Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Awie belum sedia cari isteri lain

TERHERET sehingga ke mahkamah, kemelut permasalahan Awie dan isterinya Rozana Misbun telah sampai ke kemuncak apabila vokalis Wings itu berjaya mendapat hak penjagaan kelima-lima orang anak mereka, tiga bersama Rozana dan dua lagi bersama isteri terdahulu, Arni Nazira. Parah terduduk dek bermacam-macam tuduhan, Awie membuktikan bahawa dia seorang lelaki yang tidak gentar berdepan lawan. Dia semakin optimis membina semula kerjaya dan kehidupan peribadinya yang hampir musnah. Biar harus bermula dari kosong, Awie perlahan-lahan mengukuhkan kewangan demi menyara kehidupan bersama lima orang anaknya. “Dalam usaha untuk memulakan kembali kehidupan saya daripada kosong, saya terpaksa menolak banyak tawaran. “Awalnya saya telah menolak tawaran berlakon Supermokh Sebuah Muzikal Restaging tapi Hans Isaac telah memujuk dan memberikan saya semangat untuk berlakon, saya terima watak kerana pujukan Hans. “Saya juga telah menolak tawaran menjadi pengetua Akademi Fantasia 2014 dengan alasan tidak mahu mengganggu reputasi program itu memandangkan kes mahkamah saya yang sedang berlangsung. Jadi lebih baik saya undur diri. “Bagi saya, ini perjuangan yang baharu. Saya mahu teruskan walaupun perit dan malu untuk keluar rumah tapi saya perlu lakukan kerana anak-anak saya,” ujarnya yang ditemui pada majlis ramah mesra dan tayangan perdana filem Dollah Superstar di Cineleisure, Mutiara Damansara baru-baru ini. Hasil perkahwinan Awie bersama Rozana, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6 dan Puteri Qasseh Antasha, 4. Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12. Anak nyawa Awie Tidak malu mengakui bahawa dia juga banyak belajar daripada kesilapan, namun segala yang yang hitam itu harus dilupakan agar kehidupan dan karier tidak musnah menyembah bumi. Sesuatu yang tidak dapat dielak, populariti serta pengaruh yang dimiliki menjadikan Awie masih lelaki hebat di mata wanita. Menanyakan soal wanita dalam hidupnya, rockers yang sering diusik dengan cinta lamanya bersama Erra Fazira hanya tersenyum. Dalam serius Awie menegaskan, dia belum terdesak untuk mencari wanita baharu sebagai individu tempat berkongsi masalah sekali gus menjadi ‘ibu segera’ kepada kelima-lima anaknya. “Saya bercakap secara jujur, belum masanya untuk saya mencari pengganti. Saya ada lima orang anak dan agaknya perempuan gila mana yang mahukan saya dan mampu memberikan kasih sayang kepada kelima-lima anak saya? “Secara logiknya, mampukah seseorang wanita itu menjaga anak-anak saya? Keadaan akan menjadi kucar-kacir, jadi saya harus berfikir dengan waras,” jelas Awie yang masih akur, bahawanya hidupnya tidak lengkap tanpa kehadiran seorang wanita. Tambah Awie: “Sudah tentu saya memerlukan wanita dalam hidup tapi dalam masa sama saya perlu memberikan peluang kepada wanita mengenali dan mencintai saya serta semua anak saya.” Tidak pernah terfikir untuk melepaskan tanggungjawabnya sebagai bapa menyerahkan anak-anaknya di bawah jagaan isteri dan bekas isterinya, Awie rela berkorban nyawa untuk anak-anak yang sedang membesar itu. “Mereka (anak-anak) ialah nyawa saya dan saya tidak boleh berpisah dengan mereka. Kalau boleh, saya mahu melihat mereka membesar depan mata sehingga mereka berkahwin dan mempunyai kehidupan sendiri. “Fokus saya sekarang untuk mencari duit untuk anak-anak dan mendapatkan waktu berkualiti bersama mereka. Kalau saya sibuk, mereka akan saya bawa ke lokasi penggambaran. Kalau ada peluang bercuti, saya akan bawa mereka berjalan-jalan. “Kalau boleh saya mahu menebus semula masa yang pernah saya sia-siakan suatu ketika dahulu. Bukan mahu tunjuk baik tapi mereka perlukan kasih sayang seorang bapa,” tambah Awie. Dollah Superstar Berkongsi perkembangan terbarunya, bintang utama filem komedi aksi Dollah Superstar berkata, filem itu pertama kali menampilkan karakternya sebagai gengster di layar perak. “Ini cerita komedi dan saya bukan seorang pelawak, tetapi berlakon bawah arahan Kabir Bhatia membuatkan saya terfikir bahawa filem ini bakal menjadi sebutan. “Selepas berlakon dengan Afdlin Shauki, Mamat Khalid dan sekarang Kabir Bhatia, ketiga-tiga mereka mempunyai cara pengarahan tersendiri dan karakter Dollah yang saya pegang itu berbeza berbanding watak gengster yang pernah dilihat. “Saya tidak membawa watak komedi tapi karakter itu sendiri yang kelakar,” ujarnya. Selain Awie, filem Dollah Superstar turut menampilkan karisma lakonan Fizz Fairuz, Sharnaaz Ahmad, Neelofa, Aziz M. Osman dan Lan Pet Pet. Filem itu bakal ditayangkan bermula 2 Oktober nanti.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails