Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dimarah isteri gara-gara adegan intim - Shuib Sepah

TERAJU utama filem Amir dan Loqman Pergi Ke Laut (ADLPKL), Shuib (Sepahtu) akui malu dan rasa tertekan melakonkan beberapa babak intim bersama dengan pelakon sensasi, Zarina Anjoulie. Pelakon dan pelawak ini bertindak merahsiakan adegan intimnya itu berikutan mahu menjaga perasaan isterinya, Siti Sarah Raisuddin dan tidak mahu mengeruhkan keadaan. Ketika Sensasi Hits berpeluang bertemu dengan empunya badan ketika majlis tayangan perdana filem terbaharu arahan Mamat Khalid itu di Cathay Cineplexes, Mutiara Damansara, Shuib turut berkongsi pengalaman dan perasaannya sepanjang penggambaran berlangsung. “Kebiasaannya, setiap kali pulang dari penggambaran, saya akan berkongsi cerita dengan dia di rumah. Tetapi untuk babak dengan Zarina, saya tidak cerita kepadanya. Bukanlah niat saya mahu berahsia. “Cumanya, ada ketika jika kita rasakan perkara tersebut akan mendatangkan kemudaratan, lebih baik diamkan sahaja. Sebab saya tahu dia akan bising kalau ada babak yang nampak daring," tutur Shuib memulakan perbualan. Dedah Shuib lagi, isterinya juga agak marah selepas melihat adegan lakonannya bersama Zarina ketika proses dubbing dilakukan. “Ketika proses dubbing, dia ada melihat previu filem ini dan masa itu jugalah dia marah-marah. Dia cakap, patutlah saya nampak gembira sangat bila setiap kali pergi lokasi penggambaran. “Berbanding filem Man Sewel Datang KL dulu, ada juga babak intim bersama Julia Ziegler, cumanya Sarah ikut sekali ke set penggambaran, jadi dia taklah bising sangat. Elok lah dia tahu awal, sebab lambat laun dia akan tahu juga kan," tutur Shuib sambil tertawa. Namun, kemarahan isterinya itu tidaklah berpanjangan. Ini kerana, Zarina sendiri bersikap merendah diri dan datang kepadanya dan memohon maaf beberapa kali andai lakonannya bersama Shuib keterlaluan. Dalam filem tersebut, Shuib memegang watak sebagai Loqman yang terjebak dengan kumpulan gengster. Manakala Zarina pula memainkan peranan sebagai Balqis yang merupakan teman wanita kepada ketua kumpulan gengster yang dilakonkan oleh Soffi Jikan. “Jujur saya katakan, memang malu bawa watak intim dengan pelakon wanita seperti Zarina. Waktu abang Mamat arahkan kami berlakon adegan seperti itu, saya banyak kali tanya pada pengarah betul ke saya nak kena buat macam itu? “Tapi dia sebagai pengarah, tahu apa yang terbaik untuk dapatkan babak yang menarik, jadi saya turutkan sahaja," ulas Shuib lagi yang akui seronok berlakon di bawah arahan Mamat Khalid biarpun baharu pertama kali bekerjasama dengan pengarah tersebut. Sebelum bersetuju untuk membuat beberapa adegan panas berkenaan, Shuib turut ambil masa berfikir sejenak untuk ambil masa bagi benar-benar bersedia. Namun, dia akur dek kerana tugasan sebagai pelakon dan perlu memberi sepenuh komitmen dan perlulah profesional tanpa di pengaruhi emosi. “Ia menjadi sangat malu sebab saya kena lakonkan aksi intim di hadapan puluhan kru produksi. Memang perasaan berat hati itu ada dan bercampur baur dengan rasa bersalah. “Semua orang tahu siapa Zarina Anjoulie. Dari penampilan dia sahaja, orang boleh beranggapan macam-macam. Saya pula sudah berkahwin, takut juga kalau apa-apa terjadi. Sebab itu saya beritahu kalau ada yang terkesan disebabkan adegan itu, abang Mamat lah kena tanggung," ujar dengan nada seloroh. Karya terbaharu Mamat Khalid itu membawakan nuansa komedi samseng. Ia mengisahkan dua orang sahabat baik iaitu Amir dan Loqman yang mahu keluar daripada sebuah kumpulan gengster dengan cuba merompak kedai kerana perlu membayar RM30,000 sebagai syarat keluar daripada kumpulan berkenaan. Filem terbitan Astro Shaw ini turut menampilkan Soffi Jikan, Shuk (Balas), Nadia Mustafar, Kaza dan Rashidi Ishak. Filem ini akan menemui penonton mulai hari ini di seluruh pawagam tanah air.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails