Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tunjuk Slip Gaji Untuk Beli Tudung Fareeda Satu Fitnah - Fizo Omar

Pelakon Fizo Omar terkilan apabila ada pihak masih cuba memburukkan tudung Fareeda dengan memfitnah kononnya mana-mana pelanggan yang mahu ke butik itu perlu membawa slip gaji selama tiga bulan. Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 29, berkata, sebagai Ketua Bahagian Pemasaran, Fareeda Global Resources, dia melihat tuduhan itu sesuatu perkara yang mengarut kerana pihaknya tidak pernah meletakkan syarat-syarat sedemikian. "Itu semua fitnah dan tuduhan itu langsung tidak berasas. Secara logiknya, mana ada kedai yang meletakkan syarat perlu membawa slip gaji sebelum dibenarkan masuk kedai? "Butik-butik berjenama mewah pun tidak meletakkan syarat seperti itu. Bagi saya gosip itu adalah khabar angin kosong yang sengaja mahu menjatuhkan nama baik syarikat," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada petang Rabu.
Minggu lalu, salah seorang individu telah memuat naik status di Twitter mengatakan dia tidak berpuas hati dengan cara butik Fareeda melayan pelanggan di mana sesiapa yang ingin masuk mana-mana cawangan butik tersebut perlu membawa slip gaji selama tiga bulan. Fizo menjalankan perniagaan itu bersama isterinya yang juga pemilik kekal syarikat berkenaan iaitu Mawar Abdul Karim, 25. Sementara itu Fizo berkata, dia bersyukur walaupun pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada jenama tudung itu, namun perniagaan yang dijalankan masih lagi mendapat respons yang memberangsangkan. "Biasalah, apabila sesebuah jenama barangan sudah menjadi popular, mulalah ada yang dengki. Rasanya itu adalah satu perkara normal yang terjadi kepada mana-mana perniagaan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Fizo berkata, bersempena dengan bulan Ramadan ini, dia juga sibuk menguruskan perniagaan Hot Burger yang kini mempunyai sebanyak 150 buah cawangan. "Sekarang ini memang saya terlalu sibuk dengan pengurusan perniagaan. Sampaikan saya terpaksa menolak pelbagai tawaran lakonan untuk memberi fokus kepada perniagaan. "Saya juga merancang untuk meletakkan sasaran di mana Hot Burger akan mempunyai sebanyak 200 cawangan di seluruh Malaysia pada hujung tahun ini. "Selepas itu, barulah saya boleh aktif semula dalam lakonan," tuturnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails