Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Saya tak pernah lempar baju - Usop Wilcha

TIADA angin, tiada ribut, nama pelakon komedi, Usop Wilcha tiba-tiba menjadi panas. Menerusi ruangan gosip sebuah akhbar mingguan tempatan, Usop atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri, 49, dikatakan bermasam muka dengan pengarah terkenal, Mamat Khalid kerana tidak berpuas hati terhadap bayaran kurang setimpal yang diterimanya bagi filem Usop Wilcha Melawan Warewolf Dari Bangladesh (UWMWDB). Pelakon yang mula menempa nama menerusi filem Zombi Kampung Pisang itu juga dikatakan menonjolkan sikap kurang baik di lokasi penggambaran sehingga sanggup melemparkan pakaian ke muka penjaga kostum. Selain itu, Mamat yang diberi kepercayaan untuk mengarah filem terbitan Usop berjudul Usop Wilcha Menggonjang Makhluk Muzium (UWMMM) pula dikatakan sengaja menimbulkan masalah seperti melewatkan hari penyuntingan. Berkesempatan berbual dengan pelakon yang terkenal dengan loghat Peraknya itu baru-baru ini, Usop menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan yang dikeluarkan oleh ruangan gosip terbabit. Katanya, dia tidak sangka penulis tersebut menulis gosip berkenaan tanpa bertanya kepadanya terlebih dulu. Kosmo!: Benarkah Usop bermasam muka dengan Mamat Khalid kerana menerima bayaran yang sedikit bagi filem UWMWDB seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar mingguan baru-baru ini? USOP: Tidak benar sama sekali. Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Mamat Khalid. Saya sudah menganggapnya seperti abang saya sendiri dan berasa agak kecewa dengan laporan berkenaan. Menerusi laporan tersebut juga, anda dikatakan telah bertindak melemparkan pakaian ke muka penjaga kostum. Adakah dakwaan itu benar? Saya tidak tahu-menahu tentang perkara ini sehinggalah diberitahu oleh isteri Mamat, Hasmah Hassan. Ketika mendapat perkhabaran tersebut, saya benar-benar terkejut. Sepanjang bergelar pelakon, saya tidak pernah bertindak seperti itu. Saya juga berasa terkilan kerana penulis ruangan itu tidak menghubungi saya sendiri tetapi lebih mempercayai sumber yang kononnya boleh dipercayai. Anda merupakan produser bagi UWMMM dan memberi tanggungjawab kepada Mamat untuk mengarahkannya. Benarkah dia tidak menjalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan? Saya sudah lama mengenalinya. Justeru, apabila saya mengambilnya untuk mengarahkan filem itu, bermakna saya sudah faham caranya bekerja. Tambahan pula, dia memang sibuk. Jadi, sukar untuk kami mencari masa untuk bertemu dan berbincang. Pada pendapat anda, apakah punca gosip ini dikeluarkan? Saya pun kurang pasti. Mungkin saya bersifat sedikit tegas ketika di lokasi kerana ini merupakan filem terbitan saya. Tambahan pula tekanan yang timbul menerbitkan filem pertama sangat kuat. Mungkin juga perkara tersebut telah diperbesarkan sehingga timbulnya gosip ini. Saya enggan komen lebih panjang kerana bimbang perkara ini akan berlanjutan. Setakat ini, adakah anda masih berhubung dengan Mamat Khalid? Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengannya. Baru tiga hari lalu saya bertemu dengannya untuk proses suntingan. Saya ada memuat naik gambar bersamanya di Instagram. Jika kami bermasam muka, saya mungkin tidak akan bergambar bersamanya. Bilakah filem UWMWDB dan UWMMM akan menemui peminat? Saya kurang pasti bilakah UWMWDB akan ditayangkan tetapi bagi filem UWMMM, ia akan menemui peminat pada bulan Februari tahun depan.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails