Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tepis gosip rumah tangga bergolak - Raja Farah

EMPAT tahun lalu, Raja Farah Raja Aziz, 26, membulatkan tekad untuk mengurangkan aktiviti seni dan memberikan sepenuh fokus kepada rumah tangga dan keluarga. Rezeki yang tidak berpihak buat pasangan Raja Farah dan suaminya, Megat Bashirun Qhuyum Datuk Zakaria, 29, untuk menimang cahaya mata sepanjang tempoh itu memaksa pelakon filem Aku Masih Dara itu mempertimbangkan kembali keputusannya sebelum ini. "Sepanjang empat tahun bersama suami, selama itu saya rasa keseorangan. Bukan bermakna kami berdua bermasalah, tetapi impian untuk mempunyai cahaya mata sendiri masih belum kesampaian. "Jadi, timbul idea untuk saya kembali aktif semula berlakon dan dia (suami) pula mengizinkan saya. Namun, masih ada garis panduan yang perlu saya ikuti sebagai seorang wanita yang sudah berkahwin. "Dia pula selalu berada di Pulau Perhentian (Terengganu) bekerja sebagai jurulatih selaman di sana sejak dua tahun lalu memaksa saya untuk mencari alternatif untuk membunuh rasa bosan itu dengan berlakon," katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar Doa Untuk Malaysia di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini. Raja Farah percaya apabila dia membuat keputusan untuk kembali aktif dalam bidang seni, pengarah dan produksi sendiri sudah sedia memahami situasi serta batasan dirinya sebagai wanita berhijab yang sudah bersuami. Terkini, dia sedang menjalani penggambaran sebuah drama 13 episod adaptasi novel berjudul, Salju Sakinah terbitan TV Alhijrah bergandingan dengan pelakon Yus Waisar di Johor. Rumah tangga berkocak
RAJA FARAH bersyukur kerana sekadar mengalami kecederaan ringan selepas terbabit dalam kemalangan tempoh hari. Berjauhan dengan suami sejak tahun 2011 atas tuntutan tugas, tidak menjadi bukti sebarang spekulasi yang bertiup kencang kononnya rumah tangga pasangan itu sedang dilanda badai. Dia mengakui, adakalanya perselisihan faham tetap berlaku sebagai pasangan dalam alam rumah tangga. Namun, ia diselesaikan dengan baik dan tegas Raja Farah, tidak timbul sebarang cerita negatif mengenai keharmonian rumah tangganya. "Banyak konklusi boleh dibuat cuma apabila berkaitan peribadi saya lebih suka mendiamkan diri. Kami tiada sebarang masalah besar cuma biasalah kalau bergaduh manja. "Saya akui, tahun lepas adalah waktu paling genting dalam hubungan kami kerana kami sering berjauhan. Dia di Pulau Perhentian dan saya pula sibuk dengan penggambaran program Rasa Halal Antarabangsa di luar negara. "Sehingga ada pada satu ketika, pernah dua bulan kami tidak sempat berjumpa. Dia balik ke Kuala Lumpur, saya pula terbang ke luar negara dan begitulah sebaliknya. "Jadi, orang melihat saya jarang bersama suami dan lebih banyak keluar bersendirian atau ditemani ibu saya sahaja, kemudian timbul macam-macam andaian. Pinta saya, doakan yang terbaik untuk kami sekeluarga," jelasnya. Anak angkat
Penyelesaian terbaik untuk mengelakkan perselisihan faham masyarakat terhadap kebahagiaan Raja Farah dan Megat Bashirun Qhuyum adalah kembali meluangkan lebih masa bersama-sama. "Saya mengambil keputusan untuk berpindah ke Pasir Mas, Kelantan dan tinggal bersama suami di sana sejak bulan Januari lalu. Kebetulan rumah yang kami sewa berdekatan dengan keluarga mentua. "Bukan untuk saya menepis spekulasi yang timbul, sebaliknya mahu meluangkan lebih masa bersama dan berusaha untuk mendapatkan zuriat. "Mungkin selepas ini kami akan kembali menetap di Kuala Lumpur dan suami saya akan mengusahakan perniagaan bersama bapanya," ujarnya. Raja Farah tidak menafikan dakwaan bahawa dia dan suaminya sedang berusaha untuk mendapatkan seorang anak angkat buat penyeri hidup mereka berdua. "Sebelum ini kami hampir mengambil seorang anak angkat lelaki tapi mungkin Allah tidak mengizinkan apabila pada waktu yang sama saya mendapat tawaran berlakon drama di Johor. "Jadi, saya risau tidak mampu memberikan sepenuh tumpuan kepada bayi itu. Tapi sekarang suami saya serius sedang berusaha untuk mendapatkan anak angkat lain untuk kami," tambahnya. Kemalangan Berita yang mengejutkan berlaku kepada pelakon drama Manjalara itu apabila dia dikhabarkan terbabit dengan kemalangan jalan raya di Batu 10, Tangkak, Johor pada lewat malam 15 Julai lalu. Kejadian yang berlaku hanya membabitkan dirinya yang memandu berseorangan untuk pulang ke Johor selepas menghadiri sesi fotografi di Kuala Lumpur pada siang hari yang sama. Menceritakan kembali pengalaman terbabit, kata Raja Farah, dia bersyukur kerana terselamat daripada kemalangan itu walaupun beberapa anggota badannya mengalami lebam-lebam. "Ketika memandu lebih kurang pukul 12 tengah malam saya ternampak kelibat 'benda' tiba-tiba melintas di hadapan kenderaan saya, jadi saya cuba mengelak dan akhirnya terbabas ke kiri jalan. "Akibat membrek secara mengejut saya merempuh benteng simen dan beberapa batang pokok di tepi jalan. Mujurlah kereta saya tidak terhumban ke dalam gaung yang kurang beberapa meter daripada saya. "Dada saya terhentak di stereng kereta, kaki saya tergeliat dan lutut saya juga lebam-lebam kerana kemalangan itu. "Selepas kereta berhenti, saya menanti lebih kurang lima minit sebelum ada kenderaan lain yang datang membantu," katanya. Akibat kemalangan itu, Raja Farah yang memandu kereta jenis Perdana berwarna hitam milik pembantu produksi drama lakonannya kerugian lebih RM10,000.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails