Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nabil Ahmad Jelaskan Isu Disingkir Dari Meletop

Pelawak Nabil Ahmad menyifatkan gosip dia bakal disingkirkan sebagai pengacara program hiburan Meletop dalam masa terdekat ini adalah mengarut. Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 30, terkejut dengan berita tersebut sedangkan dia baru saja menandatangani perjanjian bagi menyambung kontrak selama dua tahun bagi mengendalikan program berkenaan. "Siapalah yang buat gosip macam ini, apa salahnya tanya saya dahulu? "Terkejut saya apabila membaca gosip tersebut. Saya terus bertanyakan pihak produksi Meletop adakah ia benar sedangkan saya baru saja menyambung kontrak dengan mereka. "Pihak produksi pun terkejut dengan berita itu kerana apa yang dinyatakan dalam gosip itu adalah salah dan tidak benar," tegasnya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin. Minggu lalu, sebuah akhbar menerusi ruangan pojok melaporkan Nabil bakal disingkirkan daripada Meletop oleh pihak produksi memandangkan pengacara gandingannya, Neelofa mahu menarik diri mengendalikan program berkenaan. Meletop disiarkan pada setiap Selasa, pukul 10 malam di saluran Astro Ria.
Laporan tersebut turut menyatakan tempat Nabil akan digantikan dengan pelawak popular, Zizan Razak. Perkara itu membuatkan Nabil berasa hati dengan keputusan yang dibuat pihak produksi kerana ia dilakukan tanpa melakukan perbincangan dengannya. Dalam pada itu, Nabil berkata, sehingga kini gosip mengatakan Neelofa bakal menarik diri juga tidak diketahuinya kerana dia bersama pengacara wanita itu masih lagi menjalankan tugas masing-masing seperti biasa. "Saya ada dengar juga mengatakan Neelofa mahu tarik diri. Tetapi sehingga kini pihak produksi tak cakap apa-apa lagi. Peliklah, macam-macam spekulasi pula yang muncul. "Apa-apapun, saya percayakan pada rezeki. Jika pihak produksi masih lagi mahu saya terus mengendalikan Meletop, itu rezeki. Dan jika mereka enggan menggunakan khidmat saya pun tidak apa. Yang penting biarlah segala urusan dibuat dengan betul," ujarnya. Sementara itu, Nabil berkongsi berita gembira bahawa dia bakal menimang anak kedua tidak lama lagi. Kata pelawak itu, isterinya, Nazirah Ayub, 26, kini sedang hamil dua bulan dan berita itu membuatkan dia lebih bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki agar lebih stabil pada masa akan datang. Nabil dan Nazirah turut mempunyai seorang anak bernama Naira Mikayla yang berusia dua tahun.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails