Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Akim Tak Paksa Stacy Peluk Islam, Dedah Rahsia Cinta Selepas Restu Keluarga

Penyanyi Akim Ahmad menjelaskan pendedahannya mengenai desas-desus hubungan bersama Stacy dibuat baru-baru ini selepas percintaan mereka mendapat restu daripada keluarga wanita berkenaan. Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 24, berkata, dia perlu berhati-hati untuk berbicara soal berkenaan kerana tidak mahu melukakan perasaan sesiapa terutama keluarga kedua belah pihak. "Alhamdulillah keluarga kedua-dua belah pihak sangat positif dan tiada halangan untuk kami meneruskan percintaan ini sekaligus mendedahkannya kepada umum selepas tiga tahun kami berkawan. "Restu daripada mereka juga membuatkan kami berani untuk terbuka dalam soal tersebut biarpun sebelum ini kami lebih berhati-hati," katanya kepada mStar Online. Terdahulu, Akim menerusi temubual bersama radio Era FM baru-baru ini mengakui mereka adalah pasangan kekasih namun tidak mendedahkan butiran sebenar mengenai hubungan tersebut. Menerusi temubual itu Akim mengakui yang beliau dapat merasakan perasaan cinta terhadap Stacy dan mereka kini merupakan pasangan kekasih namun tidak mendedahkan sejak bila. Dalam pada itu, Akim berkata, buat masa ini mereka berdua belum merancang untuk menamatkan zaman solo dan menyerahkan perkara itu kepada jodoh.
Bagaimanapun katanya lagi, pada tahap ini keluarga kedua-dua belah pihak tidak mempunyai halangan sekiranya mereka ingin berkahwin dan merestui cinta mereka. "Belum sampai seru lagi dan Insya-Allah jika ada jodoh antara kami berdua pasti akan diberitahu kepada semua. "Keluarga pun sudah beri restu, tinggal lagi kami belum merancang ke arah tersebut," ujarnya. Sementara itu, Akim berkata, dia tidak akan memaksa Stacy untuk memeluk agama Islam sebaliknya membiarkan perkara itu datang daripada keikhlasan hati wanita itu sendiri. "Proses untuk memeluk agama Islam saya serahkan kepada Stacy kerana kalau hati dia telah dibuka, Insya-Allah dia dengan sendiri akan buat. "Saya tidak letak sebarang tempoh atau paksaan untuk dia berbuat demikian. Biarlah datang dari hatinya sendiri," katanya. Bagaimanapun kata Akim, sepanjang berkawan dengan wanita berkenaan dia melihat Stacy sangat meminati Islam dan sering bertanya soalan tentang pelbagai perkara kepadanya. "Jujurnya saya bukanlah tahu sangat tentang agama tetapi jika dia tanya perkara tentang solat, Al-Quran dan perkara-perkara mudah yang lain saya akan jawab. "Bukan tidak sudi untuk mengajarnya tetapi saya rasa tidak layak berbuat demikian dan sebaiknya dia belajar daripada ustaz atau ustazah," ujarnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails