Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Aweera Sangkal Putus Rezeki Selepas Kontroversi Mojo

Penyanyi Aweera menyangkal dakwaan kononnya dia kini tidak mempunyai sebarang tawaran persembahan selepas dilanda kontroversi bersama kumpulan Mojo akhir tahun lalu. Aweera atau nama sebenar Nasharul Aweera Noriyissham, 24, berkata, perjalanan karier nyanyian solonya semakin rancak malah baharu sahaja melancarkan single berjudul Terhakis. "Alhamdulillah setakat ini tawaran masih ada biarpun pelbagai tohmahan negatif yang saya terima selepas 'drama' bersama Mojo sebelum ini. "Dakwaan kononnya saya langsung tidak mendapat tawaran itu adalah sama sekali tidak benar," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu. Bercakap lanjut mengenai perkara itu, Aweera berkata, sebagai seorang penyanyi dia tidak boleh berpeluk tubuh dan menanti tawaran datang sebaliknya perlu berusaha untuk memajukan diri.
Bagaimanapun kata Aweera, dia tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya ada pihak enggan memanggilnya mengadakan persembahan hanya kerana kontroversi sebelum ini. "Pada saya perkara itu terpulang kepada diri sendiri kerana jika kita berusaha Insya-Allah, Tuhan akan membuka rezeki kita. "Bagaimanapun pada pihak yang tidak mahu memanggil saya mengadakan persembahan itu saya tidak boleh berkata apa-apa," ujarnya. Sementara itu, Aweera berkata, dia enggan mengenang tentang kontroversi melandanya sebelum ini kerana mahu memulakan kehidupan baru menerusi karier solonya. Jelas Aweera, dia juga enggan mempedulikan kata-kata negatif dilemparkan kepadanya kerana sedar tidak dapat memuaskan hati semua pihak. "Saya tidak terkesan dengan apa yang orang hendak perkatakan tentang saya kerana paling penting saya tahu kedudukan sebenar," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Aweera berkata, dia kini giat mempromosikan lagu Terhakis dengan membuat kemunculan dalam program televisyen dan temubual radio. Lagu itu ditulis dan digubah sendiri oleh Aweera dengan bantuan rakannya yang juga komposer, Amir Syawal. "Sebelum kedatangan bulan Ramadan saya kini sedang bersungguh-sungguh untuk mempromosikan Terhakis dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan baik daripada peminat," katanya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails