Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Jehan Miskin balik Korea Selatan setahun sekali

BERTEMU dengan pelakon, pengarah dan penerbit, Jehan Miskin baru-baru ini pada majlis pelancaran drama bersiri terbaharu arahannya yang berjudul Seludup di KL Life Center, Kuala Lumpur, tubuhnya kelihatan sedikit berisi. Tersenyum manis ketika disapa pihak media, Jehan, 34, mengakui berat badannya semakin bertambah sejak bergelar suami kepada Julie Camelia Rhee, 30, yang dinikahi pada Mei tahun lalu. Bahagia dengan kehidupannya hari ini, Jehan memberitahu, Seoul, Korea Selatan tempat asal isterinya, kini umpama rumah keduanya. “Sebelum berkahwin saya pernah melawat Korea Selatan tetapi sebagai pelancong. Bagaimanapun, setelah berkahwin perasaannya agak berbeza. “Saya baru sahaja pulang dari Jepun dan Korea Selatan untuk melawat keluarga isteri. “Sekarang, pergi ke mana sahaja di Korea Selatan saya tidak perlu menempah pemandu pelancong kerana terdapat ramai ahli keluarga isteri yang secara sukarela membawa saya berjalan-jalan di sana. “Bukan setakat berjalan-jalan, saya juga akan diperkenalkan kepada seluruh ahli keluarga. Alhamdulillah, mereka menerima kehadiran saya dengan baik,” katanya. Ucap Jehan, disebabkan Korea Selatan sudah menjadi rumah kedua atau kampung halaman baharu buatnya, Jehan bercadang untuk pulang ke negara berkenaan setahun sekali sebagai rutin keluarga mereka. “Sebolehnya, saya mahu pulang ke sana setahun sekali menjenguk keluarga isteri. Seronok berada di sana walaupun makanan dan budayanya sangat berbeza,” tutur Jehan. Bercakap tentang Aidilfitri pada tahun ini, Jehan memberitahu, kini isterinya menetap sepenuhnya di Kuala Lumpur dan mereka meraikan sambutan raya bersama di Malaysia. “Sama seperti saya, isteri juga sudah dapat menerima budaya Malaysia dengan baik. Raya tahun ini merupakan kali kedua sebagai suami isteri. “Rasanya lebih seronok kerana saya akan mengambil cuti yang tidak berapa panjang tetapi akan habiskan masa itu bersama keluarga,” katanya yang akan kembali ke set penggambaran Seludup selepas sambutan Aidiltri kali ini. Seludup taruhan terbaharu Jehan Seludup dihasilkan selepas kejayaan drama bersiri terbitannya sebelum ini, What If yang disiarkan di 8TV. Drama 13 episod yang diterbitkan oleh syarikat miliknya, Mastermind Group Sdn. Bhd. itu akan mula ditayangkan di saluran Astro Prima pada 5 Disember depan. “Sebenarnya, idea untuk menghasilkan Seludup datang pada tahun lalu. Waktu itu saya banyak membaca topik berkenaan penyeludupan di akhbar dan internet. “Bagi saya, penyeludupan satu isu yang serius dan menarik untuk dikupas. “Saya sedar isu ini agak sensitif kerana ia melibatkan banyak pihak, sebab itu saya bertemu dengan pihak berkuasa seperti Kastam untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas,” katanya. Namun begitu, drama yang mempertaruhkan bakat lakonan Pekin Ibrahim, Tiz Zaqyah, Namron, Raja Ilya dan Shafie Naswip itu bukan suatu dokumentari. Sebaliknya jelas Jehan, Seludup sama seperti drama lain yang mempunyai nilai hiburan dan sarat dengan pelbagai konflik. Cuma, subjek dalam drama arahannya itu berkisar tentang penyeludupan. “Saya tidak mahu penonton keliru. Walaupun subjek yang saya pilih agak berat dan serius tetapi saya akan olah supaya ia menarik. “Selain berhibur, penonton juga dapat mesej sebaliknya iaitu jauhi penyeludupan. Ini kerana dalam tidak sedar ramai yang menyokong industri penyeludupan. “Jika tidak ada permintaan yang tinggi, industri penyeludupan tidak akan hidup,” ucapanya penuh serius. Apabila disoal sudah bersediakah dia untuk berhadapan dengan risiko sekiranya diganggu oleh mereka yang melihat usahanya sebagai ancaman kepada industri penyeludupan, jawab Jehan: “Saya tidak rasa drama ini akan membuatkan mereka yang terlibat dalam aktiviti itu berasa terancam. “Ini hanyalah drama dan saya selitkan mesej supaya masyarakat sedar akan perkara ini. “Memang akan ada risiko tetapi saya kena buat juga bagi memberi kesedaran kepada semua. “Rasanya tidak akan jadi masalah besar kerana drama ini tidak ditujukan kepada mana-mana pihak. Walaupun tersirat dengan mesej tetapi ia sarat dengan hiburan.”

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails