Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Riak setelah berhijab? - Sheera Iskandar

DITUDUH mula jadi riak ketika mula-mula membuat keputusan untuk bertudung pada awal Ogos lalu, aktres versatil, Sheera Iskandar, 29, sedikit pun tidak melenting dengan kata-kata yang diibaratkan seperti ‘bunyi lalat’ itu. Menanam niat yang baik jauh di sanubarinya, anak kepada dramatis Aznah Hamid itu memberitahu bahawa nawaitu untuk mengenakan tudung ikhlas lahir dari hati, bukan dek kerana fesyen semasa. Baru-baru ini, Sheera hadir bersama tiga pelakon lain iaitu Afique Hussain, Fee Haiqal dan Larra Rahmat ke Studio Utusan bagi mempromosikan telefilem Penakluk Mimpi terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Ini kesempatan kami berkongsi pengalamannya mengenai dugaan yang perlu dihadapi sementelah tampil dengan imej baharu. Menceritakan detik awal penghijrahan dirinya itu, Sheera berkata semuanya berlaku dalam sekelip mata tanpa ada paksaan sesiapa. Cuma mengakui ia serba sedikit didorong oleh kata-kata nasihat beberapa individu yang berada di sekelilingnya terutama ibunya yang juga telah mengenakan hijab. Elak persepsi negatif DEK perubahan yang dilakukan teraju utama filem Aku Bukan Tomboy arahan Syamsul Yusof itu, ramai mula tertanya-tanya sebab musabab yang membuatkan Sheera berubah ke arah imej tersebut. Tidak kurang juga ada yang membuat telahan sendiri dengan mengatakan bahawa Sheera telah bertemu pilihan hatinya yang bakal menyuntingnya menjadi suri di hati jejaka terbabit, sekali gus mendorongnya mengenakan hijab sebelum bergelar isteri. Ditebak persoalan sebegitu, Sheera hanya ketawa kecil mendengarkan khabar tidak berasas itu, malah menjelaskan pendiriannya untuk bertudung adalah disebabkan tuntutan agama semata-mata, bukannya ada alasan lain. “Sejujurnya, saya tidak mempunyai sesiapa lagi, masih solo dan selesa begini. Jadi tidak timbul isu saya bertudung disebabkan mahu berkahwin. Biarlah ahli keluarga menjadi pendamping buat masa ini, bukannya kekasih. Saya serahkan soal jodoh ini kepada Allah kerana itu adalah kerja-Nya. “Pada masa yang sama, saya tidak mahu timbul sebarang persepsi negatif jika membuat pemberitahuan mengenai pemakaian tudung ini. Biarlah peminat atau sesiapa jua mengetahuinya secara normal berdasarkan gambar-gambar yang dimuat naik di laman sosial. Jika mereka nampak gambar-gambar saya yang bertudung, saya rasa mereka sudah cukup cerdik untuk mentafsir sendiri perubahan yang berlaku. “Foto lama yang memaparkan imej sebelum ini sudah pun dikeluarkan daripada laman-laman sosial, hanya untuk simpanan peribadi sahaja. Saya tekad dengan perubahan ini dan berdoa agar ia kekal hingga ke akhir hayat," katanya. Tudung bukan kekangan DIAKUI terdapat beberapa dugaan sejak mengenakan tudung, Sheera percaya semua yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri, di samping terus berdoa agar Allah menguatkan imannya untuk terus berubah ke arah lebih baik. Tidak mahu mengulas lanjut mengenai dugaan yang ditempuhinya, Sheera sebaliknya terus memberitahu bahawa kerjaya lakonannya tetap aktif seperti biasa dan hijab bukanlah kekangan untuknya mendapatkan tawaran berlakon. Sebagai contoh, Penakluk Mimpi adalah produk terbaharu lakonannya dengan mendukung watak utama di sisi aktor baharu, Afique yang lahir daripada program pencarian bakat Jejaka Kacak Bergaya Pancaindera 2010. “Alhamdulillah, walaupun bertudung rezeki saya sebagai pelakon masih terbuka luas. Dalam telefilem ini, saya membawa watak Arina yang bercita-cita besar, tetapi suka melakukan kerja separuh jalan. “Arina suka meletakkan harapan tinggi dalam setiap peluang yang dia lakukan untuk peroleh kejayaan. Pada masa yang sama, disebabkan teruja untuk mendapatkan sesuatu, ia terbawa-bawa dalam mimpinya. “Bagaimanapun, cita-citanya ibarat hangat-hangat tahi ayam. Suka melakukan kerja separuh jalan sehingga memberi impak terhadap orang-orang di sekelilingnya," jelas Sheera berkongsi sedikit mengenai sinopsis Penakluk Mimpi.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails