Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bahagia Amy sebagai artis

JIKA artis lain, mereka selalu memikirkan kontroversi itu satu umpan untuk terus membina nama terutamanya bagi bakat baharu. Tapi itu tidak berlaku kepada Amy Mastura Suhaimi. Perjuangan lebih 20 tahun dalam dunia seni selepas dipilih sebagai pemenang dalam rancangan nyanyian Asia Bagus pada tahun 1993, nama Amy terus mekar dan terus meniti populariti. Namun, kelibat Amy kini dilihat amat jarang sekali dalam mana-mana drama mahupun televisyen. Entah kenapa, disebabkan itu, maka timbul spekulasi bahawa Amy sengaja mahu menjadikan dirinya eksklusif di mata umum. “Bukan eksklusif. Tiada istilah dan penjagaan nilai eksklusif itu buat diri saya. Kalau tak nampak saya maka banyaklah andaian yang akan timbul. Senyap saja orang buat banyak kesimpulan. “Mungkin saya sibuk, sebab itu jarang lihat saya berlakon. Tawaran berlakon memang ada, tapi saya selalu menolak. Saya sekarang perlu tengok dahulu tawaran tersebut. Kalau masa sesuai dan kena, saya akan ambil. “Tidak perlu untuk saya berebut-rebut. Jadual perlu disusun sebab saya ada keluarga yang perlu dijaga. Selain masa, saya juga tengok watak sebelum saya menerima sebarang tawaran. Tapi bukan bermaksud saya memilih. Setakat ini, saya seronok buat kerja yang saya minat (berlakon dan menyanyi)," katanya tenang. Bertanyakan pula mengenai bayaran lakonan, tanpa prejudis, Amy hanya berkata, semuanya mengikut harga pasaran. “Saya tidak pernah menetapkan berapa harga hasil lakonan saya. Semuanya bergantung kepada berapa hari lakonan saya dan watak yang saya bawa. “Malah, kadang-kadang saya akan melihat kepada bajet produksi. Kalau boleh, saya akan berbincang dahulu dengan setiap pihak produksi yang mengambil saya sebagai pelakon mereka," katanya yang memegang watak Datin Maziah dalam drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna. Bercerita sedikit tentang lakonannya dalam drama tersebut, Amy menjelaskan bahawa dia perlu berperwatakan sebagai seorang ibu yang lemah lembut dan sabar. “Dalam lembut, saya juga tegas dalam membesar dan mendidik anak. Tidak dinafikan, status saya sebagai seorang ibu membantu saya dalam menghayati dan menjayakan watak itu. “Soal orang suka atau tidak, bergantung kepada pemahaman dan penilaian seseorang penonton," jelasnya. Bekerja dengan ramai pelakon baharu dan muda dalam cerita itu, Amy hanya memberitahu dia sangat seronok berlakon dengan bakat-bakat baharu. “Saya tiada masalah berlakon dengan semua pelakon dalam drama itu dan sememangnya saya seronok bersama mereka," ujarnya ringkas. Nyanyian dan album Tidak mahu perjuangan seninya terus tenggelam dalam dunia seni suara, Amy berkata, dia bakal lahir dengan single baharu berjudul Menari Lerr hasil ciptaan Adif Johari. “Memang ramai artis baharu yang ada sekarang. Tapi saya tidak pernah menimbulkan rasa cemburu terhadap mereka. Itulah yang perlu saya hadapi. “Mereka hadir dan diperlukan sebagai pelapis kepada penyanyi yang ada sekarang. Saya perlu berbangga dengan semua itu. “Sebab itu, saya juga terus membuat single bukan untuk bersaing dengan mereka (penyanyi baharu) tetapi untuk terus mengukuhkan nama saya dalam bidang ini," katanya. Masih lagi mempromosikan single berjudul Itu Dulu hasil ciptaan komposer seberang, Panji, Amy juga berjanji akan muncul dengan album kompilasi. “Dua tahun saya ambil masa untuk hasilkan single selepas Happy. Bukan saya sengaja, tapi jujurnya saya memang tak sedar masa berlalu begitu pantas. “Bagi mengubat rindu peminat, insya-Allah, saya akan muncul dengan album kompilasi Itu Dulu diselitkan sebagai lagu baharu. “Sebanyak 20 buah lagu akan dimuatkan dalam album kompilasi itu nanti dan ia akan dipasarkan dalam masa terdekat," katanya. Semangat suami Bagi Amy, dia juga beruntung kerana pembabitannya dalam bidang seni tidak dihalang oleh suami tercinta, Alvin Tham Suffian. “Sebenarnya suami tidak terlalu menyokong, namun dia juga tidak pernah menghalang apa yang saya lakukan sekarang. “Semangat berterusan suami kepada saya membawa kepada kejayaan saya kini. Dia (suami) juga beri peluang untuk saya terus bekerja dalam bidang ini. “Sebab itu juga, minat saya dalam bidang seni tidak pernah pudar kerana saya tahu saya sentiasa mendapat sokongan dan dorongan suami. Malah, para peminat juga tidak putus-putus memberi semangat. “Biarpun saya sudah puas dengan apa yang telah diraih sepanjang bergelar pelakon dan penyanyi, tetapi itu bukan bermakna sudah tiba masanya untuk saya terus melupakan bidang yang telah saya ceburi selama ini," katanya. Keluarga bahagia yang sudah dibina sejak tahun 2000 sebenarnya juga menjadi petunjuk bahawa Amy tidak pernah melupakan tanggungjawab kepada keluarga. “Apa yang penting, keluarga harus diutamakan. Walaupun sibuk dengan kerjaya, apa yang penting saya tidak mengabaikan urusan rumah tangga," katanya. Perkahwinan Amy dan Alvin telah dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu, Adriana, 13, dan Adalia, 9 tahun. Seperti artis lain yang telah berkeluarga, pastinya Amy tidak dapat lari daripada usikan teman-teman media soal perancangan nak tambah anak. Cuma tergelak, kata Amy, dia percaya kehadiran Ardiana dan Adalia sudah memadai dalam hidupnya bersama suami. “Tidak ada perancangan nak tambah anak pun. Lelaki ke perempuan ke, saya rasa cukup-cukuplah dua orang ni. “Biarlah saya fokus yang dua orang ini sahaja. Tapi kalau ada rezeki saya tak menolak. Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang bersama suami dan anak-anak," kata ibu berusia 43 tahun ini. Tidak pernah menghantar anak-anaknya ke sekolah seni untuk menjadi seperti dirinya, Amy berkata, biarlah mereka (anak-anak) mendapat pendedahan dalam bidang seni di sekolah kerana peluang semuanya sudah terbuka.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails