Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Osama tidak kisah

SEBELUM ini tidak ramai yang memberi perhatian kepada Osama Yamani yang debab itu kerana semua sedia maklum yang dia adalah anak sulung kepada penyanyi Jamal Abdillah. Namun sejak Mac lalu dengan penampilan yang tampan dan suara yang merdu sewaktu mendendangkan lagu Derita Cinta yang dimuatkan di YouTube, kira-kira 156,370 orang telah menonton video tersebut. Ramai yang terpegun mendengar kelunakan suara Osama yang baru berusia 13 tahun itu. Sejak itu nama Osama yang kini belajar di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur menjadi perhatian. Sebagai anak kepada penyanyi yang digelar Raja Pop, Osama beruntung kerana dia berpeluang untuk tampil di pentas sama dengan Jamal. Osama pernah muncul dalam program Eksklusif Raya Bersama Datuk Jamal untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta beberapa persembahan Jamal sempena Minggu Setiausaha dan sambutan Hari Ibu. Paling istimewa apabila Osama berkesempatan mengadakan persembahan di pentas Istana Budaya sempena Konsert Nostalgia Jamal Abdillah, baru-baru ini. Ramai yang akui Osama mempunyai pesona tersendiri dan mampu menjadi penyanyi terkenal seperti mana Jamal. Bak kata orang ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Hits juga sempat menemu bual Osama untuk mengetahui isi hatinya, adakah dia gembira mengikut jejak langkah Jamal dan apa perancangannya. Hits: Tidakkah Osama berasa beruntung dilahirkan sebagai anak Jamal Abdillah? Osama: Biasa sahaja, seperti orang lain. Cuma baba (bapa) saya kerjanya menyanyi, berbeza dengan bapa orang lain yang kerja di pejabat. Menyanyi adalah kerjaya dia untuk mencari wang bagi membesarkan saya dan adik, Zaki, 8. Bagaimana perasaan bila tiba-tiba menjadi popular? Osama: Hehehe...saya popularkah? Saya biasa sahaja. Orang kenal pun sebab tengok YouTube. Siapalah saya, masih belajar dan kebetulan sahaja bila orang tengok YouTube, baru mereka tahu saya Osama. Apapun saya tetap bersyukur kerana banyak yang memberi sokongan, terutamanya daripada baba dan cikgu. Marah tak kalau orang kata Osama tumpang tuah baba? Osama: Tak, memang betul pun orang kenal saya sebab saya anak Jamal Abdillah. Kalau saya anak orang lain, mesti tidak ramai yang berminat untuk tengok YouTube tu. Apa perasaan Osama bila dapat mengadakan persembahan di pentas berprestij seperti Istana Budaya? Osama: Gementar dan takut sebab menyanyi di pentas yang gah itu. Saya paling takut kalau silap masuk key atau lupa lirik. Alhamdulillah, sepanjang konsert berlangsung, saya dapat melaksanakan tugas dengan baik. Sebagai orang baharu, saya memang gembira kerana tidak semua orang berpeluang mengadakan persembahan di Istana Budaya. Memanglah saya berpeluang kerana baba dan sebab itu jugalah saya perlu menjaga nama baba dengan memberikan persembahan yang terbaik. Antara lagu baba yang paling Osama suka? Osama: Derita Cinta dan boleh dikatakan kesemua lagu baba saya suka. Sebenarnya saya suka irama rock. Saya minat kumpulan Wings, Search, Led Zeppelin dan kumpulan rock yang lain. Maksudnya kalau diberi peluang merakam album, genre muzik apa yang ingin dirakam? Osama: Kalau boleh saya nak rakam genre pop rock sebab ia menggabungkan irama pop seperti lagu-lagu baba dan muzik rock yang memang saya minati itu. Sudah ada perancangan ke arah menghasilkan album? Osama: Insya-Allah baba memang ada perancangan tapi lambat lagi, sebab saya perlu tumpu perhatian pada pelajaran. Semua terpulang pada baba dan saya ikut sahaja. Maaf ya kalau bertanya. Osama pernah baca cerita-cerita silam tentang baba dan gosip mengenai baba di internet? Osama: Ya, ada baca. Tapi saya tidak pernah ambil kisah kerana saya tahu baba saya macam mana. Ada tak kawan-kawan yang usik Osama tentang gosip yang membabitkan baba? Osama: Ada juga kawan-kawan yang bertanya, tapi saya lebih senang mengambil sikap mendiamkan diri. Saya malas nak bersoal jawab sebab kalau saya jawab pada seorang ini, yang lain pula akan bertanya. Cara mudah buat tak tahu sahaja. Jadi, Osama tidak kisahlah kalau baba berkahwin dalam waktu terdekat ini? Osama: Kalau boleh, saya memang mahu baba berteman sebab kasihan baba terpaksa membesarkan saya dan adik seorang diri. Wanita yang macam mana Osama rasa sesuai untuk jadi isteri baba? Osama: Saya tidak kisah siapa orang itu. Kalau boleh biarlah yang muda sedikit daripada baba dan janganlah terlalu muda pula, janji orang itu boleh menjaga baba dengan baik.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails