Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mengubati diri - Ummi Nazeera

MENGENALI Ummi Nazeera beberapa tahun sebelum ini harus diakui dia bukan lagi gadis yang sama kini. Kalau dari mata kasar memang benar imejnya kini semakin sopan dengan gaya sebenar seorang muslimah. Bagaimanapun di kala usianya melewati 24 tahun kini, Ummi sendiri akui hatinya sekarang semakin terisi dengan cara yang cukup berbeza dari dahulu. Sedang dia asyik mencari kelengkapan diri dalam menghadapi cabaran mendatang, tidak dinafikan sekali-sekala dia diduga dengan ujian hebat. Terbaru tugasnya sebagai seorang anak diasak dengan kisah mahkamah yang melibatkan ayah serta ibunya yang didakwa memalsukan sijil nikah. Setia di samping ibunya di sepanjang pertikaian itu, ia tidak pernah menyebabkan Ummi kecewa dengan nasib yang menimpa. Mujur semuanya kini selesai dengan kemenangan berpihak kepada ibunya. Tidak menolak tekanan sebagai anak adalah antara sebab mengapa dia berhijrah kini, jelas Ummi tiada apa yang mampu diminta lagi selain semuanya kembali seperti biasa buat keluarganya. “Semuanya sudah baik kini. Alhamdulillah ibu saya berada di pihak yang benar. Sebenarnya perkara ini sudah berlangsung dalam tempoh waktu yang agak lama. “Tidak dinafikan ini adalah salah satu sebab mengapa saya berhijrah," katanya lembut tanpa berselindung. Seperti kata peribahasa ditelan mati emak, diluah mati bapa, jelas termaktub ibu bapa adalah dua insan yang paling penting dalam kehidupan seorang anak. Benar dia berada di samping ibunya sepanjang kes ini berlangsung, namun itu tidak bermakna dia perlu menggantikan perasaan sayang kepada amarah untuk ayahnya. “Susah mahu cakap, tetapi saya tidak marah. Apa yang saya harap semuanya akan kembali seperti biasa. “Sebagai anak saya tahu kedudukan saya, cuma buat masa sekarang kami belum lagi berhubung," katanya jujur. Tidak lekang dengan ucapan syukur di bibir, jelas Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, fokusnya kini adalah untuk mempersiapkan diri. Sudah bersedia sekiranya dia tidak lagi diperlukan dalam dunia lakonan, balas Ummi apa juga yang terjadi minatnya yang mendalam dalam bidang lakonan tidak akan terusik. “Saya tidak menyesal, kalau ikutkan sekarang juga satu kaki saya di dalam bidang lakonan dan satu lagi di luar. “Apa yang boleh saya katakan, saya tidak boleh tinggalkan bidang lakonan kerana itu adalah keinginan saya dari dahulu. Cuma lebih pastinya selepas ini pemilihan skrip itu harus lebih kena dengan saya," katanya. Siapa sangka hidayah yang diterima gadis ini ketika dia berada di bumi asing. Bercerita mengenai detik dia mula-mula tergerak hati melakukan perubahan ini kata Ummi dia berada dalam keadaan yang sangat kosong. Mencari ketenangan melalui cara biasa, dia menerima kebuntuan, bagaimanapun semuanya lebih jelas apabila dia tahu hanya Allah ada bersamanya ketika itu. “Kalau ikutkan saya bebas di sana, tetapi saya hairan mengapa saya begitu kosong. Waktu itu memang saya sakit, malah malam sebelum semuanya bermula saya menangis sepuas-puasnya. “Saya bermula secara perlahan-lahan sembahyang cukupkan lima waktu, akhirnya saya jumpa apa sebenarnya yang tiada selama ini, Alhamdulillah," katanya. Kuatkan diri Menyuntik kisah dugaan awal ketika berhijrah, kata Ummi memang pernah terlintas dalam fikirannya berhijab nanti akan menyekat rezekinya dalam dunia lakonan. Bagaimanapun rasa takut itu diganti dengan perasaan lapang yang belum pernah dirasainya sehingga kini. Tahu rezeki itu bukan dalam kawalan manusia, Ummi percaya ini adalah yang terbaik buat dirinya. “Saya risau apabila bertudung nanti saya akan terbatas dan tidak banyak watak yang boleh saya bawa, tapi kerisauan itu tidak sebesar nikmat dan rezeki yang Allah anugerahkan selepas saya berhijab. “Syukur Alhamdulillah, tawaran berlakon masih ada cuma saya yang terlalu selektif dalam pemilihan naskhah dan watak. Sebenarnya kalau ikutkan sejak dari dahulu saya memang memilih, kerana saya mahu memberikan yang terbaik kerana lakonan bukan sekadar tugasan ia lebih kepada saya untuk mencari kepuasan dalam setiap watak yang diberikan," katanya. Tidak mahu kisah penghijrahannya ini diekori lensa kamera, jelas Ummi memang benar dia cuba menghindari pihak media buat seketika. “Saya masih baru berhijab ketika itu, dalaman saya masih lemah dan memang saya terpaksa mengelak daripada berjumpa media. “Takut juga kalau tindakan itu membuatkan diri saya menjadi riak. Perkara itu membuatkan saya cuba mengelak hingga akhirnya pada bulan Mei saya memberanikan untuk kembali bertemu dengan pihak media," katanya lebih lembut. Kalau ada yang menjangka di kala umurnya kini sudah ada jejaka yang mengisi ruang cinta di hatinya, balas Ummi itu tidak pernah terjadi. Beranggapan masih banyak urusan yang perlu diselesaikan dirinya, nampaknya terlibat dalam dunia percintaan bukan salah satu darinya. “Saya perlu pilih yang betul-betul, bukan boleh terima sesiapa sahaja. “Tetapi dalam waktu sekarang kalau boleh saya tidak mahu bercinta lagi, betulkan diri dahulu sebelum benar-benar pasti untuk ke alam rumah tangga," katanya. Tiada jangkaan Sebagai seorang pelakon dan pengarah di sebuah syarikat milik keluarganya, tugas gadis ini tidak terbatas dalam untuk mencari ilmu sahaja. Merupakan lulusan Royal Melbourne Institue of Technology (RMIT), Australia, kata Ummi dia tidak menolak untuk kembali bergelar seorang pelajar beberapa tahun lagi. Bagaimanapun dalam kesibukannya itu siapa sangkan namanya di calonkan sebagai antara lima finalis Pelakon Wanita Terbaik menerusi watak Murni dalam filem Penanggal arahan Ellie Suriaty. “Apa yang saya boleh ingat adalah betapa penatnya untuk membawakan watak tersebut. Peranan emosi dan tenaga saya ketika itu memang sudah sampai ke tahap maksimun. “Bagaimanapun dengan ini kami semua tahu ia berbaloi, dan saya bersyukur dengan bantuan semua terutamanya kak Ellie," katanya. Tidak perlu menduga hatinya untuk menonton semula filem tersebut. Kata Ummi dia tahu peminatnya kini lebih bijak untuk mengadilinya, tiada sebab untuk mereka berkata tentang penampilannya dahulu dan kini memandangkan itu adalah waktu silam. Mengakui agak malu untuk melihat dirinya dahulu, tetapi itu tidak bermakna dia perlu rasa tertekan. “Saya dicalonkan untuk watak saya yang belum bertudung, jadi saya percaya orang tidak akan bercakap apa-apa kerana perkara itu sudah lepas. Perasaan malu itu memanglah ada. “Yang lepas biarkan berlalu, apa yang boleh saya kawal sekarang saya akan lakukannya dan menjaga sebaik mungkin perkara yang melibatkan imej dan maruah saya," katanya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails