Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Zara Zya Kecewa Dituduh Mulut Jahat

Pelakon Zara Zya berasa kecewa apabila dituduh bermulut celupar dengan menjaja cerita buruk mengenai aktor Azlee Khairi kepada orang di sekelilingnya. Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 29, berkata, dia terkejut dituduh sebegitu sedangkan tidak pernah menjaja cerita-cerita buruk orang kepada mana-mana individu selain menganggap tuduhan itu sebagai fitnah semata-mata. "Mula-mula rasa geramlah juga apabila membaca berita kononnya saya bermulut celupar memburukkan dia (Azlee). Sedangkan saya tak pernah berbuat begitu. "Entah apa tujuan mereka yang menyebarkan cerita seperti itu tentang saya, saya tak tahu. Apa yang saya rasakan ia adalah fitnah," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Ahad. Sebuah akhbar mingguan pada Ahad melaporkan Zara masih lagi bermusuhan dengan pelakon gandingannya menerusi drama Love You Mr Arrogant, Azlee Khairi walaupun kedua-dua mereka menafikan dakwaan tersebut. Malah, laporan itu turut menyatakan sehingga kini Zara suka menjaja cerita buruk mengenai aktor itu sehingga ada pihak menyatakan dia seorang yang bermulut jahat dan celupar.
Dalam pada itu, Zara juga dikatakan sudah mula lupa diri sejak memenangi Artis Baru Wanita Popular bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013) yang berlangsung pada bulan lalu. Tambah Zara, dia menganggap berita yang dikeluarkan itu sekadar gosip semata-mata dan enggan mengambil perkara itu secara serius. "Siapa yang tidak terasa hati apabila berita buruk mengenai kita dilaporkan. Tetapi, tidak apa, saya sudah lama bersedia dengan isu-isu sebegini. "Lapan tahun saya bergelar pelakon dan tiba-tiba nama saya naik hanya kerana drama Love You Mr Arrogant membuatkan saya cukup bersyukur kerana akhirnya orang melihat bakat saya. "Tetapi saya juga perlu tahu ketika orang gembira dengan kejayaan kita, ada juga orang yang tidak senang. Saya akur tentang perkara itu," ujarnya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran Delina yang bakal ditayangkan di TV9 pada September depan. Sementara itu, mStar Online yang cuba mendapatkan penjelasan Azlee tetapi dia gagal dihubungi.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails