Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Setahun simpan niat untuk berhijab - Elfira Loy

Sehari sebelum tarikh kelahiran ke-21 tahun yang jatuh pada tanggal 8 Mac lalu, aktres genit, Elfira Loy nekad berhijab. Keputusan yang diambil Elfira itu diakui drastik, namun ramai yang gembira dengan perubahan yang dilakukan oleh gadis itu. Menghebahkan mengenai perubahan imej itu melalui akaun Instagram miliknya, @elfiraloy, pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri dilihat manis berhijab dalam rona busana merah jambu sewaktu meraikan majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang bertemakan majlis dalam taman. Katanya ketika dihubungi Kosmo!, keputusan untuk berhijab tidak dilakukan kerana terpaksa, sebaliknya sudah setahun dia menyimpan niat untuk menjadi Muslimah yang lebih baik sejurus mencecah usia 21 tahun. “Sebenarnya saya memang memakai tudung di sekolah menengah. Jadi, niat itu memang sudah lama tersimpan dalam hati. Cuma sewaktu pertama kali muncul sebagai anak seni pada usia 12 tahun, saya mahu mencapai impian sebagai pelakon terlebih dahulu. “Bagaimanapun, perasaan nekad untuk berhijab menjadi bulat pada tahun lalu. Sebelum saya benar-benar membuka lembaran baharu, saya harus ambil masa untuk selesaikan beberapa kerja terlebih dahulu sebelum berhijab. Alhamdulillah, perubahan itu berlaku tanpa paksaan orang lain dan datang dari hati saya sendiri,” katanya yang mula popular pada tahun 2006 menerusi teater muzikal Ali Baba. Akuinya, kini selepas seminggu menutup aurat, tiada perubahan ketara yang berlaku. Semuanya berjalan seperti biasa, kecuali dia lebih selektif terhadap pemilihan pakaian dan penampilan yang perlu mencerminkan imej terkininya sekarang. “Tiada perubahan yang mendadak kerana sebelum berhijab pun mama selalu berpesan supaya menjaga tingkah laku, jaga solat dan tutur kata,” ujarnya. Diajak bercakap soal kerjaya, Elfira menegaskan, berhijab bukan halangan untuk terus bergelar seorang pelakon. Dia percaya kebanyakan penerbit dan pengarah sudah memahami keperluan pelakon berhijab. “Saya tidak pernah pilih watak termasuk apabila saya sudah berhijab. Bagi saya pihak produksi sudah tahu keperluan seorang pelakon berhijab, jadi watak yang bakal diberi sudah tentu bersesuaian dengan imej wanita Muslimah,” tuturnya. Baim hanya sahabat
Selain kisah hijab, kehadiran aktor Indonesia, Baim Wong yang dikatakan sebagai ‘kekasih’ Elfira turut serta meraikan majlis sambutan hari lahirnya bersama kelab peminat Elfiralovatics baru-baru ini menarik perhatian. Masakan tidak, jejaka berusia 34 tahun itu sanggup terbang dari Jakarta, Indonesia ke Kuala Lumpur demi memberi kejutan kepada Elfira. Menyifatkan Baim sebagai sahabat baiknya, Elfira menolak spekulasi yang mendakwa mereka sedang bercinta. “Sejujurnya, saya memang melihat tindakan Baim sanggup terbang dari Jakarta ke Kuala Lumpur demi membuat kejutan pada majlis sambutan hari lahir itu cukup istimewa. Namun, sebagai sahabat baik, saya kira tidak salah untuknya membuat kejutan. “Saya tahu banyak pihak bertanya tentang status hubungan kami. Apa yang boleh saya katakan, Baim merupakan seorang sahabat baik,” katanya. Terang Elfira lagi, dia mempunyai prinsip tersendiri apabila menyentuh soal hati dan perasaan. Katanya, bukan satu kesalahan jika dia tidak melabelkan status dalam perhubungannya dengan Baim. Jelasnya: “Saya kira bukan satu kesalahan kalau tidak meletakkan hubungan kami dalam status cinta atau pasangan kekasih. Jika ada perasaan sayang, ia hanya rasa sebagai kawan. Saya melihat persahabatan tidak akan putus, sebaliknya kalau hubungan itu berteraskan cinta yang andai suatu hari nanti berkecai, kita sendiri akan rasa kekok. “Perkenalan kami sudah memasuki usia empat tahun dan setiap kali ditanya tentang cinta saya akan tetap dengan pendirian kami hanya kawan! Saya tahu sejarah dia bercinta dengan siapa sebelum ini, walaupun putus di sana, penghujungnya dia masih berkawan dengan saya.” Tambah Elfira, hubungan cinta bukan hal yang besar dalam kehidupannya. Dia tidak pernah merasakan bercinta itu satu trend untuk dipatuhi yang akhirnya akan menyebabkan seseorang ketinggalan zaman. Bagaimanapun, dia bersedia seandainya jodoh itu datang pada usianya yang masih muda. “Kalau tidak bercinta, itu bukan bermakna saya ketinggalan zaman. Namun, sebagai seorang perempuan, saya perlu sentiasa bersedia. Jodoh akan datang apabila bersedia, dengan siapa dan bila, semuanya sudah tertulis,” tegasnya. Elfira mengakui sukar untuk menjalin percintaan jarak jauh, atas dasar itu juga dia meletakkan fasa hubungannya dengan Baim sebagai kawan. Andai kata jodohnya bersama jejaka tempatan, dia bersedia dan masih tetap berkawan dengan pelakon filem Pengantin Cinta itu. “Saya menghormati cara dia menawan hati keluarga saya dan itu langkah terbaik untuk memulakan sebuah perhubungan. Dia pernah bertanyakan ibu saya adakah dia dibenarkan untuk menjalinkan hubungan serius dengan saya dan mama mengizinkannya. Usianya pun sudah 34 tahun, jadi saya memahami situasinya,” jelas Elfira. Kembara seni
Biarpun gosip cintanya bersama Baim terus hangat diperkatakan, Elfira nampaknya lebih selesa untuk kekal membumi tanpa banyak kerja lakonan di kaca televisyen seperti tahun-tahun terdahulu. Mengulas lanjut mengenai kembara seninya pada tahun 2014 dan resolusi tahun 2015, ujar Elfira dia kini lebih selesa memerhati dan belajar cara pelakon lain bekerja. Malah, ada antara tawaran lakonan pada tahun lalu ditolak demi memberikan jalan kepada pelajaran dan perspektif baharu dunia lakonannya. “Karier saya tahun 2014 sedikit perlahan kalau mahu dibandingkan dengan tahun-tahun lepas. Salah satu sebab kerana mahu lunaskan pengajian dalam bidang kesenian hiburan di Kolej Damansara Utama dan insya-Allah, pengajian saya akan tamat pada bulan Oktober tahun ini. “Pada masa yang sama, saya juga lebih banyak menerima tawaran pengacaraan untuk beberapa buah rancangan travelog di kaca televisyen termasuk Mad Market. “Selain itu, saya dapat mencuba bidang penyampaian radio yang mulanya sekadar tetamu jemputan, tetapi kini diberi kepercayaan mengendalikan segmen Sabtu Pagi Era di Era FM yang tugasnya bukan mudah. Jika dinilai daripada graf pencapaian dalam bidang berbeza, secara puratanya saya berpuas hati,” jelasnya panjang lebar. Sementara itu, saat diusik mengenai kemewahannya sekarang terutama apabila dia sering memperaga barangan berjenama, pelakon telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu punya jawapan tersendiri. Katanya: “Lapan tahun bekerja tanpa henti, dari saya kecil hingga dewasa boleh dikatakan setiap perkara yang saya mahukan tercapai. Mustahil kalau saya tidak mampu memiliki barangan berjenama misalnya, kerana itu tujuan kita bekerja. “Namun, saya lebih memanfaatkan setiap hasil titik peluh kepada keluarga. Orang nampak saya mewah berdasarkan barangan yang saya beli tapi mereka tidak tahu semuanya untuk keluarga saya juga.” Kecil tetapi besar Sinonim dengan watak kanak-kanak dengan fizikal sama seperti remaja, Elfira mengakui dia sukar untuk lari daripada stereotaip dan label tersebut. Biarpun kini sudah memasuki alam dewasa, masih ramai yang beranggapan Elfira masih lagi pelakon kanak-kanak dan tidak sesuai untuk melakonkan watak besar, misalnya wanita berkerjaya. “Ketika kecil, khalayak melihat saya kecil dan apabila sudah besar, orang melihat Elfira seperti budak kecil. Itu yang menariknya tentang diri saya, namun persoalan yang sering diajukan kepada saya, kenapa bawa watak orang besar? “Padahal, kalau diikutkan usia saya bukan lagi remaja dan pengalaman lakonan juga semakin hari semakin bertambah. “Sebenarnya kalau difikirkan semula, persepsi itu bukan satu masalah buat saya. Saya bersyukur apabila ada yang melihat Elfira Loy masih lagi kanak-kanak kerana itu membuktikan mereka melihat saya berlakon sejak kecil dan kami membesar bersama-sama. “Sekeliling saya ramai yang mengambil berat dan mahu melihat saya berkembang. Seperkara yang membuatkan saya gembira kerana saya ada ramai kakak, adik dan ibu yang menjaga saya,” katanya. Sematang usia dan pengalaman, begitu juga cara Elfira berfikir. Kisah peribadi, cinta, gosip, skandal dan spekulasi bukan perkara asing dalam kamus hidup pelakon itu. Barangkali, kalau dihitung catatan berkisar hidup lebih laris daripada jualan kisah kerjayanya. Defensif atau tidak, Elfira menyatakan pendiriannya. “Saya akan tertekan kalau begitu menjaga dan protektif terhadap diri sendiri. Saya bukan seorang yang terlalu defensif kerana sifat sebegitu akan lebih menyebabkan orang sekeliling curiga,” tuturnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails