Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

"Saya Tidak Pernah Cakap Nak Bersara" - Syamsul Yusof

Pelakon dan pengarah Syamsul Yusof menafikan dia mahu bersara daripada terus menghasilkan filem baharu gara-gara karya arahannya iaitu KL Gangster 2 dicetak rompak sebelum ia ditayangkan pada Oktober tahun lalu. Syamsul, 30, berkata, sepanjang dia berdiam diri hampir setahun, lalu dia tidak pernah memberikan sebarang kenyataan untuk berbuat demikian dan ia cuma andaian sesetengah pihak. "Saya sebenarnya agak keliru apabila saya dikatakan merajuk dan enggan lagi menjadi pengarah kerana saya tidak pernah memberikan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
"Itu hanya presepsi orang lain dan bukannya datang daripada mulut saya sendiri," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu. Menjelaskan lebih lanjut sikapnya yang mengambil langkah berdiam diri sebelum ini, Syamsul berkata, dia memerlukan waktu untuk memulihkan semangatnya ekoran kejadian itu kerana ia bukan isu ringan untuk terus dilupakan begitu sahaja. Bagaimanapun kata Syamsul, sokongan dan dorongan daripada isteri iaitu Puteri Sarah Liyana selain kedua ibu bapanya banyak membantu untuk dia bangkit semula memperjuangkan cintanya terhadap dunia perfileman. Dalam pada itu, Syamsul berkata, selepas sambutan Hari Raya Aidiladha, dia bakal kembali ke set penggambaran sebagai pengarah filem Munafik dan Tailong yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan. Tambahnya lagi, sebelum kembali mengarah dia bakal membintangi sebuah filem arahan adiknya sendiri, Syafiq Yusof dan mengakui teruja untuk bekerjasama dengan pengarah muda itu. "Alhamdulillah jadual saya kembali padat dengan pelbagai aktiviti lakonan dan pengarahan. Paling saya teruja adalah untuk berlakon dibawah arahan adik saya sendiri.
"Harapan saya semua peminat dan penyokong filem tempatan mendoakan saya dalam hasrat ingin memajukan industri perfileman pada masa akan datang," katanya. Sementara itu, Syamsul yang bakal muncul dalam Gerak Khas musim terbaharu berkata, dia mempunyai misi tersendiri dalam membawa siri popular itu ke tahap lebih tinggi agar lebih segar dan terkini. Jelasnya lagi, selain berlakon dia juga bertindak sebagai pengarah bersama drama itu dan berjanji akan meneruskan legasi siri itu yang sudah bertahan selama 13 tahun. "Sebelum ini sudah banyak kali bapa minta saya berlakon dalam Gerak Khas namun pada masa itu saya sibuk dengan perkara lain selain tidak yakin mampu membawakan watak sebagai anggota polis dengan baik. "Alhamdulillah akhirnya dapat saya bekerjasama dengan bapa saya dalam drama bersiri itu dan kebetulan pula saya menyertai keluarga Gerak Khas pada usia 30 tahun sama seperti bapa saya dahulu," ujarnya. Jelas Syamsul lagi, selepas menjalani penggambaran beberapa episod musim terbaharu siri itu, dia semakin selesa memegang watak sebagai Superitendan Jefri. Dalam perkembangan lain, Syamsul berkata, dia dan Puteri Sarah kini berjinak-jinak dalam dunia fesyen dengan mengeluarkan label mereka sendiri iaitu Shara yang mengkususkan kepada pakaian jenis Abaya. Jelas Syamsul, mereka berdua turut mereka sendiri pakaian berkenaan dan telah pun mengeluarkan enam rekaan bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha. "Alhamdulillah kami berdua dapat bekerjasama untuk mengeluarkan jenama pakaian kami sendiri dan seronok dapat sama-sama mengeluarkan idea dan rekaan untuk Shara. "Setakat ini peminat yang ingin mendapatkan Abaya keluaran kami boleh buka Instagram dan Twitter kami untuk melihat rekaan dan membuat tempahan," katanya. Tambah Syamsul, perancangan jangka panjang dia dan isterinya akan mengeluarkan Abaya untuk lelaki dengan rekaan yang lebih dinamik dan pelbagai.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails