Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Lisa si penghias dan penyalur mesej produk

Portfolio Lisa pernah diisi dengan penglibatannya dalam bidang pengiklanan sejak berusia 11 tahun. Antara iklan komersial yang pernah dibintanginya termasuklah produk minuman Ovaltine dan restoran makanan segera popular McDonald’s. Bertemu dengan pelakon yang mencuri perhatian menerusi filem I’m Not Single itu, Lisa sekali lagi diperkenalkan sebagai duta produk kecantikan. Kali ini, dia diumumkan sebagai jurucakap syampu Head & Shoulders. Melihat kepada pencapaian dan nama teguh di persada hiburan, mungkin ada yang menggambarkan Lisa seorang yang mementingkan gaya mewah, namun apa yang diperhatikan pula sebaliknya. Aktres berusia 28 itu selamba dan tampil serba sederhana. Mengenakan blaus longgar berona biru yang dipadankan bersama celana jean jenis skinny, pelakon filem Ular itu ramah menyapa memulakan bicara sebelum sesi wawancara bermula. “Apa khabar, sihat?” tutur wanita berstatus isteri itu lembut sambil tersenyum. Berbekalkan wajah yang cantik, tidak hairan jika Lisa sering menjadi buruan syarikat-syarikat terkenal untuk mewakili jenama atau produk yang dipasarkan. Tidak terlalu cerewet dalam memilih tawaran untuk menjadi duta sesebuah syarikat, anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui lebih spesifik dalam memilih produk yang mahu diwakili supaya dapat memberikan mesej berguna kepada para pengguna. “Tugas seorang duta yang mewakili sesuatu produk itu sangat besar. Seorang duta itu bukan sahaja mewakili jenama yang dipasarkan, malah memberikan mesej yang baik kepada masyarakat. “Sebagai contoh, selain Head & Shoulders, saya juga merupakan duta kepada jenama penjagaan kecantikan Body Shop yang menggalakkan pengguna membeli sambil menderma. “Pada masa yang sama, minuman jus jenama Marigold yang saya wakili juga turut mempromosikan gaya hidup sihat dengan mengamalkan cara pemakanan sihat dan segar. “Jadi, tugas saya bukan semata-mata menjadi ‘penghias’ jenama tersebut tetapi lebih kepada mendidik pengguna untuk memilih cara hidup yang lebih baik sesuai dengan kelebihan produk yang saya wakili,” ujarnya panjang lebar.
Relevan Menyentuh mengenai peranan pelantikan artis sebagai duta sesebuah produk untuk kekal relevan, Lisa menganggap kedua-dua bidang itu saling berkait rapat dan membantu kestabilan karier seninya. “Memang benar, seseorang artis atau selebriti perlu relevan dalam industri untuk terus dikenali tetapi ia bergantung juga kepada jenama dan pemilihan artis itu sendiri. “Jika sesebuah syarikat melamar artis itu untuk mewakili produknya, maksudnya artis tersebut masih relevan dalam kalangan peminat. Begitu juga dengan peranan artis tersebut. “Apabila orang ramai mula bercakap tentang duta tersebut, secara tidak langsung itu strategi untuk melariskan produk yang diwakili dalam kalangan pembeli. Itu merupakan satu bentuk kitaran yang tidak akan berhenti,” ujar graduan Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom itu. Tidak menolak untuk menerima lebih banyak tawaran pada masa akan datang, Lisa berkata, semuanya bergantung kepada rezeki Allah. “Alhamdulillah, sepanjang saya menceburkan diri dalam bidang ini, rezeki yang diberikan tidak pernah putus. “Selagi semuanya selari dengan matlamat saya, tidak salah rasanya untuk terus menerima tawaran daripada syarikat tempatan atau antarabangsa yang menginginkan saya mewakili produk mereka,” ujarnya lagi. Tidak sembrono dalam lakonan Penerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 itu pernah mengakui yang dia tidak gemar menonton filem seram. Namun, bagi mengembangkan bakat serta kebolehannya dalam bidang lakonan, Lisa akhirnya bersetuju untuk membintangi sebuah filem seram arahan Jason Chong berjudul Dendam Orang Mati. “Ya, saya pernah cakap yang saya memang tidak suka menonton filem seram tetapi suami saya, Yusry (Abdul Halim) banyak memberikan galakan kepada saya untuk mencuba sesuatu yang di luar daripada zon selesa. “Dia pernah berkata, jika mahu bergelar pelakon serba boleh, saya perlu berani untuk cuba melakonkan apa jua watak sekali_pun. Walaupun watak untuk sebuah genre yang kurang saya gemari,” katanya seraya ketawa.
Ditanya sama ada dia tidak kisah jika kerap dilihat berlakon dalam filem terbitan suami sendiri. Lisa berkata, dia ambil sikap positif, lebih-lebih lagi apabila berkaitan dengan karier lakonan. “Bidang lakonan itu luas. Sebelum menerima sebarang tawaran untuk membintangi mana-mana filem, saya terlebih dahulu melihat kepada skripnya, jalan cerita, pengarah dan pelakon lain yang terlibat. “Saya tidak semborono membuat pilihan atau keputusan tanpa menilaikan sesebuah karya dengan terperinci,” ujarnya. Pelakon yang bakal muncul dengan sekuel ketiga filem Cicak-Man itu juga mengakui, keterbatasan watak yang diterimanya bukan disebabkan oleh jolokan ‘buah hati rakyat Malaysia’ (Malaysian Sweetheart) yang diberikan oleh para peminat kepada dirinya. “Saya sangat berterima kasih dengan gelaran tersebut tetapi saya percaya, jolokan itu bukan penghalang untuk pihak penerbit membatas watak-watak yang lebih mencabar buat saya,” tutur Lisa sambil tersenyum. Jadual kerja tidak padat Jika ditilik jadual harian pelakon berbintang Aries itu, pasti ramai yang menganggap Lisa tidak mempunyai banyak masa untuk berehat. Baru menamatkan pementasan teater P. Ramlee The Musical musim ketiga di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, Lisa berkata, jadual hariannya sebagai seorang pelakon tidaklah terlalu padat. Bahkan, corak kariernya boleh dikatakan sama sahaja dengan individu bekerjaya yang lain. “Saya rasa, jadual harian saya sama sahaja dengan mereka yang bekerja di pejabat. Apa yang berbeza cuma waktu kerja yang tidak menentu serta lokasi tempat kerja yang sering bertukar. “Hakikatnya, saya masih bekerja. Saya juga berpeluang untuk bercuti, sama seperti orang lain. Apa yang penting, kesederhanaan dan keseimbangan ketika sedang bekerja,” tuturnya yang bakal melancong ke Pulau Pinang bersama keluarganya pada penghujung tahun ini.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails