Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Lamaran janji temu pertama - Zul Huzaimy

SEPERTI sebuah untaian kata, dari mana datangnya cinta, dari mata turun ke hati, romantika Zul Huzaimy Marzuki dan wanita yang baru dinikahinya, Nur Ernawati Mohd. Nor, 27, juga bermula kerana mata. Bertentang pandangan mata buat kali pertama sekitar dua tahun lalu, pertemuan Zul Huzaimy dan wanita yang dibahasakan Erna, akhirnya sampai ke jenjang pelamin. Ketika awal pertemuan, Zul Huzaimy, 37, sudah menaruh keyakinan bahawa wanita cantik yang berada di depannya ketika itu merupakan jodohnya, selepas empat tahun hidup menduda. “Saya mengenali Erna kerana asalnya peminat saya. Dia sering mengikuti perkembangan saya sebagai seorang pelakon. Kebetulan Erna sepupu kepada Liyana Jasmay, dia juga ada datang ke lokasi penggambaran untuk melihat saya bekerja. Bagaimanapun, kami tidak pernah berkesempatan untuk keluar bersama. “Sehinggalah pada suatu hari, saya meminta Erna mengambil saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang selepas tiba dari Kuantan, Pahang. Setelah bertemu, saya terus melamarnya,” jelas Zul yang ditemui pada majlis pernikahannya di Kelab Golf Bangi, Selangor, Jumaat lalu. Ditanya keberanian mengambil keputusan untuk melamar Erna pada janji temu yang pertama, Zul berkata, wanita yang kini bergelar permaisurinya itu berjaya mengetuk pintu hatinya untuk kembali hidup berumah tangga. “Setelah melihat wajahnya, saya yakin bahawa sudah tiba masanya untuk saya membuka hati kepada wanita lain. “Bagi saya, dia merupakan seorang wanita yang cukup piawaian untuk dijadikan isteri. Sejujurnya, gerak hati saya tidak salah,” ujarnya sambil tersenyum. Melanjutkan perbualan mengenai karakter unik yang ada pada isterinya, Zul berkata, Erna mempunyai ideologi yang berbeza berbanding wanita lain dalam setiap bicara. Ujar Zul, perkara itu mengukuhkan alasan Zul untuk tertarik mengenali isterinya itu dengan lebih dekat. “Satu perkara yang menarik tentang Erna ialah cara, kefahaman dan ideologinya ketika berbicara, cukup berbeza. “Selain itu, dia bersungguh-sungguh untuk mengenali saya kerana diri saya, bukan kerana saya ini seorang pelakon,” katanya. Berbicara mengenai hubungan Erna dengan anaknya, Awal Haziq, 10, Zul berkata, dia bersyukur kerana anak tunggalnya itu dapat menerima Erna sebagai seorang ibu. “Kebahagiaan Awal menjadi keutamaan. Saya tidak boleh mencari kebahagiaan untuk diri sendiri jika anak saya tidak mampu berkongsi rasa bahagia itu,” kata Zul. Kontroversi Sebelum mendirikan rumah tangga, kisah percintaan mereka pernah terpalit kontroversi apabila Erna dikatakan masih berstatus isteri ketika mula menjalinkan percintaan dengan Zul. Sama ada Zul mahupun Erna, masing-masing bertindak mengunci mulut tentang dakwaan tersebut sehingga kini. Ketika ditanya mengenai dakwaan itu, Erna menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia masih bergelar isteri ketika mula mengenali Zul. Katanya, dia dan bekas suaminya masih berbaik-baik dan mungkin disebabkan perkara itu, masyarakat mudah membuat cerita. “Saya pun tidak tahu mengapa saya terbabit dengan gosip itu. Sedangkan, keluarga saya dan keluarga sebelah suami tahu apa status saya pada waktu itu. “Mungkin disebabkan saya dan suami masih lagi berkawan baik, khalayak umum mula membuat andaian sebegitu,” ujar Erna yang pernah berkahwin, namun jodohnya berakhir sekitar dua tahun lalu. Kepimpinan Zul Secara kebetulan pula, pernikahan kali ini menjadi ikatan kedua dalam hidup Zul dan Erna. Biarpun masing-masing pernah berkahwin dan bercerai, namun dalam mana-mana perhubungan yang dibina, ketulusan dan kebahagiaan yang berpanjangan menjadi doa tanpa putus. Akui Erna, sikap kepimpinan dalam diri Zul menjadi kuasa pemikat yang menawan cintanya terhadap pelakon kelahiran Gerik, Perak itu. “Saya tidak pernah memandang pada paras rupa mahupun harta. Saya juga tidak memandang status selebriti yang ada padanya. “Namun, apa yang menarik perhatian saya ialah sifat kepimpinan yang ada padanya. Menerusi sifat itu, saya yakin dia mampu untuk menjadi seorang suami yang baik,” jelas Erna. Ditanya adakah mereka merancang untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat, Erna berkata, segalanya terpulang kepada rezeki. “Saya dan Zul tidak pernah merancang. Jika ada rezeki, kami terima dengan tangan terbuka,” jelasnya yang masih belum menentukan lokasi untuk berbulan madu. Pada majlis pernikahan tersebut, Erna menerima mas kahwin sebanyak RM300 sementara wang hantaran sebanyak RM21,515.15. Antara rakan artis yang hadir termasuklah Liyana Jasmay, Diana Danielle, Farid Kamil dan Ellie Suriaty.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails