Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Raya pertama Tasha, Han

PERTAMA kali memakai kostum raya, khusus untuk Aidilfitri kali ini, Tasha Shilla dan lelaki yang cukup istimewa dalam kehidupannya kini, Wong Han Chen atau Han sebaliknya bukan meraikan hari perayaan tersebut bersama-sama. Mereka sebenarnya memakai pakaian raya itu untuk sama-sama menghadiri rumah terbuka Aidilfitri buat pertama kali bersama iaitu pada Sabtu 2 Ogos lalu bersamaan pada hari raya keenam. Kebetulan Tasha yang dihubungi menerusi telefon pada hari raya keenam tersebut menegaskan, dia dan Han bakal beraya pada sebelah malamnya di rumah keluarga dua sahabat Han yang hanya dikenali sebagai Aiman dan Imran di Subang Jaya, Selangor. "Han tinggal bersama keluarganya di Wangsa Baiduri, Subang Jaya. Di situ, dia sudah biasa dengan kejiranan Melayu. Aiman dan Imran yang tinggal di situ bersama keluarga masing-masing merupakan kawan baik Han," jelas Tasha. Cerita Tasha mengimbas kembali sambutan Aidilfitri pada Isnin, 28 Julai lalu, pada mulanya dia merancang untuk membawa Han pulang beraya di kampungnya di Kulai, Johor. "Namun, Han tak dapat cuti daripada tugasannya," ujarnya tentang Han yang kini mengusahakan bisnes keluarganya. Tambah Tasha: "Tasha balik beraya di Kulai pada hari raya pertama selepas terlebih dahulu beraya di kediaman keluarga Tasha di Ampang, Selangor. "Kami bertolak ke Kulai pada pukul 11 pagi, konvoi dua buah kereta. Tasha, mama (ibu) dan adik Tasha satu kereta, manakala keluarga bapa saudara Tasha naik kereta yang sebuah lagi. Bapa Tasha memang tak ikut pulang ke Kulai." "Menariknya, tiada kesesakan lalu lintas, kira-kira empat jam dah sampai di Kulai. Namun, Tasha beraya di sana tidak lama, dua hari sahaja. Pada hari raya ketiga, kami sudah pulang ke Ampang." Bagaimanapun, Tasha mengakui Aidilfitri kali ini tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelumnya. "Sememangnya, Aidilfitri bagi kita yang sudah dewasa ini tidak semeriah ketika zaman kanak-kanak. Biasanya di Kulai, Tasha dan keluarga berkumpul di rumah mak ngah. "Adik-beradik mama termasuk dia, kesemuanya berjumlah 12 orang dan mak ngah merupakan anak perempuan sulung. Tapi tahun ini, tak ramai anak-anak mak ngah pulang beraya di Kulai kerana beraya di rumah mertua masing-masing. "Jadi, itu antara yang menyebabkan raya di sana kali ini tidak begitu meriah," ujar Tasha yang menggemari lemang dan rendang sebagai juadah utama di hari raya. Diragut emosi Gaza Namun, kemeriahan raya sebenarnya telah dialami Tasha lebih awal, sejurus sebelum hari sambutannya. Ujar Tasha, biarpun dia dan keluarga memilih untuk lebih bersederhana menyambut raya kali ini, namun persediaan raya, terutama membeli baju raya tetap tidak dilupakan. "Sudah menjadi tradisi pada setiap tahun, kami sekeluarga akan pergi membeli baju raya pada malam raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur sebelum berkumpul di rumah bapa saudara saya yang seorang lagi di Ampang. "Dia merupakan adik lelaki bongsu dalam kalangan adik-beradik mama. Tambah meriah, apabila kali ini Han turut menyertai tradisi malam raya keluarga Tasha," ujarnya. Tambah Tasha: "Kami berada di Jalan TAR sejak pukul 11 pagi sehingga 11 malam, sebelum ke rumah bapa saudara saya itu dan lepak di sana sehingga pukul 2 pagi. Di rumah bapa saudara saya itu, dah macam sambutan raya sebab terhidang pelbagai juadah terutama kesukaan Tasha, apa lagi kalau tidak kuah lodeh, rendang dan kari ayam." Menurut Tasha lagi, dia juga membuat persediaan raya untuk dirinya pada saat akhir. "Tiga hari sebelum raya, Tasha baru berkesempatan membeli dua pasang baju raya di Ampang Park, Kuala Lumpur. Pada tahun ini, Tasha memilih tema klasik dengan potongan sedikit longgar berbanding kostum raya potongan moden yang Tasha gayakan pada tahun lepas. "Kebarung berwarna biru yang merupakan warna tema baju raya keluarga Tasha digayakan pada hari raya pertama. Sepasang lagi, baju kurung Johor yang berwarna hijau pula, Tasha pakai untuk ke rumah terbuka Aidilfitri bersama Han itu," ujarnya. Dalam pada itu, Tasha mengakui secara amnya, sambutan rayanya kali ini kurang ceria berbanding tahun-tahun sebelumnya, meskipun dengan kehadiran Han. "Tasha akui diragut emosi kesedihan terutama daripada apa yang menimpa umat Islam di Gaza serta tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 dan MH370. " Itu semua memang memberikan impak terhadap sambutan raya Tasha kali ini," ujarnya yang mula kembali ke lokasi penggambaran pada hari ini, 4 Ogos untuk telemovie sempena Hari Kemerdekaan berjudul, Nasi Air dan drama bersiri, Takdir Zulaikha. Fotografi raya di Barcelona
Paling menarik pada tahun ini, Tasha berpeluang membuat sesi fotografi raya bersama Kosmo! di Barcelona, Sepanyol dengan kostum ditaja butik Diandra_Couture. Tasha sebenarnya menyertai rombongan artis berkunjung ke Barcelona, Sepanyol dari 23 hingga 30 Jun lalu yang ditaja butik mutiara terkenal, Rafflesia, The Pearl Center dan syarikat penerbangan antarabangsa, AirFrance itu bersama empat lagi artis terkenal tanah air, Fizo Omar, Kamal Adli, Miera Leyana dan Hairul Azreen. Han turut serta dalam rombongan tersebut. "Tasha bawa Han bersama ke Barcelona untuk meluangkan masa berkualiti bersamanya dan bagi berbincang tentang masa depan kami," akuinya yang mula berkenalan dengan Han pada Oktober tahun lepas. Sudah banyak kenyataan media Tasha, 27, tentang Han, 24, sebelum ini tetapi belum ada lagi sebarang pandangan peribadi daripada Han tentang Tasha yang didedahkannya kepada umum. "Ya, Tasha memang cinta pandang pertama saya," akui Han tulus, ketika ditanya tentang apakah perasaannya ketika mula-mula bersua dengan Tasha. Tambah Han, apa yang membuatkan dirinya tertarik dengan Tasha ialah personaliti pelakon yang pernah muncul dalam filem Ratu The Movie itu. "Tasha seorang yang straight forward (berterus terang). Ketika kami mula diperkenalkan, spontan dia bertanya kepada saya, adakah saya sudah ada kekasih (ketika itu), dan saya jawab, tiada. Selepas itu, dia terus tanya, adakah saya nak masuk Islam, saya jawab, tiada masalah," jelasnya. Ujar anak sulung daripada tiga beradik ini, dia tidak mempunyai masalah apabila berkaitan pegangan agama kerana keluarganya jenis terbuka. "Selama mengenali Tasha, hati saya semakin dekat untuk mendalami Islam. Tasha tak pernah memaksa saya untuk menukar agama dan dia biarkan saya memikirkan sendiri mengenainya," ujar Han. Pertunangan Membicarakan tentang perjalanan kehidupannya, menurut Han, pada usia 18 tahun lagi, dia sudah bekerja dengan syarikat bisnes keluarganya yang berpangkalan di Subang Jaya, Selangor. "Menjelang usia 20 tahun, saya mula membabitkan diri dengan Muay Tai dan pernah menyertai kejohanan seperti Ladder Match Malaysia Mixed Martial Arts (MIMMA)," katanya. Tutur Han lagi: "Ibu saya menyenangi Tasha kerana dia cakap sejak saya rapat dengan Tasha, saya berubah menjadi lebih fokus dalam hidup." Memandangkan Han sudah dalam proses memeluk Islam, ia menjadi bukti bahawa hubungan Tasha dan Han kini berada pada tahap serius dan seterusnya bakal memasuki fasa perkahwinan. Hal itu diakui Tasha yang pernah membuat kenyataan sebelum ini bahawa mereka dijangka berkahwin pada tahun hadapan. Namun, apa pula kata Hans sendiri. "Ya, saya sudah sedia untuk mengahwini Tasha," ujarnya. Tambah Han, selain bakal memeluk agama Islam, dia juga memikirkan masa hadapan dengan lebih serius dari segi karier yang lebih menjaminkan masa hadapan apabila mereka berkahwin kelak. "Memikirkan untuk masa depan saya dan Tasha, saya kini kembali menguruskan bisnes keluarga," akui Han. Justeru, adakah Tasha dan Han akan bertunang terlebih dahulu? "Mama Tasha cakap, tak payah bertunang, terus kahwin sahaja. Tasha pun setuju selepas bincang dengan keluarga. Sebab Tasha pun jenis tak suka buat perancangan, kalau nak buat sesuatu perkara, Tasha terus lakukan sahaja," ujarnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails