Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Amar Asyraf terkilan

PENONTON sudah dijanjikan dengan kemunculan Uqasha Senrose, Syazwan Zulkifly dan Syatilla Melvin menerusi teater Kompilasi Ronggeng Volume 2. Bagaimanapun, hingga usai pementasan baru-baru ini, kelibat ketiga-tiga pelakon tersebut tidak kelihatan. Situasi tersebut menyebabkan penonton berasa tertipu, tambahan pula, bayaran yang dikenakan kepada penonton bukannya murah. Teater ke-10 yang dipentaskan rumah produksi Projek Ronggeng itu telah meletakkan tanggungjawab kepada pelakon drama bersiri Setia Hujung Nyawa, Amar Asyraf sebagai penerbit. Sebelum ini, Projek Ronggeng pernah mementaskan beberapa naskhah popular teater antaranya Kompilasi Ronggeng Volume 1, Option, Burung Cahaya Merah, Banduan Terhormat, Si Tora Harimau Jadian dan Arghhh! Bertemu dengan Amar selepas tamat pementasan di Auditorium Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) Kelana Jaya, baru-baru ini, Kosmo! mendapatkan penjelasan lanjut daripada penerbit merangkap pengarah teater itu. KOSMO!: Di sebalik kejayaan pementasan naskhah ke-10 Projek Ronggeng baru-baru ini, terdapat isu berbangkit berhubung ketiadaan beberapa pelakon terkenal seperti yang dijanjikan menerusi poster teater Kompilasi Ronggeng Volume 2 beberapa minggu sebelum ini. Apakah komen anda? AMAR ASYRAF: Mereka mempunyai komitmen saat akhir sehingga terpaksa tarik diri daripada pementasan kali ini. Sejujurnya, tiada masalah lain selain daripada percanggahan jadual. Saya menganggap hal ini perkara biasa dan tiada rezeki untuk kami bekerjasama. Saya tidak boleh menunggu lama untuk mendapatkan tarikh lain daripada mereka, jadi projek itu harus diteruskan. Bilakah perjanjian itu dibuat dan bila pula mereka memberitahu mengenai penarikan diri tersebut? Perjanjian dibuat secara lisan sekitar awal bulan September lalu dan mereka telah menarik diri sekitar tiga minggu lepas. Adakah kalian sudah menjalani sesi latihan bersama selepas perjanjian tersebut? Semua sesi latihan belum sempat melibatkan tiga pelakon berkenaan kerana menunggu kata putus daripada pengurusan masing-masing. Malangnya, selepas jadual mereka keluar, berlaku pula pertindihan waktu menyebabkan mereka terpaksa tarik diri. Meletakkan nama artis berkenaan di poster mengundang banyak tanda tanya apabila tiada seorang daripada mereka terlibat dalam pementasan. Mungkinkah penonton akan rasa tertipu? Saya meletakkan nama mereka selepas ketiga-tiganya memberikan persetujuan, namun berlaku masalah yang tidak dapat dielakkan. Saya tidak boleh berbuat apa-apa, memandangkan poster juga telah siap dan diedarkan. Saya anggap itu masalah teknikal dan tidak menyalahkan sesiapa pun. Adakah anda terkilan dengan penarikan diri pelakon-pelakon yang sudah berjanji tentang komitmen mereka? Sedikit terkilan kerana ini impian saya untuk membawa pelakon televisyen dan filem masuk ke pentas teater. Melalui cara ini mereka akan melihat perspektif lain dalam lakonan. Apakah kesan terhadap penarikan diri tiga artis berkenaan? Penjualan tiket terjejas dan saya terpaksa memulangkan semula sejumlah wang yang telah dibayar untuk menonton teater ini. Silap saya juga kerana keluarkan poster terlalu awal. Saya sepatutnya menunggu sekurang-kurangnya sehingga mereka (pelakon) memberikan kata muktamad. Kenapa perjanjian itu tidak diikat dengan kontrak? Kami cuma amalkan konsep budi bicara dan perkara itu normal. Saya cuba membawa pelakon lain menyertai produksi ini dan merasai cara bekerja seperti keluarga. Ada juga beberapa pelakon yang berminat untuk menyertai pementasan di bawah produksi Projek Ronggeng, misalnya Jay Iswazir dan Izham Ismail, namun jadual juga tidak mengizinkan. Adakah anda mengambil inisiatif lain seperti memanggil pelakon gantian? Masalah itu berlaku pada saat akhir manakala pelakon lain pula sibuk dengan penggambaran. Jadi, saya anggap kali ini bukan rezeki saya. Latihan pula memerlukan tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu kerana teater tidak sama seperti berlakon di depan kamera. Kalau saya menggantikan mereka dengan pelakon lain, akan lebih memburukkan keadaan. Adakah anda serik untuk menjemput pelakon popular lagi selepas ini untuk menyertai Projek Ronggeng? Saya tidak serik dan akan terus mengajak pelakon lain lagi selepas ini. Saya mahu menjadikan teater sebuah industri. Sekarang, teater sekadar suatu hobi. Sebenarnya saya okey, lagipun Syazwan Zulkifly turut datang menyaksikan teater ini tempoh hari.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails