Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ezad Lazim Lebih Insaf, Terkesan Akibat Dadah

Bekas vokalis kumpulan Exists, Ezad Lazim mengakui kesilapannya yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah banyak memberi pengajaran agar lebih menghargai keluarga. Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 36, berkata, kejadian yang berlaku itu memberi kesedaran agar berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara. "Apabila saya ditangkap, perkara utama yang difikirkan ialah isteri, kerana ketika itu dia sedang mengandung dan pada masa sama mengalami keguguran pula. "Ketika itu saya sudah mula rasa terdetik keinsafan di dalam diri dan menyesal kerana perbuatan diri. Saya rasa sudah tiba masanya untuk berubah dan tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. "Dari situ timbul satu kesedaran di dalam diri supaya berfikir dahulu kesan terhadap sesuatu perkara yang dilakukan iaitu anak dan isteri yang akan terkena tempias," katanya kepada mStar Online.
Ezad berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi yang diadakan di Menara Star, di sini. Tambahnya lagi, selepas kejadian itu dia kini lebih mengenali kehidupan yang sebenar dan sering mengutamakan keluarganya sebelum melakukan sebarang keputusan. "Dahulu, selagi tak kena tangkap dengan pihak polis, saya tidak terfikir pun tentang tempias yang akan terkena pada keluarga. Saya sayangkan keluarga, isteri dan anak dan mereka membuatkan saya betul-betul ingin berubah lebih-lebih lagi saya diberi peluang kedua yang tidak sepatutnya disia-siakan. "Saya berharap agar kali ini hati saya kuat untuk tidak lagi terjebak dengan najis dadah lagi," ujarnya. Sementara itu, Ezad berkata, biarpun kejadian itu telah mencalarkan namanya namun dia bersyukur masih mendapat sokongan daripada rakan-rakan dan peminat. Ezad turut menasihatkan kepada orang ramai yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah agar segera berhenti dan mendapatkan rawatan susulan sebelum mempunyai masalah pada masa hadapan. "Dadah ini sebenarnya tidak memberikan sebarang hasil kerana ia lebih banyak memberi kesan negatif kepada diri serta dipandang serong oleh masyarakat. "Terus terang saya cakapkan benda ini juga akan membuatkan hidup kita tidak terurus dan ia juga merosakkan masa depan serta imej,"katanya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails