Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

KEJUTAN HARI LAHIR - IZARA AISHAH TERHARU DIRAI PEMINAT

"Early Birthday surprise from shiseidomalaysia! Thank you I love you," begitulah kata Azara Aishah sebaik mendapat surprise kek bertingkat sempena hari lahirnya yang ke-22 kelmarin. Untuk info, surprise tersebut telah diadakan dalam majlis pelancaran produk terbaru jenama kosmetik Shiseido di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini. Lebih menarik dan meriah, ia turut disaksikan peminatnya dengan iringan nyanyian lagu 'Happy Birthday’ daripada mereka semua. "Saya rasa amat terharu dengan kejutan ini terutama sekali apabila dapat meraikan bersama-sama peminat tersayang," ujar Izara ringkas. Selamat hari lahir Izara!

Awie belum sedia cari isteri lain

TERHERET sehingga ke mahkamah, kemelut permasalahan Awie dan isterinya Rozana Misbun telah sampai ke kemuncak apabila vokalis Wings itu berjaya mendapat hak penjagaan kelima-lima orang anak mereka, tiga bersama Rozana dan dua lagi bersama isteri terdahulu, Arni Nazira. Parah terduduk dek bermacam-macam tuduhan, Awie membuktikan bahawa dia seorang lelaki yang tidak gentar berdepan lawan. Dia semakin optimis membina semula kerjaya dan kehidupan peribadinya yang hampir musnah. Biar harus bermula dari kosong, Awie perlahan-lahan mengukuhkan kewangan demi menyara kehidupan bersama lima orang anaknya. “Dalam usaha untuk memulakan kembali kehidupan saya daripada kosong, saya terpaksa menolak banyak tawaran. “Awalnya saya telah menolak tawaran berlakon Supermokh Sebuah Muzikal Restaging tapi Hans Isaac telah memujuk dan memberikan saya semangat untuk berlakon, saya terima watak kerana pujukan Hans. “Saya juga telah menolak tawaran menjadi pengetua Akademi Fantasia 2014 dengan alasan tidak mahu mengganggu reputasi program itu memandangkan kes mahkamah saya yang sedang berlangsung. Jadi lebih baik saya undur diri. “Bagi saya, ini perjuangan yang baharu. Saya mahu teruskan walaupun perit dan malu untuk keluar rumah tapi saya perlu lakukan kerana anak-anak saya,” ujarnya yang ditemui pada majlis ramah mesra dan tayangan perdana filem Dollah Superstar di Cineleisure, Mutiara Damansara baru-baru ini. Hasil perkahwinan Awie bersama Rozana, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6 dan Puteri Qasseh Antasha, 4. Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12. Anak nyawa Awie Tidak malu mengakui bahawa dia juga banyak belajar daripada kesilapan, namun segala yang yang hitam itu harus dilupakan agar kehidupan dan karier tidak musnah menyembah bumi. Sesuatu yang tidak dapat dielak, populariti serta pengaruh yang dimiliki menjadikan Awie masih lelaki hebat di mata wanita. Menanyakan soal wanita dalam hidupnya, rockers yang sering diusik dengan cinta lamanya bersama Erra Fazira hanya tersenyum. Dalam serius Awie menegaskan, dia belum terdesak untuk mencari wanita baharu sebagai individu tempat berkongsi masalah sekali gus menjadi ‘ibu segera’ kepada kelima-lima anaknya. “Saya bercakap secara jujur, belum masanya untuk saya mencari pengganti. Saya ada lima orang anak dan agaknya perempuan gila mana yang mahukan saya dan mampu memberikan kasih sayang kepada kelima-lima anak saya? “Secara logiknya, mampukah seseorang wanita itu menjaga anak-anak saya? Keadaan akan menjadi kucar-kacir, jadi saya harus berfikir dengan waras,” jelas Awie yang masih akur, bahawanya hidupnya tidak lengkap tanpa kehadiran seorang wanita. Tambah Awie: “Sudah tentu saya memerlukan wanita dalam hidup tapi dalam masa sama saya perlu memberikan peluang kepada wanita mengenali dan mencintai saya serta semua anak saya.” Tidak pernah terfikir untuk melepaskan tanggungjawabnya sebagai bapa menyerahkan anak-anaknya di bawah jagaan isteri dan bekas isterinya, Awie rela berkorban nyawa untuk anak-anak yang sedang membesar itu. “Mereka (anak-anak) ialah nyawa saya dan saya tidak boleh berpisah dengan mereka. Kalau boleh, saya mahu melihat mereka membesar depan mata sehingga mereka berkahwin dan mempunyai kehidupan sendiri. “Fokus saya sekarang untuk mencari duit untuk anak-anak dan mendapatkan waktu berkualiti bersama mereka. Kalau saya sibuk, mereka akan saya bawa ke lokasi penggambaran. Kalau ada peluang bercuti, saya akan bawa mereka berjalan-jalan. “Kalau boleh saya mahu menebus semula masa yang pernah saya sia-siakan suatu ketika dahulu. Bukan mahu tunjuk baik tapi mereka perlukan kasih sayang seorang bapa,” tambah Awie. Dollah Superstar Berkongsi perkembangan terbarunya, bintang utama filem komedi aksi Dollah Superstar berkata, filem itu pertama kali menampilkan karakternya sebagai gengster di layar perak. “Ini cerita komedi dan saya bukan seorang pelawak, tetapi berlakon bawah arahan Kabir Bhatia membuatkan saya terfikir bahawa filem ini bakal menjadi sebutan. “Selepas berlakon dengan Afdlin Shauki, Mamat Khalid dan sekarang Kabir Bhatia, ketiga-tiga mereka mempunyai cara pengarahan tersendiri dan karakter Dollah yang saya pegang itu berbeza berbanding watak gengster yang pernah dilihat. “Saya tidak membawa watak komedi tapi karakter itu sendiri yang kelakar,” ujarnya. Selain Awie, filem Dollah Superstar turut menampilkan karisma lakonan Fizz Fairuz, Sharnaaz Ahmad, Neelofa, Aziz M. Osman dan Lan Pet Pet. Filem itu bakal ditayangkan bermula 2 Oktober nanti.

Pasport Aliff Aziz ditahan

Tidak habis lagi rupanya masalah yang ditimbulkan penyanyi muda yang berasal dari negara jiran ini. Terbaru khabar yang Aida dengar, Aliff Aziz tidak lagi dibenarkan menjejakkan kaki bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara lain gara-gara pasport miliknya kini ditahan pihak berkuasa negaranya. Sedikit kisah yang diceritakan kepada Aida, katanya Aliff kini berhadapan dengan tuduhan mencuri telefon bimbit. Tetapi bukanlah bermakna dia yang melakukan jenayah tersebut. Dengar cerita akibat terlalu percaya dengan rakan Aliff pula yang kena tuduh. Mungkin pada waktu pemeriksaan pihak berkuasa, barang bukti itu berada di badan Alif, mahu tidak mahu terpaksa jugalah dia disiasat kini. Menurut penyampai ini kejadian itu berlaku di Singapura, jadi buat masa sekarang semuanya masih berada dalam siasatan. Setakat ini pihak pengurusan Aliff di Malaysia masih kunci mulut tentang kejadian ini, mungkin mereka juga masih bingung untuk membantu. Sudah tentu perkara ini membabitkan undang-undang, kasihan juga melihat pihak Sony Music sendiri pasti ini sedikit sebanyak memberi kesan buat penyanyi di bawah naungan mereka itu. Kalau ikutkan ini bukan kali pertama Aliff dikaitkan dengan kontroversi, tetapi itulah peminat di Malaysia sikap maaf itu akan sentiasa wujud selagi penghibur macam Aliff sedia berubah. Cuma kali ini Aida tidak tahu berapa lama Aliff dilarang keluar dari Singapura, mungkin selepas siasatan agaknya. Kalau benar Aliff berada di pihak yang benar Aida pasti lebih cepat Aliff akan kembali ke dalam industri kita. Tetapi ini prosedur biasa agaknya di sana cuma apa yang Aida faham kalau kes yang membabitkan penahanan pasport ini ia lebih kepada jenayah berat. Kalau kes mencuri telefon, ada ke tindakan sampai sebegitu? Hmmm, sendiri mahu jawablah. Kita doa-doa sahaja Aliff cepat kembali bukan apa sayanglah untuk melihat penyanyi berbakat sepertinya lupus dek kerana kesilapan pada usia muda yang tidak berbaloi. Mungkin saat ini Aliff lebih risaukan masa hadapannya dari karier seorang penyanyi ialah tidak penting lagi sebuah populariti memandangkan Aliff kini pasti lebih mahu kebebasan hakiki.

Intan Ladyana Bertegas Enggan Jumpa Kamal Bincang Hubungan

Pelakon Intan Ladyana menegaskan dia tidak perlu bersemuka dengan Kamal Adli untuk memberi peluang bagi berbincang mengenai hubungan mereka yang sudah tidak apa-apa kaitan lagi. Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamad Yahaya, 32, berkata, sebelum memutuskan untuk berpisah, dia telah pun berbincang tentang perkara itu dan sudah menjelaskan sebab-sebab mengapa hubungan berkenaan perlu diputuskan. "Saya rasa, tiada apa yang perlu dibincangkan lagi kerana ia sudah dibuat sebelum kami putus. "Nak ikutkan... saya dah malas nak cakap tentang perkara ini kerana ia sudah pun selesai," katanya kepada mStar Online. Dalam program Melodi (siaran TV3) Ahad lalu, Kamal meluahkan rasa kesal apabila hubungannya dengan Intan terputus begitu sahaja dan berharap agar dapat kembali menjalinkan hubungan semula dengan aktres itu.
Kata kamal, sehingga kini dia masih lagi tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka tiada lagi sebarang hubungan dan masih mengharapkan agar Intan dapat bersemuka dengannya untuk berbincang tentang hubungan berkenaan. Intan pada 25 Ogos lalu mendedahkan hubungan cinta bersama Kamal sejak enam tahun lalu akhirnya bernokhtah. Keputusan tersebut diambil atas persetujuan bersama yang dilakukan pada akhir Ramadan lalu. Sementara itu, Intan berkata, dia tidak akan mendedahkan sebab-sebab memutuskan hubungannya dengan aktor tersebut kerana ia terlalu peribadi. "Tak payahlah saya nak menjaja cerita tentang cinta yang tidak kesampaian ini, bukannya orang suka dengar pun. "Perkara ini melibatkan saya dan dia, jadi biarlah kami sahaja yang tahu sebab-sebab hubungan ini putus," ujarnya.

INILAH WAJAH ANAK NORYN AZIZ

Jika sebelumnya, wajah anak Noryn Aziz, 38, telah dirahsiakan daripada umum, terkini Noryn akhirnya mendedahkan wajah dan juga nama penuh anaknya itu. Memang sah comel dan nama yang dipilihpun terbaik! 'Raja Bariq Umar Shah' merupakan nama yang diberi oleh Noryn dan suaminya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, 59, yang lahir pada 25 Ogos lalu di di Hospital Prince Court, Jalan Kia Peng. Doa kita semoga Raja Bariq membesar menjadi anak yang bertaqwa kepada Allah SWT. Amin!

MAJLIS BERTUNANG SARIMAH & CUCU RAJA BAGAIKAN MAJLIS NIKAH

And..... were engaged!!! Itulah luahan Sarimah Ibrahim, 36, apabila dia selamat bertunang dengan cucunda Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau lebih mesra dipanggil Jamie, 42, kelmarin di sebuah majlis tertutup yang berlangsung di Hotel DoubleTree by Hilton, Kuala Lumpur. Untuk makluman, majlis pertunangan itu telah dimulakan dengan acara merisik dan bertukar barangan hantaran. Ibu saudara kepada Tunku Jamie, Datin Raja Massaha Raja Harun telah menyarung cincin pertunangan ke jari Sarimah. Pihak lelaki turut menyerahkan tiga dulang dan dibalas lima oleh pihak perempuan. Menurut Sarimah, dia dan tunangnya Jamie sudah sepakat memilih 2 April 2015 sebagai tarikh perkahwinan.
"Tempoh sembilan bulan kalau diikutkan cukup untuk kami kenal hati budi masing-masing, tapi sebenarnya untuk betul kenal seseorang, sembilan tahun belum tentu cukup kerana manusia ini sentiasa berubah. "Tapi kami senang dengan sikap masing-masing yang seterusnya membawa kepada majlis pertunangan ini malah kata putus juga disepakati untuk kami melangsungkan pernikahan yang akan diadakan pada 2 April 2015 nanti," ujar Sarimah dipetik sebagai berkata.
Apa yang menarik, majlis pertunangan tersebut turut dihadiri oleh nenek Jamie iaitu Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tuanku Besar Burhanuddin, ibu bapa kedua belah pihak iaitu Tunku Dara Naquiah Alharhum Tuanku Jaafar, Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha, Ibrahim Ahmad dan Elizabeth Hanlon dan saudara-mara juga rakan-rakan terdekat pasangan itu. Tahniah diucapkan!

Bosan digosip tidur dengan penerbit - Julia Ziegler

KETERLALUAN! Itu tegas pelakon Julia Ziegler, 30, berhubung dua cerita buruk yang mencemarkan namanya yang berlaku secara berturut-turut sepanjang tahun ini. Lebih teruk lagi apabila timbul dakwaan melabel Julia sebagai antara pelakon Malaysia yang diingati hanya kerana cerita-cerita panas. Persepsi buruk itu menjejaskan pelakon berdarah campuran ini sehingga hidup dalam keadaan tertekan sebelum mengambil cuti untuk menenangkan fikiran. "Saya tahu banyak cabaran yang perlu dilalui oleh seorang artis yang mahu mencari rezeki dalam bidang hiburan. "Sebab itu saya hanya mampu mengiyakan apa saja cerita buruk tentang saya kerana orang luar tidak tahu cerita sebenar. Mereka lebih percaya dengan gosip kerana itu kelaziman mereka. "Cara pemikiran begitu yang membuatkan seseorang artis itu berterusan dilabel negatif sampai bila-bila," katanya yang baru pulang bercuti dari Pulau Mabul, Sabah dan Pulau Redang, Terengganu selama dua minggu. Sekitar Mei lalu, nama Julia menjadi bahan perbualan dalam kalangan penggiat industri hiburan kerana didakwa mabuk sewaktu menjalani penggambaran sebuah drama di Sydney, Australia. Malah kisah dirinya semakin panas apabila timbul gosip mengatakan dia menjual diri dengan menjadi peneman tidur kepada seorang penerbit drama kira-kira sebulan kemudian. Mengulas tentang kedua-dua gosip tersebut tegas Julia, dia menjadi mangsa manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat untuk menjatuhkan reputasinya. "Cerita saya didakwa mabuk itu tersebar apabila saya menolak permintaan sekumpulan pelajar di Sydney untuk berhibur. Mungkin mereka tidak puas hati kerana saya memberi alasan untuk bersama-sama rakan lain. "Tapi agak keterlaluan apabila gosip itu turut menyentuh persahabatan saya dengan pelakon Cristina Suzanne yang sama-sama berlakon di sana. "Begitu juga dengan cerita mengatakan saya tidur dengan penerbit untuk mendapat tawaran berlakon. Saya tahu siapa yang menyebarkan cerita itu. Tapi saya tidak mahu memanjangkannya," ujar Julia. Soal hati Mengajukan pertanyaan tentang kebarangkalian dia dilabel negatif kerana kebanyakan watak yang didukung menjurus kepada watak-watak 'hitam', Julia tidak menolak kemungkinan itu. Tegas Julia, watak jahat yang dipamerkan dalam drama hanya untuk mencabar kredibilitinya sebagai pelakon. Namun itu tidak bermakna dia juga memiliki perangai yang sama seperti lakonannya itu. "Saya sudah bosan dilabel jahat. Bukan sekali dua saya dicop sebegitu, sudah banyak kali. Lepas ini biarlah orang nak cakap apa. Yang penting periuk nasi saya terjaga," tegas Julia lagi. Mengubah tajuk perbualan kepada soal hati, seperti kebanyakan wanita lain, Julia juga menyimpan hasrat untuk menamatkan zaman solo namun masih belum dapat direaliasasikan dalam masa terdekat. Mengakui ada masalah untuk mempercayai lelaki apabila kerap bertemu dengan jenis yang tidak jujur namun kata Julia, tidak semua golongan tersebut bersikap sebegitu. "Saya berdoa setiap hari agar berjumpa dengan belahan hati yang sudi menerima diri saya seadanya. Sebab saya tidak memilih. Asalkan lelaki itu memahami dan boleh 'berjalan' bersama-sama saya, itu sudah memadai. "Kalau saya berjumpa dengan yang sesuai, saya tidak akan melengah-lengahkan niat membina masjid. Lagi pun sudah lama saya menunggu saat itu," kata Julia yang menyasarkan dua tahun lagi untuk menamatkan zaman solonya.

Pengorbanan besar Krisdayanti

DIA masih ingat kisah 16 tahun lalu saat mula menapak di negara ini. Ketika itu nama Krisdayanti cukup asing bagi peminat tempatan. Ketika itu dia baru sahaja enam bulan melahirkan anak sulung hasil perkahwinan dengan bekas suami, Anang Hermansyah. Dia hadir ke Kuala Lumpur dan menetap di sini hampir sebulan lamanya. Kunjungan waktu itu untuk mempromosikan album serta dirinya yang masih tercari-cari tempat di sini. Paling diingati apabila sesi bersama-sama peminat yang dibuat langsung tidak mendapat sambutan. Tidak betah dengan situasi itu, dia bertekad untuk bekerja keras dan tidak berputus asa meneruskan cita-cita untuk menakluk peminat di negara ini. "Kenangan itu begitu manis untuk dikenang. Bukan semua orang mampu mengalami situasi sebegitu apatah lagi dalam keadaan yang saya sendiri tidak tahu apa akan jadi. "Tapi saya bersyukur kerana karya saya diterima selepas itu. Peminat dan teman media terutamanya banyak memberikan sokongan dan memberikan berita yang baik sepanjang saya di sini. "Sebagai penyanyi saya menghormati teman media saya. Jika tidak dengan bantuan mereka tidak mungkin saya boleh menempatkan diri setinggi ini sama ada di Indonesia, Singapura mahu pun Malaysia sendiri," jelas Krisdayanti. Baginya perjalanan selama 25 tahun menjadi penyanyi membuatkan dia cukup matang dalam segala hal. Meski pernah mengalami situasi sukar segala-galanya mampu dikendalikan dengan baik. Dan ketika usianya di penghujung 30-an sudah pasti penyanyi yang popular dengan lagu Menghitung Hari ini mahu menghabiskan usia kedewasaan dengan melakukan perkara positif terutama untuk keluarga. Melalui perkahwinan pertama dia dikurniakan Titania Aurelie Hermansyah, 16 dan Azriel Akbar Hermansyah, 14 serta Ariannha Amora Lemos,3, dan Kellen Alexander Lemos, 2, bersama-sama suaminya kini, Raul Lemos yang juga merupakan usahawan Timor Leste . "Sekarang saya banyak menghabiskan masa membesarkan anak-anak di samping menguruskan suami. Saya masih lagi belajar banyak perkara terutama menghadiri acara bersama-samanya. "Dia pasti menegur saya banyak perkara memandangkan usahawan sepertinya juga ada pantang larang. Paling tidak tempat duduk di kiri atau di kanan ketika acaranya juga akan ditegur jika tidak betul," luah adik kepada penyanyi Yuni Shara ini lagi. Kelangsungan MEMPUNYAI anak yang sedang meningkat remaja merupakan cabaran terbesar buat Krisdayanti. Walaupun dia tidak menjaga Aurell dan Azriel, segala perkembangan anak-anak yang dijaga Anang masih diambil tahu. Tambahan pula Aurell sudah berjinak-jinak dalam bidang nyanyian, Krisdayanti banyak memantau perkembangan anaknya yang disifatkan cerdik dan berani menghadapi apa juga situasi. "Sebetulnya sejak dijaga oleh Anang saya jarang bertemu dengan mereka. Hanya pada acara-acara hiburan yang melibatkan kami barulah saya dan Aurell akan bertemu dan menghabiskan masa bersama-sama. "Walaupun tidak membesarkan dia, saya masih mengikuti perkembangannya. Apabila dia mahu menyanyi saya akan memastikan semuanya okey dan dia mendapatkan lagu bermutu. Tidak ada ibu yang mahu melihat anaknya jelik," ujar Krisdayanti tertawa. Akuinya lagi, dia gembira tatkala isteri Anang, Ashanty bertindak sebagai pengurus Aurell dan mereka tidak menghadapi apa-apa masalah untuk berkongsi pendapat dalam menguruskan perjalanan seni Aurell. Pun begitu dia tidak menyembunyikan perasaan risau melihat anaknya yang disifatkan cukup berani memberikan kenyataan kepada umum. Bagi Krisdayanti, tindakan Aurell berani tetapi perlu kena pada tempat dan ketika. "Dia kurang mendengar apabila orang memberikan nasihat. Sebagai ibu saya menitipkan pesanan agar dia mengambil peduli apa sahaja nasihat dan kata-kata orang lain untuk bekalan masa hadapan. "Saya sendiri tidak mudah untuk naik ke tahap ini. Sebahagian usia saya digunakan untuk menempa nama dan itu yang membuatkan saya bertahan. Dia juga perlu menjaga apa sahaja peluang yang ada,"katanya lagi. Terbaharu, Krisdayanti bakal mengadakan konsert Krisdayanti Live In KL 2014 pada 22 November ini di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC). Pada konsert solo yang dianjurkan oleh One Drop Perfume itu dia bakal mempersembahkan kira-kira 30 buah lagu popularnya. Selain Krisdayanti, dia juga bakal membawa Aurell untuk bersama-sama dengannya menjayakan konsert tersebut.

Berlagaknya Mamat Sepah

RASA nak muntah apabila tengok perangai Mamat Sepah! Itu kata seorang pelanggan sebuah spa di Johor Bahru baru-baru ini. Mengapa marah-marah kakak, rileks jangan mengamuk nanti naik pula darah tinggi. Apa pula yang Mamat sudah buat sampai akak rasa menyampah? Jenuh juga Syed korek cerita dan barulah pelanggan ini mahu mendedahkan apa yang telah terjadi. "Bukan apa Syed, akak memang minat dengan Mamat Sepah itu. Bila dah jumpa dengan Mamat tentu akak teruja. Waktu itu dia datang dengan dua orang lagi yang macam pegawai unit beruniform lagaknya. "Masa akak bertembung dengan dia di sebuah spa di Johor Bahru, ingat nak bergambar tapi dia pula mengeluarkan ayat yang kurang sedap dari mulutnya membuatkan akak sakit hati. "Rasanya dia baru sahaja tiba dari Kuala Lumpur ketika itu dan terus ke spa yang dikunjungi oleh akak dan kawan-kawan. Tapi bila masuk saja ke situ macam-macam pertanyaan yang keluar dari mulutnya. "Paling akak sakit hati apabila dia macam merendah-rendahkan spa yang diusahakan oleh orang kita di situ. Kalau rasa tak suka tak payah masuk dan carilah spa yang lebih mewah. "Lagi satu dia cakap 'you all tak kenal I ke?' Berlagaknya, erghhh!" bentak wanita ini lagi. Syed tanya juga spa yang mana satu? Jawab kakak ini spa itu biasa dikunjungi oleh golongan wanita yang mahu mendapatkan rawatan kecantikan dan bukannya spa 'haram' okey. Eh! Syed tak tuduh pun spa haram. Mungkin Mamat bergurau sahaja kot. Dia kan pelawak dan mungkin dia sahaja mengusik orang di dalam itu.

Waktu tepat Hunny & Kayda

SEDIKIT pun tidak wujud penyesalan. Yang pasti, kedua-duanya bersatu dan berbangga membawa panji-panji feminisme menerobos masuk ke dalam dunia muzik hip hop yang didominasi kaum lelaki. Bukan mahu tunjuk lagak atau cuba memperlekehkan penyanyi hip hop lelaki tetapi ada benarnya apabila Hunny Madu menyuarakan bahawa dalam ruang muzik genre itu, tidak ramai penyanyi wanita yang benar-benar mampu menyanyi rap sekali gus menjadi penyanyi hip hop. Apabila ada saja penyanyi wanita yang mahu menonjolkan bakat mereka menerusi muzik ini percayalah, tidak ada yang mampu bertahan lama lantaran tertekan dengan pandangan skeptikal majoriti masyarakat kita yang menganggap hip hop bukan untuk wanita. Cara paling mudah dan selamat, beralih kepada genre muzik lain yang senang kedengaran di hujung telinga. Tidak rugi duit, tidak rugi masa. Bagaimanapun keinginan untuk mengalah bukan sesuatu yang menjadi pilihan bagi Hunny dan Kayda Aziz. Hadir dengan lagu Go Hard Or Gostan, pujian wajar diberikan kepada Hunny dan Kayda kerana memberi kelainan menerusi muzik yang dibawa dengan cara yang tersendiri. Paling penting mereka semakin diterima dan 'menang' di hati pendengar tegar muzik ini yang rata-ratanya bersetuju dan yakin bahawa dua wanita ini mampu menggegarkan ruang muzik hip hop tanah air. Bukan berangan mahu menjadi seperti Missy Elliot, Lil'Kim, Lauryn Hill atau Nicki Minaj tetapi bagi mereka, cukuplah sekadar orang tahu bahawa rencah muzik Hunny Madu dan Kayda Aziz masih mudah dihadam mengikut cara dan budaya orang kita. Rap 'mak orang' - Hunny Madu Wanita berusia 30 tahun ini bukan orang baru dalam industri hiburan tanah air. Namun tidak dinafikan, Hunny sebenarnya lebih popular sebagai penyampai radio jika dibandingkan dengan nyanyian dan penulisan lagu. Hal itu diakui sendiri oleh Hunny yang telah berkecimpung dalam dunia seni hampir 10 tahun. Berkongsi mengenai kemunculan semulanya sebagai penyanyi rap kata Hunny, dia lega kerana sekarang tidak lagi terikat dengan komitmen bersama-sama radio bagi membolehkan dirinya memberi tumpuan penuh kepada bidang nyanyian. Menurut Hunny, dia berbangga kerana peluang itu datang dan segala-galanya umpama dipermudahkan oleh-Nya apabila Kayda hadir dengan tawaran untuk berduet untuk lagu tersebut. "Saya dengan Kayda sebenarnya sudah kenal lama. Semasa itu umur saya 21 tahun dan dia masih di bangku sekolah. Dari dulu saya tahu dia memang berbakat dalam nyanyian rap sebab pernah dengar dia menyanyi. "Tetapi sikit pun dia tak buka mulut mengenai siapa ibu dan ayahnya. Apabila dia bawa saya jumpa kedua-dua orang tuanya, terperanjat saya apabila dapat tahu ibunya adalah Sheila Majid dan ayahnya Roslan Aziz," katanya. Celoteh Hunny lagi, dia sedar apabila berkerjasama untuk projek Mix Tape yang mengandungi single Go Hard or Gostan ini pasti ada yang mendakwa dia sengaja menghimpit dan 'mempergunakan' Kayda kerana mengetahui dirinya anak orang berpengaruh dalam dunia muzik negara namun dia tidak berkecil hati. Baginya itu sekadar satu dakwaan kosong kerana hakikatnya bukan senang meraih persetujuan Sheila Majid untuk membenarkan Kayda terlibat dalam dunia muzik apalagi untuk menghasilkan lagu. "Kalau bukan kerana saya memang sudah kenal lama dengan keluarganya, sukar juga projek Mix Tape ini dijayakan sebab Sheila tak akan lepaskan anaknya kepada orang yang dia tak percaya. Bagi saya Shiela tegas dalam bab ini sebab dia sudah masak dengan dunia hiburan," ujarnya. Bercerita lanjut kata Hunny, biarpun tahu akan ada suara-suara sumbang yang akan memperlekehkan kemunculan semulanya sebagai penyanyi rap, Hunny senang mengambil jalan untuk tidak terlalu memikirkan soal itu kerana baginya dia ada misi dalam perjuangan ini. Tahu orang akan menyindir dirinya yang kini berstatus ibu tetapi menyanyi rap, Hunny optimis menganggap itu tidak lebih daripada sekadar satu jenaka dan dia sudah lama bersedia untuk menjawab cakap-cakap itu. "Sebab itulah dalam lirik lagu itu saya ada sebut pasal hal ini. Betul saya sekarang sudah jadi 'mak orang', mungkinlah ada yang kata tak sesuai nak menyanyi rap. Tapi kalau dilihat, terdapat ramai wanita yang sudah berkeluarga dan punya anak masih bekerja. "Apa yang saya buat ini juga satu pekerjaan. Cuma bidang saya ialah nyanyian. Bagi saya tak ada salahnya kalau seorang wanita berstatus ibu macam saya menyanyi rap sebab saya masih jaga batas saya sebagai seorang isteri dan ibu. Jadi usahlah mempertikaikannya," ujar Hunny. Dalam pada itu kata ibu kepada Eva Medina,2, tahu ini waktu yang tepat untuk dia dan Kayda hadir sebagai penyanyi hip hop. "Kami mahu membuka mata umum yang wanita juga boleh menyanyi rap dengan imej yang berbeza. Selama ini ramai yang fikir wanita tak sesuai bawa genre hip hop sebab tak sopan. Imej selekeh, kasar, ganas. Pendek kata semuanya negatif. "Itu kalau di Barat. Selagi boleh kami mahu menyanyi rap dengan gaya lebih feminin dan sesuai dengan masyarakat kita. Lagu kami pun tak semuanya dalam bahasa Inggeris. Kami menyanyikan rap dalam Bahasa Melayu dan diselit mesej yang bersih dan positif. "Muzik kami ini tidak kosong. Sebab itu saya sangat berharap pendengar dan peminat beri peluang untuk kami buktikan bahawa masih ada pelapis penyanyi rap wanita di negara ini yang sama-sama mengangkat muzik hip hop tanah air," katanya yang bangga dengan peningkatan dan penerimaan ramai terhadap muzik genre ini. Anak Sheila Anak Sheila boleh raplah! - Kayda Sukar menjadi anak orang popular lantaran serba serbi menjadi perhatian. Sudah tentu Kayda atau nama sebenarnya Wan Nur Khaleda, 22, menerima tempias itu. Merupakan anak orang seni berpengaruh dalam negara, Kayda tentunya awal-awal lagi sudah terkena pertanyaan klise yang mengaitkan nama ibu mahupun bapanya sepanjang usaha mahu berdiri di atas tapak kaki sendiri sebagai seorang penyanyi. Namun bagi Kayda, perjalanan seninya bukan senang biarpun orang melihat peluang itu amat mudah diraih berdasarkan profil latar belakangnya. "Sejak di bangku sekolah, saya sudah tahu ke mana arah tuju saya. Dunia muzik bukan satu perkara asing bagi saya sebab ibu dan ayah saya juga orang seni. Disebabkan mereka orang senilah maka saya tidak mudah mendapat persetujuan mereka untuk terjun ke dalam dunia hiburan. "Susah untuk meyakinkan mereka. Ibu terutamanya, dia cukup tegas. Dia tahu saya memang sudah berjinak-jinak dengan dunia muzik, hip hop khususnya, sejak saya berusia belasan tahun lagi. "Kalau ikutkan, sejak usia 13 tahun lagi saya nak menyanyi. Tetapi niat saya itu dihalang oleh kedua orang tua atas alasan saya masih bersekolah dan mereka mahu saya tumpu kepada pelajaran. "Cuma sekitar tahun lepas saya barulah saya dapat lampu hijau daripada mereka selepas melihat saya bersungguh-sungguh serius dalam bidang ini. Itupun dengan beberapa syarat," jelasnya. Menurut Kayda yang juga terlibat dalam penghasilan lirik dan lagu, dia bersyukur kerana perjalanan seninya ini direstui oleh orang tuanya dan itu sudah cukup untuk menjadi penguat semangat buat dirinya. Cuma sebagai anak Sheila Majid dan Roslan Aziz, dia tentunya awal-awal lagi sudah dipesan dengan seribu macam nasihat yang dia tahu semua adalah demi kebaikan masa depannya. "Paling utama mereka pesan, kalau nak buat, kena betul-betul. Tak boleh separuh jalan. Mereka mahu saya gembira dan buat perkara yang menggembirakan jiwa saya. "Saya sudah bersedia untuk menempuh segala cabaran dalam dunia hiburan. Saya tahu orang akan bercakap mengenai saya anak Sheila Majid, dia Ratu Jazz tiba-tiba saya pula jadi penyanyi hip hop. Ya, dari satu sudut mungkin itu memberi tekanan kepada saya sebab orang melihat bayangbayang orang tua saya. "Itu sebahagian cabarannya. Cuma saya perlu kuat untuk mengharungi semua itu. Bagi saya tidak ada salahnya menjadi sesuatu yang berbeza sebab ini pilihan saya. Jazz atau tidak, orang masih akan tetap bercakap itu dan mengaitkan saya dengan ibu. "Saya boleh menyanyikan lagu jazz dan genre lain. Cuma minat saya lebih kepada hip hop. Dari dulu memang saya mahu menyanyikan lagu rap dan saya juga suka terlibat dalam persembahan," katanya yang turut meminati kumpulan Too Phat. Memegang kepercayaan yang diberikan oleh kedua orang tuanya kata Kayda, seperti Hunny, dia juga mahu membuktikan kepada semua bahawa penglibatannya dalam dunia muzik bukanlah semata-mata mahu memeriahkan industri. Tetapi kehadirannya adalah dengan misi dan perjuangan sebagai pelapis penyanyi rap yang mengekalkan ciri feminisme dalam ideologi muzik sebaris dengan artis rap yang telah terlebih dahulu menempa kejayaan.

Ainan Tasneem Kecewa Fitnah 'Tikam Belakang'

Penyanyi Ainan Tasneem tidak terkejut dengan tuduhan mendakwa dia bersikap tikam belakang terhadap wakil promoter yang mendapatkan persembahan untuknya gara-gara ingin mengaut keuntungan. Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Ridzuan, 22, sebaliknya berkata, sejak awal lagi dia sudah menjangkakan berita tersebut akan tersebar dan mengakui mengenali dalang disebalik penyebaran fitnah itu. "Saya sebenarnya hendak tergelak apabila membaca laporan berkenaan kerana pertama sekali ia tidak benar dan saya sudah menjangkakan individu berkenaan akan memburukkan saya kepada media.
"Saya tahu dan kenal siapa 'wakil promoter' itu dan dia pernah mengugut saya untuk menyebarkan cerita tidak baik kepada wartawan kerana tidak berpuas hati," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad. Menerusi ruang gosip sebuah akhbar mingguan pada Ahad, Ainan dilaporkan berpura-pura pulang selepas mengadakan persembahan yang diaturkan oleh wakil promoter namun dia sebenarnya dikatakan menemui pihak penganjur untuk meminta mereka berurusan terus dengannya tanpa menggunakan orang tengah pada masa hadapan. Ainan dikatakan bertindak sedemikian kerana ingin mengaut bayaran seratus peratus tanpa perlu membayar kepada pihak yang mencadangkan namanya membuat persembahan. Dalam pada itu, Ainan berkata, individu berkenaan yang turut bekerja di sebuah syarikat rakaman menyebarkan cerita berkenaan kerana tidak berpuas hati apabila sebuah persembahan melibatkannya diaturkan oleh pengurus yang juga ibu saudaranya. Jelas Ainan, individu berkenaan mempertikaikan tindakan tersebut yang meletakkan syarat sebarang tempahan persembahan perlu melalui pihaknya yang menjadi punca perbalahan di antara mereka. "Sejak awal semasa saya menyertai Music Valley pihak pengurusan maklum tentang urusan persembahan saya diuruskan oleh ibu saudara saya dan mereka tidak mempunyai sebarang masalah tentang perkara itu malah ia lebih memudahkan keadaan.
Tambah Ainan, dia sedar individu berkenaan bersungguh-sungguh menguruskan tempahan persembahannya kerana ingin mengaut komisen dan tidak ikhlas dalam membantunya. "Biarpun sedar akan niatnya saya tetap pergi setiap kali ada acara yang diuruskannya dan tidak pernah sesekali mempertikaikan komisen yang diambil walaupun dia pernah terkantoi mengambil 80 peratus daripada pembayaran dibuat penganjur," ujarnya lagi. Sementara itu, Ainan berkata, pihak pengurusan atasan menyedari akan masalah yang berlaku dan individu tersebut telah pun menukar wakil bagi berurusan dengan pihaknya. Dalam perkembangan lain, Ainan berkata, dia kini sedang sibuk dengan pengajian tahun akhirnya di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan hanya akan menerima pertunjukan pentas sekiranya berkelapangan. Bagaimanapun pihak syarikat rakamannya telah merancang untuk melancarkan album terbaharunya pada penghujung tahun ini.

Anis Al-Idrus Tidak Hirau Kisah Lama Sharnaaz Ahmad

Pelakon baharu dan model Anis Al-Idrus tidak hirau dengan kisah kontroversi yang pernah dikaitkan dengan teman lelakinya, aktor Sharnaaz Ahmad kerana menganggap perkara itu sebagai cerita lama. Anis, 26, berkata, dia tidak pernah menilai Sharnaaz ekoran kisah silam pelakon itu kerana ia tidak adil tambahan pula semua cerita berkenaan tiada sebarang kaitan dengannya. "Itu semua cerita lama yang tidak menggambarkan siapa dirinya hari ini. Saya tidak pernah menilai dia kerana kisah silamnya termasuk hubungannya yang lalu," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Anis berkata, sepanjang dua tahun mengenali Sharnaaz dia menyifatkan lelaki itu berbeza daripada digambarkan menerusi kontroversi. Jelas Anis, selain menganggap Sharnaaz seorang lelaki yang baik, dia juga mudah didekati sepanjang perkenalan mereka. "Dia seorang yang 'selamba' tetapi sangat baik dan sesetengah pihak melabelnya sebagai seorang yang panas baran tidak benar," jelasnya. Tambah Anis, keluarganya juga turut menyenangi sikap Sharnaaz dan mengakui beberapa kali aktor itu bertemu keluarganya. Sementara itu, bercakap lanjut mengenai hubungan mereka, Anis berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu terburu-buru dalam membawa hubungan mereka ke tahap seterusnya dan masih belum bersedia untuk berumah tangga. Jelas Anis, buat masa ini mereka masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing dan meletakkan karier sebagai keutamaan. "Kami masih lagi dalam proses mengenali hati budi masing-masing dan selebihnya kami meletakkan perkara itu kepada jodoh. "Sekiranya dipertemukan jodoh dengan Sharnaaz saya terima tetapi masih terlalu awal untuk bercakap soal perkahwinan," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Anis berkata, selain masih bergiat aktif dalam dunia peragaan dia kini semakin selesa bergelar pelakon dan memberitahu bakal muncul dalam sebuah drama istimewa bersempena tribute khas buat Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee Oktober ini.

Tasha Shilla Sangkal Mengamuk Mahu Cari Dalang Fitnah

Pelakon Tasha Shilla menyangkal dakwaan kononnya dia mengamuk di sebuah lokasi penggambaran gara-gara ingin mencari dalang yang menyebarkan fitnah selepas dikatakan 'berasmara' dengan teman lelakinya, Han. Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abd. Razak, 27, berkata, dia pelik bagaimana cerita terbaharu itu boleh timbul dan berharap segala khabar tidak benar tentangnya dihentikan. "Apa yang ditulis adalah tidak benar dan saya harap hentikanlah segala cerita-cerita yang tidak benar tentang diri saya. "Berilah saya ruang yang tenang untuk saya jalankan kerja saya," katanya kepada mStar Online menerusi pesanan WhatsApp di sini pada Ahad. Menerusi laporan sebuah akhbar mingguan, rakan artis yang rapat dengan pelakon itu memberitahu tindakan Tasha mengamuk itu adalah kesan daripada dakwaan tersebut yang dirasakan sangat besar dan mengaibkan.
Hubungan Tasha dan Han sentiasa mendapat perhatian. Disebabkan perkara itu, penggambaran terpaksa dihentikan dan semua pihak yang bekerja dalam produksi itu cuba memujuk dan menenangkan Tasha. Dalam pada itu, Tasha berkata, dia tidak mampu untuk menahan mana-mana pihak daripada bercakap perkara buruk tentang dirinya dan kesal dengan kontroversi terbaharu itu. Jelas Tasha lagi, dia sedar bukan semua orang sukakannya namun dia berharap diberi ruang untuk memberi fokus kepada kerjayanya sebagai pelakon dan bukannya terhadap cerita gosip murahan. "Saya sedar saya tidak mampu untuk menutup mulut semua orang malahan saya juga sedar tidak semua sukakan saya. Sekali lagi berilah saya ruang," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Tasha berkata, dia kini sedang berada di Kuantan, Pahang untuk menjalani sesi penggambaran drama bersiri berjudul Takbir Zulaikha untuk slot Samarinda di TV3.

Jangan Jadikan Isu Foto Lana Nodin Dengan Pemuda Bertatu

Pelakon Lana Nodin berharap fotonya bersama seorang pemuda bertatu yang dimuat naik di Instagram tidak dijadikan isu besar. Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nordin, 35, berkata, dia terkejut apabila foto yang dimuat naik itu menjadi perbualan hangat pengikut-pengikutnya yang menyifatkan lelaki tersebut tidak layak menjadi kekasihnya kerana mempunyai tatu pada lengan. "Pertama sekali, lelaki itu bukannya kekasih saya pun dan dia hanyalah jurulatih terjun udara (skydive) saya. "Dia seorang lelaki berkacukan Amerika - Korea dan saya rapat dengannya. Tetapi tidaklah sampi menjalinkan hubungan yang serius, " katanya yang dihubungi mStar Online menerusi aplikasi WhatsApp di sini pada pagi Isnin. Lana kini sedang bercuti di negara Jepun selain mengambil kursus terjun udara di negara tersebut. Pada Ahad, Lana telah memuat naik foto bersama seorang puda kacak di Instagram miliknya.
Foto Lana bersama seorang jejaka kacak yang menjadi perbualan hangat pengikut-pengikutnya di Instagram. Foto tersebut mengundang kekecohan di kalangan pengikut-pengikut Lana selepas melihat lelaki berkenaan mempunyai tatu dan tidak layak untuk menjadi kekasihnya. Bagaimanapun ada juga yang mendoakan kebahagiaan mereka berdua. Sementara itu, Lana berkata, dia enggan mendedahkan identiti lelaki itu memandangkan foto tersebut telah mengundang kekecohan. Malah Lana terpaksa membuang foto tersebut daripada laman Instagram kerana dia risau kekecohan tersebut mungkin boleh mengundang perasaan kurang senang individu itu. "Dia merupakan jurulatih bagi angkatan tentera kerajaan sebuah negara dan dia risau sekiranya ia menjadi kecoh. "Sebab itulah saya buang gambar tersebut. Tak adalah orang nak komen bukan-bukan," ujarnya. Dalam pada itu, pelakon drama Cinta Ibadah ini berasa teruja apabila hasratnya mahu menyertai aktiviti terjun udara bakal tercapai. Beritahu Lana, dia kini sedang menjalani latihan di terowong angin (wind tunnel) sebelum melakukan aktiviti terjun udara yang sebenar.

Dimarah isteri gara-gara adegan intim - Shuib Sepah

TERAJU utama filem Amir dan Loqman Pergi Ke Laut (ADLPKL), Shuib (Sepahtu) akui malu dan rasa tertekan melakonkan beberapa babak intim bersama dengan pelakon sensasi, Zarina Anjoulie. Pelakon dan pelawak ini bertindak merahsiakan adegan intimnya itu berikutan mahu menjaga perasaan isterinya, Siti Sarah Raisuddin dan tidak mahu mengeruhkan keadaan. Ketika Sensasi Hits berpeluang bertemu dengan empunya badan ketika majlis tayangan perdana filem terbaharu arahan Mamat Khalid itu di Cathay Cineplexes, Mutiara Damansara, Shuib turut berkongsi pengalaman dan perasaannya sepanjang penggambaran berlangsung. “Kebiasaannya, setiap kali pulang dari penggambaran, saya akan berkongsi cerita dengan dia di rumah. Tetapi untuk babak dengan Zarina, saya tidak cerita kepadanya. Bukanlah niat saya mahu berahsia. “Cumanya, ada ketika jika kita rasakan perkara tersebut akan mendatangkan kemudaratan, lebih baik diamkan sahaja. Sebab saya tahu dia akan bising kalau ada babak yang nampak daring," tutur Shuib memulakan perbualan. Dedah Shuib lagi, isterinya juga agak marah selepas melihat adegan lakonannya bersama Zarina ketika proses dubbing dilakukan. “Ketika proses dubbing, dia ada melihat previu filem ini dan masa itu jugalah dia marah-marah. Dia cakap, patutlah saya nampak gembira sangat bila setiap kali pergi lokasi penggambaran. “Berbanding filem Man Sewel Datang KL dulu, ada juga babak intim bersama Julia Ziegler, cumanya Sarah ikut sekali ke set penggambaran, jadi dia taklah bising sangat. Elok lah dia tahu awal, sebab lambat laun dia akan tahu juga kan," tutur Shuib sambil tertawa. Namun, kemarahan isterinya itu tidaklah berpanjangan. Ini kerana, Zarina sendiri bersikap merendah diri dan datang kepadanya dan memohon maaf beberapa kali andai lakonannya bersama Shuib keterlaluan. Dalam filem tersebut, Shuib memegang watak sebagai Loqman yang terjebak dengan kumpulan gengster. Manakala Zarina pula memainkan peranan sebagai Balqis yang merupakan teman wanita kepada ketua kumpulan gengster yang dilakonkan oleh Soffi Jikan. “Jujur saya katakan, memang malu bawa watak intim dengan pelakon wanita seperti Zarina. Waktu abang Mamat arahkan kami berlakon adegan seperti itu, saya banyak kali tanya pada pengarah betul ke saya nak kena buat macam itu? “Tapi dia sebagai pengarah, tahu apa yang terbaik untuk dapatkan babak yang menarik, jadi saya turutkan sahaja," ulas Shuib lagi yang akui seronok berlakon di bawah arahan Mamat Khalid biarpun baharu pertama kali bekerjasama dengan pengarah tersebut. Sebelum bersetuju untuk membuat beberapa adegan panas berkenaan, Shuib turut ambil masa berfikir sejenak untuk ambil masa bagi benar-benar bersedia. Namun, dia akur dek kerana tugasan sebagai pelakon dan perlu memberi sepenuh komitmen dan perlulah profesional tanpa di pengaruhi emosi. “Ia menjadi sangat malu sebab saya kena lakonkan aksi intim di hadapan puluhan kru produksi. Memang perasaan berat hati itu ada dan bercampur baur dengan rasa bersalah. “Semua orang tahu siapa Zarina Anjoulie. Dari penampilan dia sahaja, orang boleh beranggapan macam-macam. Saya pula sudah berkahwin, takut juga kalau apa-apa terjadi. Sebab itu saya beritahu kalau ada yang terkesan disebabkan adegan itu, abang Mamat lah kena tanggung," ujar dengan nada seloroh. Karya terbaharu Mamat Khalid itu membawakan nuansa komedi samseng. Ia mengisahkan dua orang sahabat baik iaitu Amir dan Loqman yang mahu keluar daripada sebuah kumpulan gengster dengan cuba merompak kedai kerana perlu membayar RM30,000 sebagai syarat keluar daripada kumpulan berkenaan. Filem terbitan Astro Shaw ini turut menampilkan Soffi Jikan, Shuk (Balas), Nadia Mustafar, Kaza dan Rashidi Ishak. Filem ini akan menemui penonton mulai hari ini di seluruh pawagam tanah air.

Susah jatuh cinta - Amyra Rosli

SEKARANG saya masih solo. Tidak ada siapa pun yang sedang mengisi kekosongan hati saya," kata Amyra Rosli berhubung status terkininya setelah impian untuk bergelar isteri kepada pelakon Dazrin Kamaruddin musnah di tengah jalan. Kisah putus tunang dan pembatalan majlis perkahwinan itu bagi Amyra sememangnya ingin ditutup rapat-rapat. Biar tarikh 8 Ogos 2014 lalu hanya lipatan sejarah dan kepingan memori luka dalam kehidupannya. Semua orang memang akan lalui pelbagai cabaran, cuma diuji dengan cara yang berlainan. Dia yakin semua yang berlaku ada hikmahnya. Ada pengajaran yang diperoleh jika dia reda dan berserah kepada Allah yang satu. Kata Amyra, selepas putus tunang, dia lebih banyak muhasabah diri membuatkan dia kelihatan kuat hadapi semua yang berlaku. “Diam itu lebih bagus walaupun didesak untuk membuka hal yang sebenar. Untuk menghormati semua orang, saya cuma boleh cakap, antara saya dan dia sudah tiada jodoh. “Saya yakin perancangan Tuhan lebih besar daripada segala-galanya," katanya yang tidak menjadikan soal jodoh sebagai keutamaan buat masa ini. Malah, kata anak sulung kepada empat beradik ini, dia sebenarnya susah untuk jatuh cinta kepada orang lain. “Kalau saya baru putus cinta. Ini bukan bermaksud saya akan terus mendapat cinta baharu selepas itu. “Bukan mudah untuk saya kenal dan mencintai orang itu dalam masa terdekat. Banyak masa yang saya perlukan. “Begitu juga dengan Dazrin dulu. Saya kenal dengan dia sudah lama. Lebih dua tahun, cuma baru sahaja mengikat ikatan cinta setelah kenal hati budi masing-masing sebelum kami memutuskan untuk bertunang setahun kemudian," jelasnya. Mengaku masih berhubung dengan Dazrin, kata Amyra, komunikasi itu semuanya berlaku kerana soal kerja. “Saya mengaku semua itu kerana industri ini kecil sahaja. Saya memang tidak boleh mengelak walau ke mana saya pergi. “Dan saya juga tidak ada cakap yang akan menjauhkan diri daripadanya. Mana tahu, suatu hari kami akan digandingkan dalam cerita yang sama. Namun, setakat ini, tiada tawaran yang mahu kerjasama kami," ujar wanita berusia 23 tahun ini. Juga tidak meletakkan masa untuk kembali bersama Dazrin, katanya, biarlah masa yang menentukan. Amyra tidak mahu bercakap tentang perkara yang agak rumit. Tambahnya, kalau ada jodoh antara mereka, maka adalah kerana dia pasti tidak mampu untuk melawannya. Hanya yang mampu dia lakukan adalah doa untuk peroleh kebaikan.

Aeril Zafrel & Wawa Zainal Didenda Nikah Tanpa Kebenaran

Pelakon Aeril Zafril didapati bersalah oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini pada Khamis atas kesalahan melakukan pernikahan tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Rujuk dan Cerai menurut Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor. Aeril atau nama sebenarnya Suhairi Sunari, 26, dikenakan hukuman denda sebanyak RM1,000 atau penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda. Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Saharuddin Selamat. Dalam pada itu, aktres Wawa Zainal yang juga isteri Aeril turut mengaku bersalah bersubahat atas kesalahan sama dan dikenakan denda sebanyak RM800 atau penjara sekiranya gagal membayar denda. Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 22, melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 134 (subahat) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003. Kedua-dua pasangan itu diwakili Peguam Syarie, Mohd Aizan Md Idrus manakala pertuduhan dibuat Pendakwa Syarie, Khafizah Ahmat Khairi. Menurut pertuduhan, Aeril dan Wawa melakukan pernikahan tanpa kebenaran pada 25 Februari 2012 di sebuah rumah beralamat 2, Lorong 7A, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya kira-kira pukul 8 malam. Sementara itu, bapa angkat Aeril, Wahap Raub yang turut dituduh bersubahat dalam kes berkenaan turut dikenakan denda sama seperti Wawa. Dua lagi tertuduh iaitu bapa Wawa iaitu Zainal Abidin Sulong yang bertindak sebagai wali dan Salim Asari tidak menghadirkan diri kerana berada di Sabah. Aeril dan Wawa bernikah buat kali kedua dengan kebenaran pada 4 Februari tahun lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata Ahmad Fakharuddin Attar yang kini berusia 15 bulan.

Faizal Tahir Kurus Kerana Anak Terlalu Aktif

Penyanyi dan komposer Faizal Tahir mendedahkan punca dia semakin kurus adalah disebabkan sibuk dengan tanggung jawab sebagai bapa kepada lima orang cahaya mata. Faizal berkata, kesemua anaknya sangat aktif sehingga membuatkan dia tidak boleh duduk diam membiarkan mereka bersendirian. "Saya kurus bukan sebab sakit tetapi kerana sibuk dengan anak-anak, maklumlah anak saya sudah masuk enam orang dan semuanya hyper active. "Boleh dikatakan setiap hari saya berlari-lari mengejar mereka, lebih lagi kalau kami keluar ke pusat beli-belah berhampiran sehingga pekerja di situ tahu muka saya akan kejar anak-anak," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran album Faizul AF 2013, di Talent Lounge, di sini, Khamis. Lima cahaya mata Faizal iaitu Ahmad Mikaeel Zidane, 9, Siti Raudhah Nur Iman, 7, dan Ahmad Rifa’ie Zidane, 6, Siti Rawdha Nur Jannah, 3, dan Siti Nawar Malaeka, 1, hasil perkahwinannya dengan isteri, Siti Raihanim Noran. Tambah Faizal, dia tidak pernah mengambil tahu tentang berat badan sebenarnya kini, bagaimanapun mengakui tentang kesusutan. Faizal berkata, tekanan kerja bertambah selepas dia menubuhkan syarikat rakaman sendiri iaitu Faithful Music sejak awal tahun lalu. "Hidup saya hanya tumpu pada kerja dan anak-anak sahaja, selepas wujudnya Faithful Music tekanan kerja lebih bertambah. Namun saya gembira kerana kami sudah ada tiga orang artis iaitu Hanie Soraya, Aziz Harun dan Elizabeth Tan. "Disebabkan terlalu sibuk juga saya sering lupa untuk makan, seperti semalam seingat saya, saya hanya makan sekeping sandwich sahaja," ujarnya. Sementara itu, ditanya, tentang kerjaya nyanyiannya, Faizal berkata, dia hanya akan menyanyi jika mendapat sebuah karya berbeza daripada yang pernah dibuat sebelum ini. Bagaimanapun, Faizal mengakui rindu untuk membuat persembahan di hadapan peminat-peminatnya. "Buat masa ini memang belum ada rancangan untuk menyanyi, Insya-Allah saya akan menyanyi jika ada lagu yang bagus dan lain daripada yang pernah saya bawakan sebelum ini. "Kalau diikutkan memang ada rasa rindu sangat untuk buat persembahan seperti dahulu, ramai juga peminat saya yang bertanya bila saya buat persembahan seperti dahulu, tapi buat masa ini belum lagi ada perancangan untuk itu," ujarnya.

PENGACARA TV3 NURUL SYUHADA DIKURNIA ANAK KEMBAR

Tahniah diucapkan buat pengacara TV3 iaitu Nurul Syuhada Nurul Ain, kerana selamat melahirkan anak kembar semalam. Berita gembira tersebut telah disampaikan oleh Nurul sendiri melalui rancangan MHI TV3 pagi tadi. Untuk info, Nurul telah mendapat seorang anak lelaki dan seorang perempuan. Proses kelahiran dibuat secara normal untuk seorang bayi, manakala seorang lagi melalui pembedahan. "Wajah anak saya ni sukar untuk dipastikan mengikut wajah siapa. Bukan apa, dia masih bayi dan kadangkala susah nak memastikannya," begitulah lebih kurang kata Nurul ketika bercakap kepada MHI melalui telefon. Tahniah diucapkan!

BILA ABBY ABADI SAMBUT BIRTHDAY 'BUAH HATI'

Surprise! Itulah ungkapan Abby Abadi ketika membuat kejutan majlis hari lahir untuk Ustaz Khairul Azli yang didakwa sebagai buah hatinya. Nampaknya, Abby seolah dapat melupakan sebentar apa yang berlaku antaranya dengan bekas suami mengenai isu hutang. Malah di sebalik belon yang berbentuk hati itu, Abby kelihatan cukup gembira disamping Khairul. Iyalah... kalau bukan Abby yang buat kejutan, siapa lagi nak buat untuk Khairul ya tak? Itulah satu hati namanya. Heh. Bukan apa, tetapi jika benar Khairul merupakan pilihan hati Abby, kami doakan semoga hubungan mereka kekal sampai ke jinjang pelamin hendaknya. Amin.

KEMERIAHAN MAJLIS BABY SHOWER CHE TA

Setelah ramai artis kita mengadakan majlis baby shower, kini tiba giliran Rozita Che Wan atau Che Ta pula mengadakan majlis tersebut. Meskipun kelihatan sarat, namun Che Ta masih menawan dan mempunyai daya tarikan tersendiri. Jika sebelum ini Che Ta mempunyai dua anak lelaki, pastinya dia tidak sabar untuk menimang 'baby girl' pula. Ini kerana, Che Ta dijangka akan bersalin pada awal November ini. Untuk info, majlis baby shower telah dibuat secara sederhana, dan ia telah dihadiri oleh keluarga dan kenalan rapat. Ikhlasnya, pasti ada yang berpendapat bahawa majlis tersebut seolah majlis kahwin mereka berdua. Mana tidaknya, majlis itu bertemakan warna putih dengan decoration yang menarik. Heh. Jom tengok!
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails