Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Perginya Aziz Sattar Tidak Mungkin Ada Pengganti

Ketika dunia hiburan baharu sahaja dikejutkan dengan kematian biduanita Kartina Dahari dan dramatis Sidek Hussain, satu lagi berita sedih muncul apabila seniman Datuk Abdul Aziz Sattar pula menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Selasa. Kematian Allahyarham pada usia 89 tahun memberi kesan kepada seluruh peminat filem Melayu kerana lakonannya bukan sahaja menjadi fenomena malah berjaya dikenang oleh setiap generasi sehingga ke hari ini. Aziz atau lebih mesra dengan sapaan Pak Ajis yang dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Surabaya, Indonesia dan kemudiannya membesar di Pasir Panjang Singapura menjalani kehidupan sukar apabila terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Kota Raja pada usia 11 tahun ekoran serangan tentera Jepun ke atas Tanah Melayu ketika itu. Antara kisah menarik Allahyarham, beliau pernah disiksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di singapura pada tahun 1950-an.
Biarpun tidak dapat meneruskan persekolahan namun kelebihan yang ada pada Aziz iaitu bakat seninya sejak usianya 10 tahun mampu membawa tuah selain beliau juga sering mengadakan persembahan di majlis perkahwinan di kampungnya. Dari situ, bakatnya terus berkembang dan kebolehannya sebagai penghibur dan pelawak terus mendapat perhatian sehinggalah dia bersma dua orang sahabat dipelawa untuk bekerja di studio Malay Film Production (MFP) sebagai krew penggambaran atas bantuan pelakon Shariff Dol. Berkat kesabarannya Aziz diberikan watak pembantu dalam filem Putus Harapan pada tahun 1953 arahan B. N. Rao sebagai seorang guru sekolah. Biarpun bukan peranan utama namun dia berjaya menjiwai watak berkenaan disamping pelakon utamanya iaitu P.Ramlee, Rokiah Jaafar dan Nordin Ahmad.
Ekoran kejayaannya membawakan watak dalam filem itu dengan baik, pihak pengurusan memberikan kontrak selama tiga tahun untuk bernaung bawah MFP dan di situlah bermulanya karier Allahyarham sebagai pelakon. Aziz telah membintangi lebih daripada 50 buah filem sepanjang kariernya namun sudah tentu paling meninggalkan kesan kepada penonton adalah kemunculannya dalam filem Bujang Lapok bersama P.Ramlee dan S. Shamsuddin pada tahun 1957. Ramli, Sudin dan Aziz - tiga watak yang sehingga kini melekat di hati peminat filem Melayu siri Bujang Lapok dan kejayaan filem itu melonjakkan nama Aziz sebagai salah seorang pelakon dan pelawak terbaik dalam era filem Melayu.
Keserasian tiga sahabat itu membuatkan mereka sering digandingkan bersama antaranya termasuklah Pendekar Bujang Lapok (1959), Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok (1961). Penutupan MFP pada tahun 1967 telah membuka lembaran baharu kepada kerjaya seni Aziz apabila dia mengambil keputusan berpindah ke Kuala Lumpur bagi merancakkan kembali dunia perfileman Melayu yang hampir pupus ketika itu. Kolaborasi dengan M.Borhan sehingga tertubuhnya Sabah Film meneruskan kerjaya Aziz sebagai pengarah apabila terhasilnya filem Keluarga Si Comat yang turut diarahkan oleh Aziz pada 1975. Tidak hanya mengarah, Aziz turut berlakon dan menulis skrip filem berkenaan yang membariskan pelakon seperti S. Shamsudin, Ibrahim Pendek dan Junainah M.Amin.
Selain Keluarga Si Comat, Aziz turut mengarahkan beberapa buah karya lagi dalam kariernya seperti Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993). Penubuhan syarikat produksi dan penerbitan filem itu telah menjadi pencetus kepada kebangkitan era baharu industri perfileman Melayu sejak itu dan berkembang sehingga ke hari ini. Kontroversi Biarpun personalitinya kelihatan bersahaja dan mudah didekati namun Aziz turut dikenali dengan kelantangannya dalam menyuarakan hak sebagai seorang artis veteran dan pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Artis Veteran dalam Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan). Beberapa kali penulis sempat menghadiri beberapa acara melibatkan persatuan hiburan di negara ini, Aziz tidak pernah melepaskan peluang untuk hadir biarpun sekadar mendengar apa yang dibincangkan.
Kata-kata yang diluahkan sama ada pendapat atau pun cadangan sentiasa mendapat perhatian dalam meningkatkan industri perfileman Malaysia. Kelantangannya bersuara bagi menegakkan hak sebagai seorang artis veteran juga sering mendapat perhatian malah keputusannya melepaskan jawatan dalam Karyawan kerana tidak berpuas hati dengan Presidennya, Datuk Freddie Fernandez bukti dia bukan mudah dipermainkan. Namun Aziz tetap tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih dan hibanya apabila ada pihak mengeluarkan kata-kata kurang enak terhadapnya membuatkan dia merajuk hati dengan situasi dalam industri seni ketika itu. Namun rajuk si Pak Ajis tidak lama kerana sifat pemaaf dan saling memperbetulkan semua salah faham akhirnya menjernihkan semula kemelut yang berlaku.
Dalam pada itu dialognya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok iaitu “siapa tak sayang bini daa…” tetap menjadi ingatan sehingga ke hari ini. Dek kerana populariti dialog itu, maka terhasilah filem yang dibaut dalam bentuk cekera padat video (VCD) iaitu Siapa Tak Sayang Bini hasil tulisan skrip Allahyarham pada tahun 2003. Pemergiannya pada pagi Selasa akibat serangan jantung di Pusat Perubatan KPJ Kajang kira-kira pukul 2 pagi mengejutkan seluruh masyarakat tidak kira tua mahu pun muda. Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussien Onn, Cheras Perdana dekat sini selepas solat Zohor dan pemergiannya ditangisi peminat-peminatnya. Malah rakan artis dari segenap lapisan umur turut berhimpun bagi memberi penghormatan kepadanya selain mereka turut menyifatkan pemergiannya adalah satu kehilangan cukup berharga kepada industri perfileman negara.
Allahyarham pernah menyertai kumpulan pancaragam Pancasitara yang dianggotai oleh P.Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar, Ahmad C dan Kassim Masdor pada awal tahun 1950-an. Pada tahun 2007, Allahyarham menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk. Allahyarham pernah empat kali berkahwin tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat - bercerai). Pada 16 Disember 2006 Allahyarham berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100. Bagaimanapun mereka dikatakan bercerai pada 3 Mac 2012. Hasil perkongsian hidup Aziz dengan perkahwinannya yang terdahulu, beliau dikurniakan tujuh orang anak, 20 cucu dan 10 cicit. Pemergian Aziz Sattar umpama hilangnya sebutir permata. Semoga Allah memberi rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah. Rakan Artis Kongsi Rasa Sedih
Datuk Rosyam Nor Pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor sentiasa mengingati Allahyarham sebagai seorang penyelamat kepada industri penerbitan filem ketika ia mengalami kesuraman pada tahun 1980-an menerusi karya arahannya seperti Perawan Malam, Setinggan dan Bujang Lapok Kembali Daa!. Jelas Rosyam, Aziz juga adalah seorang mentor kepadanya ketika mula-mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan dan pengarahan ketika itu dan pesanannya juga jangan berputus asa untuk berjaya dalam bidang perfileman sentiasa disemat dalam dirinya. "Beberapa filem arahannya pada tahun 1980-an kembali menyemarakkan minat penonton biarpun industri mengalami kesuraman dan nasihatnya supaya sentiasa menimba ilmu dan tidak berputus asa untuk berjaya sentiasa saya pegang sehingga ke hari ini," katanya.
Mustafa Maarof Datuk Mustafa Maarof pula memberitahu memori bersama Aziz ketika bersama-sama bergelar aktor di Studio Jalan Ampas, Singapura antara kenangan manis dalam hidupnya. Jelas Mustafa, biarpun karektornya yang sentiasa ceria dan sentiasa disenangi oleh rakan-rakan namun dia menyifatkan Aziz seorang yang cukup tegas dan mengambil berat terutamanya perkara-perkara yang melibatkan kebajikan pelakon. "Terlalu banyak memori saya bersamanya dan jika dikupas satu persatu barangkali ia tidak akan berkesudahan namun Allahyarham adalah antara insan yang rapat dengan saya ketika zaman Jalan Ampas. "Biarpun tahu dia menderita penyakit jantung sejak beberapa tahun lalu namun dia tidak pernah mengadu mengenai kesakitan yang dialami dan sentiasa bersemangat," katanya.
Freddie Fernandez Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez pula menyifatkan semangat dan perjuangan tanpa jemu Aziz memperjuangkan nasib artis veteran sentiasa dikenang oleh semua pihak. Jelas Freddie, Aziz sentiasa bersemangat apabila timbul isu-isu mengenai artis veteran dan ia telah banyak membuka mata banyak pihak. "Satu kehilangan besar kepada semua dan tiada siapa boleh menggantikan tempat Aziz Sattar," katanya.
Aizat Amdan "Tiada lagi legasi Bujang Lapok. Itu luahan artis muda Aizat Amdan namun sebagai seorang artis generasi muda dia membesar dengan filem-filem lakonan Aziz membuatkan pelakon itu sentiasa dekat dengannya. Jelas Aizat, karya-karya yang ditinggalkan oleh Seniman itu akan sentiasa diingati oleh semua kaum di negara ini yang banyak memberi kenangan manis. "Arwah akan sentiasa hidup dalam setiap diri kita kerana kebanyakan daripada kita menonton lakonannya yang sentiasa mencuit hati dan ia sentiasa segar biarpun ditonton berulang kali," katanya.
Melissa Saila Melissa Saila tidak menyangka sambutan hari lahir ibunya iaitu Mariani yang ke 81 tahun baru-baru ini merupakan pertemuan terakhirnya. "Saya tidak pernah menyangka itu adalah kali terakhir saya bertemu dengannya dan kami sempat berbual-bual ketika dia hadir ke majlis dan ceria sepanjang majlis. "Biarpun dia bukan pelakon dari zaman saya tetapi hubungan kami sangat rapat dan dia sering memberi dorongan untuk saya meneruskan perjuangan dalam bidang seni," jelasnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails