Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Aishah Sinclair Tidak Mahu Anak Hidup Terabai

Pengacara dan penyampai radio, Aishah Sinclair bersikap memilih terhadap tawaran yang diberikan kepadanya kerana bimbang akan menyebabkan masa bersama dua anaknya terabai. Aishah atau nama sebenarnya Aishah Jennifer Mohamed Sinclair, 35, berkata, dia tidak mahu terlepas untuk melihat anak-anaknya membesar dan sanggup berkorban demi memastikan mereka mendapat perhatian. "Harus saya akui bukan mudah untuk melakukan dua perkara dalam satu masa tetapi saya perlu bijak membahagikan masa terutamanya apabila bersama anak-anak. "Sebab itu sejak melahirkan anak pertama saya agak selektif dengan tawaran diberikan kerana tidak mahu terlalu banyak menghabiskan masa di luar berbanding di rumah," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Aishah berkata, tugas sebagai penyampai radio di Mix FM juga sudah cukup membuatkan jadualnya padat memandangkan dia bersiaran pada pukul 6 hingga 10 pagi di slot Mix Breakfast.
Kata Aishah, setiap hari dia akan bangun seawal pukul empat pagi untuk ke konti dan hanya akan pulang ke rumah selepas waktu makan tengah hari. "Sejak bergelar penyampai radio saya akan bangun pada pukul empat pagi kerana perlu sampai ke konti radio sekurang-kurangnya pukul 5 pagi. "Selepas selesai tugas baharulah saya akan menguruskan anak-anak dan suami sebelum masuk tidur selewat-lewatnya pukul 8.30 malam," ujarnya. Tambah Aishah, dia bersyukur kerana mempunyai suami yang begitu memahaminya dan banyak membantu menguruskan anak-anak mereka sepanjang ketiadaannya. "Alhamdulillah suami dan keluarga banyak membantu. Ia bukanlah mudah tetapi saya sedaya upaya cuba mengimbangkan keluarga dan karier sebaik mungkin.
"Sebab itu juga saya memilih tawaran kerana selepas bersiaran di konti saya ingin terus pulang untuk bersama anak-anak," katanya. Sementara itu, bercakap mengenai kerjaya baharunya sebagai penyampai radio, Aishah berkata, pada awalnya dia tidak menyangka mempunyai bakat dalam bidang tersebut. "Saya ada berhasrat untuk menjadi penyampai radio tetapi tidak pernah sangka peluang itu datang secepat ini. "Biarpun pada awalnya merasakan tidak mempunyai bakat tetapi lama kelamaan saya mula selesa dan ia adalah bidang yang menyeronokkan," jelasnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails