Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Shae bimbang terluka lagi

ADA apa sebenarnya dengan Shae? Penyanyi kelahiran negara seberang yang terus mengukir nama dilihat istimewa pada pandangan banyak peminat di Malaysia. Tidak salah kalau dikatakan, lagu berjudul Sayang pada 2012 benar-benar memberikan kesan di negara ini. Anak kecil, orang dewasa malah si pemuda tidak lepas dari turut sama mengingat dan melontar melodinya di bibir dengan mudah. Lagu itu melekat di hati pendengar sehingga ada yang membuat parodi. Lain sungguh penangan lagu dan buktinya lagu hasil ciptaan Posan Tobing itu berjaya meraih jualan 1 juta unit menerusi nada panggilan semula di telefon. Hasil pencapaian itu, Warner Music (M) Sdn. Bhd. berbangga untuk menyampaikan Anugerah Platinum Berkembar X5 kepada penyanyi dengan nama sebenar Sheryl Gething. Dalam usia 20 tahun, Shae berkata, dia tidak menyangka untuk menerima penghargaan seperti itu sehingga meletakkan dirinya pada satu posisi yang tidak pernah diimpikan. “Gembira sungguh apabila saya diterima di Malaysia. Saya memang tidak menyangka akan mencapai tahap ini. Secara peribadi, saya mengaku penerimaan lagu Sayang sangat kurang. “Namun, di Malaysia lagu ini sangat meletup. Popular atau tidak saya di Indonesia, itu adalah jalan yang perlu saya lalui. “Bohong kalau saya tidak pernah menangis kerana tidak diterima di negara sendiri. Tapi saya perlu kuat kerana menyanyi adalah ini minat saya," kata penyanyi asal Riau, Indonesia. Masih terharu dengan penerimaan dirinya di Malaysia, Shae turut mengaku lagu Sayang telah menukar hidupnya menjadi seorang yang baharu. Mengalirkan air mata selesai membuat persembahan ketika majlis penganugerahan itu, Shae berkongsi pahit manis kehidupannya yang menyanyi di kelab malam dan bar. “Sekarang, saya juga masih menyanyi di bar dan kelab malam. Saya bersyukur dengan peluang membuat persembahan di pentas-pentas besar. “Bagaimanapun, saya tidak pernah lupa dari mana saya bermula. Kalau diundang untuk membuat persembahan di bar semula, saya tidak peduli, saya akan terima. Popular di negara luar juga tidak membuatkan saya cepat untuk berlagak atau sombong apabila kembali semula ke negara kami. Asal-usul saya tidak pernah lupa. “Apa yang sering membuatkan saya menangis adalah apabila mengenangkan budi dan jasa mereka yang selama ini telah memberikan saya kepercayaan untuk popular di negara mereka," jelasnya. Keseimbangan kerjaya Sudah diberi penghargaan sebegitu, Shae turut mengaku kejayaan itu akan memberikan tekanan pada dirinya. “Hanya lagu itu membuatkan saya popular. Mesti peminat mahukan lebih daripada saya. Mereka mesti mahu saya mendendangkan lagu lain juga. “Tekanan itu memang sudah saya rasai sekarang. Menjadi orang yang dikenali, sedikit sebanyak memberi tekanan. Tetapi, saya mahu orang tahu bahawa penglibatan saya dalam bidang muzik bukanlah sehingga menyasarkan anugerah tertentu. Itu semua bagi saya bukan pokok pangkalnya. Saya tak mahu peduli hal itu. “Kejayaan lagu Sayang juga sebenarnya saya ukur melalui pengamatan saya di kaki lima. Apabila saya berjalan di kaki lima dan melihat adanya pengamen (penyanyi jalanan) menyanyikan lagu Sayang, itu maknanya lagu itu berjaya sampai ke hati khalayak," ujarnya. Sementara itu, Shae juga berkata, dia harus pandai mencari keseimbangan dalam kerjayanya dan mencari jiwa serta kemahuan sebenar. “Langkah saya perlu disusun satu persatu kerana saya masih muda dan risau tersilap percaturan nanti. Saya juga berlakon. Peluang itu saya guna untuk terus aktif memperjuangkan bakat dalam bidang lakonan mahupun nyanyian. “Sepanjang berlakon filem, orang mula mengenali diri saya. Cukup memberangsangkan komen yang diberikan," katanya yang sudah hadir dalam dua buah filem iaitu Basahhh... (2008) dan terbaharu, 3600 Detik yang baru dilancarkan pada Februari lalu. Dalam pada itu, Shae sebenarnya cerewet jika ditawarkan berlakon filem. “Selepas berjaya dengan dua filem, saya ada mendapat beberapa tawaran tapi tidak sesuai dengan minat saya jadi terpaksa ditolak terlebih dahulu. “Saya ingin sebenarnya teringin untuk membawakan watak hantu dan perempuan psiko," katanya yang pernah terbabit dengan telefilem Cinta Sambal Belacan yang telah ditayangkan di Astro Citra bulan April lalu," katanya lagi. Selepas Sayang, Shae kini mempromosikan single berikutnya yang dipetik daripada album sama berjudul Cintaku Tlah Mati Untukmu dan Tetaplah Tersenyum yang sudah pun mengumpulkan khalayak pendengar sendiri di Indonesia.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails