada majlis ulang tahun kelahirannya yang diadakan di Saloma Bistro Jalan Ampang di sini termasuklah Uwei, Dian P.Ramlee, Rozita Rohaizat, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Aziz Satar, Hail Amir, Uji Rashid, Aspalela Abdullah dan Dior.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails