Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nyanyian dikritik sumbang, Nadia selamba

Pernah meraih populariti sekitar era 1990-an dengan lagu Salam Untuk Kekasih, kini penama Zarina Mohd. Ali atau lebih dikenali sebagai Nadia kembali menjadi bualan peminat industri seni tanah air. Kemunculannya dalam program pertandingan nyanyian yang melibatkan penyanyi-penyanyi otai, Gegar Vaganza telah menyegarkan semula ingatan ramai terhadap pe­nyanyi bersuara serak-serak basah itu. Bukan itu sahaja, Nadia sebaliknya hadir bersama pakej. Dia disenangi para juri termasuklah Datuk Ramli M.S dan Datuk Khatijah Ibrahim, namun pada masa yang sama, penyanyi berasal dari Sabah itu teruk dikritik peminat muzik, khususnya penonton setia program berkenaan. Nadia dikatakan tidak lagi cemerlang seperti dahulu. Dia disindir peminat yang rata-rata menghakimi vokalnya kini sumbang dan tidak lagi selunak dahulu. Tidak mahu menghiraukan pendapat sebegitu, penyanyi berusia lewat 40-an itu cekal mendepani dugaan. Fokus pe­nya­nyi berimej rock itu, muzik tetap jalan kehidupannya. KOSMO!: Baru-baru ini nama Nadia menjadi bualan hangat peminat industri hiburan apabila kemunculan anda dalam program Gegar Vaganza dikatakan tidak memberi impak. Anda juga dilihat ba­nyak menampakkan ke­lemahan sehingga setiap kali membuat persembahan, ada sahaja peminat melemparkan kritikan dan merendah-rendahkan kredibiliti anda sebagai penyanyi otai. NADIA: Saya tidak pernah mengambil kri­tikan tersebut secara serius. Bagi saya, mereka mempunyai hak untuk berkata apa sahaja. Mungkin saya kini tidak lagi sehebat dahulu, namun saya akan tetapkan pendirian untuk kembali mengambil tempat dalam industri hiburan Malaysia. Memandangkan anda kini muncul dalam program realiti tersebut, adakah anda bercadang untuk menumpukan sepenuh perhatian anda dalam karier muzik? Ya, kini saya sudah bersedia untuk memberi sepenuh perhatian saya terhadap bidang muzik. Rasanya, masih ada permintaan untuk saya di sini (industri muzik). Khalayak juga ­ingin tahu siapa penyanyi sebenar lagu Salam Untuk Kekasih. Sokongan yang diterima membuatkan saya terharu dan menjadi sebahagian daripada motivasi untuk saya teruskan perjuangan dalam bidang nyanyian. Untuk kembali semula menjadi pemain dalam industri hiburan, seseorang penyanyi memerlukan produk baharu. Apakah perancangan anda? Alhamdulillah, saya kini dalam proses untuk menghasilkan album terbaharu yang mengandungi tujuh buah lagu baharu nukilan saya sendiri. Album tersebut masih dalam pembikinan dan dijangka akan terbit menjelang tahun depan. Boleh anda ceritakan secara lebih terperinci mengenai album tersebut? Kesemua lirik lagu yang dimuatkan dalam album itu adalah tulisan saya sendiri. Saya juga akan terus mengekalkan jalur rock yang sudah menjadi imej saya selama ini. Seba­nyak tujuh buah lagu telah dihasilkan, salah satunya daripada lagu dalam album tersebut ialah hasil kerjasama dengan seorang komposer muda dari Indonesia yang dikenali sebagai Pian. Saya sendiri telah menghasilkan enam buah lagu. Bagaimanapun, lagu-lagu dalam album berkenaan akan dilancarkan satu persatu sebagai single. Single pertama akan dilancarkan selewat-lewatnya menjelang Februari nanti. Selain berniat untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian, apakah perkembangan terbaharu anda? Saya kini telah mengusahakan sebuah motel. Motel tersebut merupakan sebuah banglo yang diwa­risi keluarga sejak turun-temurun. Pada tahun 2009, saya dan keluarga mengambil keputusan untuk me­lakukan pengubahsuaian terhadap banglo 13 bilik tersebut. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan kerana keunikan seni bina banglo itu sendiri cukup sebagai tarikan. Persekitaran yang menyajikan pemandangan ladang teh yang menghijau juga mengundang tarikan tersendiri. Dua faktor itulah yang membuatkan Timah’s Motel yang saya usahakan di Sipitang, Sandakan, Sabah menjadi pilihan pengunjung. Kos penginapannya juga berpatutan. Boleh anda ceritakan sedikit mengenai kehidupan peribadi anda? Seperti ramai yang sedia maklum bahawa saya merupakan seorang ibu tunggal sejak empat tahun lalu. Jadi, saya terpaksa bekerja keras untuk menyara dua orang anak saya, Arif, 12, dan Farah, 8. Saya mahu berikan yang terbaik untuk mereka. Sebab itulah saya perlu mempunyai kewa­ngan yang kukuh di samping terus aktif dalam karier nyanyian.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails