Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Enot Jawab Dituduh Pura-Pura Sakit

Pelakon dan pelawak Enot berasa kesal apabila ada pihak menuduhnya sengaja berpura-pura sedang bertarung dengan kanser usus yang kritikal. Enot atau nama sebenarnya Alliza Abdullah, 36, berkata, dia terkejut dengan tuduhan itu apabila ada pihak berkata kansernya berada pada tahap empat sedangkan ia baru pada tahap dua. "Sejak bila pula kanser saya di tahap empat? Sakit kanser usus saya ini sebenarnya di tahap dua! Pelik, apabila berkongsi sakit, orang pertikaikan. Sedangkan selama ini saya tidak pernah meminta bantuan daripada sesiapa pun. "Saya usaha dan cari semangat sendiri untuk meneruskan hidup selain perlu bekerja demi menampung kehidupan bersama anak-anak. "Apabila tuduhan ini timbul, saya anggap mereka mahu lihat saya mati terus agaknya," kata Enot dengan nada kesal kepada mStar Online yang dihubungi di sini pada Ahad. Sebuah akhbar mingguan menerusi ruangan pojok melaporkan seorang artis dikatakan menipu kononnya dia sedang sakit kanser tahap empat dan perkara itu menjadi tanda tanya kepada rakan-rakan baiknya apabila artis berkenaan masih dilihat sihat dan mampu bekerja. Keadaan itu membuatkan rakan-rakan baiknya itu mula menjauhkan diri daripada artis itu kerana tidak tahan dengan sikapnya yang suka menipu. Lebih pelik lagi, rakan-rakan artis itu turut mempertikaikan sebab-sebab dia enggan mendapatkan rawatan di hospital, sebaliknya lebih percayakan rawatan tradisional. Sementara itu, Enot berkata, sepatutnya keputusan enggan menerima rawatan di hospital perlu dihormati kerana dia mempunyai sebab-sebab tertentu berbuat demikian. "Memang saya tidak mahu terima rawatan di hospital. Ini kerana saya tidak mahu sakit lebih teruk, terlantar di hospital dan akhirnya pergi begitu sahaja. "Siapa yang nak bagi makan minum kepada anak-anak? Nak harapkan bekas suami, tak makanlah mereka. "Kerana itu saya mengambil inisiatif untuk mengambil ubat-ubatan tradisional dan sementara itu bolehlah saya berniaga. Tak kisahlah apa orang nak kata, saya masih kuat pun kerana anak-anak. Orang luar tidak tahu pun penderitaan yang saya lalui," ujarnya. Dalam pada itu, Enot mengakui, sejak dia sakit, teman-teman baiknya semakin menjauhkan diri daripadanya dan dia terpaksa menerima hakikat itu. Malah dia bersyukur, tanpa bantuan daripada sesiapa pun, kudratnya masih kuat untuk menguruskan perniagaan kek selain menjahit manik pada tuala dan pakaian. "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah memberikan saya kudrat untuk melakukan pelbagai jenis kerja selain berlakon. "Selain itu, kesihatan saya pun sedikit pulih selepas mengambil sejenis makanan tambahan daripada cendawan kultur. Biarlah dengan apa yang orang nak kata, yang penting saya ada cara tersendiri untuk menjaga diri," tegasnya. Pelakon yang dikenali menerusi drama Mat Despatch itu pernah berkahwin dengan Zainul Abidin Mat Noor, 42, pada 21 November 2008 dan bercerai pada Mac tahun lalu. Sebelum itu dia juga pernah bercerai pada tahun 2006 selepas mempunyai dua orang anak iaitu Andriana Balqis, 13, dan Ariana Qaseh Qistina yang berusia tujuh tahun.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails