Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hanez Suraya masih ingin berlakon

PERNAH menimbulkan kontroversi kerana bercinta dengan suami orang, kini Hanez Suraya mengakui, rezekinya dalam bidang lakonan sedang tersekat. Lebih parah lagi, namanya seakan-akan digam oleh stesen televisyen. Bukan langsung tidak ada tawaran yang datang, bagaimanapun setiap kali namanya dicadangkan oleh pihak produksi kepada stesen televisyen, pasti ada sahaja penolakan. Semuanya gara-gara kontroversi hitam yang pernah tercipta. Sungguhpun begitu, pelakon yang popular dengan drama Love You Mr. Arrogant itu enggan menyalahkan mana-mana pihak kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Biarpun keadaan tidak memihak kepadanya, Hanez reda apabila namanya kini digam pihak stesen televisyen. Bagi Hanez, rezeki ada di mana-mana, namun jauh di sudut hatinya, dia mengharapkan keadaan akan kembali normal seperti dahulu. Bukan mahu dijulang atau terus diulit populariti tetapi Hanez tidak mampu melupakan bidang lakonan yang sudah menjadi periuk nasinya selama ini. Kosmo!: Adakah benar Hanez sudah tidak aktif sebagai pelakon? HANEZ: Ya. Sekarang saya sudah tidak berlakon tetapi bukan kerana tidak ada tawaran sebaliknya nama saya dikatakan tidak akan mendapat kelulusan apabila dicadangkan oleh pihak produksi kepada stesen televisyen. Mereka bimbang kontroversi saya mengganggu perjalanan drama atau rating apabila drama disiarkan kelak. Saya faham dan saya reda dengan perkara itu. Sejak bilakah tawaran lakonan anda semakin perlahan? Sebenarnya, perkara itu berlarutan sejak kontroversi itu timbul lagi. Kontroversi saya mendapat perhatian satu Malaysia, tidak ada apa yang boleh saya lakukan kerana semuanya telah berlaku. Saya percaya rezeki ada di mana-mana, jika tidak di bidang lakonan, mungkin di bidang lain. Adakah anda mengharapkan keadaan kembali seperti dahulu? Sejujurnya, memang saya mahu keadaan kembali normal seperti sebelum kontroversi itu timbul. Mungkin saya harus berdiam diri buat sementara waktu, nanti apabila orang sudah lupa kontroversi itu, saya harap keadaan akan kembali seperti biasa. Apakah anda serik apabila terlalu lantang dan terbuka tentang kisah peribadi sebelum ini? Bukan serik, cuma kenyataan yang keluar daripada mulut saya diterima dengan cara berbeza oleh orang lain. Bagi mengelakkan perkara itu berlaku yang akhirnya memakan diri saya semula, lebih baik saya tidak berkongsi sebarang kisah peribadi selepas ini. Bagaimanakah perasaan anda apabila kerjaya yang sebelum ini rancak, tergendala di tengah jalan kerana nama digam stesen televisyen? Sedihlah sebab sebelum ini, apabila nama saya dicadangkan pihak produksi kepada stesen televisyen, tidak pernah pula ada sebarang penolakan. Bahkan, ada waktunya pihak stesen televisyen sendiri yang mencadangkan nama saya. Namun, siapa saya untuk menghalang mereka (pihak stesen televisyen) daripada berbuat demikian. Ramai lagi pelakon yang berbakat boleh diambil pihak stesen televisyen. Selepas kontroversi ini dilupakan orang ramai, memang saya berhasrat untuk kembali aktif berlakon. Pada pendapat anda, apakah yang menyebabkan nama anda masih lagi ‘panas’ sedangkan kontroversi itu sudah lama berlalu? Mungkin orang ramai masih tertunggu-tunggu apakah kesudahan kontroversi itu. Selagi belum ada sebarang kesudahan yang mutlak, nama saya masih tergantung di awangan dan masih lagi panas. Barangkali, selepas mereka tahu kesudahannya nanti, barulah nama saya kembali sejuk. Selepas tidak aktif berlakon, bagaimanakah kehidupan anda? Alhamdulillah, kehidupan saya seperti biasa dan tiada apa yang berubah. Saya masih Hanez yang dahulu, bezanya sekarang saya lebih banyak berehat. Walaupun sudah tidak aktif berlakon, rezeki saya terbuka dalam bidang yang lain. Sekarang saya sedang belajar berniaga secara kecil-kecilan. Buat masa ini, masih terlalu awal untuk saya kongsi tentang perniagaan saya, andai semuanya berjalan lancar, barulah saya akan kongsi kepada semua.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails