Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

ZAIN SAIDIN & CHE TA DI TANAH SUCI

Sebagaimana Zahiril Adzim dan isterinya Shera Aiyob yang merindui anak mereka ketika di tanah suci Mekah, begitu jugalah halnya dengan Zain Saidin dan Che Ta yang kini turut berada di Mekah untuk menunaikan umrah. Kerinduan pada puteri sulung mereka, Aaisyah Dhia Rana yang tidak ikut serta terserlah apabila mereka meluahkan rindu tersebut di laman sosial. "Rindunyaaaaaa sayang mummy ni," demikian luah Che Ta melalui IGnya. Apa-apapun, doa kita semoga Zain dan Che Ta mendapat umrah yang mabrur. Paling penting, harap-harap pintu hati Che Ta terbuka untuk berhijab kekal. Amin.

Itu fitnah – Jep Sepahtu

MENERUSI ruangan pojok sebuah akhbar tempatan beberapa minggu lalu, nama pelawak Jep Sepahtu sekali lagi hangat dek dakwaan konon-kononnya dia mengamuk selepas tidak diumumkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014). Menurut dakwaan tersebut, Jep dikatakan bertindak memaki-hamun kru yang berada di belakang pentas sebaik sahaja nama Zero diumumkan sebagai juara MLM2014. Jep atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Zainal Abidin, 30, juga bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati atas kemenangan kumpulan lawak yang dianggotai oleh tiga orang anak muda dari Sabah itu. Tuduhan lain terhadap Jep turut menyebut bahawa pelawak yang berasal dari Johor itu mengugut akan mencari orang yang bertanggungjawab menjatuhkan Sepahtu sehingga dia dan Shuib tewas pada malam final MLM2014. Berkesempatan bertemu dengan lelaki itu pada Majlis Anugerah MeleTOP Era yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini, Jep menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Ujarnya, cerita yang dikeluarkan oleh akhbar tersebut merupakan fitnah. Tambah Jep, apa yang dinyatakan dalam ruangan pojok tersebut ternyata bertentangan dengan situasi sebenar pada malam berkenaan. Ekoran itu, Jep juga telah mendapatkan nasihat peguam untuk sebarang tindakan lanjut. Kosmo!: Jep, bolehkah anda memberi pencerahan mengenai dakwaan anda mengamuk di belakang pentas MLM2014 selepas tewas di tangan Zero baru-baru ini? JEP: Apa yang ditulis di ruangan pojok itu adalah fitnah semata-mata. Ia bertentangan dengan apa yang berlaku pada malam tersebut. Kami gembira dengan kemenangan Zero dan pada masa yang sama bersyukur dengan kemenangan kami. Apakah tindakan anda berhubung dengan dakwaan tersebut? Saya telah meminta nasihat peguam tentang perkara ini dan peguam saya telah menghantar surat kepada pihak akhbar itu sebagai tindakan awal. Mengapakah anda berbuat demikian? Saya berbuat demikian untuk menyelesaikan isu ini. Saya tidak mahu nama saya terus disebut-sebut melakukan perkara yang tidak benar. Biasanya, saya hanya berdiam diri, namun kali ini, saya anggap ia keterlaluan. Apakah reaksi pihak akhbar berkenaan tentang isu tersebut? Saya hanya diberitahu akhbar terbabit sudah menerima surat tersebut. Selebihnya, saya serahkan pada peguam saya. Boleh terangkan apakah sebenarnya yang berlaku di belakang pentas pada malam tersebut? Tamat sahaja MLM2014, saya dan Shuib terus dibawa oleh dua kakitangan Astro ke bilik sidang akhbar. Sepanjang perjalanan ke sana, tiada apa-apa pun yang berlaku. Tambahan pula, dua individu yang mengiringi kami itu menjadi saksi bahawa saya tidak mengamuk pun pada malam tersebut. Pada pendapat anda, mengapakah anda dilibatkan dengan dakwaan sebegitu? Saya sendiri tidak pasti. Jika ada orang yang tidak berpuas hati dengan saya, mengapa mereka perlu bercakap perkara yang tidak benar? Lebih baik berterus-terang daripada mereka-reka cerita. Ini fitnah. Adakah kontroversi demi kontroversi yang melanda menjejaskan karier anda sebagai pelawak dan pelakon? Sudah beberapa kali saya terlibat dengan perkara seperti ini. Bagaimanapun, saya jujur dengan karier saya. Alhamdulillah, saya masih di sini. Apakah perkembangan terbaharu anda? Saya sedang bersiap untuk menjalani penggambaran sebuah telemovie yang akan disiarkan di TV3 menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti. Jujurnya, kami memang agak selektif mengenai tawaran lakonan. Sepahtu akan bersetuju dengan tawaran yang diberikan mengikut kesesuaian karakter saya dan Shuib sahaja.

Berhijrah itu sukar – Fara Fauzana

BERJANJI untuk bertemu dalam satu sesi fotografi dan temu bual santai pada 11 Februari lalu, pengacara dan penyampai radio popular Fara Fauzana langsung memberikan reaksi positif dengan permintaan Kosmo!. Sudah lama rasanya tidak bertemu dengan personaliti popular berusia 35 tahun itu. Peluang tersebut disambut baik, sementelah kepadatan jadual yang memungkinkan tiada tarikh lain untuk berjanji temu. Seperti yang dijanjikan, pada pukul 3 petang, penulis buat pertama kali bertemu wanita kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu. Laju sahaja sapaan mesra dihulurkan empunya badan bersulam kuntuman senyum yang mesra di tubir bibirnya. Meskipun pada pertemuan itu Fara sebenarnya kurang sihat kerana demam panas, namun kerana komitmen yang tinggi terhadap temu janji yang telah diatur membuatkan wanita itu gagah melangkah ke Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Dengan suara yang serak basah dan terkadang diselangi batuk, sesi fotografi dan temu bual santai berlangsung lancar, meskipun dalam hati penulis perasaan gusar menusuk laju memikirkan keadaan kesihatan Fara. “Minta maaf ya kerana sedikit lewat. Saya pergi ke klinik dahulu sebelum datang ke sini. Maaflah kalau kita berjumpa hari ini dengan suara saya yang agak garau,” seloroh Fara yang hadir santai berbaju kemeja dan sehelai selendang putih bercorak biru melitupi kepalanya. Nilai sehelai hijab Pada awal perbualan, kami hanya rancak melontarkan omong kosong dalam keadaan santai dan ceria. Perlahan-lahan, barulah sesi perbualan itu bertukar menjadi profesional. Sedikit demi sedikit penulis menyelak sisi kehidupan seorang wanita bernama Farah Fauzana Mohd. Fadzil dari segi hidup, perspektif hijab, karier dan jodoh. Dia tenang melantunkan dan mengatur baik jawapan yang diberinya. “Kalau dulu, saya akui memang sedikit pelik dengan sesetengah wanita yang masih menyarung sarung tangan sedangkan lengan baju yang dipakai sudah cukup menutup pergelangan tangan. Namun selepas berhijab, barulah saya mengerti tentang semua itu dan ia membuatkan saya lebih tenang mendepani hari-hari mendatang sebagai seorang muslimah,” tuturnya membuka bicara saat dituju perihal kehidupannya kini yang melangkaui fasa seorang wanita berhijab. Bekas hos Nona itu kemudian menyambung: “Islam itu indah dan hijab itu menenangkan saya. Saya akui, hijab ada kuasa yang tersendiri dalam mempengaruhi orang di sekeliling saya lebih-lebih lagi saya bekerja dalam ruang lingkungan yang memerlukan saya menghabiskan masa berjam-jam di set lokasi. “Seperti contoh, sebelum memakai hijab, pihak produksi akan sentiasa peka dengan keperluan saya untuk menunaikan solat. Sampai waktu solat, mereka akan beri ruang kepada saya untuk menunaikan perintah wajib tersebut. “Apabila sudah berhijab kini, kepekaan dan sikap ambil berat mereka semakin tinggi walaupun kebanyakan orang produksi tersebut bukanlah seorang Muslim. Perkara sebegini membuatkan saya begitu terharu dan sebak memikirkan betapa hebatnya agama Islam.” Bercerita lanjut, Fara mengakui proses penghijrahannya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Walaupun tidak sekuat mana halangan yang menimpa, namun terkadang sedikit ujian kecil itu membuatkan dirinya tercuit jua. Ceritanya, pada tempoh awal perubahan dahulu, wujud beberapa perkara yang membuatkannya berasa penghijrahan yang dilakukan seakan membawa masalah kepada seorang selebriti seperti dirinya untuk melakukan tugas seperti biasa. “Tidak perlu saya beritahu pihak mana atau siapa, tetapi cukuplah sekadar berkongsi pengalaman bahawa negara kita sebuah negara Islam. Mengapa perlu memandang soal hijab dan aurat sebagai satu masalah untuk selebriti tampil di kaca televisyen. “Alhamdulillah saya tidak memandang semua perkara itu sebagai perkara besar memandangkan sebagai seorang yang tegas dengan pendirian, saya harus berani menegakkan kebenaran. Insya-Allah mungkin selepas ini masalah seperti itu tidak akan timbul lagi kepada mana-mana artis atau selebriti wanita kita,” ujar Fara optimis. Tolak beri ceramah Terhambur tawa kecil dari bibir Fara ketika penulis mengajukan soalan jika ada mana-mana pihak yang menawarkan dirinya untuk menyampaikan satu sesi ceramah berbentuk keagamaan. Bukan lucu, tetapi tawa kecil itu terkeluar sementelah mengenang kemampuan diri yang tidak sampai ke tahap tersebut membuatkan Fara menolak dari awal semua jenis tawaran yang berkaitan. “Banyak lagi surah saya belum mahir, inikan pula mahu beri ceramah kepada orang ramai. Memang sampai bila-bila saya tidak akan terima tawaran seperti itu. Bukan tidak berminat, tetapi saya tidak layak untuk diberi penghargaan mengemudikan sebuah program ceramah berbentuk Islamik. “Macam mana saya mahu ceramahkan orang sedangkan diri sendiri masih tidak cukup yakin. Tidak semestinya sebagai seorang selebriti, apabila sudah berhijab saya mesti mengemudikan program berbentuk keagamaan. “Saya percaya masih ramai pengacara dan pakar motivasi di luar sana yang juga punya pengikut tersendiri. Jadi tidak ada alasan untuk menggunakan selebriti semata-mata bagi menarik minat penonton mendengar program ceramah agama,” ujar Fara tersenyum lebar sambil memberitahu tidak akan menolak sekiranya mendapat tawaran menjadi moderator atau perantara untuk mana-mana ceramah agama selepas ini. “Lagi pula baru-baru ini saya pernah beberapa kali dijemput menjadi moderator dalam rancangan Prof. Dr. Muhaya di saluran Astro Oasis. Kalau bab itu (moderator) saya memang tiada masalah langsung untuk terima tawaran,” ujarnya sambil ketawa ceria mengusik. Belum jodoh Mungkin berbunyi agak klise jika acap kali bertemu penghujung bicara, soal hidup atau lebih tepatnya soal jodoh menjadi penutup perbualan. Namun dibalas dengan jawapan selamat, Fara hanya meletakkan soal ketentuan jodohnya kepada Yang Maha Esa, tetapi dalam masa sama percaya jodohnya tetap ada. “Kali ini biar saya jawab dengan jawapan yang tidak nampak terlalu klise. Selalunya kalau dicucuk dengan soalan jodoh, orang ramai akan ambil pendekatan menyelamatkan diri dengan memberi jawapan belum sampai masanya. “Jujurnya, saya percaya jodoh itu ada. Ada. Memang ada. Saya percaya dan masih percaya meskipun sehingga ke hari ini saya belum bertemu dengannya (jodoh). “Sebagai manusia, apa yang harus kita lakukan adalah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Sang Pencipta yang telah menentukan atur letaknya takdir kita. Bukan saya tidak berusaha tetapi saya percaya, sampai masanya nanti jodoh itu akan datang juga. Cuma ia akan datang dalam masa yang cepat atau lambat, itu sahaja. “Pada saya, biarlah Tuhan yang tentukan segalanya kerana Dia lebih mengetahui yang terbaik. Apabila saya masih percaya, ia bermakna saya masih belum mengalah untuk menunggu,” ujar Fara penuh makna. Karier Susur galur perjalanan wanita ini terhampar elok dengan pelbagai kejayaan dalam bidang yang diceburi. Nama Fara begitu gah sebagai penyampai radio popular, malah bidang pengacaraan pula semakin menghimpit dirinya ke puncak sementelah bakat dan tuah seiring mengekori perjalanan hidupnya sehingga kini. Merendah diri menyatakan itu semua adalah rezeki, Fara tidak meletakkan tanda nama popular sebagai bahan untuk dirinya meninggi diri. Tutur Fara dalam nada luhur, dia mahu kekal sebagai seorang manusia biasa yang punya hati nurani untuk berubah ke arah lebih baik. “Kalau boleh saya tidak mahu bercakap soal populariti. Ia sangat klise bagi saya. Tidak penting pun soal popular atau tidak kerana apa yang membuatkan manusia itu berjaya adalah usaha kerasnya, bukan kerana nama semata-mata. “Alhamdulillah selain sibuk dengan tugas di konti radio, pengalaman mengendalikan rancangan televisyen sangat memberi erti kepada saya. Jika dulu sewaktu mengemudi Nona, semuanya nampak formal dan mengikut peraturan skrip. Namun sekarang apabila bertukar mengendalikan sebuah rancangan televisyen lain yang bersifat lebih santai, perasaan lain datang menerpa. “Mungkin kerana sudah lama tidak mengendalikan program televisyen secara langsung, sebab itu saya agak sedikit kekok. Maklumlah, dalam konti radio, orang hanya mampu dengar suara sahaja, berbeza dengan di kaca televisyen pergerakan, muka dan percakapan semuanya menjadi perhatian orang,” ujar Fara ceria bercerita tentang tugasnya.

Fizz Fairuz Mula Faham Tanggung Jawab Seorang Bapa

Pelakon Fizz Fairuz mengakui dia mula memahami maksud pengorbanan seorang insan bergelar bapa selepas menerima cahaya mata sulung bersama isteri, aktres Almy Nadia pada 16 Februari lalu. Fizz, 36, berkata, dia sendiri terkejut dengan perubahan dirinya apabila lebih mengutamakan bayi perempuannya berbanding perkara lain selain sanggup berjaga malam untuk menjaga anaknya itu. "Baru saya faham maksud pengorbanan seorang bapa apabila saya sendiri sanggup berjaga malam sehingga tidak cukup tidur kerana ingin menjaga bayi saya. "Biarpun penat tetapi saya puas hati kerana dapat melakukan tugas itu dan perasaan letih hilang apabila melihat dia tersenyum dan wajahnya yang tenang ketika tidur," katanya kepada mStar Online. Almy, 29, melahirkan bayinya di Hospital Columbia Setapak dekat sini pada pukul 6.49 petang. Bagaimanapun bayi seberat 3.25 kilogram itu masih belum diberikan nama.
Almy dan Fizz masih belum memberikan nama kepada bayi perempuan mereka. Dalam pada itu, Fizz juga memberitahu, sejak mempunyai anak dia tidak lagi menghabiskan masa dengan melepak bersama rakan-rakan selepas selesai menjalani penggambaran. "Kebiasaannya selepas tamat penggambaran saya suka melepak di kedai mamak dengan kawan-kawan sebelum pulang ke rumah. "Namun sekarang hati sentiasa teringatkan anak yang berada di rumah dan akan terus pulang untuk bersamanya selepas selesai kerja," katanya. Sementara itu, Fizz berkata, Almy akan pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang untuk menjalani tempoh berpantang ekoran kesibukannya dengan penggambaran beberapa buah drama dan filem. "Ikutkan hati saya ingin mengambil cuti bagi menemani anak dan isteri tetapi ini satu lagi pengorbanan yang perlu saya lakukan demi mereka. "Alhamdulillah, keadaan Almy juga baik dan dia akan menjalani tempoh berpantang di kampungnya," katanya. Tambah Fizz, dia kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Kasih Jasmin selain bakal memasuki set filem Mat Tudung 2.

Fitnah Bekas Pemandu, Pelakon Zahida Rafik Diarah Bayar RM150,000

Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis memerintahkan pelakon Zahida Mohamed Rafik (gambar) membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kepada bekas pemandunya setelah didapati besalah memfitnah beliau. Hakim Hue Siew Kheng dalam hujahnya menyatakan, Zahida dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu menuduh kononnya Noor Azman Azemi melarikan wangnya sebanyak RM200,000 adalah fitnah. Beliau menambah, beberapa bukti yang dikemukakan oleh pihak Zahida dalam mahkamah terhadap tuduhan itu adalah tidak boleh dipercayai.
Sehubungan itu Noor Azman layak menerima RM150,000 sebagai ganti rugi manakala RM40,000 pula sebagai kos. Hue Siew Kheng turut menolak tuntutan balas Zahida untuk mendapatkan semula RM200,000 yang didakwanya diambil oleh bekas pemandu itu. Beliau turut menolak permohonan peguam Zahida iaitu Sarah Abishegam untuk menggantung pelaksanaan perintah itu. Noor Azman telah memfailkan saman terhadap Zahida pada 27 November 2013, berhubung satu artikel bertajuk "Zahida Rafik Terkedu", di mana pelakon itu menuduhnya melarikan RM200,000 selepas dia diarahkan untuk memasukkan wang berkenaan dalam akaun banknya. Dalam pernyataan tuntutannya, Noor Azman berkata beliau telah ditahan oleh polis selama empat hari selepas Zahida membuat laporan berhubung kejadian berkenaan. Katanya, akibat perkara itu dia kehilangan kerjanya sebagai pemandu dan bekerja sebagai pemandu teksi. Pada Mei 2012, Zahida telah mengadakan satu sidang media bagi menafikan tuduhan yang dibuat Noor Azman berhubung hubungannya dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal. Dalam sidang media itu Zahida menegaskan dia tidak pernah mengenali menteri berkenaan.

Awie Terkilan Isteri 'Larikan' Anak Dari Sekolah

Vokalis kumpulan Wings, Awie terkilan dengan tindakan isterinya, Rozana Misbun yang membawa lari dua anak mereka ketika kanak-kanak itu berada di sekolah tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepadanya. Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, berkata, dia tidak pernah menghalang isterinya itu untuk melawat anak-anak mereka di sekolah memandangkan wanita berkenaan enggan datang ke rumahnya. "Saya tidak pasti kenapa dia tidak mahu datang ke rumah saya sendiri untuk berjumpa dengan anak-anak tetapi dia akan ‘serang’ apabila saya tiada di rumah. "Perbuatan dia membawa lari anak-anak dari sekolah dengan membawa polis bersenjata membuatkan saya terkilan. "Saya ingin tahu siapa polis itu kerana saya ragu-ragu dengan identitinya kerana sesuka hati membawa senjata tambahan pula ke sekolah," katanya kepada mStar Online. Awie ditemui pada sidang media pelancaran album Wings Live Rockestra @ Istana Budaya dan Aplikasi Telefon Pintar 'Wings Mobile Web' di Istana Budaya di sini, Khamis. Dalam pada itu, Awie turut mempertikaikan tindakan Rozana yang tidak menghantar dua anaknya iaitu Putra Ahmad Rezzki, 7 dan Puteri Qasseh Antasha, 5, ke sekolah sejak membawa lari mereka pada 9 Februari lalu. Kata Awie, pihak sekolah memaklumkan perkara itu kepadanya dan berharap wanita berkenaan akan kembali menghantar mereka ke sekolah demi kepentingan pelajaran mereka. "Bawa mereka lari satu hal malah tidak hantar mereka ke sekolah. Saya membayar yuran mereka bukan untuk disia-siakan begitu sahaja dan berasa pelik dengan tindakan anehnya," jelas Awie. Seorang lagi anak Awie, Putra Ahmad Merrah, 8, kini berada di bawah jagaannya termasuk dua anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13. Sementara itu, Awie berkata, pihaknya telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah pada 24 Februari lalu berhubung penjagaan sementara anak-anaknya berikutan hak tersebut diperoleh Rozana. Awie memberitahu keputusan kes berkenaan hanya akan diketahui pada Mei depan. Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur memberi hak penjagaan sementara tiga anak Rozana dan Awie iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5. Awie diberikan hak melawat di kediaman anak-anak tersebut selama dua jam sebanyak dua kali sebulan iaitu pada hari Sabtu dan Ahad pada minggu pertama dan ketiga dengan memaklumkan kepada Rozana. mStar Online difahamkan langkah Rozana menjaga anak-anaknya itu adalah mematuhi peraturan undang-undang atas kebenaran mahkamah berbanding Awie yang hanya mendapat hak melawat mereka sahaja.

"Saya Bukan Bimbang Soal Bayar Cukai" - Siti Nurhaliza

Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menjelaskan perasaan kurang senangnya dengan pendedahan kononnya beliau sebagai wanita ketiga terkaya di Malaysia bukan kerana bimbang perlu membayar cukai pendapatan. Siti, 36, sebaliknya beliau bimbang dengan laporan yang dikeluarkan oleh portal savemoney.com itu akan mengancam keselamatannya dan keluarga jika perkara itu menjadi perhatian ramai. "Sebagai seorang warganegara Malaysia saya sentiasa melaksanakan tanggungjawab membayar cukai tanpa sebarang masalah dan tidak perlu bimbang mengenai hal itu. "Saya bukan bimbang tentang cukai tetapi keselamatan saya yang mungkin terancam dengan laporan yang tidak tepat itu. Jujur saya kurang senang dengan perkara itu," katanya kepada mStar Online. Beliau berkata demikian sebagaoi mengulas laporan portal savemoney.com yang menyenaraikan Siti sebagai wanita ketiga terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan RM50 juta. Dalam pada itu, Siti berkata, beliau kurang pasti atas dasar apakah pihak berkenaan menilainya dengan jumlah itu dan menganggap ia sebagai satu tanggapan dan andaian. "Saya faham artikel berkenaan sekadar andaian dan tanggapan dalam mencerminkan yang hebat-hebat tentang wanita di Malaysia tetapi ia sama sekali tidak benar. "Saya sendiri kurang tahu atas penilaian apakah mereka menganggarkan saya mempunyai harta kekayaan RM50 juta," katanya. Sementara itu, Siti berkata, sebagai penyanyi dan usahawan, dia berharap laporan yang dikeluarkan tersebut akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. Malah kata Siti, beliau sentiasa menyimpan impian untuk mencapai tahap lebih tinggi dalam hidupnya dan sedang berusaha ke arah tersebut. "Belum lagi tahap itu, tetapi siapa yang tidak mahu mempunyai nilai kekayaan sebanyak RM50 juta? Saya sendiri memasang impian untuk mencapai tahap itu suatu hari nanti. "Tetapi sekarang belum lagi dan masih lagi berusaha," jelasnya.

Hafiz Suip Diarahkan Jalani Fisioterapi Setahun

Penyanyi Hafiz Suip terpaksa akur apabila perlu menjalani rawatan fisioterapi selama setahun di sebuah hospital swasta di Subang Jaya dekat sini akibat kecederaan pada bahagian tulang belakangnya (slipped disc) bulan lalu. Hafiz, 25, berkata, biarpun kecederaan tersebut sudah pun pulih namun dia masih perlu melakukan rawatan tersebut bagi memastikan dia benar-benar bebas penyakit itu. "Kecederaan slipped disc itu telah menghimpit beberapa saraf lain pada badan saya. Biarpun ia semakin pulih namun doktor mahu saya menjalani rawatan fisioterapi selama setahun bagi memastikan masalah itu tidak berulang. "Biarpun perlu berulang-alik ke hospital dalam jangka masa setahun ini tetapi saya akur demi kesihatan saya," katanya kepada mStar Online.
Terdahulu, Hafiz dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit pada bahagian belakang badannya akibat tercedera semasa bermain futsal. Dalam pada itu, Hafiz berkata, biarpun dia kini kelihatan sihat namun dia dinasihatkan tidak melakukan sebarang kerja berat selain berdiri terlalu lama. "Kesakitan yang saya alami sebelum ini memang teruk dan Alhamdulillah sekarang saya semakin pulih dan mengikut semua arahan yang doktor berikan. "Pun begitu saya kini kembali aktif mengambil undangan nyanyian tetapi lebih berhati-hati dalam pergerakan saya," katanya.

Lamaran janji temu pertama - Zul Huzaimy

SEPERTI sebuah untaian kata, dari mana datangnya cinta, dari mata turun ke hati, romantika Zul Huzaimy Marzuki dan wanita yang baru dinikahinya, Nur Ernawati Mohd. Nor, 27, juga bermula kerana mata. Bertentang pandangan mata buat kali pertama sekitar dua tahun lalu, pertemuan Zul Huzaimy dan wanita yang dibahasakan Erna, akhirnya sampai ke jenjang pelamin. Ketika awal pertemuan, Zul Huzaimy, 37, sudah menaruh keyakinan bahawa wanita cantik yang berada di depannya ketika itu merupakan jodohnya, selepas empat tahun hidup menduda. “Saya mengenali Erna kerana asalnya peminat saya. Dia sering mengikuti perkembangan saya sebagai seorang pelakon. Kebetulan Erna sepupu kepada Liyana Jasmay, dia juga ada datang ke lokasi penggambaran untuk melihat saya bekerja. Bagaimanapun, kami tidak pernah berkesempatan untuk keluar bersama. “Sehinggalah pada suatu hari, saya meminta Erna mengambil saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang selepas tiba dari Kuantan, Pahang. Setelah bertemu, saya terus melamarnya,” jelas Zul yang ditemui pada majlis pernikahannya di Kelab Golf Bangi, Selangor, Jumaat lalu. Ditanya keberanian mengambil keputusan untuk melamar Erna pada janji temu yang pertama, Zul berkata, wanita yang kini bergelar permaisurinya itu berjaya mengetuk pintu hatinya untuk kembali hidup berumah tangga. “Setelah melihat wajahnya, saya yakin bahawa sudah tiba masanya untuk saya membuka hati kepada wanita lain. “Bagi saya, dia merupakan seorang wanita yang cukup piawaian untuk dijadikan isteri. Sejujurnya, gerak hati saya tidak salah,” ujarnya sambil tersenyum. Melanjutkan perbualan mengenai karakter unik yang ada pada isterinya, Zul berkata, Erna mempunyai ideologi yang berbeza berbanding wanita lain dalam setiap bicara. Ujar Zul, perkara itu mengukuhkan alasan Zul untuk tertarik mengenali isterinya itu dengan lebih dekat. “Satu perkara yang menarik tentang Erna ialah cara, kefahaman dan ideologinya ketika berbicara, cukup berbeza. “Selain itu, dia bersungguh-sungguh untuk mengenali saya kerana diri saya, bukan kerana saya ini seorang pelakon,” katanya. Berbicara mengenai hubungan Erna dengan anaknya, Awal Haziq, 10, Zul berkata, dia bersyukur kerana anak tunggalnya itu dapat menerima Erna sebagai seorang ibu. “Kebahagiaan Awal menjadi keutamaan. Saya tidak boleh mencari kebahagiaan untuk diri sendiri jika anak saya tidak mampu berkongsi rasa bahagia itu,” kata Zul. Kontroversi Sebelum mendirikan rumah tangga, kisah percintaan mereka pernah terpalit kontroversi apabila Erna dikatakan masih berstatus isteri ketika mula menjalinkan percintaan dengan Zul. Sama ada Zul mahupun Erna, masing-masing bertindak mengunci mulut tentang dakwaan tersebut sehingga kini. Ketika ditanya mengenai dakwaan itu, Erna menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia masih bergelar isteri ketika mula mengenali Zul. Katanya, dia dan bekas suaminya masih berbaik-baik dan mungkin disebabkan perkara itu, masyarakat mudah membuat cerita. “Saya pun tidak tahu mengapa saya terbabit dengan gosip itu. Sedangkan, keluarga saya dan keluarga sebelah suami tahu apa status saya pada waktu itu. “Mungkin disebabkan saya dan suami masih lagi berkawan baik, khalayak umum mula membuat andaian sebegitu,” ujar Erna yang pernah berkahwin, namun jodohnya berakhir sekitar dua tahun lalu. Kepimpinan Zul Secara kebetulan pula, pernikahan kali ini menjadi ikatan kedua dalam hidup Zul dan Erna. Biarpun masing-masing pernah berkahwin dan bercerai, namun dalam mana-mana perhubungan yang dibina, ketulusan dan kebahagiaan yang berpanjangan menjadi doa tanpa putus. Akui Erna, sikap kepimpinan dalam diri Zul menjadi kuasa pemikat yang menawan cintanya terhadap pelakon kelahiran Gerik, Perak itu. “Saya tidak pernah memandang pada paras rupa mahupun harta. Saya juga tidak memandang status selebriti yang ada padanya. “Namun, apa yang menarik perhatian saya ialah sifat kepimpinan yang ada padanya. Menerusi sifat itu, saya yakin dia mampu untuk menjadi seorang suami yang baik,” jelas Erna. Ditanya adakah mereka merancang untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat, Erna berkata, segalanya terpulang kepada rezeki. “Saya dan Zul tidak pernah merancang. Jika ada rezeki, kami terima dengan tangan terbuka,” jelasnya yang masih belum menentukan lokasi untuk berbulan madu. Pada majlis pernikahan tersebut, Erna menerima mas kahwin sebanyak RM300 sementara wang hantaran sebanyak RM21,515.15. Antara rakan artis yang hadir termasuklah Liyana Jasmay, Diana Danielle, Farid Kamil dan Ellie Suriaty.

Makanan Kenduri Kahwin Tak Cukup, Yana Samsudin Mohon Maaf

Pelakon Yana Samsudin memohon maaf kepada peminat dan tetamu jemputannya yang tidak dapat menikmati makanan kerana kehabisan pada hari resepsi persandingannya pada 14 Februari lalu. Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin, 31, berkata, jumlah tetamu yang hadir pada majlis tersebut di luar jangkaan dan terlalu ramai. "Saya berterima kasih pada tetamu yang datang sama ada diundang atau pun tidak, namun saya meminta maaf andai ada kekurangan yang berlaku pada majlis tersebut. "Tetamu yang datang memang lebih daripada jangkaan kami iaitu dekat 10,000 orang. Kad jemputan diedar dalam 700 keping dan kami jangka hanya tiga kali ganda sahaja untuk makanan. Itu pun pada saat-saat akhir saya tambah untuk 2,000 orang dan ibu saya tambah lagi untuk 2,000 orang. "Saya dapat tahu makanan tersebut habis pada pukul 8 malam sebelum kami bersanding lagi," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.
Yana berkata demikian ketika diminta mengulas apabila ada yang tetamu yang datang ke majlis resepsi persandingannya tidak dapat menikmati makanan apabila juadah yang dihidangkan habis. Majlis persandingannya diadakan di Dataran Gemilang, Yong Peng Johor. Mengikut kad jemputan, jamuan makan bermula dari pukul 4.30 petang sehingga 10.30 malam manakala ketibaan pengantin pula pukul 8 malam. Terdahulu sehari sebelum itu Yana dan pasangannya pelakon Fadzil Zahari, 32, selamat bernikah dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan di rumah keluarga pengantin perempuan di Taman Kota Impian, Yong Peng. Yana menerima mas kahwin sebanyak RM10,000, manakala wang hantaran sebanyak RM50,000.
Dalam pada itu Yana turut meminta maaf kepada pengunjung yang hadir kerana tidak dapat tempat duduk dan bersesak-sesak ketika menyaksikan persandingan itu. Katanya, tempat duduk VVIP turut dirempuh oleh beberapa peminat yang bertindak di luar kawalan pihaknya. "Kami menyediakan 30 orang petugas Rela untuk mengawal majlis tersebut tetapi ia tidak mencukupi dan ketika majlis persandingan bermula pada kira-kira pukul 8.30 malam, ada segelintir yang merempuh tempat duduk VVIP. "Ketika itu memang keadaan sudah tidak dapat dikawal," ujarnya. Bagaimanapun Yana berkata, dia bersyukur dengan kehadiran pengunjung dan peminat yang meraikan hari bahagia tersebut.
Malah katanya, tujuan dia mengadakan majlis itu adalah untuk bersedekah dan meraikan bersama peminat-peminat dan penduduk di kampung halamannya itu. Dalam pada itu, Yana berkata dia kesal dengan komen negatif segelintir masyarakat terhadap wang hantarannya yang berjumlah RM50,000. Kata Yana, duit tersebut digunakan untuk jamuan makan ketika majlis persandingan itu. "Saya sedih ada yang mempersoalkan tentang duit hantaran saya banyak, walhal majlis jamuan itu dibuat menggunakan duit tersebut. "Itu juga tujuan saya sebenarnya untuk berkongsi kegembiraan bersama orang ramai dan peminat," jelasnya.

Sikap Romantik Suami Kebahagiaan Rumah Tangga Bunga Citra Lestari

Pelakon dan pengacara dari Indonesia iaitu Bunga Citra Lestari mendedahkan sikap romantik suaminya pelakon Ashraf Sinclair merupkan salah satu kunci kebahagian rumah tangga mereka. Bunga, 32, berkata, suaminya yang berasal dari Malaysia sering meninggalkan nota-nota kecil dengan kata-kata manis sebelum keluar meninggalkan rumah. "Dia sangat romantik, sejak mengenalinya sehingga kini dia masih orang yang sama dan terbaik buat saya. "Dari dulu dia suka meninggalkan nota kecil di tempat tersembunyi di rumah saya dan apabila saya bersedih atau bergembira dia akan meminta saya ambil nota itu. Ketika itu kami bercinta jarak jauh. "Sekarang pun sama, dia masih meninggalkan nota seperti di bilik mandi sebelum pergi kerja supaya saya membacanya selepas bangun tidur," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Rabu. Bunga ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya berjudul Wanita Terbahagia yang diadakan di Hotel Royale Chulan, di sini.
Sementara itu Bunga berkata, mereka juga mengamalkan prinsip jujur, mempercayai dan terbuka dalam berkomunikasi diantara satu sama lain. Katanya, perkara itu diamalkan sejak dalam proses percintaan lagi. Semasa bercinta, Bunga dan Ashraf masing-masing dipisahkan oleh dua buah negara. "Kami tidak letak batasan kalau berada di luar cuma prinsip saling percaya, jujur dan terbuka dalam komunikasi diamalkan sejak daripada zaman bercinta. "Kami bercinta jarak jauh dan perkara itu membuatkan hubungan itu lebih kuat dan saya tidak terlalu bimbang kerana percaya pada prinsip tersebut," ujarnya. Ditanya tentang pembahagian masa terhadap kerjaya dan keluarga terutama bersama anaknya Noah yang berusia empat tahun Bunga berkata, mereka cuba membahagi masa sebaik mungkin. Menurut Bunga, dia akan berusaha membawa anaknya ke lokasi penggambaran Ashraf bagi menghabiskan masa bersama. "Kalau Ashraf sibuk berlakon, saya dan Noah akan ke lokasi penggambaran bagi menemani dia, begitu juga kalau saya yang sibuk, mereka datang menemani saya di lokasi," katanya. Dalam pada itu, bercakap tentang lagu Wanita Terbahagia, Bunga berkata, karya itu mengambarkan dirinya yang sedang menjalani sebuah kehidupan keluarga yang sempurna. Lagu ciptaan komposer Indonesia Dewiq dan Pay itu juga merupakan kemunculan semulanya dalam bidang nyanyian selepas dua tahun menyepi. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 8 November 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata Noah Sinclair (4 tahun).

Akim Tak Paksa Stacy Peluk Islam, Dedah Rahsia Cinta Selepas Restu Keluarga

Penyanyi Akim Ahmad menjelaskan pendedahannya mengenai desas-desus hubungan bersama Stacy dibuat baru-baru ini selepas percintaan mereka mendapat restu daripada keluarga wanita berkenaan. Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 24, berkata, dia perlu berhati-hati untuk berbicara soal berkenaan kerana tidak mahu melukakan perasaan sesiapa terutama keluarga kedua belah pihak. "Alhamdulillah keluarga kedua-dua belah pihak sangat positif dan tiada halangan untuk kami meneruskan percintaan ini sekaligus mendedahkannya kepada umum selepas tiga tahun kami berkawan. "Restu daripada mereka juga membuatkan kami berani untuk terbuka dalam soal tersebut biarpun sebelum ini kami lebih berhati-hati," katanya kepada mStar Online. Terdahulu, Akim menerusi temubual bersama radio Era FM baru-baru ini mengakui mereka adalah pasangan kekasih namun tidak mendedahkan butiran sebenar mengenai hubungan tersebut. Menerusi temubual itu Akim mengakui yang beliau dapat merasakan perasaan cinta terhadap Stacy dan mereka kini merupakan pasangan kekasih namun tidak mendedahkan sejak bila. Dalam pada itu, Akim berkata, buat masa ini mereka berdua belum merancang untuk menamatkan zaman solo dan menyerahkan perkara itu kepada jodoh.
Bagaimanapun katanya lagi, pada tahap ini keluarga kedua-dua belah pihak tidak mempunyai halangan sekiranya mereka ingin berkahwin dan merestui cinta mereka. "Belum sampai seru lagi dan Insya-Allah jika ada jodoh antara kami berdua pasti akan diberitahu kepada semua. "Keluarga pun sudah beri restu, tinggal lagi kami belum merancang ke arah tersebut," ujarnya. Sementara itu, Akim berkata, dia tidak akan memaksa Stacy untuk memeluk agama Islam sebaliknya membiarkan perkara itu datang daripada keikhlasan hati wanita itu sendiri. "Proses untuk memeluk agama Islam saya serahkan kepada Stacy kerana kalau hati dia telah dibuka, Insya-Allah dia dengan sendiri akan buat. "Saya tidak letak sebarang tempoh atau paksaan untuk dia berbuat demikian. Biarlah datang dari hatinya sendiri," katanya. Bagaimanapun kata Akim, sepanjang berkawan dengan wanita berkenaan dia melihat Stacy sangat meminati Islam dan sering bertanya soalan tentang pelbagai perkara kepadanya. "Jujurnya saya bukanlah tahu sangat tentang agama tetapi jika dia tanya perkara tentang solat, Al-Quran dan perkara-perkara mudah yang lain saya akan jawab. "Bukan tidak sudi untuk mengajarnya tetapi saya rasa tidak layak berbuat demikian dan sebaiknya dia belajar daripada ustaz atau ustazah," ujarnya.

DEMI ANAK, AMELINA KEMBALI BERDANGDUT

"Saya kembali demi mencari rezeki untuk besarkan anak-anak saja," begitulah pengakuan penyanyi dangdut Amelina. Tambahnya, kemunculannya tidak harus dicemburui penyanyi lain kerana dia hanya ingin mencari rezeki buat enam cahaya matanya yang berusia antara enam hingga 14 tahun. Amelina berkata demikian bagi menjawab dakwaan segelintir pihak yang kurang senang dengan kehadiran semulanya.
"Mulanya saya sedih dan terkejut dengan reaksi sebegitu. "Saya bukannya kembali untuk rebut takhta 'Ratu Dangdut'. Kalau dapat bonus kerana gelaran itu, saya sanggup buat apa saja untuk merebutnya," ujar Amelina dipetik sebagai berkata. Bagaimanapun, dia enggan menjelaskan status rumah tangganya, sebaliknya mahu perkara itu berlalu dengan sendiri.

UJIAN ALLAH PUNCA LUFYA KINI BERTUDUNG

"Ikutkan dari tahun ke tahun saya ada niat ke arah itu (menutup aurat). Tetapi ketika itu saya masih memikirkan soal kerja dan komitmen. Saya pernah menangis memikirkan hal ini kerana hati belum kuat untuk membulatkan keputusan bertudung," begitulah luahan hati Lufya Omar yang kini bertudung secara kekal selepas menyambut ulangtahunnya yang ke-30. Tambahnya, awalnya dia rasa takut dengan kemungkinan tawaran seni akan putus. Tapi berkat dorongan dan nasihat ibunya, dia akhirnya mendapat kenyakinan diri. "Tiada siapa yang tahu, sebenarnya Lufya telah ditimpa dengan pelbagai ujian termasuk kesakitan secara tiba-tiba dalam perjalanan memenuhi tuntutan agama Islam sejak Disember tahun lalu.
"Pada satu tahap ketika 'kesakitan' itu menguasai diri, saya jadi lemah. Usaha itu dan ini juga bagaikan tak mampu untuk melawan ‘kesakitan’ berkenaan. Saya pernah jatuh pengsan ketika di lokasi penggambaran. "Dalam tiga hari, saya turun berat badan hingga 10 kilogram. Tapi saya percaya apa yang terjadi ini umpama ujian Allah untuk saya jadi lebih kuat," cerita Lufya.

Shae Akui Semakin Popular Di Negara Sendiri

Penyanyi Shae memberitahu kerjaya nyanyiannya di negara sendiri iaitu Indonesia semakin diterima dan dia mula dikenali sebagai penyanyi di negara asalnya itu. Shae atau nama sebenarnya Sheryl Gething, 21, yang mencipta nama di Malaysia melalui lagu Sayang mengakui dia terpaksa berkerja keras untuk memperkenalkan dirinya sebagai penyanyi baharu di tanah kelahirannya. "Susah untuk pihak media penyiran mainkan lagu saya dan saya terpaksa kerja keras pergi promosi di radio-radio di Indonesia untuk memperkenalkan diri dan lagu. "Alhamdulillah, akhirnya lagu saya sudah didengari dan menjadi pilihan radio-radio di sana dan mereka juga sudah ada yang mengenali saya sebagai penyanyi," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Selasa. Shae berkata demikian selepas mengulas tentang isu sebelum ini bahawa namanya lebih popular di negara ini berbanding Indonesia. Dia ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Rindu bersama kumpulan baharu Nukilan yang diadakan di pejabat Warner Music, di sini, Selasa.
Sempena majlis pelancaran pada Selasa, lagu tersebut juga dimainkan pertama kali di semua radio berbahasa Malaysia secara serentak pada pukul 2.42 petang. Lagu Rindu ini merupakan ciptaan Malique dan Dedeq. Dalam pada itu, Shae berkata, dia teruja apabila mengetahui dapat bekerjasama dengan penyanyi hip hop terkenal yang juga pernah popular di negaranya. Katanya, ketika menerima berita itu, sepupunya di Indonesia banyak menceritakan sejarah populariti yang dikecapi lelaki itu bersama kumpulan Too Phat. "Saya tidak kenal Malique tetapi selepas saya beritahu pada seorang sepupu saya dia sangat gembira dan tidak sangka kerana dia adalah peminat Too Phat di Indonesia. "Dia menceritakan banyak perkara tentang Too Phat kepada saya sehingga membuatkan saya teruja untuk merakam lagu itu," ujarnya. Tambah Shae proses rakaman yang dilakukan selama dua bulan pada Disember lalu merupakan pengalaman manis kerana dapat bekerjasama dengan komposer tersebut. Shae berkata kolaborasi bersama kumpulan Nukilan yang dianggotai oleh Kirana, Kelana dan Agenda lebih menambah kemerduan lagu tersebut. Dia yakin kolaborasi yang tercetus daripada idea Malique itu adalah sesuatu yang istimewa dan berjaya mempertahankan namanya dalam industri muzik Malaysia.

Peminat Keliru Fazley Yaacob Cef Atau Penyanyi

Penyanyi dan pakar motivasi, Datuk Fazley Yaacob memberitahu ramai remaja dan peminat bukan berbangsa Melayu tidak mengenalinya sebagai seorang penyanyi gara-gara penonjolan bakatnya lebih kepada bidang masakan sejak kebelakangan ini. Fazley yang merangkul gelaran juara MasterChef Selebriti Malaysia pada 2012 mengakui, kebanyakkan mereka akan berkata wajahnya seiras dengan penyanyi yang pernah digelar 'abang asmara' sedangkan individu yang dimaksudkan itu merupakan orang yang sama. "Kelakar bila ramai yang datang kepada saya dan memberitahu bahawa wajah saya sama seperti seorang penyanyi. Hal itu bukan sahaja terjadi kepada peminat berbangsa lain selain orang Melayu sebaliknya ada juga remaja dari Malaysia sendiri. "Ada beberapa orang yang datang mendekati saya memberitahu saya seperti seorang penyanyi yang pernah digelar 'abang asmara'," ujarnya kepada mStar Online. Selain itu, menurut Fazley, ada beberapa peminat atau penonton program masakannya yang memuji bahawa dia seorang cef yang pandai menyanyi. Fatanya, perkara itu dilalui selepas mengadakan persembahan nyanyian dalam sesebuah acara demonstrasi tentang masakan. "Selalunya kalau ada majlis masakan atau dipanggil untuk melakukan demontrasi, saya akan membuat persembahan nyanyian pada penghujung majlis. "Selepas itu ramai penonton yang datang menghampiri saya dan memuji bahawa saya seorang cef yang pandai menyanyi, yang mana hakikatnya saya memang bermula sebagai seorang penyanyi," ujarnya. Oleh disebabkan itu, Fazley berkata, dia merancang untuk kembali menyanyi bagi merungkai kekeliruan tersebut. Dia kini dalam perancangan untuk keluar dengan album kelima selepas empat tahun menyepi dari bidang nyanyian. "Saya dalam perancangan untuk keluar dengan album terbaharu pada Mei ini yang mana akan memuatkan lapan buah lagu. Single seterusnya juga akan dilancarkan dan ia adalah berkonsep balada dengan tajuk berkaitan dengan asmara seperti lagu-lagu sebelum ini," ujarnya.

Syura Tertekan Disalahkan Kerana Keruntuhan Rumah Tangga

Penyanyi Syura tertekan apabila masyarakat mempersalahkannya akibat kegagalan rumah tangga yang dibina selama lapan tahun bersama bekas suami Mohd Fadhly Md Yassin. Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron,28, berkata, ramai yang mencemuhnya di media-media sosial dengan menuduh dia lupa daratan selepas kembali semula dalam industri hiburan. "Sudah tentu saya tertekan apabila ramai yang mempersalahkan saya dalam hal ini, terutama bila saya tidak hadir pada sebutan rujuk yang pertama lalu. "Mungkin juga ada yang kata saya lupa daratan dan ingin membuang keluarga selepas kembali semula ke industri ini. Perkara itu sedikit sebanyak membuatkan saya rasa sedih dan terhina," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Selasa. Terdahulu pada Selasa Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur membenarkan bekas suami Syura, Mohd Fadhly, 33, menarik semula permohonan pengesahan lafaz rujuk yang telah dibuat secara lisan pada 10 November tahun lalu. Hakim Syarie, Abdul Halim Muhammad membenarkan keputusan itu selepas Mohd Fadhly menyatakan tidak mahu meneruskan kes tersebut selepas Syura selaku defendan enggan rujuk semula. Pasangan berkenaani disahkan bercerai talak satu pada September 2014.
Dalam pada itu, Syura meminta masyarakat tidak terus memandang negatif terhadapnya tanpa mengetahui perkara sebenar yang berlaku. Malah katanya, keputusan untuk membawa haluan masing-masing adalah jalan terbaik yang telah difikirkan secara mendalam. "Mereka menghukum saya tanpa mengetahui apa yang berlaku dan saya tidak akan mendedahkan alasan dan punca perpisahan ini demi menjaga hati ramai orang. "Cukuplah mereka tahu ia adalah jalan terbaik untuk kami berdua dan ia sudah kami fikirkan semasak-masaknya," ujar Syura. Sementara itu, ditanya tentang keengganannya membina semula rumah tangga tersebut, Syura berkata, itu adalah keputusan nekadnya buat masa ini. Dia juga yakin mampu untuk menjalani kehidupannya sendiri dalam membesarkan tiga cahaya mata. "Buat masa ini belum bersedia untuk rujuk semula dan kes mahkamah tentang rujuk itu hanyalah untuk pengesahan sahaja kerana ia dilakukan dalam tempoh edah. Itu tidak bermaksud untuk rujuk pun. "Namun saya akui bekas suami ada berusaha untuk memujuk saya kembali. Buat masa ini biarlah saya hidup berdikari bersama ketiga-tiga anak saya," ujarnya. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Mac 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan dan seorang lelaki.

ALMY NADIA & FIZZ FAIRUZ BERSAMA BABY

Gambar menarik Almy Nadia yang baru-baru ini selamat melahirkan baby perempuan seberat 3.25 kilogram di Hospital Columbia, Setapak, Kuala Lumpur. Waahhh... tembamnya pipi Almy! Untuk info, gambar ini kami cilok dari rancangan Melodi yang bersiaran hari ini. Menurut Almy dan Fizz, mereka hanya akan berkongsi wajah anak mereka selepas berusia 40 hari.

CHE TA MANIS BERTUDUNG DIHARI LAHIR ZAIN SAIDIN

Manis bertudung! Demikian komen peminat Rozita Che Wan ketika menyambut ulangtahun ke-31 suaminya Zain Saidin malam semalam. "Happy Birthday suami ku," ujar Che Ta melalui IGnya. Mungkinkah Che Ta akan kekal dengan imej bertudung atau mungkin dia sekadar menghormati majlis kesyukuran dan bacaan Yasin yang difahamkan dipimpin oleh Imam Muda Asyraf ketika majlis berlangsung. Namun yang paling menarik, Che Ta telah menghadiahkan suaminya Pakej Umrah sebagai kejutan berbanding hari lahir sebelumnya. Mereka khabarnya akan berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah bersama. Cayalah Che Ta!
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails