Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Berhijrah itu sukar – Fara Fauzana

BERJANJI untuk bertemu dalam satu sesi fotografi dan temu bual santai pada 11 Februari lalu, pengacara dan penyampai radio popular Fara Fauzana langsung memberikan reaksi positif dengan permintaan Kosmo!. Sudah lama rasanya tidak bertemu dengan personaliti popular berusia 35 tahun itu. Peluang tersebut disambut baik, sementelah kepadatan jadual yang memungkinkan tiada tarikh lain untuk berjanji temu. Seperti yang dijanjikan, pada pukul 3 petang, penulis buat pertama kali bertemu wanita kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu. Laju sahaja sapaan mesra dihulurkan empunya badan bersulam kuntuman senyum yang mesra di tubir bibirnya. Meskipun pada pertemuan itu Fara sebenarnya kurang sihat kerana demam panas, namun kerana komitmen yang tinggi terhadap temu janji yang telah diatur membuatkan wanita itu gagah melangkah ke Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Dengan suara yang serak basah dan terkadang diselangi batuk, sesi fotografi dan temu bual santai berlangsung lancar, meskipun dalam hati penulis perasaan gusar menusuk laju memikirkan keadaan kesihatan Fara. “Minta maaf ya kerana sedikit lewat. Saya pergi ke klinik dahulu sebelum datang ke sini. Maaflah kalau kita berjumpa hari ini dengan suara saya yang agak garau,” seloroh Fara yang hadir santai berbaju kemeja dan sehelai selendang putih bercorak biru melitupi kepalanya. Nilai sehelai hijab Pada awal perbualan, kami hanya rancak melontarkan omong kosong dalam keadaan santai dan ceria. Perlahan-lahan, barulah sesi perbualan itu bertukar menjadi profesional. Sedikit demi sedikit penulis menyelak sisi kehidupan seorang wanita bernama Farah Fauzana Mohd. Fadzil dari segi hidup, perspektif hijab, karier dan jodoh. Dia tenang melantunkan dan mengatur baik jawapan yang diberinya. “Kalau dulu, saya akui memang sedikit pelik dengan sesetengah wanita yang masih menyarung sarung tangan sedangkan lengan baju yang dipakai sudah cukup menutup pergelangan tangan. Namun selepas berhijab, barulah saya mengerti tentang semua itu dan ia membuatkan saya lebih tenang mendepani hari-hari mendatang sebagai seorang muslimah,” tuturnya membuka bicara saat dituju perihal kehidupannya kini yang melangkaui fasa seorang wanita berhijab. Bekas hos Nona itu kemudian menyambung: “Islam itu indah dan hijab itu menenangkan saya. Saya akui, hijab ada kuasa yang tersendiri dalam mempengaruhi orang di sekeliling saya lebih-lebih lagi saya bekerja dalam ruang lingkungan yang memerlukan saya menghabiskan masa berjam-jam di set lokasi. “Seperti contoh, sebelum memakai hijab, pihak produksi akan sentiasa peka dengan keperluan saya untuk menunaikan solat. Sampai waktu solat, mereka akan beri ruang kepada saya untuk menunaikan perintah wajib tersebut. “Apabila sudah berhijab kini, kepekaan dan sikap ambil berat mereka semakin tinggi walaupun kebanyakan orang produksi tersebut bukanlah seorang Muslim. Perkara sebegini membuatkan saya begitu terharu dan sebak memikirkan betapa hebatnya agama Islam.” Bercerita lanjut, Fara mengakui proses penghijrahannya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Walaupun tidak sekuat mana halangan yang menimpa, namun terkadang sedikit ujian kecil itu membuatkan dirinya tercuit jua. Ceritanya, pada tempoh awal perubahan dahulu, wujud beberapa perkara yang membuatkannya berasa penghijrahan yang dilakukan seakan membawa masalah kepada seorang selebriti seperti dirinya untuk melakukan tugas seperti biasa. “Tidak perlu saya beritahu pihak mana atau siapa, tetapi cukuplah sekadar berkongsi pengalaman bahawa negara kita sebuah negara Islam. Mengapa perlu memandang soal hijab dan aurat sebagai satu masalah untuk selebriti tampil di kaca televisyen. “Alhamdulillah saya tidak memandang semua perkara itu sebagai perkara besar memandangkan sebagai seorang yang tegas dengan pendirian, saya harus berani menegakkan kebenaran. Insya-Allah mungkin selepas ini masalah seperti itu tidak akan timbul lagi kepada mana-mana artis atau selebriti wanita kita,” ujar Fara optimis. Tolak beri ceramah Terhambur tawa kecil dari bibir Fara ketika penulis mengajukan soalan jika ada mana-mana pihak yang menawarkan dirinya untuk menyampaikan satu sesi ceramah berbentuk keagamaan. Bukan lucu, tetapi tawa kecil itu terkeluar sementelah mengenang kemampuan diri yang tidak sampai ke tahap tersebut membuatkan Fara menolak dari awal semua jenis tawaran yang berkaitan. “Banyak lagi surah saya belum mahir, inikan pula mahu beri ceramah kepada orang ramai. Memang sampai bila-bila saya tidak akan terima tawaran seperti itu. Bukan tidak berminat, tetapi saya tidak layak untuk diberi penghargaan mengemudikan sebuah program ceramah berbentuk Islamik. “Macam mana saya mahu ceramahkan orang sedangkan diri sendiri masih tidak cukup yakin. Tidak semestinya sebagai seorang selebriti, apabila sudah berhijab saya mesti mengemudikan program berbentuk keagamaan. “Saya percaya masih ramai pengacara dan pakar motivasi di luar sana yang juga punya pengikut tersendiri. Jadi tidak ada alasan untuk menggunakan selebriti semata-mata bagi menarik minat penonton mendengar program ceramah agama,” ujar Fara tersenyum lebar sambil memberitahu tidak akan menolak sekiranya mendapat tawaran menjadi moderator atau perantara untuk mana-mana ceramah agama selepas ini. “Lagi pula baru-baru ini saya pernah beberapa kali dijemput menjadi moderator dalam rancangan Prof. Dr. Muhaya di saluran Astro Oasis. Kalau bab itu (moderator) saya memang tiada masalah langsung untuk terima tawaran,” ujarnya sambil ketawa ceria mengusik. Belum jodoh Mungkin berbunyi agak klise jika acap kali bertemu penghujung bicara, soal hidup atau lebih tepatnya soal jodoh menjadi penutup perbualan. Namun dibalas dengan jawapan selamat, Fara hanya meletakkan soal ketentuan jodohnya kepada Yang Maha Esa, tetapi dalam masa sama percaya jodohnya tetap ada. “Kali ini biar saya jawab dengan jawapan yang tidak nampak terlalu klise. Selalunya kalau dicucuk dengan soalan jodoh, orang ramai akan ambil pendekatan menyelamatkan diri dengan memberi jawapan belum sampai masanya. “Jujurnya, saya percaya jodoh itu ada. Ada. Memang ada. Saya percaya dan masih percaya meskipun sehingga ke hari ini saya belum bertemu dengannya (jodoh). “Sebagai manusia, apa yang harus kita lakukan adalah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Sang Pencipta yang telah menentukan atur letaknya takdir kita. Bukan saya tidak berusaha tetapi saya percaya, sampai masanya nanti jodoh itu akan datang juga. Cuma ia akan datang dalam masa yang cepat atau lambat, itu sahaja. “Pada saya, biarlah Tuhan yang tentukan segalanya kerana Dia lebih mengetahui yang terbaik. Apabila saya masih percaya, ia bermakna saya masih belum mengalah untuk menunggu,” ujar Fara penuh makna. Karier Susur galur perjalanan wanita ini terhampar elok dengan pelbagai kejayaan dalam bidang yang diceburi. Nama Fara begitu gah sebagai penyampai radio popular, malah bidang pengacaraan pula semakin menghimpit dirinya ke puncak sementelah bakat dan tuah seiring mengekori perjalanan hidupnya sehingga kini. Merendah diri menyatakan itu semua adalah rezeki, Fara tidak meletakkan tanda nama popular sebagai bahan untuk dirinya meninggi diri. Tutur Fara dalam nada luhur, dia mahu kekal sebagai seorang manusia biasa yang punya hati nurani untuk berubah ke arah lebih baik. “Kalau boleh saya tidak mahu bercakap soal populariti. Ia sangat klise bagi saya. Tidak penting pun soal popular atau tidak kerana apa yang membuatkan manusia itu berjaya adalah usaha kerasnya, bukan kerana nama semata-mata. “Alhamdulillah selain sibuk dengan tugas di konti radio, pengalaman mengendalikan rancangan televisyen sangat memberi erti kepada saya. Jika dulu sewaktu mengemudi Nona, semuanya nampak formal dan mengikut peraturan skrip. Namun sekarang apabila bertukar mengendalikan sebuah rancangan televisyen lain yang bersifat lebih santai, perasaan lain datang menerpa. “Mungkin kerana sudah lama tidak mengendalikan program televisyen secara langsung, sebab itu saya agak sedikit kekok. Maklumlah, dalam konti radio, orang hanya mampu dengar suara sahaja, berbeza dengan di kaca televisyen pergerakan, muka dan percakapan semuanya menjadi perhatian orang,” ujar Fara ceria bercerita tentang tugasnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails