Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

"Tiada Lagi Komen Negatif Selepas Saya Repot Polis" - Black Hanafiah

Penyanyi Black berkata, sejak membuat laporan polis terhadap individu yang memanggil anaknya beruk di Instagram, dia tidak lagi menerima sebarang komen-komen negatif oleh pengikutnya di laman sosial tersebut. Black atau nama sebenarnya, Hanifah Hanafiah, 28, menyifatkan, tindakan tegas yang diambilnya itu membuatkan individu lain yang mungkin mempunyai sikap tidak bertanggungjawab berfikir dua kali sebelum memberi komen-komen berunsur negatif. "Alhamdulillah, orang luar tidak lagi meletakkan komen-komen negatif terhadap gambar saya dan keluarga. "Walaupun sebagai artis saya sepatutnya lebih terbuka dengan komen-komen negatif yang diterima, tetapi sebagai manusia, saya juga mempunyai hati dan perasaan di mana saya akan terasa apabila membacanya lebih-lebih lagi ia berkaitan dengan anak," katanya kepada mStar Online.
Black sebelum ini membuat laporan polis selepas seorang pengikut Instagram miliknya menggelarkan anak dia, Khaleef Dayyan yang lahir pada Januari lalu dengan panggilan beruk. Kemudian penyanyi itu turut mendedahkan individu tersebut merupakan seorang pelajar universiti. Individu tersebut yang merupakan seorang lelaki digesa untuk membuat permohonan maaf secara terbuka secepat mungkin sebelum tindakan selanjutnya diambil. Dalam perkembangan berkaitan Black berkata, individu itu masih lagi belum membuat permohonan maaf dan ia membuatkan dia akan terus mengambil tindakan saman. "Sehingga kini saya masih lagi belum menerima permohonan maaf daripada lelaki berkenaan. "Malah saya syak dia membuka akaun Instagram lain dan mengutuk anak saya sama seperti sebelum ini," ujarnya. Sementara itu, Black berkata, sepatutnya artis-artis lain yang mempunyai masalah yang seakan sama dengannya perlu memandang serius tentang perkara itu lebih-lebih lagi jika ia melibatkan keluarga. "Saya percaya jika komen-komen negatif di alam maya ini diambil tindakan, pada masa akan datang tiada pihak yang senang-senang melemparkan tuduhan buruk kepada artis," tegasnya. Dalam perkembangan lain, Black kini sedang sibuk menyiapkan lagu bersama Dayang Nurfaizah bersempena dengan sambutan Aidilfitri. Malah dia juga akan muncul dengan sebuah album baharu tidak lama lagi.

Amar Baharin Tepis Gosip Bakal Nikah Amyra Rosli Hujung Tahun

Pelakon Amar Baharin terkejut apabila dikatakan sedang membuat persiapan untuk majlis perkahwinannya dengan pelakon Amyra Rosli yang dijangka hujung tahun ini. Ammar, 30, dan Amyra turut dikatakan sudah meninjau lokasi majlis berkenaan dan melantik individu tertentu bagi menguruskan majlis itu. "Kahwin? Saya pun tak tahu perkara ini dan macam mana pula orang boleh kata saya nak kahwin? Sekali lagi saya ingin perjelaskan bahawa saya dan Amyra hanyalah kawan kerja dan tidak lebih daripada itu," jelas Ammar kepada mStar Online pada Rabu menjawab gosip berkenaan. Tambah Amar, ketika ini dia masih solo dan tidak menafikan hasrat untuk mendirikan rumah tangga namun mungkin masih belum temui jodohnya. "Saya masih solo dan ada keinginan untuk kahwin. Cuma tak tahu bila," katanya. Sementara itu, Amar menganggap namanya masih lagi dikaitkan dengan Amyra, 23, mungkin kerana kedua-dua mereka serasi apabila bergandingan dalam sesebuah drama yang dilakonkan. "Sehingga kini sudah lima buah drama dan satu telefilem kami bergandingan bersama. Dan jujurnya kami serasi setiap kali melakonkan babak mesra. Mungkin kerana itu orang anggap ada sesuatu yang terjalin di antara kami. Tetapi sebenarnya tidak," ujarnya. Antara drama gandingan Amar dan Amyra ialah Kalimah Jiwa, Kristal Maya dan Suamiku Encik Sotong. Dalam perkembangan lain kedua-dua mereka turut bergandingan menerusi drama Cik Bunga Encik Sombong terbitan Global Station. Sebelum kekecewaan telah melanda Amyra apabila hasratnya untuk mendirikan rumah tangga dengan aktor Dazrin tidak kesampaian walaupun majlis dirancang sudah hampir tiba.

Aweera Sangkal Putus Rezeki Selepas Kontroversi Mojo

Penyanyi Aweera menyangkal dakwaan kononnya dia kini tidak mempunyai sebarang tawaran persembahan selepas dilanda kontroversi bersama kumpulan Mojo akhir tahun lalu. Aweera atau nama sebenar Nasharul Aweera Noriyissham, 24, berkata, perjalanan karier nyanyian solonya semakin rancak malah baharu sahaja melancarkan single berjudul Terhakis. "Alhamdulillah setakat ini tawaran masih ada biarpun pelbagai tohmahan negatif yang saya terima selepas 'drama' bersama Mojo sebelum ini. "Dakwaan kononnya saya langsung tidak mendapat tawaran itu adalah sama sekali tidak benar," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu. Bercakap lanjut mengenai perkara itu, Aweera berkata, sebagai seorang penyanyi dia tidak boleh berpeluk tubuh dan menanti tawaran datang sebaliknya perlu berusaha untuk memajukan diri.
Bagaimanapun kata Aweera, dia tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya ada pihak enggan memanggilnya mengadakan persembahan hanya kerana kontroversi sebelum ini. "Pada saya perkara itu terpulang kepada diri sendiri kerana jika kita berusaha Insya-Allah, Tuhan akan membuka rezeki kita. "Bagaimanapun pada pihak yang tidak mahu memanggil saya mengadakan persembahan itu saya tidak boleh berkata apa-apa," ujarnya. Sementara itu, Aweera berkata, dia enggan mengenang tentang kontroversi melandanya sebelum ini kerana mahu memulakan kehidupan baru menerusi karier solonya. Jelas Aweera, dia juga enggan mempedulikan kata-kata negatif dilemparkan kepadanya kerana sedar tidak dapat memuaskan hati semua pihak. "Saya tidak terkesan dengan apa yang orang hendak perkatakan tentang saya kerana paling penting saya tahu kedudukan sebenar," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Aweera berkata, dia kini giat mempromosikan lagu Terhakis dengan membuat kemunculan dalam program televisyen dan temubual radio. Lagu itu ditulis dan digubah sendiri oleh Aweera dengan bantuan rakannya yang juga komposer, Amir Syawal. "Sebelum kedatangan bulan Ramadan saya kini sedang bersungguh-sungguh untuk mempromosikan Terhakis dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan baik daripada peminat," katanya.

Aishah Sinclair Tidak Mahu Anak Hidup Terabai

Pengacara dan penyampai radio, Aishah Sinclair bersikap memilih terhadap tawaran yang diberikan kepadanya kerana bimbang akan menyebabkan masa bersama dua anaknya terabai. Aishah atau nama sebenarnya Aishah Jennifer Mohamed Sinclair, 35, berkata, dia tidak mahu terlepas untuk melihat anak-anaknya membesar dan sanggup berkorban demi memastikan mereka mendapat perhatian. "Harus saya akui bukan mudah untuk melakukan dua perkara dalam satu masa tetapi saya perlu bijak membahagikan masa terutamanya apabila bersama anak-anak. "Sebab itu sejak melahirkan anak pertama saya agak selektif dengan tawaran diberikan kerana tidak mahu terlalu banyak menghabiskan masa di luar berbanding di rumah," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Aishah berkata, tugas sebagai penyampai radio di Mix FM juga sudah cukup membuatkan jadualnya padat memandangkan dia bersiaran pada pukul 6 hingga 10 pagi di slot Mix Breakfast.
Kata Aishah, setiap hari dia akan bangun seawal pukul empat pagi untuk ke konti dan hanya akan pulang ke rumah selepas waktu makan tengah hari. "Sejak bergelar penyampai radio saya akan bangun pada pukul empat pagi kerana perlu sampai ke konti radio sekurang-kurangnya pukul 5 pagi. "Selepas selesai tugas baharulah saya akan menguruskan anak-anak dan suami sebelum masuk tidur selewat-lewatnya pukul 8.30 malam," ujarnya. Tambah Aishah, dia bersyukur kerana mempunyai suami yang begitu memahaminya dan banyak membantu menguruskan anak-anak mereka sepanjang ketiadaannya. "Alhamdulillah suami dan keluarga banyak membantu. Ia bukanlah mudah tetapi saya sedaya upaya cuba mengimbangkan keluarga dan karier sebaik mungkin.
"Sebab itu juga saya memilih tawaran kerana selepas bersiaran di konti saya ingin terus pulang untuk bersama anak-anak," katanya. Sementara itu, bercakap mengenai kerjaya baharunya sebagai penyampai radio, Aishah berkata, pada awalnya dia tidak menyangka mempunyai bakat dalam bidang tersebut. "Saya ada berhasrat untuk menjadi penyampai radio tetapi tidak pernah sangka peluang itu datang secepat ini. "Biarpun pada awalnya merasakan tidak mempunyai bakat tetapi lama kelamaan saya mula selesa dan ia adalah bidang yang menyeronokkan," jelasnya.

Keluarga Restu Bekas Suami Abby Abadi, Farhan Nikah Ibu Tunggal

Keluarga bekas suami kepada pelakon Abby Abadi iaitu Muhammad Noor Farhan Che Bakar tidak menghalang untuk dia memilih ibu tunggal beranak dua sebagai bakal isteri. Farhan, 26, berkata, biarpun pernah mengalami kegagalan rumah tangga bersama Abby yang juga seorang ibu tunggal ketika itu namun keluarganya merestui hubungannya dengan Noriah Mat Isa selepas wanita itu diperkenalkan kepada mereka. "Soal status bukan subjek utama kerana ini adalah soal jodoh yang ditentukan oleh Allah. "Alhamdulillah keluarga menerima dan merestui perhubungan kami biarpun mengetahui bakal isteri adalah ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Selasa. Pasangan itu bakal disatukan pada Jumaat ini di ibu negara manakala majlis resepsi keluarga pengantin perempuan akan diadakan sehari selepas itu. Terdahulu, Farhan berkahwin dengan Abby di Selatan Thailand pada 9 Julai 2013 sebelum disahkan bercerai pada 9 Mei 2014 dengan talak satu hanya selepas 11 bulan bersama.
Dalam pada itu, Farhan berkata, dia terbuka hati untuk berkahwin buat kali kedua selepas setahun menjalinkan hubungan dengan Noriah. Jelasnya, wanita berkenaan dianggap istimewa kerana menghormatinya sebagai seorang lelaki selain menyifatkan keperibadiannya sempurna. "Dia bijak mengambil hati saya dan keluarga selain menghormati saya sebagai seorang lelaki dan pandai memasak. "Bagi saya bukan soal cepat atau pun lambat tetapi tidak mahu melengah-lengahkan perkara baik dan Noriah adalah pilihan terbaik," katanya. Sementara itu, Farhan berkata, seperti mana harapan pasangan lain, dia berharap perkahwinan kali kedua ini adalah yang terakhir selain mengakui kesilapan lalu banyak mengajarnya supaya lebih matang dalam melayari rumah tangga. "Apa yang saya harapkan apa yang berlaku sebelum ini tidak akan berulang dan perkahwinan kali kedua ini akan kekal bahagia," ujarnya. Pasangan itu terdahulu mengikat tali pertunangan pada 21 Mac lalu. Dalam perkembangan lain, Farhan berkata, dia masih belum berputus asa untuk mengejar impiannya bergelar pelakon dan masih menanti tawaran daripada produksi. Bagaimanapun dia sedar bukan mudah untuk melangkah dalam bidang itu dan bersedia untuk memulakan kariernya dari bawah. "Apabila saya beritahu ingin jadi pelakon bukanlah saya mengharapkan watak besar tetapi ingin bermula dari bawah bagi membina keyakinan dalam diri saya. "Alhamdulillah sebelum ini saya ada bertemu dengan pengarah Shuhaimi Lua tetapi dia ingin saya mengurangkan berat badan terlebih dahulu sebelum diberi peluang," katanya yang kini bernaung di bawah agensi bakat iaitu Jamal Tommy Talent Agency.

Mimi (One Nation Emcee) Nikah Pensyarah Hujung Mei

Ahli kumpulan One Nation Emcee iaitu Mimi memilih pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) sebagai bakal suami dan akan melangsungkan pernikahan pada hujung bulan ini. Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, 28, berkata, buat masa ini dia terpaksa merahsiakan dahulu tarikh pernikahan itu atas permintaan keluarganya. "Insya-Allah saya akan bernikah pada penghujung bulan ini tetapi saya terpaksa merahsiakan tarikh pernikahan tersebut atas permintaan keluarga. "Majlis itu akan dibuat secara sederhana sahaja dan bakal dihadiri kaum keluarga terdekat," katanya kepada mStar Online.
Mimi ditemui pada sidang media Karnival Sukan Pantai Port Dickson 2015 di Ruang di sini, Selasa. Karnival itu bakal berlangsung pada 29 Mei hingga 1 Jun di Batu 1, Port Dickson, Negeri Sembilan. Dalam pada itu, Mimi berkata, bakal suaminya itu yang dikenali sebagai Firdaus, 29, adalah rakannya sejak kecil namun hubungan mereka benar-benar serius sejak tiga tahun lalu. "Dia sangat memahami diri saya selain dapat menerima diri saya seadanya," ujarnya. Sementara itu, Mimi berkata, majlis resepsi perkahwinannya akan diadakan pada 7 November depan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Mimi juga tidak berhasrat berkongsi gambar pemuda itu.

"Bincang Hal Kahwin Selepas Ibu Balik Umrah" - Nelydia Senrose

Pelakon Nelydia Senrose memberi ruang kepada ibunya untuk menunaikan umrah sebelum dia membuat keputusan mengenai rancangan perkahwinannya bersama Qi Razali. Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 21, berkata, ibunya akan berangkat ke Mekah pada 29 Mei ini dan perbincangan mengenai hal kahwin akan dilakukan apabila ibunya pulang.
“Mama saya akan menunaikan umrah dalam masa terdekat ini jadi saya tidak mahu menggangu persiapan mama untuk ke sana. “Apabila mama pulang dari menunaikan umrah nanti, InsyaAllah kedua-dua belah pihak keluarga akan berbincang dengan lebih lanjut,” katanya kepada mStar Online. Nelydia ditemui pada majlis sidang media drama komedi bersiriStrawberi & Karipap Musim Kedua di Marmalade Café, Bangsar Village, di sini pada Selasa. Drama komedi 13 episod arahan Nizam Zakaria itu masih mengekalkan Nelydia sebagai Aunty Lisa bersama pelakon lain seperti Zizan Nin, Mia Sara, dan Rykarl Iskandar. Ia diterbitkan oleh Global Station. Dalam pada itu, Nelydia berkata, dia juga mengirimkan doa kepada ibunya agar mendoakan hubungan dia dengan Qi Razali supaya terus kekal dan dapat disatukan sebagai suami-isteri.
“Biar mama doakan jodoh saya apabila berada di sana dan jika ada jodoh maka adalah tapi saya rasa mama memang akan doakan untuk kebahagian anak-anaknya. “Hubungan saya dengan Qi tiada masalah dan kami sudah lama berkawan jadi mesti kami mahukan ia berakhir dengan cerita indah dan bahagia,” katanya. Selain itu, drama yang dilakonkan ini turut menampilkan kakak kepada Nelydia iaitu Uqasha Senrose dan pelakon cilik baru, Jelita Kako. Drama ini merupakan gandingan kali kedua pasangan adik beradik ini dalam satu produksi dan cerita yang sama. Drama komedi Strawberi Karipap musim kedua ini akan bersiaran pada setiap hari Ahad, pukul 11.00 pagi secara eksklusif menerusi saluran Astro Ceria (611) dan siaran serentak di Maya HD (135).

Isteri Restu Hubungan Rapat Boy Iman & Effa Maembong

Pelakon Boy Iman menjelaskan isterinya, Kumala Dewi Anas tidak pernah menghalang malah merestui hubungan rapat dia dengan kakak kepada aktres Emma Maembong iaitu Effa Maembong yang sudah terjalin sejak tiga bulan lalu. Boy atau nama sebenarnya Norul Iman Abd Rahman, 35, berkata, keterbukaan isterinya terhadap hubungan rapat mereka menyangkal semua dakwaan kononnya Kumala mahu bercerai kerana dia curang. "Isteri tahu saya sedang berkawan dengan Effa dan mereka pernah bertemu semasa anak kami dimasukkan ke hospital dan isteri menerima kehadiran Effa dengan baik. "Paling mengejutkan saya, mereka berdua pula menjadi semakin akrab sejak pertemuan itu dan mereka juga pernah beberapa kali keluar bersama sehingga membuatkan saya keliru kerana isteri sepatutnya berasa marah terhadap saya.
"Tetapi penerimaan Kumala terhadap Effa menjawab punca kami ingin bercerai bukan disebabkan kehadiran orang ketiga tetapi disebabkan masalah kewangan yang sedang kami hadapi seperti saya jelaskan sebelum ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Jumaat. Boy dan Kumala berkahwin pada 11 November 2011 dan dikurniakan cahaya mata lelaki bernama Norul Emmer berusia setahun enam bulan. Pasangan itu sepatutnya hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur dekat sini pada 2 April lalu untuk mendaftarkan permohonan bercerai namun tidak berbuat demikian. Boy bagaimanapun memberitahu dia akan membuat permohonan cerai di mahkamah sama pada Isnin ini. Dalam pada itu, Boy berkata, biarpun dia teragak-agak untuk bercerai namun kegagalannya membuat permohonan cerai sebelum ini memberi banyak hikmah kepadanya.
Jelas Boy, selain dapat berfikir kembali keputusannya itu dia kini sudah bersedia berbuat demikian kerana sudah tidak ada jalan untuk menyelamatkan rumah tangga mereka itu. "Isteri meminta saya mempercepatkan proses perceraian kami tetapi saya tidak mahu menceraikannya di luar mahkamah dan mahu mengikut saluran betul," katanya. Sementara itu, mengenai Effa, Boy berkata, masih terlalu awal untuk bercakap mengenai hubungan mereka namun tidak menyangkal mereka sedang mengenali hati budi masing-masing. "Sebenarnya saya sudah lama mengenali Effa tetapi kembali bertemu ketika menghadiri majlis perkahwinan kakaknya, Yaya Maembong akhir tahun lalu. Kami kembali rapat sejak tiga bulan lalu selepas saya meminta nombor telefonnya daripada adiknya, Emma Maembong. "Buat masa ini saya selesa berkawan rapat dengannya dan sedang mengenali hati budi masing-masing. Effa seorang yang baik dan memahami saya dan sentiasa berada di sisi saya ketika berada dalam kesusahan," katanya. Dalam perkembangan lain, Boy berkata, dia dan Effa bakal bekerjasama untuk membuka sebuah tapak gerai menjual pakaian jenama masing-masing di Pudu Uptown Kuala Lumpur pada 1 Jun depan.

"Isteri Saya Bukan Janda Anak Satu" - Fahrin Ahmad

Pelakon Fahrin Ahmad menegaskan wanita yang dikahwininya iaitu Elena Hani Eleas, 37, bukanlah seorang janda beranak satu seperti yang didakwa beberapa pihak. Fahrin, 36, berkata, spekulasi tersebut tidak sepatutnya wujud kerana berita tidak sahih itu bukan kenyataan daripadanya tetapi daripada pihak yang suka menyebarkan fitnah. "Selepas saya umum berita pernikahan kami pada Selasa lalu, macam-macam spekulasi timbul sehingga ada yang mengatakan isteri saya adalah seorang janda beranak satu. "Bukan, dia tidak pernah berkahwin. Bila difikirkan balik, saya melihat, ada hikmah disebalik tindakan saya merahsiakan identiti Elena daripada orang ramai. "Jika tidak, saya percaya macam-macam bentuk spekulasi yang akan timbul dan mungkin boleh merosakkan kelancaran majlis pernikahan kami," katanya. Fahrin dan Elena telah diijabkabulkan di Pusat Konvesyen Sime Darby di sini kira-kira pukul 10.40 pagi Sabtu. Majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 300 tetamu terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, kenalan rapat Fahrin dan Elena serta wakil media.
Pasangan ini memilih untuk tidak mengikat tali pertunangan sebaliknya sekadar pertemuan mengikut adat dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri keluarga terdekat masing-masing pada akhir tahun lalu. Sementara itu, Fahrin berkata, dia tidak sangka jodohnya merupakan rakan kelas yang sama-sama menuntut di Matrikulasi Undang-Undang dan Fakulti Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam 17 tahun dahulu. "Itulah namanya jodoh. Selepas 17 tahun, kami dipertemukan pada bulan Ramadan tahun lalu dan kemudiannya kami saling bertanya khabar. "Saya memilih Elena selepas melihat dia menerima saya sebagai orang biasa dan bukannya kerana seorang pelakon. Dia juga seorang penyayang, mengambil berat, matang, bijak dan berdikari. Hatinya juga kental dan tidak mudah melatah," ujarnya. Elena merupakan Ketua Pramugari syarikat penerbangan Emirates dan kini menetap di Dubai, Emiriah Arab Bersatu sejak lapan tahun lalu. Kata Fahrin, meskipun mereka sering berjauhan, namun ia tidak pernah menghalang mereka untuk berkomunikasi menerusi laman sosial Skype. Menurut Elena, Fahrin sanggup menunggunya di laman Skype sehingga pukul tiga pagi hanya untuk memastikan dia selamat pulang ke rumah selepas bekerja. "Saya tidak mengambil tahu tentang isu-isu dunia selebriti dan apa yang saya lihat, Fahrin seorang yang saya prihatin dan mengambil berat ke atas diri saya. "Walaupun kami berlainan bidang, saya akan cuba memahami situasinya sebagai seorang pelakon dan bersedia dengan segala kontroversi atau gosip yang membabitkan Fahrin. "Saya juga sanggup berhenti kerja demi berada di sampingnya membina keluarga kami," tuturnya.

Suami Mahu Yana Samsudin Kunci Mulut Komen Isu Bertudung

Pelakon Yana Samsudin memilih berdiam diri daripada bercakap mengenai keputusannya berhijab baru-baru ini kerana menghormati kehendak suaminya. Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 31, berkata, suaminya, Fadzil Zahari sudah berpesan kepadanya supaya tidak memperbesarkan perubahannya itu kerana ia subjek yang sensitif. "Sebenarnya saya tidak mahu bercerita panjang mengenai keputusan untuk behijab kepada umum. "Suami sudah berpesan supaya perkara ini tidak perlu dibesarkan kerana ia subjek sensitif dan bagi saya perubahan yang berlaku merupakan satu benda semula jadi," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Yana berkata, perubahan imej dilakukan itu bukan untuk menunjukkan dirinya sempurna tetapi sebaliknya dia masih mencuba untuk memperbaiki diri ke arah lebih sempurna.
Jelas Yana, dia berasa gembira dengan perubahan yang dilakukan malah dia menerima pelbagai komen positif daripada peminatnya. "Kalau pakai tudng tidak semestinya ia menunjukkan sesorang itu sempurna tetapi sebagai manusia kita mesti cuba untuk memperbaiki diri supaya pergi ke arah yang lebih baik," katanya. Tambah Yana, dia telah lama menyimpan hasrat untuk berhijab dan mengambil keputusan untuk menutup aurat sepenuhnya pada 29 April lalu. Sementara itu, Yana berkata, dia akan lebih memilih watak sesuai sebelum menerima sesuatu tawaran bersesuaian dengan imejnya sekarang. "Sudah semestinya selepas berhijab saya akan memilih watak terutama dari segi penampilan dan perwatakan supaya selari dengan imej baharu ini. "Tetapi pada zaman sekarang saya percaya banyak pihak produksi bijak memilih para pelakon bersesuaian dengan imej pelakon bertudung untuk produk mereka," jelasnya.

Muhasabah Diri Punca Tasha Shilla Terima Hans Semula

Pelakon Tasha Shilla mendedahkan langkahnya membuang perasaan marah terhadap Hans Wong menjadi punca dia berkawan semula dengan bekas kekasihnya itu. Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abd. Razak, 28, berkata, selepas mengambil pendekatan untuk bermuhasabah diri, dia akhirnya lembut hati untuk bersahabat semula dengan Hans selepas beberapa bulan putus cinta. "Tidak semestinya bila sudah berpisah kita tidak boleh berkawan semula dengan bekas kekasih kerana ia merupakan perkara biasa untuk pasangan yang pernah bercinta. "Setelah bermuhasabah diri, saya akhirnya mengambil keputusan untuk tidak berdendam dengannya kerana di dunia ini tidak baik untuk bermusuh-musuhan sesama manusia," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis. Tasha berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungannya bersama Hans apabila pemuda itu memuat naik gambar mereka berdua selepas menikmati makan malam bersama dengan kapsyen Dinner time with my beautiful lady who always by my side (makan malam bersama wanita cantik yang sentiasa bersama saya).
Terdahulu, pasangan berkenaan yang menjalinkan percintaan sejak 2013 dilaporkan sudah berpisah yang dikatakan berpunca daripada campur tangan pelakon Kaka Azraff. Dalam perkembangan sama Tasha berkata, hubungannya dengan bekas kekasih itu adalah antara seorang sahabat dan tidak menolak untuk menjalinkan hubungan cinta semula sekiranya ada jodoh buat mereka berdua. "Buat masa sekarang ini saya dan dia bersahabat baik kerana masing-masing ingin memberi fokus terhadap kerjaya masing-masing dahulu kerana kami tidak mahu terikat dengan apa-apa hubungan. "Kerana dulu kami sudah mempunyai perancangan untuk berkahwin tetapi tidak jadi kini saya serahkan semuanya kepada Allah mengenai soal jodoh kerana itu merupakan perancangan terbaik-Nya ," jelas Tasha lagi. Dalam pada itu, Tasha meminta agar orang ramai agar mendoakan yang terbaik untuk dirinya dan Hans. Dalam perkembangan lain, Tasha bakal muncul dalam drama bertajuk Khilaf Seorang Isteri yang akan disiarkan menerusi slot Cerekarama pada 17 Mei depan. Sementara itu Hans yang dihubungi bagi mengulas fotonya bersama Tasha itu enggan mengulas sebaliknya menyerahkan kepada wanita berkenaan untuk memberi pandangan.

Jojie Tidak Kisah Bakal Suami 14 Tahun Lebih Muda

Kakak kepada penyanyi rock Ella iaitu Jojie Aminuddin, 50, menyifatkan jarak usia antaranya dengan bakal suami, Syahrizal Ismail, 36, bukan satu penghalang untuk mereka saling memahami. Jojie yang bakal berkahwin dengan pengurus acara itu pada Jun ini berkata, ia bukanlah satu masalah bagi mereka apatah lagi apabila kedua-dua belah pihak keluarga merestui perhubungan mereka. "Faktor usia bukan satu masalah kerana Syahrizal seorang yang matang. Malah ada masanya dia lebih matang daripada saya. "Sudah setahun kami berkenalan dan sikapnya yang bersederhana dan sering menjaga solat membuatkan saya terpikat dengannya. Saya memang mencari seorang yang dapat membimbing saya ke arah kebaikan," katanya.
Menurut Jojie, Syahrizal sudah pun menghantar rombongan merisik baru-baru ini namun masih lagi belum menetapkan tarikh pernikahan yang sesuai. Sementara itu, Syahrizal pula berkata, sikap Jojie yang tidak terlalu mengongkong serta pandai membawa diri membuatkan dia jatuh hati dengan wanita itu. "Sebagai seorang yang bekerja di bahagian korporat, saya sering berurusan dengan ramai orang dan saya melihat Jojie adalah calon isteri yang sesuai kerana dia memahami saya. "Tambah pula dia pandai masak tau. Tetapi saya tidak mahu dia kerap masak kerana mahu dia hidup selesa di samping saya," ujarnya.

Isteri Tidak Setuju Andy Flop Poppy Berpoligami

Isteri kepada vokalis kumpulan Flop Poppy, Andy iaitu Nurul Shafizan Othman, 42, tidak pernah bersetuju dengan perkahwinan kedua suaminya itu. Shafizan sebaliknya berkata, dia terkejut dengan pengakuan dibuat Andy menerusi akaun Instagram miliknya dan berharap rumah tangga mereka dapat kembali kepada asal. "Saya tidak setuju denga perkahwinan itu. Biar Allah yang tentukan. "Moga rumah tangga saya dapat kembali kepada asal. Mungkin ini dugaan saya dengan anak-anak. Selebihnya, saya enggan komen lanjut," katanya kepada mStar Online.
Pada Rabu lalu, Andy atau nama sebenarnya Megat Effendy Zakaria, 43, menerusi akaun Instagram mendedahkan sudah bernikah buat kali kedua dengan wanita yang dikenali sebagai Aliaah Abdullah. Bagaimanapun Andy tidak memberitahu tarikh pernikahan mereka. Pendedahan itu membuatkan ramai yang terkejut memandangkan Andy sering dilihat mempunyai keluarga bahagia di samping isteri dan tujuh orang anaknya iaitu Megat Daniel Azreen, 23, Megat Zarul Mukhriz, 21, Puteri Adlin Natasya, 18, Puteri Adlin Syafinie, 17, Puteri Adlin Syafinaz, 12, Megat Adam Zakaria, 4 dan Puteri Sumayyah Ramadhani, 10 bulan. Dalam pada itu, selain menerima ucapan tahniah, Andy turut tidak lari daripada dipandang buruk oleh peminat-peminatnya. Sementara itu, Andy yang dihubungi mStar Online bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. Andy dan Shafizan telah mendirikan rumah tangga pada 2 Disember 1991.

Ezad Lazim Lebih Insaf, Terkesan Akibat Dadah

Bekas vokalis kumpulan Exists, Ezad Lazim mengakui kesilapannya yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah banyak memberi pengajaran agar lebih menghargai keluarga. Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 36, berkata, kejadian yang berlaku itu memberi kesedaran agar berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara. "Apabila saya ditangkap, perkara utama yang difikirkan ialah isteri, kerana ketika itu dia sedang mengandung dan pada masa sama mengalami keguguran pula. "Ketika itu saya sudah mula rasa terdetik keinsafan di dalam diri dan menyesal kerana perbuatan diri. Saya rasa sudah tiba masanya untuk berubah dan tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. "Dari situ timbul satu kesedaran di dalam diri supaya berfikir dahulu kesan terhadap sesuatu perkara yang dilakukan iaitu anak dan isteri yang akan terkena tempias," katanya kepada mStar Online.
Ezad berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi yang diadakan di Menara Star, di sini. Tambahnya lagi, selepas kejadian itu dia kini lebih mengenali kehidupan yang sebenar dan sering mengutamakan keluarganya sebelum melakukan sebarang keputusan. "Dahulu, selagi tak kena tangkap dengan pihak polis, saya tidak terfikir pun tentang tempias yang akan terkena pada keluarga. Saya sayangkan keluarga, isteri dan anak dan mereka membuatkan saya betul-betul ingin berubah lebih-lebih lagi saya diberi peluang kedua yang tidak sepatutnya disia-siakan. "Saya berharap agar kali ini hati saya kuat untuk tidak lagi terjebak dengan najis dadah lagi," ujarnya. Sementara itu, Ezad berkata, biarpun kejadian itu telah mencalarkan namanya namun dia bersyukur masih mendapat sokongan daripada rakan-rakan dan peminat. Ezad turut menasihatkan kepada orang ramai yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah agar segera berhenti dan mendapatkan rawatan susulan sebelum mempunyai masalah pada masa hadapan. "Dadah ini sebenarnya tidak memberikan sebarang hasil kerana ia lebih banyak memberi kesan negatif kepada diri serta dipandang serong oleh masyarakat. "Terus terang saya cakapkan benda ini juga akan membuatkan hidup kita tidak terurus dan ia juga merosakkan masa depan serta imej,"katanya.

Penyanyi 'Sakitnya Tuh Disini' Ditinggalkan Suami Selepas Sebulan Kahwin-Cita Citata

Penyanyi lagu Sakitnya Tuh Disini iaitu Cita Citata rupa-rupanya seorang janda muda yang hanya melalui bahagia perkahwinan selama sebulan akibat ditinggalkan suami. Cita atau nama sebenarnya Cita Rahayu, 21, berkata, dia sebelum ini tidak bercakap secara terbuka mengenai statusnya itu kerana ia tidak pernah ditanya oleh pihak media di negaranya, Indonesia. "Apabila ditanya adakah saya sudah mempunyai teman lelaki sudah tentu saya jawab tidak. "Soalan sama ada saya solo atau pun sudah berkahwin tidak pernah ditanya namun sekiranya ada pertanyaan, pasti saya akan jawab dengan jujur, saya seorang janda," katanya kepada mStar Online. Penyanyi itu ditemui pada majlis pelancaran single Sakitnya Tuh Disini nyanyiannya di Hotel Royale Chulan, di sini Selasa.
Dalam pada itu, Cita memberitahu perkahwinannya dengan bekas suami itu terbongkar selepas lelaki berkenaan muncul memberi kenyataan kepada media meskipun sudah menghilangkan diri hampir tiga tahun. "Saya berkahwin pada usia 18 tahun dan rumah tangga kami bertahan selama sebulan sebelum dia menghilangkan diri. "Dia langsung tidak pernah menghubungi saya sejak itu untuk menyelesaikan kes perceraian kami di mahkamah syariah sehinggalah dia tiba-tiba muncul membuat kenyataan kepada pihak media tentang perkahwinan kami," jelasnya. Pun begitu dia menganggap kemunculan semula bekas suaminya itu sebagai rahmat kerana perceraian mereka akhirnya dapat disahkan oleh mahkamah. "Saya tidak pernah menyesal berkahwin muda dan diceraikan kerana kejadian itu meninggalkan banyak hikmah kepada saya terutamanya tentang karier saya. "Jika bukan kerana diceraikan saya tidak dapat kekuatan untuk berhijrah ke Jakarta dan berada pada tahap sekarang," ujarnya. Sementara itu, Cita berkata, dia pada awalnya tidak pernah berhasrat untuk bergelar selebriti kerana menyanyi dilakukan semata-mata demi mencari wang untuk menyara hidup. Malah dia juga tidak menyangka lagu Sakitnya Tuh Disini bukan sahaja mendapat sambutan di negaranya tetapi juga serantau termasuk Malaysia. "Saya pernah menyanyikan pelbagai lagu termasuk berentak jaz namun akhirnya memilih dangdut untuk diketengahkan. "Alhamdulillah ia berhasil dan mendapat sambutan cukup luar biasa biarpun tidak sampai setahun muncul sebagai penganyi profesional," kata Cita.

Sharnaaz Ahmad Mulai Sayang Jambangnya

Pelakon Sharnaaz Ahmad mulai sayangkan jambang disimpannya walaupun ada pihak yang mempersendakan langkah itu kononnya cuba meniru personaliti fesyen, Wak Doyok. Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 30, berkata, dia hanya akan mengambil langkah mencukur jambang tersebut sekiranya tidak sesuai untuk watak yang bakal dibawa untuk projek seterusnya. “Saya simpan jambang bukan untuk suka-suka tetapi atas dasar kerja sebagai seorang pelakon untuk menjayakan telefilem Hidupku Solatku Matiku. "Insya-Allah untuk telefilem seterusnya, tengoklah sesuai atau tidak penampilan saya macam ni… Kalau tak sesuai, saya potong tapi sayanglah pulak,” katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, bercerita mengenai sesetengah pihak yang cuba samakan jambangnya dengan Wak Doyok, Shanaaz melahirkan rasa kecewa kerana ramai lagi ikon jambang yang boleh dijadikan contoh. Dia juga sudah malas nak ambil peduli kerana jambang yang disimpan itu hanya untuk watak dalam sebuah lakonan dan ia tiada kaitan dengan mana-mana individu. “Saya pun tak faham kenapa orang nak samakan saya dengan Wak Doyok sedangkan ramai lagi orang lain yang berjambang. “Tak kisahlah nak bandingkan kami berdua ke macam mana, mulut manusia tak boleh tutup tapi saya simpan jambang untuk lakonan,” katanya. Mengenai telefilem Hidupku Solatku Matiku arahan Raja Ahmad Alauddin, Sharnaaz memberitahu ia turut dibintangi Fasha Sandha dan Puteri Balqis. Ia bakal ditayangkan di Astro Oasis tidak lama lagi.

Wanna Ali Dapat Peluang Kerana Iras Diana Danielle

Penyanyi Wanna Ali ditawarkan untuk menjadi jurucakap kepada sebuah produk iklan gara-gara wajahnya dikatakan mempunyai iras dengan pelakon Diana Danielle. Bagaimanapun, Wanna atau nama sebenarnya Norsyazwana Ali, 18, berkata, dia masih lagi mempertimbangkan tawaran tersebut. "Ramai yang beritahu bahawa wajah saya seperti pelakon itu, tetapi saya sendiri tidak pernah bertemu dengannya. "Malah saya juga dapat tawaran untuk jadi duta sebuah produk yang sebelum ini menggunakan khidmat Diana kerana wajah kami dikatakan sama, tetapi saya masih mempertimbangkan tawaran tersebut," ujarnya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Wanna memberitahu pengorbanannya meninggalkan sementara dunia hiburan bagi menumpukan perhatian terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini berbaloi. Dia yang mendapat keputusan cemerlang iaitu 7A 2B dalam peperiksaan tersebut berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang pengurusan perniagaan di sebuah universiti swasta tidak lama lagi. "Alhamdulillah, saya dapat keputusan yang cemerlang pada SPM lalu. Pengorbanan saya menghilang selama setahun di saat nama sedang meningkat naik dilihat sangat berbaloi, saya tidak rasa kesal pun bila orang sudah lupakan saya. "Bagi saya bidang nyanyian ini hanya sebagai hobi yang serius sahaja dan pelajaran adalah yang paling utama," ujarnya. Wanna berkata, dia menggunakan masa yang ada sebelum menyambung pelajaran untuk mempromosi single terbaharunya iaitu Tak Mengapa berkolaborasi dengan penyanyi rap, Juzzthin.

Almy Nadia Bimbang Bayinya Dikutuk Pengikut Laman Sosial

Pelakon Almy Nadia memberitahu dia takut untuk mendedahkan gambar anaknya, Nur Afrina Arianna sejak bayi itu dilahirkan kerana risau dengan kutukan yang bakal diterima. Almy atau nama sebenar Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, berkata, dia kini bersedia untuk berkongsi gambar anaknya kepada umum selepas dua bulan anaknya dilahirkan. "Pada mulanya bukan saya tidak mahu berkongsi wajah anak kepada umum tetapi saya mengambil pendekatan supaya lebih berhati-hati kerana risau kutukan yang bakal diterima oleh orang yang digelar keyboard warrior. "Kami memilih hari ini (Ahad) sempena hari ulang tahun pertama perkahwinan suami untuk tampil mendedahkan wajah anak kepada umum menerusi media sosial," katanya kepada mStar Online. Almy berkata demikian ketika ditemui pada majlis cukur jambul dan akikah anaknya, Nur Afrina Arianna , di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, Ahad. Turut hadir pada majlis itu Tengku Besar Putra Selangor, Tengku Datuk Seri Ismail Shah Sultan Hishamudin Alam Shah, jurulatih bola sepak Pahang, Zainal Abidin Hassan, pelakon Sharifah Shahira dan suami, Ijoy. Dalam pada itu, Almy berkata, dia akan bergilir-gilir menjaga anaknya dengan suami kerana risau mengambil pembantu rumah. "Saya dengan suami akan bergilir-gilir menjaga anak jika salah seorang sibuk kerana itu merupakan cara terbaik untuk memastikan anak saya selamat. "Sebenarnya saya tidak yakin untuk mengupah pembantu rumah menjaga anak kerana maklumlah kini kita dengan bermacam-macam cerita mengenai pembantu rumah," jelasnya lagi. Sementara itu, suami kepada Almy iaitu Fizz Fairuz memberitahu, sejak mempunyai anak dia akan sentiasa balik ke rumah walaupun menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur dan tidak lagi menghabiskan masa dengan melepak bersama rakan-rakan selepas selesai penggambaran. "Kebiasaannya selepas tamat penggambaran saya suka melepak di kedai mamak dengan kawan-kawan sebelum pulang ke rumah. "Namun sekarang hati sentiasa teringatkan anak yang berada di rumah dan akan terus pulang untuk bersamanya selepas selesai kerja walaupun saya menjalani penggambaran di luar Kuala Lumpur," katanya. Terdahulu, Almy, 29, melahirkan bayinya di Hospital Columbia Setapak dekat sini pada 16 Februari lalu.

Syarul Ridzwan Minta Tidak Dikaitkan Dengan Mia Ahmad

Pelakon Syarul Ridzwan menegaskan tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan aktres Mia Ahmad seperti yang dikatakan dalam sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu. Syarul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 26, berkata, hubungan yang dijalinkan antaranya dengan Mia tidak lebih daripada sahabat dan rakan sekerja di lokasi penggambaran. "Itu semua gosip dan saya tidak memberi sebarang kenyataan pun tentang perkara itu. Saya dan Mia hanyalah rakan kerja yang menggalas tanggungjawab dan tugas sebagai pelakon. "Itu sahaja yang boleh saya katakan. Kami sahabat, sama seperti saya bersahabat dengan orang lain," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin. Menerusi ruangan pojok di akhbar mingguan Ahad lalu, Syarul dan Mia dikatakan bercinta apabila mereka sering memuat naik foto di laman Instagram masing-masing. Malah kedua-dua mereka turut dilihat bermesra-mesraan ketika mengikuti sebuah rombongan ke Melaka baru-baru ini. Syarul dan Mia mula mendapat perhatian ramai selepas lakonan mereka menerusi drama Hati Perempuan di slot Akasia TV3 mendapat sambutan hangat. Sementara itu, Syarul berkata, dia berharap isu tersebut tidak timbul lagi memandangkan dia kurang gemar apabila berbicara mengenai hal peribadi kepada umum. "Biarlah nama saya dikenali kerana kerja bukan cerita-cerita peribadi. "Apa-apapun saya bersukur selepas tiga tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, baru sekarang orang kenal saya. Alhamdulillah," ujarnya. Sementara itu, Syarul mengakui dia seorang pelakon yang suka memilih skrip sebelum menerima sesebuah tawaran lakonan. Dia berbuat demikian bagi menjaga kualiti lakonan yang dibawakannya. "Alhamdulillah, tawaran lakonan tidak putus dan ia memerlukan saya memilih skrip dan watak yang terbaik bagi menjaga kualiti lakonan saya," tuturnya.

Individu Kutuk Majlis Akikah Anak Fizz Fairuz & Almy Nadia Tidak Bertamadun

Pelakon Fizz Fairuz menganggap pihak mengutuk majlis cukur jambul dan akikah anaknya, Nur Afriana Ariana yang dikatakan mewah dan membazir adalah individu tidak bertamadun. Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainil Abidin, 36, berkata, sejak dari awal dia sedar perkara itu akan ditimbulkan namun apa yang dilakukannya itu bukan untuk memuaskan hati sesiapa sebaliknya untuk kepentingan dia sekeluarga. "Apa yang saya lakukan itu adalah mengikut kemampuan dan rezeki saya. Tidak lebih… mahupun kurang. "Hanya orang yang tidak bertamadun sahaja yang membuat pertikaian seperti itu tetapi biarlah mereka sekadar berkata-kata tanpa tahu situasi sebenar," katanya kepada mStar Online.
Fizz mengulas mengenai kritikan dan teguran di laman sosial berhubung majlis pada Ahad lalu yang dilihat mewah, membazir dan tidak mengikut seperti yang digariskan dalam Islam iaitu besederhana. Dalam pada itu, Fizz berkata, dia dan isterinya, Almy Nadia langsung tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk apabila mengadakan majlis berkenaan. Sebaliknya majlis itu diberi perhatian kerana mereka adalah selebriti selain mendapat liputan media. "Jika diikutkan majlis itu biasa sahaja tetapi mungkin nampak mewah kerana hiasannya dan liputan diberikan pihak media. "Saya tahu sejauh mana kemampuan dan apa yang kami lakukan itu adalah semata-mata untuk meraikan anak kami dan melakukan akikah untuknya," jelas Fizz. Sementara itu, Fizz berkata, dia tidak berhasrat untuk membalas segala komen negatif diterimanya di laman sosial kerana menganggap ia membuang masa. "Kalau balas pun saya tidak dapat apa-apa. Mereka berhak bersuara tetapi janganlah melampau," katanya.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails