Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Che Ta kongsi keterujaan

USIA kandungannya sudah mencecah enam bulan dan dia kelihatan sangat comel dalam keadaan sarat itu. Tidak lama lagi, Rozita Che Wan akan sekali lagi melalui episod melahirkan, setelah hampir 16 tahun tidak mengandung. Hamil semula merupakan satu pengalaman berharga buat Che Ta walaupun sudah berusia 41 tahun. Berkongsi perasaan gembira dan teruja itu, Che Ta mengakui dia sudah tidak sabar menanti kelahiran cahaya mata sulung bagi perkahwinan keduanya. "Syukur, Alhamdullilah, bayi dalam kandungan sihat sahaja. Semuanya baik-baik. Bayi juga sudah mula menendang. Kalau nak tahu, keterujaan ini bukan sahaja dirasai oleh saya malah suami (Zain Saidin) turut terkena tempiasnya. "Cumanya, saya sendiri yang mengalami banyak perubahan. Pada awal kehamilan dulu, nafsu makan saya menjadi-jadi sehinggakan berat badan saya bertambah lebih kurang 17 kilogram (kg) daripada 48 kg kepada 65 kg. "Memang sungguh tidak disangka tapi bersyukur sepanjang kehamilan tidak mengidam benda-benda mengarut. Cuma saya kuat makan burger daging yang selama ini tidak pernah saya suka. "Apa yang saya boleh cakap, saya juga alami perubahan emosi pada satu ketika. Saya jadi cepat marah dan baran disebabkan perkara-perkara tertentu," kata Che Ta. Bermula Aidilfitri lalu, Che Ta hanya berehat di rumah apabila aktiviti seninya akan diberhentikan seketika sehingga bersalin sekitar Oktober ini. "Tidak berlakon mungkin saya rasa tak apa. Sebab kalau kerja, saya boleh cepat stress. Jadi, apa salahnya saya berehat di rumah seketika. "Saya sudah ada syarikat produksi sendiri yang menerbitkan drama dan program televisyen. Itu mungkin sudah cukup selain bayaran menjadi duta kepada beberapa jenama sepanjang saya berehat nanti," tutur ibu kepada Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16. Kekok setelah lama tidak memegang bayi, Che Ta memberitahu dia merancang akan menjaga sendiri bayinya nanti sehingga habis tempoh menyusu dan tidak percaya dengan orang lain termasuk pembantu rumah. Belajar pegang bayi Bakal bergelar ayah buat pertama kali, Zain mengakui dia juga sudah tidak sabar dan berdebar menunggu kelahiran anak perempuannya itu. "Isteri mengandung, saya juga rasa debaran itu. Ini adalah anugerah terindah bagi saya sejak bergelar suami tujuh bulan lalu. "Rasa debar itu semakin bertambah apabila saya akan memegang perut isteri dan dapat rasai sendiri pergerakan anak di dalam kandungan itu, "Memang tidak dapat digambarkan perasaan ketika itu lagi-lagi masa untuk bayi itu dilahirkan semakin dekat. Saya cuma mampu berdoa agar semuanya selamat dan berjalan lancar," katanya yang kini akan belajar cara memegang bayi. Mengenai persiapan menyambut bayi, Zain berkata, semuanya sudah lama dibuat dan baju-baju bayi sudah dibeli serta diborong di London. "Tindakan itu sebab terlalu teruja. Baju-baju yang dibeli semuanya berwarna putih. "Sebagai ketua keluarga saya tidak kisah untuk bekerja keras mencari rezeki jika isteri membuat keputusan untuk berehat beberapa tahun selepas ini," jelasnya yang juga akan berpindah ke rumah baharu mereka di Setia Alam tidak lama lagi. Kegembiraan berganda Aidilfitri Aidilfitri yang baru disambut Isnin lalu memberikan kegembiraan berganda buat Che Ta. Mengambil keputusan untuk pulang beraya di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah hari raya kedua, semuanya disambut penuh kemeriahan. "Pagi raya kami sambut di Kuala Lumpur. Memang seronok sebab dapat beraya bersama mak mentua. Selama ini saya tidak ada mentua, sekarang dah kahwin sudah ada. "Untuk pakaian kami di hari raya, semuanya dibuat oleh saya. Tahun ini saya tempah 10 pasang baju berlainan warna semata-mata mahu menyambut raya," jelas Che Ta. Jika tahun sebelumnya, keluarga Che Ta akan berkumpul dan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga, tahun ini sekali lagi mereka mengekalkan tradisi tersebut. Syawal pertama kali sebagai suami isteri, Zain juga turut meminta isterinya untuk menyediakan juadah istimewa seperti lontong memandang itu merupakan juadah kegemarannya. "Bercuti selama enam hari merupakan satu peluang keemasan buat saya. Masa yang ada akan digunakan sebaik-baiknya untuk merapatkan silaturrahim sesama keluarga. "Selepas itu, saya terpaksa menyambung penggambaran," tambah Zain.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails