Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Awi Rafael tidak kisah

TEMPOH empat tahun berkecimpung dalam pentas hiburan nyata membukakan mata anak jati kota Singa ini agar terus maju ke hadapan dan memacu kejayaan membanggakan. Atas dasar itu jugalah, Awi Rafael sentiasa mahu yang terbaik dalam perjalanan kerjaya demi impiannya untuk mempunyai sebuah album Inggeris tercapai. Selain menyanyi, Awi Rafael juga berkebolehan mencipta lagu. Malah lagu ciptaannya, seperti Pulanglah, Kalau Aku Kaya dan Bila Aku Jatuh Cinta, sering menjadi siulan ramai. Dikurniakan kebolehan itu tidak membuatkan anak seni kelahiran Singapura itu besar kepala. Malah dia lebih senang bersikap merendah diri dan bersedia menyanyi lagu ciptaan komposer lain. Tanpa rasa ragu-ragu, Awi bersedia menyanyikan lagu Takdir Cinta, ciptaan vokalis 6ixth Sense, Adi Priyo yang merupakan lagu tema untuk telefilem Kusinero Cinta yang telahpun berakhir tayangannya itu. Kata Awi, dia tiada masalah untuk menyanyikan lagu ciptaan daripada komposer lain. “Kenapa mesti kita nak sombong dan membangga diri untuk tidak menerima lagu daripada orang lain kan? Saya rasa untuk nyanyikan lagu daripada komposer lain, tak ada masalah bagi saya. “Muzik adalah universal dan dianugerahkan kepada semua. Kita tak perlu ego kerana jika saya hanya mahu menyanyi lagu yang saya nak, akhirnya nanti saya yang akan rugi," jelasnya. Jelas Awi, dia telah cuba memberikan yang terbaik dalam lagu tersebut kerana Takdir Cinta sebenarnya terlalu tinggi untuk nada suaranya. “Sebelum Adi bagi lagu ini pada saya, dia beritahu yang dia buat lagu ini berdasarkan jalan cerita Kusinero Cinta. Jadi saya sendiri perlu menjiwai lagu tersebut dengan lebih mendalam. Saya sungguh selesa bekerjasama dengan Adi dan seronok. Lagipun saya menyanjungi karya-karya yang dihasilkan oleh Adi. “Sebagai penyanyi, menjiwai lagu merupakan tugas saya. Jadi saya cuba untuk menjiwai lagu tersebut biarpun pada hakikatnya lagu tersebut bernada sangat tinggi untuk saya. Tetapi bila dah dapat jiwai lagu tersebut, benda itu jadi mudah difahami dan saya tiada masalah bawa lagu tersebut," katanya sambil tersenyum. Idam album Inggeris Pada majlis pelancaran single terbaharunya, Takdir Cinta itu juga, Awi turut bercerita tentang perihal lagu-lagu Inggeris yang dihasilkannya. “Saya sudah mula menulis lagu sejak berusia 14 tahun lagi. Lagu berjudul I Will, saya cipta pada usia 15 tahun . “Bila saya rasa sudah selesa, saya terfikir mengapa tidak mencuba suatu kelainan lain untuk mencabar diri saya. Terdetik juga untuk buat album Inggeris dan kini saya rasa adalah masa yang sesuai," kata Awi. Jelas Awi, dia mahukan sebuah album mini Inggeris yang mempunyai lima buah lagu dan menepati jiwanya. “Saya rancang buat album mini Inggeris dulu. Dalam album itu nanti ada lima lagu. Ini pun sudah cukup membanggakan saya andai ia menjadi kenyataan," katanya penuh harapan. Dalam pada itu menyentuh kepada single Takdir Cinta, Awi turut menyatakan rasa bersyukurnya kerana baru kini dia dapat melancarkan lagu tersebut secara rasmi. Sebelum ini, bagi peminat tegar drama bersiri Kusinero Cinta, Hits pasti pembaca sudah begitu sinonim dengan lagu berkenaan. Biarpun lagu tersebut sudah pun hangat diputarkan di corong-corong radio dan ketika ditanya mengapa mengambil masa yang agak lama untuk melancarkan lagu tersebut. “Memandangkan isu-isu yang berlaku di Malaysia seperti insiden MH17, pihak Warner Music memahami negara sedang dilanda waktu sukar. Atas sebab itulah kami menangguhkan seketika sebarang aktiviti promosi. “Kalau dulu macam lagu Pulanglah pun lagu keluar dulu baru buat promosi. Jadi situasinya sama jugalah macam lagu Takdir Cinta ini di mana drama keluar dulu kemudian barulah diikuti dengan single," jelas Awi.

Komitmen Nad Zainal

TIGA kali dia putus cinta, dan yang terkini gadis ini sebenarnya baru dua bulan solo tanpa kekasih. Mengakui dia tidak begitu bernasib baik dalam cinta, namun bagi pelakon muda Nad Zainal fakta itu sedikit pun tidak merunsingkan dirinya. Mahu mengambil masa yang ada ini sebagai modal untuk dia memberi sepenuh perhatian kepada dunia lakonan, balas Nad kalau boleh dia tidak mahu lagi pencapaian dirinya seiring dengan kontroversi diri. “Kalau ikutkan sudah dua bulan saya solo, ikutkan perasaan itu tiada apa sangat memandangkan waktu sekarang ini saya lebih fokus dengan kerja. “Memang saya kurang bernasib baik dalam cinta, kalau tengok rakan-rakan yang lain senang sahaja, tetapi tidak mengapa mungkin saya belum jumpa yang betul-betul serasi dengan saya," katanya. Tidak menolak untuk bercinta lagi, namun kali ini ada yang perlu diterapkan gadis ini dalam memastikan hubungannya tidak berakhir dengan cara yang sama. Mengakui komunikasi dan toleransi sebagai elemen penting dalam hubungan, kata Nad siapa juga lelaki itu kelak yang pasti harus menyayangi dirinya sepenuh hati. “Saya tidak kisah siapa juga dia, kaya atau miskin orang dalam industri atau tidak. Tetapi yang penting kami harus serasi dan saling menyayangi. “Apa yang saya belajar melalui hubungan lalu adalah penting untuk ada komunikasi dan sikap toleransi," katanya ketika ditemui di Hari Kantin, Bananana di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini. Menggambarkan dirinya sebagai seorang yang cukup setia, kata Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 24, dalam setiap hubungan dia tidak mungkin akan menjadi orang lain. Sebab itu dia cukup selesa berterus-terang, kerana baginya ini adalah cara terbaik untuk dia menghargai kasih sayang itu. “Saya kalau berkawan dengan seseorang saya akan komited. Saya sekat diri saya untuk kenal dengan orang lain. “Saya tidak tahu pandangan orang lain terhadap saya tetapi saya selesa jadi diri saya. Tetapi mungkin selepas ini saya akan lebih selesa bercerita mengenai hubungan selepas semuanya betul-betul stabil," katanya.

Amar Asyraf terkilan

PENONTON sudah dijanjikan dengan kemunculan Uqasha Senrose, Syazwan Zulkifly dan Syatilla Melvin menerusi teater Kompilasi Ronggeng Volume 2. Bagaimanapun, hingga usai pementasan baru-baru ini, kelibat ketiga-tiga pelakon tersebut tidak kelihatan. Situasi tersebut menyebabkan penonton berasa tertipu, tambahan pula, bayaran yang dikenakan kepada penonton bukannya murah. Teater ke-10 yang dipentaskan rumah produksi Projek Ronggeng itu telah meletakkan tanggungjawab kepada pelakon drama bersiri Setia Hujung Nyawa, Amar Asyraf sebagai penerbit. Sebelum ini, Projek Ronggeng pernah mementaskan beberapa naskhah popular teater antaranya Kompilasi Ronggeng Volume 1, Option, Burung Cahaya Merah, Banduan Terhormat, Si Tora Harimau Jadian dan Arghhh! Bertemu dengan Amar selepas tamat pementasan di Auditorium Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) Kelana Jaya, baru-baru ini, Kosmo! mendapatkan penjelasan lanjut daripada penerbit merangkap pengarah teater itu. KOSMO!: Di sebalik kejayaan pementasan naskhah ke-10 Projek Ronggeng baru-baru ini, terdapat isu berbangkit berhubung ketiadaan beberapa pelakon terkenal seperti yang dijanjikan menerusi poster teater Kompilasi Ronggeng Volume 2 beberapa minggu sebelum ini. Apakah komen anda? AMAR ASYRAF: Mereka mempunyai komitmen saat akhir sehingga terpaksa tarik diri daripada pementasan kali ini. Sejujurnya, tiada masalah lain selain daripada percanggahan jadual. Saya menganggap hal ini perkara biasa dan tiada rezeki untuk kami bekerjasama. Saya tidak boleh menunggu lama untuk mendapatkan tarikh lain daripada mereka, jadi projek itu harus diteruskan. Bilakah perjanjian itu dibuat dan bila pula mereka memberitahu mengenai penarikan diri tersebut? Perjanjian dibuat secara lisan sekitar awal bulan September lalu dan mereka telah menarik diri sekitar tiga minggu lepas. Adakah kalian sudah menjalani sesi latihan bersama selepas perjanjian tersebut? Semua sesi latihan belum sempat melibatkan tiga pelakon berkenaan kerana menunggu kata putus daripada pengurusan masing-masing. Malangnya, selepas jadual mereka keluar, berlaku pula pertindihan waktu menyebabkan mereka terpaksa tarik diri. Meletakkan nama artis berkenaan di poster mengundang banyak tanda tanya apabila tiada seorang daripada mereka terlibat dalam pementasan. Mungkinkah penonton akan rasa tertipu? Saya meletakkan nama mereka selepas ketiga-tiganya memberikan persetujuan, namun berlaku masalah yang tidak dapat dielakkan. Saya tidak boleh berbuat apa-apa, memandangkan poster juga telah siap dan diedarkan. Saya anggap itu masalah teknikal dan tidak menyalahkan sesiapa pun. Adakah anda terkilan dengan penarikan diri pelakon-pelakon yang sudah berjanji tentang komitmen mereka? Sedikit terkilan kerana ini impian saya untuk membawa pelakon televisyen dan filem masuk ke pentas teater. Melalui cara ini mereka akan melihat perspektif lain dalam lakonan. Apakah kesan terhadap penarikan diri tiga artis berkenaan? Penjualan tiket terjejas dan saya terpaksa memulangkan semula sejumlah wang yang telah dibayar untuk menonton teater ini. Silap saya juga kerana keluarkan poster terlalu awal. Saya sepatutnya menunggu sekurang-kurangnya sehingga mereka (pelakon) memberikan kata muktamad. Kenapa perjanjian itu tidak diikat dengan kontrak? Kami cuma amalkan konsep budi bicara dan perkara itu normal. Saya cuba membawa pelakon lain menyertai produksi ini dan merasai cara bekerja seperti keluarga. Ada juga beberapa pelakon yang berminat untuk menyertai pementasan di bawah produksi Projek Ronggeng, misalnya Jay Iswazir dan Izham Ismail, namun jadual juga tidak mengizinkan. Adakah anda mengambil inisiatif lain seperti memanggil pelakon gantian? Masalah itu berlaku pada saat akhir manakala pelakon lain pula sibuk dengan penggambaran. Jadi, saya anggap kali ini bukan rezeki saya. Latihan pula memerlukan tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu kerana teater tidak sama seperti berlakon di depan kamera. Kalau saya menggantikan mereka dengan pelakon lain, akan lebih memburukkan keadaan. Adakah anda serik untuk menjemput pelakon popular lagi selepas ini untuk menyertai Projek Ronggeng? Saya tidak serik dan akan terus mengajak pelakon lain lagi selepas ini. Saya mahu menjadikan teater sebuah industri. Sekarang, teater sekadar suatu hobi. Sebenarnya saya okey, lagipun Syazwan Zulkifly turut datang menyaksikan teater ini tempoh hari.

Hairul Azreen Ditegur Fitnah Pembuat Kek

Seorang pembuat kek iaitu Siti Saleha Idris, 34, menegur sikap buruk pelakon Hairul Azreen kerana memuat naik gambar kek di Instagram miliknya dengan kapsyen tuduhan dan fitnah. Siti Saleha berkata, perbuatan Hariul Azreen itu bukan sahaja mencalarkan reputasinya tetapi dikesalkan apabila dia tidak tahu kisah sebenar disebalik hal berhubung kek tersebut. "Hairul telah mengambil gambar kek di Instagram saya lalu dimuat naik di Instagram miliknya dengan kapsyen yang berunsur fitnah, saya gagal menyiapkan kek untuk Hanis Zalikha. “Perkara itu ternyata tidak benar kerana pada 9 Oktober lalu kira-klira pukul 6 petang saya dihubungi oleh seseorang yang mahu saya membuatkan kek berbentuk barbie doll dengan segera dan ia perlu dihantar ke satu lokasi dua jam kemudian. “Bagaimanapun saya terpaksa menolak tempahan itu kerana masa diberikan terlalu singkat. Saya juga tidak ambil apa-apa deposit,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Terdahulu Hairul Azreen, 26, menerusi laman Instagram miliknya pada 10 Oktober lalu telah memuat naik gambar kek dengan kapseyn kecewa kerana tempahan kek sempena ulang tahun kelahiran kekasihnya, Hanis Zalikha, 24, gagal disiapkan. Dalam pada itu Siti Saleha berkata, dia turut difahamkan kek ulang tahun itu seharusnya dibuat oleh pembuat kek lain namun ia tidak dapat disiapkan kerana perkara tertentu. "Saya rasa mungkin Hairul sendiri tidak tahu hal sebenar kerana tempahan itu dibuat oleh orang lain yang mana saya difahamkan saya adalah individu kedua yang diminta membuat kek berkenaan. "Apa yang saya kesalkan tindakan dia ‘mencuri’ gambar rekaan kek di Instagram saya itu dengan kapsyen berunsur fitnah telah menjejaskan reputasi perniagaan sehinggakan saya terpaksa padam komen negatif daripada peminatnya," ujar Siti Saleha. Jelas Siti Saleha, dia juga sebelum ini pernah memberi tajaan kek untuk hari jadi beberapa artis tempatan termasuk Adi Putra dan Izreen Azminda tetapi tidak ada apa-apa masalah berlaku kerana mereka membuat tempahan awal. "Saya tidak ada masalah jika dia (Hairul) mahu saya sponser kek tersebut namun perlu ada cara iaitu dengan membuat tempahan sebulan atau seminggu awal supaya mudah untuk saya buat persiapan," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga kek yang dikenali sebagai CanDiva turut meluahkan rasa kecewa apabila pelakon itu melalui wakilnya mengambil sikap acuh tidak acuh dalam urusan tempahan kek berkenaan. Jelasnya, Hairul gagal membayar deposit yang sepatutnya sehingga dia tidak dapat menyiapkan kek istimewa itu pada hari diminta. "Saya kesal apabila pihak Hairul yang membuat tempahan kek itu seperti tidak serius, ketika diminta bayar deposit ada sahaja alasan yang diberikan. "Jadi kami tidak buat apa-apa untuk tempahan itu, namun pihak kami sudah beritahu awal-awal kepada mereka jika tidak ada deposit maka kami tidak akan buat," ujarnya. Sementara itu, pelakon Hairul Azreen ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen tentang perkara itu.

Yazer & Ekin (AF3) Bakal Nikah Selepas Krisis Cinta Diselamatkan

Penyanyi Yazer mengesahkan bakal berkahwin dengan kekasihnya Ekin pada 26 Disember ini selepas sembilan tahun menjalinkan hubungan cinta. Yazer atau nama sebenarnya Mohd Yazer Yusof, 32, juga tidak menyangka perhubungan yang lama itu akhirnya dapat disatukan meskipun cinta mereka pernah putus seketika pada hujung tahun lalu. "Jujurnya, saya sangka jodoh kami tidak panjang lebih-lebih lagi hubungan kami putus pada November tahun lalu. "Selepas masing-masing bermuhasabah diri, saya mengambil keputusan untuk memujuk Ekin pada April lalu dan terus melamarnya tanpa membuang masa," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis. Majlis pernikahan pasangan itu akan berlangsung di kediaman keluarga Ekin di kampung Bebuloh Laut, Labuan, Sabah dan acara resepsi diadakan pada 28 Disember di lokasi sama.
Bagaimanapun, Yazer belum merancang sama ada mahu mengadakan majlis di kampungnya, Tawau, Sabah atau tidak. "Majlis kami sederhana sahaja. Tengoklah macam mana, jika ada rezeki lebih makan kami turut akan mengadakan majlis di kampung saya juga," tuturnya. Dalam pada itu, tambah Yazer, dia juga bersyukur apabila Ekin atau nama sebenarnya Norashikin Abdul Rahman, 30, menerima lamaran itu tanpa berfikir terlalu lama. Katanya, selepas putus cinta selama lima bulan, jiwa mereka berasa kosong dan saling memerlukan antara satu sama lain. "Saya anggap ada hikmahnya kami berpisah sementara. Masing-masing berfikir tentang hala tuju hubungan ini apatah lagi kami susah senang bersama. "Dan saya percaya sukar untuk kita mencari pasangan yang sanggup jatuh bangun bersama-sama. Doakan jodoh kami kuat hingga akhir hayat," ujarnya. Yazer dan Ekin mula menjalinkan hubungan cinta ketika mereka menyertai program realiti siaran Astro, Akademi Fantasia musim ke-3 (AF3) pada tahun 2005.

KALAU DAH JODOH TAK KE MANA - EKIN & YAZER AF3 NIKAH 28 DISEMBER INI?

Masihkah anda ingat dengan kenyataan Ekin dan Yazer AF3 bahawa mereka berdua sudah berpisah setelah lapan tahun bercinta? Alasan perpisahan itu, Yazer mengakui masih belum cukup wang untuk menyunting Ekin sebagai isteri. "Saya bercinta dengan dia selepas keluar Akademi Fantasia pada tahun 2005 lagi. Selama lapan tahun kami bercinta pernah juga putus tetapi sambung kembali. Tetapi kali ini hubungan kami benar-benar sudah putus," demikian kata Ekin sebelum ini yang membuat ramai peminatnya mengeluh. Namun berita terkini yang berlegar di alam maya, mereka berdua dikatakan bakal berkahwin pada 28 Disember ini. Aikkk... biar betul??
Jika benar berita tersebut, Alhamdulillah. Mungkin hubungan cinta yang terputus satu ketika dahulu kembali bertaut agaknya. Atau mungkin juga mereka sengaja menyorokkan hubungan tersebut demi menyejukkan keadaan yang mendesak mereka bersatu sebelum ini. Tahniah diucapkan. Sama-samalah kita doakan agar mereka benar-benar kejinjang pelamin tanpa sebarang halangan lagi. Amin.

LIYANA JASMAY, SUAMI DAN ANAK BERCUTI DI LONDON

"Morning London! So excited to be here again. At the same hotel when we were honeymooning! And now we have Sofia with us! Syukur alhamdulillah..." begitulah kata Liyana Jasmay ketika bercuti dengan suami dan anaknya di London. Selain tempat menarik, Liyana sempat juga membelah-belah di Liberty shoes boutique London, yang menjual pelbagai kasut berjenama.

Lisa si penghias dan penyalur mesej produk

Portfolio Lisa pernah diisi dengan penglibatannya dalam bidang pengiklanan sejak berusia 11 tahun. Antara iklan komersial yang pernah dibintanginya termasuklah produk minuman Ovaltine dan restoran makanan segera popular McDonald’s. Bertemu dengan pelakon yang mencuri perhatian menerusi filem I’m Not Single itu, Lisa sekali lagi diperkenalkan sebagai duta produk kecantikan. Kali ini, dia diumumkan sebagai jurucakap syampu Head & Shoulders. Melihat kepada pencapaian dan nama teguh di persada hiburan, mungkin ada yang menggambarkan Lisa seorang yang mementingkan gaya mewah, namun apa yang diperhatikan pula sebaliknya. Aktres berusia 28 itu selamba dan tampil serba sederhana. Mengenakan blaus longgar berona biru yang dipadankan bersama celana jean jenis skinny, pelakon filem Ular itu ramah menyapa memulakan bicara sebelum sesi wawancara bermula. “Apa khabar, sihat?” tutur wanita berstatus isteri itu lembut sambil tersenyum. Berbekalkan wajah yang cantik, tidak hairan jika Lisa sering menjadi buruan syarikat-syarikat terkenal untuk mewakili jenama atau produk yang dipasarkan. Tidak terlalu cerewet dalam memilih tawaran untuk menjadi duta sesebuah syarikat, anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui lebih spesifik dalam memilih produk yang mahu diwakili supaya dapat memberikan mesej berguna kepada para pengguna. “Tugas seorang duta yang mewakili sesuatu produk itu sangat besar. Seorang duta itu bukan sahaja mewakili jenama yang dipasarkan, malah memberikan mesej yang baik kepada masyarakat. “Sebagai contoh, selain Head & Shoulders, saya juga merupakan duta kepada jenama penjagaan kecantikan Body Shop yang menggalakkan pengguna membeli sambil menderma. “Pada masa yang sama, minuman jus jenama Marigold yang saya wakili juga turut mempromosikan gaya hidup sihat dengan mengamalkan cara pemakanan sihat dan segar. “Jadi, tugas saya bukan semata-mata menjadi ‘penghias’ jenama tersebut tetapi lebih kepada mendidik pengguna untuk memilih cara hidup yang lebih baik sesuai dengan kelebihan produk yang saya wakili,” ujarnya panjang lebar.
Relevan Menyentuh mengenai peranan pelantikan artis sebagai duta sesebuah produk untuk kekal relevan, Lisa menganggap kedua-dua bidang itu saling berkait rapat dan membantu kestabilan karier seninya. “Memang benar, seseorang artis atau selebriti perlu relevan dalam industri untuk terus dikenali tetapi ia bergantung juga kepada jenama dan pemilihan artis itu sendiri. “Jika sesebuah syarikat melamar artis itu untuk mewakili produknya, maksudnya artis tersebut masih relevan dalam kalangan peminat. Begitu juga dengan peranan artis tersebut. “Apabila orang ramai mula bercakap tentang duta tersebut, secara tidak langsung itu strategi untuk melariskan produk yang diwakili dalam kalangan pembeli. Itu merupakan satu bentuk kitaran yang tidak akan berhenti,” ujar graduan Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom itu. Tidak menolak untuk menerima lebih banyak tawaran pada masa akan datang, Lisa berkata, semuanya bergantung kepada rezeki Allah. “Alhamdulillah, sepanjang saya menceburkan diri dalam bidang ini, rezeki yang diberikan tidak pernah putus. “Selagi semuanya selari dengan matlamat saya, tidak salah rasanya untuk terus menerima tawaran daripada syarikat tempatan atau antarabangsa yang menginginkan saya mewakili produk mereka,” ujarnya lagi. Tidak sembrono dalam lakonan Penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 itu pernah mengakui yang dia tidak gemar menonton filem seram. Namun, bagi mengembangkan bakat serta kebolehannya dalam bidang lakonan, Lisa akhirnya bersetuju untuk membintangi sebuah filem seram arahan Jason Chong berjudul Dendam Orang Mati. “Ya, saya pernah cakap yang saya memang tidak suka menonton filem seram tetapi suami saya, Yusry (Abdul Halim) banyak memberikan galakan kepada saya untuk mencuba sesuatu yang di luar daripada zon selesa. “Dia pernah berkata, jika mahu bergelar pelakon serba boleh, saya perlu berani untuk cuba melakonkan apa jua watak sekali_pun. Walaupun watak untuk sebuah genre yang kurang saya gemari,” katanya seraya ketawa.
Ditanya sama ada dia tidak kisah jika kerap dilihat berlakon dalam filem terbitan suami sendiri. Lisa berkata, dia ambil sikap positif, lebih-lebih lagi apabila berkaitan dengan karier lakonan. “Bidang lakonan itu luas. Sebelum menerima sebarang tawaran untuk membintangi mana-mana filem, saya terlebih dahulu melihat kepada skripnya, jalan cerita, pengarah dan pelakon lain yang terlibat. “Saya tidak semborono membuat pilihan atau keputusan tanpa menilaikan sesebuah karya dengan terperinci,” ujarnya. Pelakon yang bakal muncul dengan sekuel ketiga filem Cicak-Man itu juga mengakui, keterbatasan watak yang diterimanya bukan disebabkan oleh jolokan ‘buah hati rakyat Malaysia’ (Malaysian Sweetheart) yang diberikan oleh para peminat kepada dirinya. “Saya sangat berterima kasih dengan gelaran tersebut tetapi saya percaya, jolokan itu bukan penghalang untuk pihak penerbit membatas watak-watak yang lebih mencabar buat saya,” tutur Lisa sambil tersenyum. Jadual kerja tidak padat Jika ditilik jadual harian pelakon berbintang Aries itu, pasti ramai yang menganggap Lisa tidak mempunyai banyak masa untuk berehat. Baru menamatkan pementasan teater P. Ramlee The Musical musim ketiga di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, Lisa berkata, jadual hariannya sebagai seorang pelakon tidaklah terlalu padat. Bahkan, corak kariernya boleh dikatakan sama sahaja dengan individu bekerjaya yang lain. “Saya rasa, jadual harian saya sama sahaja dengan mereka yang bekerja di pejabat. Apa yang berbeza cuma waktu kerja yang tidak menentu serta lokasi tempat kerja yang sering bertukar. “Hakikatnya, saya masih bekerja. Saya juga berpeluang untuk bercuti, sama seperti orang lain. Apa yang penting, kesederhanaan dan keseimbangan ketika sedang bekerja,” tuturnya yang bakal melancong ke Pulau Pinang bersama keluarganya pada penghujung tahun ini.

Belum fikir pencen - Neelofa

DENGAN ura-ura perkahwinan ramai yang menjangkakan pelakon serta pengacara cantik ini akan meninggalkan dunia seni tidak lama lagi. Bagaimanapun sehingga ke saat ini masih belum ada kata putus mengenai kesahihan berita tersebut. Tidak pernah terfikir mahu meninggalkan dunia seni dalam waktu terdekat, balas wanita ini selagi bidang ini menjanjikan keuntungan mengapa dia perlu menarik diri. “Saya tiada sekatan untuk terus aktif dalam bidang ini, buat masa ini selagi saya selesa saya akan teruskan kerja saya seperti biasa. “Sama ada lima atau 10 tahun lagi saya tidak tahu berapa lama saya akan di sini, bagaimanapun jika ia masih memberi keuntungan kepada saya mengapa saya perlu keluar," katanya. Kali pertama membawakan watak wanita gedik, tidak dinafikan Neelofa berjaya menjayakan watak tersebut, namun melihat beberapa adegan menggoda yang dibawakan Neelofa ada yang tertanya adakah lakonannya dalam filem Dollah Superstar itu sedikit mengganggu situasinya sebagai seorang wanita bertudung kini. Ternyata sikap profesional Neelofa menjawab segala teka-teki itu apabila dia percaya peminatnya lebih bijak untuk mengimbangi perkara tersebut. “Saya fikir peminat faham, sewaktu itu saya belum berhijab dan memang watak itu memerlukan saya melakonkan watak sebagai wanita gedik jadi saya beri yang terbaik. “Sebagai pelakon saya kena berlaku adil dalam hal ini, walaupun saya sudah bertudung tetapi itu tidak bermakna saya perlu malu dengan lakonan saya. Sehingga ke saat ini memang saya terlibat dengan semua promosi yang sudah diaturkan," katanya. Bergandingan dengan Awie dan Sharnaaz, balas Neelofa walaupun watak itu jauh berbeza dengan dirinya namun dia percaya bahawa penonton akan mendapat kepuasan dengan lakonannya dalam filem tersebut. “Saya percaya penonton akan meluat dengan watak yang saya pegang, tetapi tidak mengapa kerana memang itu yang saya mahu. “Bekerjasama dengan pelakon hebat dalam filem ini juga sedikit sebanyak membantu saya dalam menyampaikan watak saya dengan baik," katanya. Sementara itu Dollah Superstar merupakan karya terbaru pengarah terkenal, Kabir Bhatia yang sebelum ini cukup terkenal dengan pengarahan filem dan drama genre romantik . Kemampuannya mewujudkan kelainan dalam Dollah Superstar berjaya membuktikan dia mampu lari dari genre percintaan sahaja. Sementara itu Dollah Superstar secara dasarnya menampilkan kelainan kerana ia berkisar tentang seorang gengster yang bercita-cita menjadi pelakon dan dari situ adegan demi adegan mula mencorakkan filem Dollah Superstar.

Hospital Taja Kos Bersalin Kelas Pertama Rozita Che Wan

Pelakon Rozita Che Wan, 41, bersyukur kerana bakal menerima tajaan bersalin kelas pertama daripada Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri dekat sini yang dijangka dalam waktu terdekat. Rozita atau Che Ta berkata, dia juga bakal mendapat rawatan susulan secara percuma selepas kelahiran berkenaan. "Alhamdulillah, saya kira ini rezeki anak. Tidak sangka pihak hospital sudi menaja segala kos bersalin dan termasuklah rawatan susulan. "Bolehlah wang perbelanjaan bersalin yang kami simpan dilaburkan dalam simpanan untuk anak pula," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu. Rozita dijangka bakal bersalin pada bila-bila masa sahaja dalam tempoh masa dua minggu ini. Sementara itu, Rozita berkata, dalam perasaan teruja menanti kelahiran anak, dia turut berdebar untuk menempuh proses kelahiran itu. "Doktor jangkakan saya bersalin dalam tempoh masa dua minggu lagi. Tetapi nak ikutkan bila-bila masa saja saya akan bersalin. "Diharap semuanya berjalan lancar. Berdebar juga dibuatnya walaupun saya tidak sabar untuk melihat anak yang bakal lahir," ujarnya. Rozita bernikah dengan aktor Zain Saidin, 30, pada 11 Disember 2013. Perkahwinan pasangan itu turut mendapat tajaan pelbagai pihak yang mana kos keseluruhan berjumlah RM13 juta termasuk kelengkapan barang kemas Habib Jewel bernilai RM10 juta. Rozita turut mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan terdahulunya iaitu Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra yang berusia 16 tahun.

Hanez Suraya masih ingin berlakon

PERNAH menimbulkan kontroversi kerana bercinta dengan suami orang, kini Hanez Suraya mengakui, rezekinya dalam bidang lakonan sedang tersekat. Lebih parah lagi, namanya seakan-akan digam oleh stesen televisyen. Bukan langsung tidak ada tawaran yang datang, bagaimanapun setiap kali namanya dicadangkan oleh pihak produksi kepada stesen televisyen, pasti ada sahaja penolakan. Semuanya gara-gara kontroversi hitam yang pernah tercipta. Sungguhpun begitu, pelakon yang popular dengan drama Love You Mr. Arrogant itu enggan menyalahkan mana-mana pihak kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Biarpun keadaan tidak memihak kepadanya, Hanez reda apabila namanya kini digam pihak stesen televisyen. Bagi Hanez, rezeki ada di mana-mana, namun jauh di sudut hatinya, dia mengharapkan keadaan akan kembali normal seperti dahulu. Bukan mahu dijulang atau terus diulit populariti tetapi Hanez tidak mampu melupakan bidang lakonan yang sudah menjadi periuk nasinya selama ini. Kosmo!: Adakah benar Hanez sudah tidak aktif sebagai pelakon? HANEZ: Ya. Sekarang saya sudah tidak berlakon tetapi bukan kerana tidak ada tawaran sebaliknya nama saya dikatakan tidak akan mendapat kelulusan apabila dicadangkan oleh pihak produksi kepada stesen televisyen. Mereka bimbang kontroversi saya mengganggu perjalanan drama atau rating apabila drama disiarkan kelak. Saya faham dan saya reda dengan perkara itu. Sejak bilakah tawaran lakonan anda semakin perlahan? Sebenarnya, perkara itu berlarutan sejak kontroversi itu timbul lagi. Kontroversi saya mendapat perhatian satu Malaysia, tidak ada apa yang boleh saya lakukan kerana semuanya telah berlaku. Saya percaya rezeki ada di mana-mana, jika tidak di bidang lakonan, mungkin di bidang lain. Adakah anda mengharapkan keadaan kembali seperti dahulu? Sejujurnya, memang saya mahu keadaan kembali normal seperti sebelum kontroversi itu timbul. Mungkin saya harus berdiam diri buat sementara waktu, nanti apabila orang sudah lupa kontroversi itu, saya harap keadaan akan kembali seperti biasa. Apakah anda serik apabila terlalu lantang dan terbuka tentang kisah peribadi sebelum ini? Bukan serik, cuma kenyataan yang keluar daripada mulut saya diterima dengan cara berbeza oleh orang lain. Bagi mengelakkan perkara itu berlaku yang akhirnya memakan diri saya semula, lebih baik saya tidak berkongsi sebarang kisah peribadi selepas ini. Bagaimanakah perasaan anda apabila kerjaya yang sebelum ini rancak, tergendala di tengah jalan kerana nama digam stesen televisyen? Sedihlah sebab sebelum ini, apabila nama saya dicadangkan pihak produksi kepada stesen televisyen, tidak pernah pula ada sebarang penolakan. Bahkan, ada waktunya pihak stesen televisyen sendiri yang mencadangkan nama saya. Namun, siapa saya untuk menghalang mereka (pihak stesen televisyen) daripada berbuat demikian. Ramai lagi pelakon yang berbakat boleh diambil pihak stesen televisyen. Selepas kontroversi ini dilupakan orang ramai, memang saya berhasrat untuk kembali aktif berlakon. Pada pendapat anda, apakah yang menyebabkan nama anda masih lagi ‘panas’ sedangkan kontroversi itu sudah lama berlalu? Mungkin orang ramai masih tertunggu-tunggu apakah kesudahan kontroversi itu. Selagi belum ada sebarang kesudahan yang mutlak, nama saya masih tergantung di awangan dan masih lagi panas. Barangkali, selepas mereka tahu kesudahannya nanti, barulah nama saya kembali sejuk. Selepas tidak aktif berlakon, bagaimanakah kehidupan anda? Alhamdulillah, kehidupan saya seperti biasa dan tiada apa yang berubah. Saya masih Hanez yang dahulu, bezanya sekarang saya lebih banyak berehat. Walaupun sudah tidak aktif berlakon, rezeki saya terbuka dalam bidang yang lain. Sekarang saya sedang belajar berniaga secara kecil-kecilan. Buat masa ini, masih terlalu awal untuk saya kongsi tentang perniagaan saya, andai semuanya berjalan lancar, barulah saya akan kongsi kepada semua.

Aidil Zafuan Sokong Rita Rudaini Lapor Ugutan Bunuh

Bintang bola sepak Aidil Zafuan berkata, adalah wajar untuk Rita Rudaini mengambil tindakan terhadap pengikut Instagram bernama ‘Hanifhafizul’ yang telah mengugut agar bekas isterinya itu dibunuh. Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 27, berkata perbuatan seperti itu tidak wajar dilakukan oleh mana-mana pengikut laman sosial artis kerana ia adalah satu perbuatan jenayah. "Bagi saya, tindakan Rita membuat laporan polis untuk mengambil tindakan terhadap pengikut laman Instagram saya itu adalah patut kerana ia boleh mengancam keselamatan dia dan anak-anak," kata Aidil kepada mStar Online pada Isnin. Pada Sabtu lalu, Rita telah membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak dekat sini berhubung komen pengikut Aidil yang menulis cadangan meminta Aidil agar mengupah orang untuk membunuh Rita bagi menyelesaikan masalah mereka berdua. Ia berikutan Aidil memuat naik paparan skrin slip pembayaran nafkah anak kepada Rita sebagai bukti dia tidak mengabaikan anak-anaknya selepas bercerai. Dalam pada itu Aidil berkata, dia terkilan apabila aktres itu menuduhnya tidak mengambil serius tentang ugutan bunuh itu disebabkan dia tidak menyekat komen berkenaan. "Saya sibuk dengan kerja, tak mungkin saya ada masa untuk membaca kesemua komen di Instagram. Cuma apabila saya terbaca, diakui memang saya terkejut kerana individu itu berani memberi komen seperti itu. Dan baru-baru ini saya telah buang komen berkenaan. "Tetapi takkanlah perkara ini pun jadi salah saya? Hanya kerana saya tidak membuang komen itu?" soalnya.
Sementara itu, Aidil mendedahkan dakwaan Rita kepada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Jumaat lalu yang dia tidak pernah menuntut cerai terhadap Aidil adalah tidak benar. Katanya, semasa mereka bergelar suami-isteri, Rita kerap kali meminta untuk dilepaskan. "Saya tidak faham dengan permainan dia. Kenapa dia tidak sudah-sudah mahu mencari kesalahan dan mengaibkan saya. Apa lagi yang dia mahu? "Kalau nak diikutkan, ketika kami masih suami-isteri, sudah lebih dua kali dia minta cerai daripada saya. Semakin saya diam, semakin menjadi-jadi pula tuduhan dia. Jangan sampai saya bersikap tegas dengan mengambil tindakan terhadap setiap tuduhannya itu," ujarnya. Rita dan Aidil bernikah pada 25 Februari 2008 di Selatan Thailand dan disahkan bercerai talak satu pada 5 September 2013 iaitu selepas lima tahun berkahwin. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna, yang masing-masing berusia lima dan tiga tahun. Aidil yang juga pemain bola sepak kebangsaan dan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) kemudiannya bernikah dengan Zarema Zainal, 28, pada 14 Mac lalu.

Nina Iskandar Sangkal Pertunangan Bermasalah

Pelakon berasal dari Brunei iaitu Nina Iskandar menyangkal dakwaan hubungannya dengan tunang iaitu Ahmed Haiqal, 30, bermasalah ekoran dia tidak lagi memuat naik gambar pemuda itu di laman Instagram miliknya. Nina, 23, berkata, tindakannya itu bukan kerana hubungan mereka dilanda masalah tetapi dia memilih untuk bersikap low profile selepas bertunang sejak Ogos lalu. "Alhamdulillah hubungan kami berjalan seperti biasa cuma rasanya tidak manis jika terlalu kerap meletakkan gambar bersama dan kami lebih selesa bersikap low profile. "Orang mungkin rasa pelik sebab sebelum ini saya banyak memuat naik gambar bersamanya dan apa yang boleh saya katakan ketika itu sedang 'seronok' dilamun cinta sehingga tidak peduli pandangan sekeliling," jelasnya kepada mStar Online. Nina ditemui pada sidang media Karnival Puncak Rasah Andaman Seremban yang diadakan di pejabat MIG di sini pada Isnin. Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Ekskutif Kumpulan Andaman, Datuk Seri Vincent Tiew dan Ketua Pegawai Ekskutif MIG, David Teo.
Karnival tersebut bakal diadakan pada 18 Oktober ini di Taman Puncak Rasah, Seremban dengan kehadiran artis terkenal seperti Diana Amir, Adeline Tsen, Shima Anuar, Fadlan Hazim, Ryzal Jaafar dan Zalif Sidek. Dalam pada itu, Nina dan Ahmed Haiqal masih belum menetapkan sebarang tarikh perkahwinan dan hanya akan berkahwin selepas mereka bersedia. Jelas Nina lagi, buat masa ini mereka sibuk dengan tugas masing-masing dan akan mengumumkan kepada semua sekiranya sudah mempunyai tarikh perkahwinan. "Kami belum merancang apa-apa dan Insya-Allah kami akanberitahu sekiranya sudah ada tarikh tetapi bukan dalam masa terdekat," ujarnya. Tambah Nina, pada tahap ini dia dan Ahmed Haiqal banyak mengenali hati budi masing-masing dan tidak menafikan berhadapan dugaan sejak bertunang. "Dugaan itu bukanlah yang besar tetapi lebih kepada proses kami untuk memahami diri masing-masing namun semuanya berjalan lancar," katanya. Sementara itu, Nina berkata, dia bakal memasuki set penggambaran drama bersiri Noktah Kasih bersama Iqram Dinzly untuk siaran TV3. Drama itu adalah projek pertamanya sejak bertudung pada April lalu. "Alhamdulillah akhirnya ada rezeki saya biarpun sudah hampir enam bulan tiada projek terbaharu.Noktah Kasih bakal menjadi drama pertama saya dengan imej bertudung," katanya. Selain lakonan, Nina juga berjinak-jinak sebagai penyanyi dan bakal merakamkan dua buah lagu runut bunyi untuk filem terbitan MIG.

Selepas Hubungan Musnah, Hefny Sahad Dedah Nad Zainal Kekasihnya

Pelakon Hefny Sahad akhirnya mendedahkan Nad Zainal merupakan cinta pertamanya sejak dia berkecimpung dalam industri hiburan tempatan sejak dua tahun lalu sehinggalah hubungan mereka putus. Hefny, 27, bagaimanapun terpaksa akur percintaan mereka tidak dapat diteruskan selepas berlakunya satu perselisihan faham diantara mereka kira-kira dua bulan lalu. "Benar Nad adalah cinta pertama saya sepanjang berada dalam industri seni. Walaupun sekejap, saya anggap apa yang telah berlaku adalah takdir kami. "Saya pun tak salahkan sesiapa terhadap apa yang telah berlaku sebelum ini. Cuma saya hanya mampu menjadikan pengalaman lama itu sebagai pengajaran untuk kita terus hidup di masa hadapan," katanya kepada mStar Online. Terdahulu, Nad, 24, dikatakan menyerang Hefny di satu lokasi penggambaran drama bersiri Maaf Jika Aku Tak Sempurna terbitan Zeel Productions di Jalan P.Ramlee dekat sini pada Ogos lalu.
Kejadian yang berlaku dikatakan turut disaksikan oleh kru drama berkenaan apabila Nad dipercayai meluru ke kereta milik Hefny sebaik sahaja pelakon itu tiba untuk menjalani penggambaran drama berkenaan. Pergaduhan kecil yang berlaku terhadap pasangan itu memaksa mereka memutuskan hubungan walaupun selama ini mereka menafikan mempunyai perasaan cinta antara satu sama lain. Sementara itu, Hefny akhirnya mengakui, keretakan hubungan mereka berkait dengan perselisihan faham yang berlaku di lokasi tersebut. Memang betul ketika di lokasi Maaf Jika Aku Tak Sempurna, Nad datang pada saya kerana mahu menyelesaikan masalah perselisihan faham antara kami, tetapi tidaklah sampai dia menyerang saya. "Dan saya memberitahu dia ketika itu untuk berbincang masalah berkenaan pada waktu lain memandangkan saya sedang bekerja. Itu saja. Orang lain pula menokok tambah kejadian itu." ujarnya. Sementara itu, Hefny berkata, dia tidak mempunyai masalah sekiranya dia dan Nad digandingkan bersama dalam sesebuah projek lakonan. Namun, dia akan menolak jika diminta untuk bergambar bersama aktres itu. "Jangan salah faham pula. Memang sebelum ini pun sebarang permintaan media yang ingin menggandingkan kami dalam sebuah fotografi, kami tolak cara baik. Jadi sampailah sekarang, saya masih berpendirian begitu. "Saya tidak mahu nanti orang kata saya nak tumpang populariti dia pula," tuturnya. Dalam pada itu Nad yang selama ini menafikan hubungan itu tidak lagi menyimpan gambar-gambar mereka berdua di laman Instagram miliknya yang mengukuhkan lagi hubungan berkenaan sudah hancur.

HAMIL 4 BULAN - PIJA MENTOR MASIH AKTIF MENYANYI

Mungkin ramai yang bertanya-tanya ke manakah perginya Pija Mentor selepas dia berkahwin dengan ahli perniagaan bernama Datu Anwar Datu Amir Kahar pada 21 Mac lalu di Kota Kinabalu, Sabah. Ini kerana, pada 28 September lalu, satu majlis keraian telah diadakan di Hotel Istana, Kuala Lumpur bagi meraikan teman dan saudara-mara mereka. Sebenarnya, dalam diam, ada berita gembira daripada Pija atau nama sebenarnya Norafizah Mohd Yasin, 25. Dia memberitahu... dirinya sudah hamil lebih empat bulan.
"Kami kenal sudah empat tahun tetapi hubungan itu tenggelam timbul. Kami jumpa balik tahun lepas. Suami saya seorang yang cool, sporting dan kelakar. Dia semestinya sangat matang. Agak pendiam sikit kalau tak biasa dengan seseorang itu," ujarnya memperkenalkan Datu Anwar. Menurut Pija, dia sebenarnya masih aktif menerima undangan nyanyian. Malah dia juga kini menganggotai kumpulan The Girls Republic yang diasaskan Awi Rafael. Kumpulan itu turut dianggotai Maisara dan Sarah Ann. "Saya bertemu dengan Awi Rafael tahun lalu dan dari situ bermulanya kerjasama ini. Selepas bertemu Awi, saya dilihat sudah seperti aktif kembali di arus perdana," tambahnya yang sudah berbulan madu di London beberapa bulan lalu. Tahniah diucapkan buat Pija!

Riak setelah berhijab? - Sheera Iskandar

DITUDUH mula jadi riak ketika mula-mula membuat keputusan untuk bertudung pada awal Ogos lalu, aktres versatil, Sheera Iskandar, 29, sedikit pun tidak melenting dengan kata-kata yang diibaratkan seperti ‘bunyi lalat’ itu. Menanam niat yang baik jauh di sanubarinya, anak kepada dramatis Aznah Hamid itu memberitahu bahawa nawaitu untuk mengenakan tudung ikhlas lahir dari hati, bukan dek kerana fesyen semasa. Baru-baru ini, Sheera hadir bersama tiga pelakon lain iaitu Afique Hussain, Fee Haiqal dan Larra Rahmat ke Studio Utusan bagi mempromosikan telefilem Penakluk Mimpi terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ini kesempatan kami berkongsi pengalamannya mengenai dugaan yang perlu dihadapi sementelah tampil dengan imej baharu. Menceritakan detik awal penghijrahan dirinya itu, Sheera berkata semuanya berlaku dalam sekelip mata tanpa ada paksaan sesiapa. Cuma mengakui ia serba sedikit didorong oleh kata-kata nasihat beberapa individu yang berada di sekelilingnya terutama ibunya yang juga telah mengenakan hijab. Elak persepsi negatif DEK perubahan yang dilakukan teraju utama filem Aku Bukan Tomboy arahan Syamsul Yusof itu, ramai mula tertanya-tanya sebab musabab yang membuatkan Sheera berubah ke arah imej tersebut. Tidak kurang juga ada yang membuat telahan sendiri dengan mengatakan bahawa Sheera telah bertemu pilihan hatinya yang bakal menyuntingnya menjadi suri di hati jejaka terbabit, sekali gus mendorongnya mengenakan hijab sebelum bergelar isteri. Ditebak persoalan sebegitu, Sheera hanya ketawa kecil mendengarkan khabar tidak berasas itu, malah menjelaskan pendiriannya untuk bertudung adalah disebabkan tuntutan agama semata-mata, bukannya ada alasan lain. “Sejujurnya, saya tidak mempunyai sesiapa lagi, masih solo dan selesa begini. Jadi tidak timbul isu saya bertudung disebabkan mahu berkahwin. Biarlah ahli keluarga menjadi pendamping buat masa ini, bukannya kekasih. Saya serahkan soal jodoh ini kepada Allah kerana itu adalah kerja-Nya. “Pada masa yang sama, saya tidak mahu timbul sebarang persepsi negatif jika membuat pemberitahuan mengenai pemakaian tudung ini. Biarlah peminat atau sesiapa jua mengetahuinya secara normal berdasarkan gambar-gambar yang dimuat naik di laman sosial. Jika mereka nampak gambar-gambar saya yang bertudung, saya rasa mereka sudah cukup cerdik untuk mentafsir sendiri perubahan yang berlaku. “Foto lama yang memaparkan imej sebelum ini sudah pun dikeluarkan daripada laman-laman sosial, hanya untuk simpanan peribadi sahaja. Saya tekad dengan perubahan ini dan berdoa agar ia kekal hingga ke akhir hayat," katanya. Tudung bukan kekangan DIAKUI terdapat beberapa dugaan sejak mengenakan tudung, Sheera percaya semua yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri, di samping terus berdoa agar Allah menguatkan imannya untuk terus berubah ke arah lebih baik. Tidak mahu mengulas lanjut mengenai dugaan yang ditempuhinya, Sheera sebaliknya terus memberitahu bahawa kerjaya lakonannya tetap aktif seperti biasa dan hijab bukanlah kekangan untuknya mendapatkan tawaran berlakon. Sebagai contoh, Penakluk Mimpi adalah produk terbaharu lakonannya dengan mendukung watak utama di sisi aktor baharu, Afique yang lahir daripada program pencarian bakat Jejaka Kacak Bergaya Pancaindera 2010. “Alhamdulillah, walaupun bertudung rezeki saya sebagai pelakon masih terbuka luas. Dalam telefilem ini, saya membawa watak Arina yang bercita-cita besar, tetapi suka melakukan kerja separuh jalan. “Arina suka meletakkan harapan tinggi dalam setiap peluang yang dia lakukan untuk peroleh kejayaan. Pada masa yang sama, disebabkan teruja untuk mendapatkan sesuatu, ia terbawa-bawa dalam mimpinya. “Bagaimanapun, cita-citanya ibarat hangat-hangat tahi ayam. Suka melakukan kerja separuh jalan sehingga memberi impak terhadap orang-orang di sekelilingnya," jelas Sheera berkongsi sedikit mengenai sinopsis Penakluk Mimpi.

Lantaklah kata orang - Sherry Ibrahim

Pelakon, Sherry Ibrahim nampaknya akan menyertai golongan selebriti tempatan antaranya Rosnah Mat Aris, Ella, Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan Didie Alias. Nama-nama selebriti yang disebut itu sebenarnya adalah golongan yang nekad memilih untuk berkahwin dengan lelaki yang lebih muda. Sherry juga begitu kerana dikatakan sedang bercinta dengan bekas pemenang Hero Remaja 2012, Fattah Amin. Bagi wanita yang berusia 31 tahun itu, dia tidak menolak andainya hubungan cinta mereka kini berakhir ke jenjang pelamin walaupun jarak usia mereka berbeza tujuh tahun. “Kalau dia nak hubungan ini ke peringkat seterusnya, peringkat yang lebih baik, saya rasa apa salahnya. “Lagipun sekarang ini saya cukup selesa bersama dengannya dan saya tidak menolak jika dijodohkan dengan dia. “Cuma saya wanita, jadi tidak manis sekiranya saya bercerita lebih tentang perkara ini. Setakat ini sahajalah yang saya boleh cerita," katanya. Bercerita tentang persepsi sesetengah orang yang cukup skeptikal dengan umur pasangan, bagi Sherry, dia sedikit pun tidak kisah dengan luahan kata-kata orang lain. “Biarlah apa orang nak cakap pasal umur. Jarak umur terlalu jauh ke apa. Saya tahu, perkara seperti ini pasti akan dipersoalkan apatah lagi saya lebih tua daripada dia. “Tapi bagi saya itu tidak penting kerana apa yang lebih utama ialah penerimaan hubungan antara saya dan dia dan keluarga kami. “Jika keluarga kami menerima serta saya dan dia juga selesa dengan hubungan ini, saya rasa jarak umur tidak menjadi masalah," jelasnya lagi. Buat masa ini, jelas Sherry dia sudah bertemu dengan adik Fattah manakala Fattah pula sudah bertemu dengan ibu dan adiknya. Tambah Sherry, dia sendiri tidak berhajat untuk mencari pasangan yang lebih muda dan ia adalah kebetulan semata-mata. “Saya tidak mencari lelaki yang lebih muda. Mungkin sudah ditakdirkan dengan dia selepas cinta saya sebelum ini putus," jelasnya. Sherry sebelum ini pernah bercinta dengan seorang lelaki yang berasal dari Mauritius namun tidak berakhir ke jinjang pelamin. “Sebelum ini hubungan cinta saya terputus dan saya harap hubungan baru ini tiada halangan dan saya sendiri sentiasa mencuba yang terbaik," ujarnya.

Hanez jadi mangsa

RASA kasihan juga Syed dengar tentang cerita yang menimpa Hanez Suraya yang khabarnya sudah tidak menerima tawaran berlakon lagi sejak akhir-akhir ini. Kalau dulu tawaran tak putus-putus tapi sekarang nampaknya dia lebih banyak berehat panjang. Bila tiba bab-bab macam ni memang orang akan rasa kasihan dengan nasib yang menimpa Hanez. Bukan apa, rasa macam tak adil pula bila kebanyakan stesen televisyen mula gam muka Hanez daripada terlibat dengan drama dan rancangan yang lain. Kalau mengikut cerita namanya ada dicadangkan oleh pihak produksi tetapi bila naik ke stesen televisyen akan ditolak. Mungkin orang produksi takut mukanya akan memberikan impak buruk kepada rating dan minat penonton secara keseluruhan. Syed ada terjumpa dengan orang kuat sebuah stesen televisyen baru-baru ini. Katanya memang kebanyakan stesen televisyen tak berani lagi nak ambil Hanez bimbang rancangan mereka dikeji oleh peminat. Dalam bab-bab macam ni, orang ingat keputusan tersebut hanya dibuat oleh stesen televisyen semata-mata. Tapi kalau mengikut kata sumber dari sebuah stesen ini, ada ‘tuan penasihat’ yang memantau pelakon mana yang bermasalah dan akan disenaraikan secara terperinci. Bila Syed risik-risik, rupa-rupanya ada beberapa orang kuat industri hiburan tanah air yang masuk kategori veteran menjadi ‘polis’ kepada para pelakon ini. Merekalah yang akan menyenaraikan kepada pihak berkenaan agar nama sekian-sekian artis jangan diambil berlakon. Selain Hanez, rata-rata pelakon dan penyanyi yang dilarang muncul termasuklah mereka yang aktif berpolitik songsang dan terlibat dalam perkara jenayah. Tak perlulah Syed sebut siapa yang punya kerja tetapi itulah yang berlaku sebenarnya. Dalam hal macam ni jangan sampai menutup periuk nasi orang. Kalau mereka terlibat dalam keganasan atau menjadi penjenayah wajar juga di ban tetapi kalau setakat kes Hanez ni tak usahalah sampai nak matikan terus kerjaya orang tu. Rasanya sebelum ini sudah ramai artis wanita menghadapi kes skandal suami orang juga. Kenapa muka mereka lepas sahaja di kaca televisyen. Yang Syed pelik kenapa Hanez sahaja yang jadi mangsa?

Azmil Mustapha Bawa Anak Dalami Islam Di Syria

Bekas pelakon era 80-an iaitu Azmil Mustapha menjelaskan penghijrahannya ke negara Syria kira-kira tujuh tahun lalu bukanlah kerana merajuk dengan industri seni negara. Sebaliknya, Azmil, 62, berkata, dia ke negara itu membawa bersama-sama empat orang anaknya iaitu Nurazalea Arifah, 24, Nor Amalia Batrisya, 23, Mohd. Bazli Zhafri, 19, dan Nur Alia Iman, 13, ke negara itu adalah untuk mencari ilmu bagi menambah pengetahuan agama Islam. "Ketika mula mendalami agama, hati saya masih lagi berasa kosong. Kemudian saya membuat sembahyang hajat untuk mendapatkan petunjuk, dan saya diberi petanda untuk ke Syria. "Saya membawa keempat-empat anak ke negara itu dengan poket kosong. Tetapi, Alhamdulillah perjalanan dan kehidupan kami di sana dipermudahkan. "Jadi tidak ada istilah saya merajuk dengan dunia seni atau tidak. Cuma saya ingin mencari ilmu ke jalan Allah. Itu sahaja," katanya. Azmil yang kini duda turut mempunyai seorang anak iaitu Nur Syamira, 28, hasil perkahwinannya yang pertama. Tambah Azmil, selepas lima tahun di negara itu, dia berhijrah ke Pattani, Thailand untuk membangunkan sekolah agama, namun hasratnya itu tidak tercapai kerana undang-undang tidak membenarkan warga asing memiliki sebarang tanah di negara itu.
Hal tersebut membuatkan pelakon yang popular dengan filem Ali Setan itu membuat keputusan untuk kembali ke tanah air. Kata Azmil, sejak pulang ke Malaysia, dia menerima pelbagai tawaran lakonan namun menolaknya kerana menganggap ia tidak bersesuaian dengan dirinya sekarang. "Kali terakhir saya berlakon adalah pada tahun 2005 menerusi filem Puteri Gunung Ledang, itupun tidak ramai yang menyedarinya. "Dan kemudian, saya tidak mahu lagi berlakon. Tetapi masih lagi ada penerbit menawarkan watak pada saya. Bukannya apa, mengenai kerja-kerja lakonan, banyak perkara yang saya perlu lihat, daripada segi watak, skrip serta cara kerja produksi. Semua itu penting bagi saya," ujarnya. Sementara itu, Azmil berkata, dia kini sedang melibatkan diri dengan sebuah stesen televisyen baharu iaitu Halal TV yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Menerusi saluran itu, Azmil menjadi penerbit program dan pengacara bagi program Selebritillah yang menampilkan Janet Jackson, Yusuf Islam dan beberapa selebriti muallaf antarabangsa. Selain itu, Azmil turut menerbitkan program lain iaitu Tic Tech Tric (mengenai dunia elektrik) dan Sufi Seeker. Semasa era kegemilangannya Azmil berjaya mencipta nama menerusi filem Mekanik sebagai pelakon utama pada 1983 arahan Othman Hafsham yang berjaya mencecah kutipan Boxoffice. Nama Azmil terus menjadi sebutan apabila filem kisah percintaannya sebagai pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Ali Setan dan Ali Setan 2 masing-masing pada tahun 1985 dan 1986 menjadi satu fenomena ketika itu yang dilakonkannya bersama Ogy Ahmad Daud.

Ahli Keluarga Mahu Jaga Anak Linda Hashim

Pelakon Linda Hashim berasa lega apabila ramai ahli keluarga yang menawarkan diri untuk menjaga anak sulungnya Jelita Clarissa, 5 bulan, apabila dia memilih untuk aktif semula dalam dunia lakonan. Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 30, berkata, dia yang akan menerima tawaran bermula bulan depan mengakui tidak mahu menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada orang luar yang kurang dikenalinya. "Saya akan kembali semula berlakon selepas umur Jelita enam bulan dan Alhamdulillah tentang penjagaan dia ramai ahli keluarga yang tawarkan untuk menjaganya. Kakak saya dan atuk saudara saya sudah beritahu awal-awal mahu menjaga dia, malah ibu Beego juga sanggup datang ke Kuala Lumpur untuk menjaganya jika saya ada penggambaran. "Kalau boleh memang saya tidak mahu hantar ke pusat penjagaan kerana takut dengan berita-berita yang sering berlaku tentang keselamatan bayi di bawah jagaan orang lain," ujarnya kepada mStar Online.
Isteri kepada pelakon Beego itu berkata, bayi perempuannya itu tidak mempunyai masalah untuk tinggal bersama ahli keluarganya yang sudah biasa dengannya. Bagaimanapun, Linda dalam proses untuk mengajar Jelita minum susu formula menggunakan botol bagi menggantikan susu badan. Saya rasa Jelita boleh tinggal dengan mereka kerana dia jenis yang tidak takut orang terutama ahli keluarga kami, namun buat masa ini saya sedang ajar dia minum menggunakan botol susu," ujarnya. Sementara itu, sebuah majlis cukur jambul dan akikah Jelita telah diadakan di kediaman mertuanya di Johor Bahru, pada malam Isnin lalu. Tambah Linda, majlis yang dihadiri keluarga sebelah Beego itu sudah dirancang pada Hari Raya Aidilfitri lalu tetapi terpaksa ditunda pada Hari Raya Aidiladha atas sebab tertentu. "Kami memang merancang untuk mengadakan majlis ini di Johor Bahru kerana jarang dapat berjumpa dengan keluarga belah sini, kalau di Kuala Lumpur sudah selalu," katanya.

Kesetiaan Farhan Berjaya Pikat Hati Suami

Suami kepada penyanyi Farhan Azizan iaitu Ahmad Rashadan Suhaimi mendedahkan kesetian isterinya itu sepanjang lapan tahun perkenalan mereka membuatkan dia yakin bahawa wanita berkenaan adalah cinta sejatinya. Ahmad Rashadan, 30, berkata, sepanjang tempoh itu, hubungan mereka paling hebat diuji ketika dia melanjutkan pelajaran di United Kingdom sekitar tahun 2008 selama tiga tahun dan Farhan sentiasa setia menunggunya kembali ke tanah air. Kesetiaannya kepada saya membuatkan saya terpaut hati dan yakin dia adalah wanita untuk menemani saya sehingga akhir hayat. "Biarpun diduga dengan pelbagai dugaan dia tetap setia di sisi saya dan saya seorang lelaki bertuah pada hari ini," katanya kepada mStar Online.
Farhan, 30, dan Ahmad Rashadan sah bergelar suami-isteri dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis yang diadakan di Masjid Al Hasanah Bangi di sini kira-kira pukul 10.15 pagi, Jumaat lalu. Ahamd Rashadan yang bertugas sebagai Pengarah Pengurusan Perniagaan di sebuah syarikat swasta turut memberikan RM300 sebagai mas kahwin selain tujuh dulang hantaran kepada pengantin perempuan. Farhan yang tampil dengan busana rekaan Calvin Thoo pada majlis pernikahan tersebut membalas dengan sembilan dulang hantaran. Dalam pada itu, Farhan berkata, persefahaman di antara mereka juga menjadi faktor utama hubungan cinta selama lapan tahun itu bertahan sehingga ikatan.
Tambah Farhan, sikap suaminya yang sangat tenang dalam menangani masalah selain sikap ambil berat membuatkan dia selesa bersama lelaki itu. "Rasanya kalau tiada persefahaman yang kuat di antara kami mungkin kami tidak berada di sini sekarang dan faktor itu penguat sepanjang lapan tahun mengharungi tempoh percintaan. "Saya sebak selepas kami disahkan sebagai suami isteri kerana terkenangkan pelbagai perkara yang kami lalui bersama sepanjang tempoh itu dan rasa seperti tidak percaya kami kini sudah berkahwin," ujarnya. Sementara itu, Ahmad Rashadan berkata, sebagai suami dia akan sentiasa menyokong kerjaya isterinya dan tidak akan menghalang Farhan untuk terus menyanyi.
Dia juga yakin Farhan tahu batasannya sebagai seorang isteri dan mampu menjaga diri dengan baik. Ditanya soal anak, pasangan itu berharap segera dikurniakan cahaya mata agar dapat menyerikan lagi rumah tangga mereka. "Kami pun bukannya muda lagi dan sudah tentu mahukan cahaya mata namun menyerahkan soal itu kepada rezeki," kata Farhan. Tambah Ahmad Rashadan, mereka memilih Pulau Maldives sebagai lokasi berbulan madu namun masih belum menetapkan tarikh untuk ke sana. Pasangan ini terdahulu mengikat tali pertunangan pada Februari 2012.

Mark Adam Berang Isteri Ditendang Perompak, Kereta Dicuri

Penyanyi Mark Adam meluahkan rasa sedih apabila isterinya Nor Azah Redzuan, 35, ditendang oleh perompak dalam satu kejadian kecurian kereta di Batu Caves, Gombak pada Khamis lalu. Mark, 35, berkata, lebih membuatkan dia geram apabila ketika kejadian itu, dia tiada bersama isterinya. "Kejadian berlaku ketika isteri saya ingin pulang ke rumah kami di Batu Caves di mana sebuah kereta jenis Hilux telah melanggar kereta yang dipandu isteri iaitu Honda CRV dari arah belakang. "Apabila isteri saya keluar kereta, terdapat tiga lelaki turut keluar dari Hilux tersebut dan salah seorang daripada mereka menendang isteri saya pada bahagian perut manakala seorang lagi terus membawa lari kereta kami. "Rasa ralat dibuatnya kerana ketika itu saya tiada di sisi isteri," katanya yang dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Tambah Mark, salah seorang daripada perompak tersebut telah ditahan polis selepas dia bersama isteri membuat laporan polis di Balai Polis Selayang. Kata Mark lagi, kejadian itu membuatkan isterinya masih trauma, ditambah pula kesan tendangan itu membuatkan isterinya kerap mengadu sakit perut. Sementara itu, Mark berharap kejadian yang berlaku pada isterinya dijadikan pengajaran buat orang ramai untuk lebih berhati-hati ketika di jalan raya. "Sekarang ini macam-macam cara orang nak rompak kereta dan salah satunya mereka melanggar kereta di depan sebelum merompak. "Kalau nak cakap tentang kereta hilang, ia ada insuran, tetapi bagaimana jika nyawa yang melayang? "Saya harap kejadian ini dapat menjadi pengajaran buat semua. Buat masa ini saya tidak membenarkan isteri memandu. Lagipun dia masih trauma," ujarnya.

Erin Malek Dan Suami Diduga Menjelang Perkahwinan

Pelakon Erin Malek berkata ada pihak cuba memburukkan dia dengan suami, Farriz Fauzi, kononnya mereka berkelakuan tidak senonoh di depan umum beberapa hari sebelum majlis pernikahan mereka yang berlangsung pada Jumaat lalu. Bagaimanapun, Erin atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 20, bersyukur kerana isu tersebut langsung tidak menjejaskan persiapan majlis perkahwinannya itu. "Ketika kami sibuk menguruskan persiapan perkahwinan, ada pula isu timbul kononnya kami berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai. "Entah mana timbulnya cerita itu saya pun tidak tahu tetapi saya anggap ia adalah dugaan pada saat akhir sebelum berkahwin. Mujurlah keluarga kami tidak melatah dan Alhamdulillah, kami tetap disatukan jua sebagai suami isteri," katanya. Erin dan Farriz, 30, sah bergelar suami isteri pada Jumat lalu dalam dalam satu majlis yang diadakan di kediaman keluarga aktres itu di Duta Suria, Ampang, dekat sini.
Pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Pernikahan, Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Zainal Abidin Mohd Yusof dan diwalikan oleh bapa Erin, Abdul Malek Mari. Pada majlis itu, Farriz, 30, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM10,000 manakala wang hantaran RM30,000. Sementara itu, Erin berkata, dia dan suaminya merancang berbulan madu di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 24 Oktober ini. "Mula-mula kami nak ke New York, tetapi bila difikirkan semula, lebih baik ke Los Angeles memandangkan Farriz pun tahu tempat-tempat menarik di situ. "Kami akan pulang semula ke Malaysia pada 4 November depan. Mungkin saya akan teruskan bercuti untuk beberapa bulan sebelum kembali sibuk dengan kerja-kerja lakonan," ujarnya.

Rita Rudaini Repot Polis Selepas Diugut Bunuh

Pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 38, membuat satu laporan polis selepas diugut bunuh oleh pengikut di Instagram milik bekas suaminya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, 27, menerusi satu status yang dimuat naik Jumaat lalu. Laporan yang dibuat di Balai Polis, Jalan Tun Razak dekat sini pada Sabtu lalu itu antara lain meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemilik akaun Instagram bernama ‘Hanifhafizul’ yang telah menimbulkan ketakutan Rita berhubung status ugutan bunuh. “Pemilik akaun itu mengugut untuk membunuh saya selepas Aidil memuat naik resit pindahan wang nafkah anak-anak kami yang dilakukannya dengan kapsyen bertujuan menimbulkan rasa benci pengikut-pengikutnya kepada saya. "Jadi… saya perlu melakukan seusatu kerana bimbang dengan ugutan berkenaan selain untuk menjaga keselamatan diri,” katanya kepada mStar Online menerusi mesej aplikasi sosial WhatsApp di sini pada Ahad.
Berdasarkan laporan polis berkenaan, pemilik akaun itu antara lain telah menulis cadangan meminta Aidil agar mengupah orang untuk membunuh Rita bagi menyelesaikan masalah mereka berdua. Status berkaitan bunuh itu terus dipanjangkan apabila pemilik akaun tersebut menasihati Aidil agar pada masa depan merancang dapat membunuh dan tidak memberikan Rita peluang untuk hidup. Rita berkata, status paparan skrin yang dimuant naik Aidil itu berjaya meracuni pengikut Instagramnya untuk membenci Rita selain ia satu penghinaan kepada seorang wanita yang telah melahirkan dua orang anak hasil perkahwinan mereka yang sah. Dalam pada itu diminta komennya mengenai paparan skrin resit pembayaran nafkah berjumlah RM2,000 itu Rita berkata, selama ini dia tidak pernah mengatakan Aidil gagal memberi nafkah kepada anak sebaliknya kegagalan Aidil berhubung hak sebagai seorang suami kepada isteri semasa mereka belum bercerai. “Saya sangat kesal dengan tindakan Aidil sehingga boleh membiarkan nyawa saya diancam hanya kerana saya menuntut hak saya sebagai isteri yang tidak diberikan oleh Aidil. “Saya juga tidak pernah mengatakan Aidil gagal memberi nafkah kepada anak-anak tetapi apakah ia cukup dengan mengirimkan wang sahaja bagi menyatakan kesempurnaan tanggung jawab seorang bapa tanpa menjenguk anak-anaknya?” soal Rita.
Mengenai status papran skrin berasingan Aidil dalam Instagram yang mendakwa Rita tidak menjawab mesej yang dikirimkannya untuk mengetahui perkembangan anak, wanita ini turut mendedahkan ia adalah tuduhan tidak benar. Sambil memberikan bukti paparan skrin mesej perbualan mereka Rita berkata, seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha lalu dia ada mengirim mesej kepada Aidil yang berjanji untuk bertemu anak mereka tetapi pemuda berkenaan gagal berbuat demikian. “Dia tiada kesungguhan. Sebab itu saya malas untuk melayan mesejnya apatah lagi saya pernah mendapat mesej ‘jangan gatal’ seoalah-oleh ada pihak yang menganggap saya mahu mengganggu rumah tangga yang baru dibina Adil. “Saya juga pernah membalas mesej-mesejnya mengenai anak tetapi saya terkejut kenapa dia masih menganggap tidak menerima sebarang balasan daripada saya,” ujar Rita. Rita dan Aidil bernikah pada 25 Februari 2008 di Selatan Thailand dan disahkan bercerai talak satu pada 5 September 2013 iaitu selepas lima tahun berkahwin. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna, yang masing-masing berusia lima dan tiga tahun. Aidil yang juga pemain bola sepak kebangsaan dan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) kemudiannya bernikah dengan Zarema Zainal, 28, pada 14 Mac lalu.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails