Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tidak malu dengan masa silam - Raisyyah

NAMA gadis tiba-tiba menjadi perhatian sejak setahun lalu, gara-gara perubahan 360 darjah yang dialaminya. Siapa sangka seorang model yang beraksi agak berahi memilih pakaian muslimah sebagai pakaian hariannya kini. Tidak terhenti di situ, Felixia Yeap, 28, sudah pun bergelar Islam dengan nama pilihan Raisyyah Rania Yeap sejak 3 Julai lalu. Sungguh dia kini sudah berubah, bagaimanapun perubahan itu tidak membataskan dia mengekalkan identiti ceria yang didukungi, selagi masih selari dengan imej muslimah. Dalam dia sibuk mencari ilmu dalam menampung perjalanan hidup yang masih panjang, ada yang kurang senang dengan gadis ini, soalnya kenapa? Kalau dilihat dari cara gadis ini membawa diri, dia sedikit pun tidak terusik dengan mereka yang terusan mengaitkan masa silam dengan dirinya kini. Berkongsi rasa dan bisa yang ditanggung, Mega aturkan sesi fotografi khas bersama 'amoi' ini. Dia juga meminta izin agar semua soalan ditanya melalui e-mel sahaja. Jelas Felixia, semua ini sebagai panduan agar tiada lagi penyebab untuk kata-katanya disalah erti. Mega: Ramai sebenarnya yang ingin tahu situasi Felixia melafazkan kalimah syahadah, tempoh hari. Kalau boleh Felixia terangkan perasaan beberapa minit sebelum melafazkan syahadah serta siapa yang berada di samping Felixia ketika itu? Kalau Felixia tidak keberatan boleh tak beritahu di mana lokasi tersebut? Sebenarnya pada pagi di hari saya mengucap syahadah, saya sudah ditimpa dugaan. Pada pagi itu, saya dibangunkan dengan bunyi deringan telefon para wartawan. Saya sebenarnya telah dimarahi dan diterjah dengan biadab oleh sesetengah para wartawan melalui panggilan telefon secara bertalu-talu dan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Saya tidak mengharapkan layanan istimewa, cuma hanya berharap sekurang-kurangnya perbualan itu diberi salam terlebih dahulu seperti orang lain juga, dan cara menyoal itu jangan buat saya seperti seorang penjenayah. Gara-gara salah faham antara media dengan undangan dari sebuah institusi agama khas untuk mualaf, saya telah menjadi mangsa kerana media yang hadir ke institusi tersebut menyangka saya telah mempermainkan mereka. Sedangkan, saya langsung tidak tahu tentang undangan institusi tersebut yang juga berlangsung pada hari yang sama yang melibatkan nama saya. Media yang hadir pada masa itu mungkin terus menyangka bahawa saya akan mengucap syahadah di institusi tersebut. Sedangkan, saya sudah banyak kali memberitahu bahawa saya akan langsungkan pengucapan syahadah secara rahsia dan tidak ada media yang dibenarkan untuk membuat liputan secara langsung. Saya sebenarnya sudah lama mengaturkan majlis itu di sebuah masjid di kawasan TTDI, Petaling Jaya dan hanya lebih kurang 20 orang rakan terdekat dan keluarga yang diundang untuk menjadi saksi. Jadi berita mengenai saya telah ucap syahadah pada pagi itu seperti yang diberitahu media adalah palsu dan tidak benar langsung. Ini kerana saya mengucap syahadah pada pukul 6.30 petang di hadapan imam masjid, ustaz, rakan dan keluarga. Perasaan saya ketika mengucap syahadah seharusnya tenang dan gembira. Tetapi oleh kerana telah diganggu secara kurang berhemah sehingga berjam-jam hingga ke petang itu, saya sudah mulai hilang keyakinan. Agak sedih kerana para wartawan yang menerjah saya dan memarahi saya itu semuanya beragama Islam, namun cara mereka agak mengecewakan saudara baru seperti saya. Namun berkat nasihat daripada ibu dan rakan yang memujuk saya agar tidak menyamakan agama Islam dengan orang Islam, telah memberikan saya semangat semula untuk teruskan niat saya untuk mencari reda Allah SWT. Ramai yang ingin tahu mengapa Felixia enggan membenarkan sebarang media membuat liputan mengenai penghijrahan Felixia? Bagi saya, cukup momen itu dikongsi sekadar bersama saksi dari pihak masjid yang wajib, rakan-rakan terdekat dan juga keluarga. Saya juga tidak ingin berat sebelah kepada mana-mana rakan media atau menyebabkan mereka saling bergaduh untuk mendapatkan eksklusiviti atau mensensasikannya. Saya juga risau sekiranya ini mungkin menyebabkan saya difitnah sebagai riak oleh orang ramai. Apa sebenarnya persiapan Felixia sebelum memeluk Islam, secara dasarnya Felixia ada belajar tentang Islam, tetapi mungkin ada bahagian yang benar-benar berjaya menyentuh perasaan Felixia sehingga meyakinkan membuat keputusan sebesar ini? Saya tidak banyak persiapan, cuma saya cuba memperbanyakkan hadir diri ke kelas agama yang asas, banyak membaca buku, dan banyakkan berdoa dalam hati agar Allah SWT tunjukkan mana yang terbaik buat saya. Saya sebenarnya telah tersentuh apabila menangis pada kali pertama menonton dalam Youtube majlis pengucapan syahadah seorang gadis di luar negara. Padahal pada masa itu, saya langsung tidak tahu apa yang gadis itu ucapkan mahupun maksudnya. Saya juga tidak berhenti menangis apabila cuba mengikut kawan saya bersolat bersama, dan saya dapat rasakan perasaan yang amat sedih setiap kali saya praktis solat. Perasaan itu ibaratkan seolah-olah saya telah lama tidak berjumpa dengan seorang yang saya amat rindukan dan cintakan. Ia juga seperti telah dapat cari jalan pulang ke rumah setelah sudah lama sesat dan merantau. Saya juga bulatkan hati untuk membuat keputusan ini kerana percaya jika sehelai kain yang menutupi rambut saya berupaya memberikan saya begitu banyak kebaikan dan ketenangan, tentunya seluruh agama dengan ajarannya lebih membahagiakan. Setelah beberapa bulan bergelar seorang muslimah, apa perbezaan yang Felixia boleh rasa kini. Mungkin bukan secara fizikal sahaja tetapi spiritual? Kehidupan saya seperti biasa sahaja, tidak banyak perubahan atau perbezaan, tetapi rasa lebih bertanggungjawab untuk menyebarkan dakwah dan lebih bersemangat untuk membantu rakan-rakan mualaf yang lain. Saya juga rasa lebih bebas sekarang untuk memberi dan menjawab salam, membeli pakaian Muslimah secara terang-terang dan bersolat tanpa was-was tanpa perlu mendengar sindiran orang. Kalau tidak salah Felixia masih lagi dalam proses pembelajaran , jadi kalau boleh kongsi rutin pengajian Felixia dalam mendalami ajaran agama Islam. Contohnya, mungkin ada ke kelas khas untuk belajar mengaji atau bertemu sendiri alim ulama dalam memastikan mendapat jawapan kepada setiap persoalan? Saya sudah mula kurang ke kelas agama yang melibatkan ramai orang kerana saya inginkan privasi dan lebih khusyuk untuk belajar. Di samping itu juga saya perlu mengimbangi waktu bekerja. Jadi saya telah mencari ustazah untuk mengajar di rumah pada masa saya tidak bekerja. Saya juga sering bertanya kepada kawan-kawan ustaz saya apabila kita bertemu untuk sesi perkongsian. Ada sesetengah orang cukup malu untuk bercakap soal masa silam, bagaimana pula dengan Felixia sendiri? Saya tidak malu dengan masa silam, kerana itu adalah kejayaan dan pencapaian saya sebagai seorang model di peringkat antarabangsa dengan syarikat yang sangat ikonik. Pada masa yang sama juga, saya telah disedarkan oleh seorang kawan kepada ustaz saya yang seringkali menggalakkan saya untuk teruskan kerjaya dalam bidang peragaan . Dia juga meminta saya agar tidak membuang semua gambar dahulu atau menyembunyikan masa silam saya kerana itulah modal untuk saya meneruskan dakwah dan membawa Islam kepada orang yang senasib dengan saya dahulu. Beliau dan saya juga setuju, siapa lagi yang boleh dekati diri dan sebarkan dakwah kepada rakan-rakan sebidang (peragaan) yang bukan beragama Islam, kalau bukan saya? Jadi bagi saya, biarlah orang mengutuk dan menyindir masa silam saya, tetapi Allah SWT maha mengetahui akan niat untuk berdakwah saya. Saya percaya setiap orang yang beragama Islam adalah duta Islam, yang juga bertanggungjawab untuk membawa lebih ramai kembali ke fitrah, dan sebarkan keindahan agama kita ini. Saya juga berharap bahawa masa silam saya dapat menghantar mesej bahawa semua orang boleh berubah dan kembali ke fitrah. Dan Allah SWT tidak menghukum dengan masa silam jika orang itu benar-benar bertaubat. Ibu beri doa Bergelar seorang muslimah tidak bermakna Felixia perlu mengabaikan keluarga, mungkin kalau boleh Felixia kongsi serba sedikit mengenai latar belakang keluarga kandung serta penerimaan mereka kini? Saya tidak selesa memberitahu tentang keluarga setelah dikecam beberapa kali oleh orang ramai. Keadaan ini juga menyebabkan ibu turut dicerca hanya kerana saya sebagai anaknya telah memeluk agama Islam. Apa yang boleh saya beritahu ialah ibu dan adik saya tidak membantah keputusan ini. Ibu turut memberi galakkan untuk saya kuatkan diri ketika dihentam orang ramai dan juga saudara sendiri. Mereka hanya mendoakan yang terbaik agar saya bahagia. Adakah Felixia beranggapan sebagai seorang yang bertuah memandangkan penghijrahan ini mendapat tempat di kalangan ramai peminat terutamanya mereka yang sentiasa menyokong penghijrahan Felixia? Saya rasa amat bersyukur kerana di kalangan yang menghentam dan menyindir, ramai juga yang menyokong, tidak lelah memberi semangat dan malah ada yang sanggup mempertahankan saya. Saya amat terharu dan berharap Allah SWT dapat membalas kebaikan yang telah mereka lakukan untuk saudari baru seperti saya. Kerana golongan inilah saya dapat teruskan istiqamah sehingga hari ini. Saya juga berharap agar kita dapat menyokong rakan-rakan mualaf yang lain juga. Kalau boleh Felixia kongsi dugaan terbesar, selepas beberapa bulan bergelar seorang muslim? Dugaan terbesar bukannya dari orang lain, tetapi dari saya sendiri iaitu bangun subuh, dan saya masih dalam proses membiasakan diri untuk bangun dan solat tepat pada waktu setiap subuh. Saya adalah seorang yang suka tidur, selalu tidur lewat dan amat susah untuk bangun pagi.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails