Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Syafinaz tolak jadi hos program Inggeris

SYAFINAZ Selamat, beliau berada di liga seninya yang tersendiri. Barangkali namanya tidak segah artis popular tanah air masa kini. Namun, kesibukannya berkemungkinan boleh mengalahkan mereka yang mekar di bibir peminat. Bergelar sebagai guru vokal dan pensyarah muzik sekian lama, selain sibuk dengan undangan menyanyi secara tertutup, wanita tinggi lampai yang pernah popular dengan lagu Ingin Bersamamu itu sudah sebati dengan jadual kerjayanya yang padat. Dek kesibukannya itu, Syafinaz nekad melepaskan tanggung jawabnya di Kolej Muzik Antarabangsa. Kini tumpuannya hanya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan UiTM, Shah Alam. Malah, baru-baru ini beliau dipanggil untuk sesi uji bakat satu program bual bicara berbahasa Inggeris terbitan sebuah stesen televisyen terkenal. Namun, kerana tidak berani memikul tanggungjawab berkenaan kerana kekekangan masa, beliau menolak permintaan pihak mereka. "Saya yakin tidak mampu memberi tumpuan sepenuhnya jika saya menerima tawaran tersebut. "Memang saya pernah menceburi dunia pengacaraan termasuk bergandingan dengan Allahyarham Seha. "Sudah lama tidak mengacara, memang berkarat sudah ilmu itu. Saya hadiri uji bakat atas dasar mencuba dan tak sangka pula disenarai pendek. Saya terpaksa tolak dengan cara baik kerana faktor yang sudah dipertimbangkan selain tidak mahu menyusahkan mereka pada kemudian hari," katanya kepada Kosmo! dalam pertemuan yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) bertempat di Muzium Negara baru-baru ini. Selain komitmen tersebut, Syafinaz sejak beberapa tahun lalu juga memikul tanggungjawab penting dengan Koir Kebangsaan Malaysia. Beliaulah Jurulatih Vokal dan juga Pengarah Persembahan dan Vokal serta penyanyi koir berkenaan. Pertemuan yang diatur JKKN baru-baru ini juga atas paksi mempromosikan Konsert Koir Kebangsaan bertemakan klasikal di Auditorium DBKL, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 20 dan 21 September ini bermula pukul 8.30 malam. Ia merupakan kesinambungan daripada kejayaan beberapa konsert oleh Koir Kebangsaan Malaysia dan Konsert Jelajah Koir yang telah dilaksanakan oleh JKKN sejak tahun 2005. Antaranya Konsert Dir... Koir Kebangsaan Malaysia (2012), Konsert No Wrong Notes (2011), Konsert Music Makers (2010) dan Konsert In Love With Peace (Cintakan Kedamaian) yang telah diadakan sejak tahun 2009 lagi. "Tahun lalu, Koir Kebangsaan Malaysia mempersembahkan Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: Kembara Muzikal Teater & Filem (A Musical Journey of Theatre & Film) yang memaparkan repertoire dan segmen nyanyian lagu dari pentas teater berlandaskan lagu tradisional dan moden. "Konsert kali ini kembali kepada gaya asal atau lama koir iaitu klasikal. Ia akan memaparkan susunan dan segmen nyanyian lagu berlandaskan klasik Melayu seperti lagu asli Melayu, inang, joget, keroncong serta zapin. "Ia juga menyelitkan muzik klasik Barat yang terdiri daripada lagu dari era Renaissance hingga ke era romantik," katanya. Tiket untuk konsert tersebut boleh dibeli secara online di www.ticket2u.biz pada harga RM10, RM20 dan RM30. Diskaun turut diberikan kepada pelajar, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU). Tiket juga boleh dibeli di Istana Budaya dengan menghubungi talian 03-4149 8600. Pihak urus setia turut menyediakan khidmat pembelian tiket sebelum malam konsert berlangsung pada 21 dan 22 September ini di Auditorium DBKL bermula pukul 4 petang.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails