Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mila berubah

SEORANG demi seorang selebriti tempatan mengambil keputusan untuk berhijrah demi menurut suruhan Allah SWT atas kesedaran diri dan bukan kerana paksaan daripada orang lain. Terbaharu yang melakukan perubahan itu adalah penyanyi Mila Jirin yang sudah menutup auratnya sejak akhir Ramadan lalu. Menurut juara Akademi Fantasia musim kelima, hasrat untuk menutup aurat itu sudah lama terpendam, namun baru-baru ini baru terlaksana. “Semua itu berlaku tiba-tiba sahaja. Satu pagi tu sewaktu menonton televisyen saluran Oasis ada di siar zikir, hati saya terus berkata, kenapa perlu tunggu untuk pakai tudung. Baik aku pakai sekarang. “Bila saya beritahu pada ibu, dia amat gembira dan terus mencari tudung-tudungnya untuk diberi pada saya. Dari situlah bermulanya saya berhijab," ceritanya kepada Hits. Mila yang selesa mengenakan tudung bawal berkata, perubahan imej tidak sedikitpun mengganggu perjalanan kariernya. “Saya ni penyanyi, jadi tidak ada masalah. Kalau pelakon itu mungkinlah kena jaga batasan apabila berlakon, tidak lagi boleh beraksi seperti sebelum berhijab. “Apa pun saya percaya, setiap perubahan (berhijab) yang dilakukan oleh selebriti ada hikmah kerana semua orang ingin mencari keredaan-Nya. Saya percaya setiap orang ada rezeki masing-masing," katanya. Rancak bisnes Selain menyanyi, Mila atau nama sebenarnya Noorsyarmilla Jirin, 27, kini aktif berniaga. Antara bisnes Mila adalah Luvmila Corporation yang memberi tumpuan kepada pengurusan majlis dan video korporat, restoran Embun Urai di Puchong, Biz Milla Trading (menjual pakaian secara online) dan Biz Milla Catering. Jelasnya, sejak membabitkan diri dalam bidang perniagaan secara serius, masa senggangnya agak terbatas, namun dia gembira. “Apa yang saya lakukan sekarang adalah untuk masa hadapan. Lagipun saya suka dengan apa yang saya lakukan. Macam jualan baju, bukan setakat menjual, saya turut terbabit dalam pemilihan dan mereka fesyen. “Kebanyakan kain-kain baju rekaan saya dibeli di China dan dijual pada harga yang berpatutan sekitar RM65 hingga RM200 sebab sasaran saya adalah untuk golongan pelajar dan pekerja biasa," katanya. Jelas Mila, dia memilih untuk menjual baju kurung kerana fesyen itu tidak pernah luput dek zaman dan baju itu boleh dipakai dalam semua acara. Bercerita lebih lanjut tentang perniagaannya, Mila berkata, Biz Milla Catering bukan sekadar menawarkan perkhidmatan katering malah merangkumi pakej perkahwinan yang menyediakan dewan serbaguna di Bukit Jelutong, Shah Alam. “Selalunya bila orang buat majlis perkahwinan, bukan setakat mencari katering, lokasi majlis juga perlu diambil kira. Memandangkan kadang-kadang sukar untuk dapat lokasi, pihak saya turut menyediakan dewan untuk majlis tersebut. “Pihak saya bukan sahaja menyediakan makanan, dewan, malah kami turut menyediakan perkhidmatan video. Kiranya pengantin hanya datang bawa diri sahaja," katanya. Karier macam biasa Bila melihat Mila sibuk dengan bisnes, ramai yang berpendapat pasti dia melupai dunia seni. Mana mungkin Mila meninggalkan bidang yang sudah sebati dengan dirinya. Kata Mila, biar sibuk dengan perniagaan, dia tetap menerima tawaran mengadakan persembahan pentas. Malah di waktu yang sama, Mila juga sedang membuat persiapan untuk tampil dengan lagu baharu, Boneka, ciptaan Kunci Demak dan lagu duet dengan Nubhan, Hampir Jauh, ciptaan Omar K. “Perjalanan karier saya tetap berjalan seperti biasa, mungkin sekarang ini tidak sibuk seperti dulu. Apa pun saya tetap ambil tawaran persembahan kerana dari situ baru orang tahu yang saya ini tidak pernah berhenti menyanyi. Kalau nak harap album memanglah lambat. “Jadi sementara menunggu ada lagu baharu, persembahan pentas tidak pernah saya tolak. Lagipun persembahan begitu tidak ambil masa yang lama. Saya tidak pernah terfikir untuk mengundurkan diri daripada bidang seni, biarpun penampilan saya berubah kerana menyanyi juga adalah punca pendapatan saya," katanya. Bakal suami tidak halang Semua orang sudah tahu yang Mila bakal melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan dengan jejaka pilihan hati yang sudah dikenalinya sejak beberapa tahun lalu. “Memang kami sudah kenal lama dan dia juga tidak pernah menghalang saya untuk bergiat dalam bidang seni atau perniagaan. Dia sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada saya. “Bila saya beritahu akan melangsungkan perkahwinan, ramai yang nak tahu siapa dia. Biarlah rahsia dulu, bila sudah sampai hari yang ditetapkan barulah saya tunjuk wajahnya. Lagipun dia sendiri yang enggan dikenali," cerita Mila tentang kekasihnya yang berusia awal 30-an itu.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails