Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Umie Aida Mahu Erma Fatima & Bade Pertahankan Rumah Tangga

Pelakon Datin Seri Umie Aida berharap kakaknya, Erma Fatima dapat mempertahankan rumah tangganya bersama pengarah, Bade Azmi dan menyelesaikan kemelut di antara mereka dengan baik. Umie atau nama sebenarnya Umie Aida Rahmad, 42, berkata, sebagai adik dia sentiasa memberikan kata-kata positif kepada Erma setiap kali dia meluahkan perasaan berhubung masalah yang sedang dihadapinya. "Erma dan Bade sudah berkahwin selama 25 tahun dan saya sentiasa beritahu kakak saya supaya pertahankan rumah tangganya. "Dia ada memberitahu masalahnya kepada saya tetapi tidak pernah sekali pun saya memberikan kata-kata negatif sebaliknya yakin ada jalan untuk menyelamatkan perkahwinan mereka," katanya kepada mStar Online.
Umie ditemui pada majlis pelancaran koleksi tudung J Hijab by Umie Aida di butik Jovian, Bangsar di sini, Isnin. Terdahulu, Erma, 47, memfailkan permohonan bercerai secara baik terhadap suaminya bulan lalu di Mahkamah Rendah Gombak Timur dekat sini dan kes berkenaan telah pun disebut buat kali pertama pada 11 Jun lalu. Kes berkenaan bagaimanapun ditangguhkan pada 10 Ogos depan untuk sebutan semula selepas Bade, 51, tidak menghadirkan diri pada prosidin berkenaan. Bade dalam kenyataannya di sebuah akhbar mingguan Ahad lalu berkata dia berkahwin dengan Erma dan seorang lagi wanita iaitu Aida Abdul bukan untuk bercerai. Dalam pada itu, Umie berkata, dia yakin Erma membuat keputusan tersebut selepas berfikir semasak-masaknya dan ia bukan tindakan mudah. Ini kerana katanya, hanya Erma yang mengetahui kesakitan yang ditanggung dan sebagai adik akan menyokong apa juga keputusan dibuat itu. "Mengenali Erma sebagai kakak dia bukan seorang yang mudah buat keputusan dan akan mengambil masa berfikir sebelum menyatakan sesuatu. "Saya yakin tindakannya memfailkan permohonan cerai itu bukan sesuatu yang mudah buatnya dan pasti dia ada sebab tersendiri," katanya. Tambah Umie, dia berharap semua pihak dapat memberikan ruang kepada Erma dan Bade dalam mengharungi masa sukar tersebut dan mendoakan yang terbaik buat mereka. "Saya sendiri ada cuba membuat panggilan dan mesej tetapi tidak dijawab tetapi saya faham Erma perlukan ruang untuk dirinya," ujar Umie.
Dalam pada itu bercakap mengenai koleksi tudung J Hijab by Umie Aida, pelakon itu berkata, pengalaman cetek dalam bidang fesyen telah membuatkan dia tertarik untuk berkolaborasi dengan Jovian Mandagie menerusi enam koleksi buat permulaan. Jelas Umie, dia dan Jovian sama-sama memberikan buah idea untuk koleksi berkenaan termasuk pemilihan fabrik, rekaan dan warna kerana ingin memastikan pembeli berpuas hati dan selesa ketika mengayakan tudung rekaan mereka. "Saya hendak buat sendiri tidak ada pengalaman dan saya fikir kolaborasi ini adalah paling baik. Dari situ juga saya dapat belajar tentang pelbagai perkara. "Saya kagum dengan Jovian kerana dalam masa kurang sebulan selepas perbincangan menerusi voice note di WhatsaApp akhirnya impian itu terlaksana dengan jayanya," ujar Umie. Tambahnya lagi, selain ia selesa dan mudah digayakan, J Hijab by Umie Aida juga direka dengan kepanjangan agar ia menutupi bahagian dada sebagaimana di syariatkan dalam Islam. "Saya memang minta Jovian untuk memanjangkan tudung berkenaan agar ia dapat menutupi dada tetapi pada masa sama masih moden dan bergaya," jelasnya. Malah kata Umie, projek tersebut bukan sahaja khusus untuk musim perayaan malah dia dan Jovian sudah merancang untuk mengeluarkan koleksi seterusnya dalam masa beberapa bulan lagi. Enam koleksi J Hijab by Umie Aida dijual pada harga di antara RM100 hingga RM450 eksklusif di semua butik Jovian Store.

Kesan Ubat Pembedahan Punca Berat Ifa Raziah Naik

Penyanyi Ifa Raziah menjelaskan tubuh badannya yang dilihat semakin berisi disebabkan pengambilan ubat selepas menjalani pembedahan pada tahun lalu. Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, 38, berkata, dia tidak hirau dengan masalah itu kerana ia hanyalah kesan sampingan ubat yang diambil secara berterusan dan bersifat sementara. "Saya perlu bersabar selepas melakukan pembedahan kerana berat badan akan naik akibat pengambilan ubat diberikan untuk memulihkan penyakit yang dialami. "Kesan ubat itu menyebabkan badan saya semakin berisi dan ditambahkan lagi dengan faktor umur sekarang ini memang sukar untuk menurunkan berat badan," katanya kepada mStar Online. Ifa ditemui pada pelancaran menu bufet Ramadan 2015 di Restoran Kelantan Delights Subang Jaya, di sini, Khamis. Turut sama penyanyi Fazli Zainal. Dalam pada itu, Ifa berkata, selepas membuat rawatan susulan penyakit paru-parunya pada bulan lepas, dia perlu melakukan pembedahan untuk kali kedua atas nasihat doktor.
Dia juga turut mengambil keputusan untuk menangguhkan dahulu pembedahan seterusnya kerana masih merasai sakit dan trauma dengan pembedahan pertama. "Doktor memberitahu saya harus melakukan pembedahan kedua kerana ada beberapa perkara yang perlu diubati selain untuk mengelak berlakunya kesan sampingan lain. "Buat masa sekarang saya mengambil keputusan menangguh dahulu untuk melakukan pembedahan kedua kerana rasa sakit yang dulu masih lagi terasa dan trauma," katanya. Selain itu, bercerita mengenai majlis berbuka puasanya bersama Fazley, mereka akan menghiburkan tetamu di Restoran Kelantan Delights Subang Jaya bermula 19 Jun ini. Selain menjamu selera, pengunjung bertuah bakal memenangi RM888 apabila menyertai peraduan mencari kapsyen untuk gambar dan selfie paling menarik dan sesuai dengan imej Kelantan Delights. Bayaran berbuka puasa di restoran ini ialah RM79.90++ pada hari biasa dan RM 89.90++ pada hujung minggu . Untuk tempahan berbuka puasa bersama selebriti di restoran berkenaan boleh hubungi talian 03-5611784.

"Saya Masih Belum Sempurna" - Emma Maembong

Pelakon Emma Maembong tidak berkecil hati dengan kritikan peminat di Instagram apabila dilihat tampil dengan imej tidak bersesuaian sebagai wanita bertudung. Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 23, berkata, dia mengambil teguran dan kritikan membina daripada peminatnya sebagai langkah memperbaiki diri dalam menjadi muslimah lebih baik pada masa hadapan. "Saya bukan manusia sempurna dan akan tetap melakukan kesalahan tetapi teguran dan kritikan membina saya terima dengan hati terbuka kerana saya tahu mereka ikhlas. "Cuma kadang-kadang membuatkan saya terkilan apabila ada segelintir pengikut Instagram menggunakan kata-kata kurang enak tetapi ia tidak pernah menggangu saya," katanya kepada mStar Online. Emma ditemui pada majlis pelancaran dua drama terbaharu iaitu Puteri Gunung Ledang dan Jodoh Sebelah Pintu yang diadakan di Menara Kuala Lumpur di sini, Rabu lalu. Dua drama berkenaan bakal disiarkan menerusi HyppTV menerusi saluran HyppSensasi (116).
Aktres itu memegang peranan utama dalam drama bersiri Jodoh Sebelah Pintu arahan Michael Ang bersama aktor Kamal Adli yang akan disiarkan pada 29 Julai depan. Baru-baru ini, Emma dikritik peminat kerana berpakaian ketat dan ada yang mengatakan imej bertudungnya tidak sesuai dikenakan bersama seluar yang ketat sehingga memperlihatkan bentuk kakinya. Dalam pada itu, Emma berkata, biarpun dia sudah mengenakan tudung tetapi masyarakat tidak boleh membuat kesimpulan bahawa dia kini sudah sempurna dari semua sudut. Sebaliknya akui Emma, dia masih dalam proses memperbaiki diri dan tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan termasuk teguran diterimanya baru-baru ini. "Mengenakan hijab adalah salah satu proses dan masih banyak perkara yang perlu saya dalami tentang agama untuk menjadi muslimah lebih baik pada masa hadapan. "Pada pemikiran peminat apabila saya bertudung saya sudah lengkap tetapi mereka lupa saya juga manusia biasa," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Emma berkata, sepanjang bulan Ramadan nanti dia akan sibuk di lokasi penggambaran drama Jodoh Sebelah Pintu sebelum mengambil cuti selama seminggu untuk menyambut Aidil Fitri.

Hati Maria Farida Belum Terbuka Soal Calon Suami

Pelakon Maria Farida masih belum terbuka hati untuk menerima mana-mana lelaki dalam hidupnya kerana terlalu memilih dalam menjalinkan hubungan cinta. Maria, 45, berkata, biarpun ramai yang cuba memikat hatinya tetapi pengalaman lalu memberi pengajaran agar dia lebih berhati-hati. “Saya belum bersedia untuk mempunyai suami kerana masih tiada teman yang istimewa biarpun ramai yang cuba memikat hati saya. “Mungkin saya terlalu cerewet disebabkan pengalman lepas dan berasa serik, takut serta susah nak percayakan orang,” katanya kepada mStar Online.
Selain itu, Maria berkata anak lelakinya ada menyatakan hasrat untuk menerima ayah tetapi dia perlukan masa bagi memilih lelaki yang sesuai. Tambah Maria, perkahwin bukan sesuatu perkara yang mudah dan dia tidak boleh memilih lelaki sebarangan untuk dijadikan suami. “Anak saya ada juga bertanya mengenai perkara ini memandangkan dia anak tunggal tetapi takkan saya nak kahwin dengan orang yang baru dikenali dan tidak sesuai. “Saya memang nak berikan yang terbaik untuk anak saya tetapi masih belum jumpa lelaki yang mampu menjadi ayah yang baik,” katanya. Sementara itu, Maria menggangap anaknya, Mizan Ashley yang baru sahaja menyambut hari lahir yang ke 18 adalah teman terdekatnya. Maria berkata anaknya dianggap sebagai kawan rapat kerana sering menghabiskan masa untuk melepak bersama. Dalam perkembangan lain, Maria akan tampil dalam drama bersiri Fajar Di Bukhara yang akan ditayangkan sempena bulan Ramadan di Tvi dan TV2. Maria juga turut berlakon di dalam tiga filem yang masih belum ditayangkan iaitu Showdown The Movie, Anak Mami Nasi Kandar dan Kuntilanak (filem Indonesia).

Dua Isteri Ashraf Muslim Kecil Hati Dikritik

Pelakon Ashraf Muslim, 34, memberitahu masyarakat masih lagi tidak berhenti mengkritik tindakannya berpoligami sehingga perkara itu menggores hati kedua-dua isterinya. Ashraf berkata, dua isterinya iaitu Noor Dayana Lokman, 28, dan Wan Sakinah Ahmad Saburi, 31, amat berkecil hati apabila pemilik media sosial iaitu netizen sering membuat perbandingan mengenai mereka berdua. "Saya anggap ini dugaan untuk saya dan isteri-isteri. Tetapi kebanyakan kritikan telah mengguriskan hati mereka. "Walaupun mereka faham suami mereka selebriti dan sudah bersedia menghadapi cabaran dan dugaan, tetapi disebabkan hati perempuan, macam mana pun mereka tetap akan sedih," katanya kepada mStar Online. Tambah pelakon dan juga penerbit drama ini, sebagai seorang suami dia akan memujuk isteri-isterinya itu supaya tidak terlalu sensitif dengan hal berkenaan. Malah Ashraf juga meminta mereka untuk tidak membaca komen-komen negatif tersebut sekiranya tidak mahu berasa sakit hati. "Kita manusia, kadang-kadang ada rasa ingin tahu. Tetapi saya sudah pesan pada mereka jangan baca. Sebab komen-komen itu buatkan mereka sedih. "Cuma sekiranya kutukan itu terlalu melampau, saya akan membalas balik komen berkenaan dengan cara yang berhemah. Itu sahaja yang mampu saya lakukan. Apa-apapun saya anggap perkara tersebut adalah dugaan hidup berpoligami," ujarnya.
Ashraf dan Dayana mendirikan rumah tangga pada 30 Ogos 2011 di Mekah dan belum dikurniakan cahaya mata. Bagaimanapun pelakon itu pada 25 Julai 2013 membuat kejutan ramai apabila mengumumkan telah berkahwin buat kali kedua dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai 2013 di Pattalung, Selatan Thailand. Hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang anak iaitu Sarah Ashraf yang berusia setahun dua bulan. Dalam pada itu, Sakinah kini sedang mengandung anak kedua. Sementara itu dalam perkembangan lain, Ashraf berkata dia kini sibuk dengan kerja-kerja belakang tabir menerusi syarikat produksi miliknya iaitu Al Hidayah Production Sdn Bhd. Terbaharu produksinya baharu saja selesai penggambaran telefilem Hari Raya Pelangi Kita bagi siaran TV Alhijrah. Dalam pada itu, bagi yang rindu melihat aksi lakonannya, Ashraf telah membintangi drama Imam Muda Dari Cairo yang akan disiarkan di RTM tidak lama lagi.

Rahim Dikejarkan Ke Hospital Selepas Konsert Bersama Sepahtu

Pelawak Rahim (Sepahtu) memberitahu keadaan kesihatannya tidak membimbangkan meskipun terpaksa dikejarkan ke Hospital Jengka, Pahang selepas mengalami sesak nafas sejurus mengadakan persembahan Konsert Jelajah Sepahtu di Kompleks Sukan Jengka pada Sabtu lalu. Rahim atau nama sebenarnya Rahim Mat Ali, 45, berkata, dia mengalami sesak nafas akibat daripada serangan gastrik dan rakan-rakannya telah membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. "Sebenarnya ia tidak begitu serius cuma sewaktu selesai mengadakan persembahan saya mengalami masalah sukar untuk bernafas akibat daripada gastrik. "Selepas melihat keadaan saya begitu, mereka segera menghantar saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad. Rahim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gambarnya yang tersebar menerusi media sosial dalam keadaan terbaring di wad kecemasan sebuah hospital.
Tambah Rahim, selepas melakukan pemeriksaan, doktor menjelaskan punca masalah itu berpunca daripada pemakanan tidak menentu sehingga menyebabkan gastrik dan sesak nafas. "Doktor turut melakukan pemeriksaan jantung dan mengambil darah, Alhamdulillah tiada apa yang serius cuma ia mungkin disebabkan oleh penat dan makan yang tidak menentu. "Ia juga berlaku disebabkan perasaan terlebih gemuruh untuk mengadakan persembahan kerana ini adalah konsert jadi ia sedikit sebanyak memberi tekanan kepada diri saya," katanya. Dalam pada itu, Rahim berkata, masalah yang berlaku itu tiada kaitan dengan masalah jantung seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak. Malah katanya, kejadian serupa pernah menimpa dirinya ketika sedang menjalani penggambaran sebelum ini.
"Ini merupakan kali kedua kejadian sama berlaku tetapi ia tidak seteruk sehingga perlu mendapatkan rawatan di hospital. "Doktor juga ada menasihatkan saya supaya makan mengikut masa serta tidak begitu tertekan selain perlu mendapatkan rehat yang cukup supaya kejadian berkenaan tidak berlaku lagi," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Rahim berkata, dia kini sedang sibuk menjalani pengambaran filem Raja Kapcai bersama barisan pelakon Fad (Bocey), Shuk (Balas) dan Serina Redzuawan.

Syawal Belajar Bahasa Isyarat Demi Fiqa

Juara program Pelamin Fantasia musim pertama iaitu Syawal memberitahu mengambil masa beberapa bulan bagi mempelajari bahasa isyarat daripada isterinya, Fiqa yang juga seorang gadis istimewa dengan masalah pendengaran bagi memudahkan mereka berkomunikasi. Syawal atau nama sebenarnya Syawaluddin Ghazali, 26, berkata, biarpun pada awalnya agak sukar tetapi dia tidak mengambil perkara itu sebagai halangan dalam perhubungan mereka malah mengagumi kesabaran wanita berkenaan dalam mengajarnya. "Awal perkenalan, kami banyak menggunakan telefon untuk berkomunikasi menerusi mesej kerana saya belum mahir dalam menggunakan bahasa isyarat. "Dia yang mengajar saya pergerakan dalam bahasa isyarat dan Alhamdulillah saya kini semakin mahir dan paling penting memudahkan kami berkomunikasi," katanya kepada mStar Online.
Fiqa atau nama sebenanrya Norafiqah Ma Hassan, 24, dan Syawal selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis gilang gemilang yang diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) di sini pada malam Sabtu lalu. Pasangan tersebut turut diraikan dalam sebuah majlis gilang gemilang bernilai RM100,000 sumbangan Astro sebagai ganjaran kemenangan menerusi program Pelamin Fantasia. Pereka fesyen terkenal, Rizalman Ibrahim turut bertindak sebagai perunding acara selain mereka busana kedua-dua mempelai pada malam itu. Berkongsi lanjut mengenai kisah perkenalan mereka berdua, Syawal berkata, dia tidak pernah melihat kekurangan yang ada pada isterinya sebaliknya memberitahu Fiqa adalah wanita paling berdikari yang pernah dia temui.
Pasangan berkenaan sah bergelar suami-isteri dengan hanya sekali lafaz. Kata Syawal, wanita berkenaan melengkapi kehidupannya sebagai seorang lelaki dan bersyukur mereka berdua akhirnya disatukan sebagai suami-isteri. "Kekurangan yang ada padanya adalah kesempurnaan di mata saya. Fiqa adalah wanita paling berdikari yang pernah saya temui. "Saya sebenarnya beruntung dapat bertemu dengannya dan Alhamdulillah jodoh kami akhirnya sampai ke jinjang pelamin," ujarnya. Sementara itu, bercakap mengenai majlis perkahwinan tersebut, Syawal berkata, apa yang dilakukan oleh pihak Astro adalah melebihi daripada bayangan impian perkahwinan mereka berdua sebelum ini.
"Saya tiada kata untuk menggambarkan perasaan dalam hati saya tetapi majlis ini lebih daripada impian kami berdua," katanya. Selain hadiah pakej perkahwinan bernilai RM100,000, pasangan berkenaan turut membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000, pakej percutian ke Xian, China dan seutas gelang tangan. Dalam perkembangan sama, Syawal berkata, dia tidak menyangka akan bergelar juara Pelamin Fantasia kerana tujuan asal mereka menyertai program berkenaan adalah untuk mengetengahkan kisah percintaan bersama Orang Kelainan Upaya (OKU). "Saya mahu memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa cinta itu tiada sempadan dan biarpun seseorang itu mempunyai kekurangan namun mereka masih boleh mengecap bahagia.
"Bagaimanapun Alhamdulillah dan syukur kemenangan menjadi milik kami dan berharap kisah kami dapat memberi inspirasi kepada orang lain," ujarnya. Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Humood Alkhudher, Ewal, Indah, Sabhi Sadhi, Akim & The Majistret, Alyah, Jaclyn Victor, Rabbani, Haziq, Farhan dan Keroncong Band. Majlis pernikahan itu turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro (104) dan Mustika HD (135) pada pukul 9 malam. Ia dihoskan oleh Faizal Ismail dan Raja Azura.

Nora Danish Perjelas Isu Kafe Kenakan Caj Mahal

Pelakon Nora Danish menjelaskan kadar bayaran dikenakan kepada pelanggan di kafe Kopi & Xoxo yang dikongsi bersama empat orang rakannya adalah berpatutan. Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 33, berkata, harga dicaj kepada pelanggan adalah bersesuaian dengan lokasi kafenya yang terletak di Bangsar. "Sebenarnya harga makanan dan minuman di kafe Kopi & Xoxo itu tidak begitu mahal dan orang ramai juga harus faham kerana ia terletak di Bangsar jadi kami harus menanggung kadar sewa yang agak tinggi. "Barang-barang digunakan juga berkualiti jadi harga yang dikenakan bersesuaian dengan lokasinya," katanya kepada mStar Online. Nora berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kadar bayaran dikenakan di Kopi & Xoxo kepada pelanggan yang dikatakan mahal oleh sesetengah peminatnya.
Kafe Kopi & Xoxo yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur. Tambah Nora, keuntungan diperolehi juga tidak lumayan seperti mana dibayangkan kerana perniagaan itu masih baharu dan dilakukan sekadar hobi. "Kami bukan nak kejar untung semata-mata kerana perniagaan ini dibuat sekadar suka-suka jadi keuntungan yang diambil sebenarnya tidak banyak. "Jadi harga yang dikenakan amat berpatutan dan ia amat sesuai kepada pelanggan," katanya. Dalam pada itu, Nora berkata kafe tersebut merupakan hasil perkongsian diantara empat orang rakan baiknya yang mengentengahkan konsep kopitiam. Tambahnya, konsep itu dipilih kerana ia mudah untuk diuruskan dan dalam masa yang sama ia amat bersesuaian dengan gaya hidup pada masa kini. "Keputusan untuk memilih konsep kopitiam dilakukan selepas melakukan perbincangan dan konsep tersebut adalah paling ideal kerana ia mudah diuruskan," jelasnya. Terdahulu Nora dan rakanya melabur hampir RM100,000 untuk membuka kafe berkenaan dan ia merangkumi aspek dekorasi, perabot, konsep dan pilihan menu.

Ella & Jojie Nasihat Tasha Shilla Buat Laporan Polis

Berikutan dari penyembaran gambar selfie separuh bogel yang dikatakan mirip aktres Tasha Shilla, penyanyi Ella yang pernah lalui perkara sama memberi nasihat buat pelakon tersebut. Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin, 48, berkata perkara itu sangat serius dan jika ia merupakan fitnah, pelakon tersebut perlu membuat laporan polis dengan segera. “Benda itu sangat mengaibkan. Kalau benda itu salah, buat saja laporan polis kerana itu jalan yang terbaik. “Tasha jangan risau kalau betul gambar itu satu fitnah. Saya percaya awak akan menerima ganjaran yang lebih besar dari itu,” katanya kepada mStar Online.
Sekeping gambar separuh bogel tersebar baru-baru ini dan ia dikatakan mirip pelakon Tasha Shilla. Ella ditemui sewaktu pelancaran produk kecantikan Lameya di Saloma Bistro disini pada Jumaat. Pada 2007 Ella dan kakaknya itu pernah melalui detik hitam selepas satu video kelakuan sumbang kononnya dilakukan di atas kapal dikatakan milik mereka berdua tersebar. Kes tersebut kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis dan individu bertanggungjawab melakukan video itu telah pun dikenakan hukuman. Sementara itu, Jojie, 50, turut memberikan kata-kata semangat buat Tasha dan berharap aktres itu tabah mengharungi dugaan tersebut. “Tasha tabahkan hati dan jika gambar itu bukan milik awak, tidak perlu risau serta banyakkan doa kepada Allah.
“Dulu kami ada buat laporan polis dan mereka cari sampai ke lubang cacing. Polis berjaya menahan individu terbabit tetapi kami tidak mahu sebarkan kerana akan mengaibkan dia pula. Hanya Allah yang dapat membalas,” katanya. Sementara itu, bercakap mengenai produk Lameya yang diasaskan dua beradik, Ella berkata, ia mengandungi formula rahsia dalam tampil kekal jelita sehingga ke hari ini. Jelas Ella, Lameya merupakan gabungan makanan sunnah seperti buah tin, delima, zaitun dan habbatus sauda yang diamalkan oleh mereka berdua sejak kecil. "Produk ini cukup istimewa dan hanya perlu diambil begitu sahaja. Ia dijual dengan harga RM199 sekotak dan mampu bertahan selama sebulan," katanya. Bagi mendapatkan produk ini, layari laman sosial Instagram, @lameyamalaysia.

Lima Bulan Dazrin Terseksa Gagal Kahwin Amyra Rosli

Setelah hampir setahun insiden majlis pernikahan dengan Amyra Rosli dibatalkan, pelakon Dazrin Kamarudin akhirnya mendedahkan jiwanya terseksa sehingga dia mengambil masa selama lima bulan untuk menenangkan fikiran. Dazrin, 27, berkata disebabkan peristiwa itu, dia tidak dapat memberi fokus dalam karier lakonan sehingga terpaksa menolak beberapa tawaran yang diterima. “Sebenarnya lima bulan saya mendiamkan diri kerana tidak boleh bekerja dan hilang fokus selepas kejadian tersebut. “Dalam tempoh waktu itu, saya hilangkan diri sekejap untuk kenal diri semula dan atas nasihat rakan-rakan baru saya kembali berlakon,” katanya kepada mStar Online. Dazrin ditemui sewaktu sidang media program khas Ramadan 2015 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Auditorium P.Ramlee, Angkasapuri, di sini pada Selasa. Terdahulu, Dazrin yang merancang untuk melangsungkan perkahwinan bersama pelakon Amyra Rosli pada 8 Ogos 2014 terpaksa membatalkan hasrat berkenaan pada saat-saat akhir kerana masalah yang dirahsiakan.
Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 25 Ogos 2013 selepas tiga tahun menjalinkan hubungan cinta. Bagaimanapun dunia hiburan dikejutkan dengan berita majlis pernikahan pasangan itu dibatalkan pada saat-saat akhir walaupun segala persiapan perkahwinan mereka sudah dibuat. Dazrin bagaimanapun enggan mengulas punca perkahwinan tersebut dibatalkan selain mahu kejadian berkenaan dijadikan pengajaran. “Manusia kadang-kadang tidak boleh lari dari melakukan kesilapan dan dalam masa yang sama kita perlu belajar serta mengambil iktibar terhadap setiap apa yang berlaku. “Alhamdulillah saya kembali aktif berlakon dan kini tampil dengan rambut pendek untuk imej dan semangat baru selepas berkabung lima bulan,” katanya. Sementara itu Dazrin berkata sepanjang tempoh mendiamkan diri, dia sibuk membuat pengubahsuaian rumah yang baru dimiliknya. Tambah Dazrin, rumah baru yang mempunyai enam bilik itu merupakan salah satu persiapan untuk perkahwinannya pada tahun lalu. Dalam perkembangan lain, Dazrin akan tampil dalam drama Kampung Manggis di TV1 sempena program khas Ramadan ini. Dazrin juga baru sahaja selesai merakamkan dua single terbaru bertajuk Kamu Selalu Ada dan Cause I Love You.

"Stop It...!" Tegur Ajai Kepada Bekas Isteri, Nurul Wahab

Komposer Ajai meminta bekas isterinya iaitu Nurul Wahab berhenti mengaitkan namanya dalam tulisan di blog mahupun memberi apa-apa kenyataan di media. Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 40, berkata, walaupun dia sering ditanya sejauh manakah hubungannya dengan Nurul, dia tidak pernah memberi reaksi memandangkan mereka tiada lagi apa-apa kaitan sejak bercerai pada tahun 2007. "Saya berharap Nurul hentikan menulis, kaitkan kisah lama atau sebut nama saya yang bukan-bukan di laman blognya. "Kerana bagi saya, bukan tidak ada orang bertanya tentang dia daripada saya. Tetapi ada! Bagaimanapun saya tak pernah nak beri apa-apa jawapan atau kaitkan nama dia dalam mana-mana sesi temubual mahupun di laman sosial saya. Jadi harap maklum dan stop it. "Urusan saya dengan bekas isteri saya itu dah habis sejak kami berpisah. Kalau ada update, itu hanya atas urusan anak kami Ayu Nazirah (17 tahun)," katanya kepada mStar Online.
Ajai diminta mengulas mengenai entri blog milik Nurul yang bertajuk Other Question Please! meluahkan rasa terkilan apabila kerap kali diasak dengan pertanyaan mengaitkan kisah silamnya dengan Ajai. Nurul menerusi entri tersebut turut menulis kisah diminta penganjur untuk berduet dengan bekas suaminya sehingga mengundang rasa tidak selesa dirinya. Tambah Nurul, persembahan duet bersama Ajai tidak mungkin berlaku memandangkan komposer itu bersikap tidak profesional. "Bukannya aku tak mahu. Aku ini seorang yang sangat professional. Malah, suami aku juga mengizinkan dan memberi restu andai aku mahu berduet semula dengan bekas suami aku itu. Namun keputusannya bukan di tangan aku. Orang tak mahu, buat apa kita memaksa. Lupakan saja," katanya dalam blog itu. Sementara itu, Ajai berkata, buat masa ini dia tidak merancang untuk berduet dengan sesiapa pun kerana ingin memberi fokus terhadap album solo yang akan muncul tidak lama lagi. Malah sekiranya ingin berduet, dia hanya akan memilih penyanyi yang belum pernah berduet dengannya sahaja. "Buat masa sekarang, untuk nyanyian, saya nak siapkan album solo saya. Dan juga mahu menumpukan kerja-kerja produksi artis-arts Wake The Baby iaitu Amelina, Fahmi, Shiha dan Stellarband. "Untuk rakan duet, saya belum fikirkan lagi dan jika ada pun mungkin artis lain yang belum pernah saya bekerjasama lagi," ujarnya. Sementara itu Nurul yang dihubungi mStar Online bagi mengulas teguran Ajai itu mengambil pendekatan untuk tidak memberikan sebarang komen. Selepas berpisah dengan Ajai, Nurul bertemu jodoh dengan rakyat Perancis iaitu Eric Daniel Depp, 50, dan bernikah pada 6 Jun 2012. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak.

Erra Fazira Bertudung Tanpa Desakan, Tiada Kaitan Shahir (AF8)

PENYANYI Erra Fazira menegaskan keputusannya memakai tudung bukan atas desakan sesiapa dan tiada kaitan dengan permintaan penyanyi Shahir (AF8) seperti yang diperkatakan baru-baru ini. Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 41, berkata, penghijrahannya itu atas kehendak diri sendiri dan kerana Allah S.W.T memandangkan niat itu sudah lama disimpan. "Let's clear our mind about that. Perkara itu langsung tidak benar sama sekali. Penghijarahan ini berlaku bukan atas kehendak siapa-siapa. "Itu semua atas diri sendiri. Saya lebih suka dan terima kasih kepada Allah kerana ianya berlaku tanpa desakan siapa-siapa," katanya kepada mStar Online.
Erra ditemui pada majlis persembahan fesyen Safari Fauna Mimosa Raya 2015 rekaan Bianco Mimosa di Hotel Royale Chulan di sini pada malam Selasa. Akhbar mingguan menerusi ruangan pojok pada Ahad melaporkan penghijrahan Erra dilakukan kerana mendapat sokongan Shahir. Khabar angin itu muncul apabila Shahir telah membuka kelas fardhu ain di kampungnya, Perak dan Erra juga pernah menyatakan individu pilihan hatinya mempunyai ilmu pengetahuan yang mampu membimbingnya di dunia dan akhirat. Sementara itu, Erra berkata, dia bersyukur penghijrahannya itu mendapat respons yang baik di kalangan keluarga dan rakan-rakan terdekat. Malah anaknya, Engku Aleesya Engku Emran, 6, juga teruja melihat perubahannya itu. "Aleesya antara orang paling seronok melihat perubahan ini, Alhamdulillah. Lagipun sebelum ini dia pun ada lihat ibunya bertudung ketika menghadiri pelbagai aktiviti. "Bagaimanapun, peralihan ini juga bukan datang dalam sekelip mata. Banyak perubahan yang perlu dilakukan secara perlahan-lahan," ujarnya. Dalam pada itu, Erra yang ditanya apakah respons jika peminat mengikut langkahnya berhijab, kata penyanyi lagu Berteman Sepi itu, ia adalah satu petanda yang baik. "Saya tidak pasti tentang itu tetapi andai kata peminat-peminat berhijab kerana saya, Alhamdulillah. Ia satu impak yang bagus. "Tidak mengapa jika seseorang itu berhijab kerana mengikut idola mereka kerana saya percaya Allah akan lahirkan rasa cinta dengan hijab dan sekali gus individu itu akan tahu tanggungjawab dan batas-batas mereka," tuturnya.

Erma Fatima & Bade Dilaporkan Bakal Bercerai

Pengarah filem Erma Fatima dilaporkan bakal bercerai dengan suaminya, Badaruddin Azmi, 51, pada Khamis. mStar Online difahamkan proses cerai akan berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gomak Timur, Keramat dekat sini. Erma, 47, atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad yang ditemui pemberita di Istana Budaya pada malam Rabu bagaimanapun enggan mengulas perkara itu sebaliknya meminta agar pihak media tidak mempercayai gosip berkenaan. Bagaimanapun dia tidak menafikan akan berada di mahkamah pada Khamis.
“Kita jumpa esok (Khamis). Kalau ada esok… adalah…” katanya ringkas lalu bergegas ke keretanya semasa pihak media cuba mendapatkan pengesahan. Dalam perkembangan terbaharu, wartawan mStar Online, Mohd Al Qayum Azizi berkata, kes pasangan itu akan disebut pada Khamis pukul 2.30 petang di mahkamah berkenaan. Bade dan Erma bernikah pada 30 November 1990. Mereka memiliki lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 22, Ahmad Arir, 20, Ahmad Aifin, 18, Citra, 13 dan Nurain berusia sembilan tahun. Bagaimanapun pada awal 2014, Bade telah berkahwin dengan wanita bernama Aida berasal dari Pahang. Hasil perkahwinan itu mereka mendapat anak lelaki hujung tahun lalu yang bernama Jihad, berusia enam bulan. Terdahulu dalam satu temubual sebelum ini Erma dan Bade menafikan akan bercerai. Bade sebaliknya berkata dia masih sayangkan Erma. Erma pula berkata dia boleh menerima hakikat hidup bermadu.

Kamal Adli Tolak Sesi Fotografi Bersama Emma Maembong

Pelakon Kamal Adli menolak untuk digandingkan dengan aktres Emma Maembong dalam mana-mana sesi fotografi akhbar ataupun majalah selepas gara-gara gosip percintaan mereka berdua. Kamal, 29, berkata, pendiriannya itu dibuat bagi mengelakkan hubungan mereka terus disalahtafsirkan oleh semua pihak. "Ada yang minta untuk menggandingkan kami dalam sesi fotografi tetapi rasanya lebih baik kami tidak berbuat demikian. "Ini kerana nanti akan timbul pelbagai cerita kurang enak seperti mana berlaku sebelum ini," katanya kepada mStar Online. Kamal ditemui pada majlis pelancaran dua drama terbaharu iaitu Puteri Gunung Ledang dan Jodoh Sebelah Pintu yang diadakan di Menara Kuala Lumpur di sini, Rabu.
Dua drama berkenaan bakal disiarkan menerusi HyppTV menerusi saluran HyppSensasi (116). Kamal dan Emma memegang peranan utama dalam drama bersiri Jodoh Sebelah Pintu arahan Michael Ang yang akan disiarkan pada 29 Julai depan. Dalam pada itu, Kamal menegaskan hubungannya dengan Emma sekadar teman biasa dan masih terlalu awal untuk bercakap soal cinta. Bagaimanapun, Kamal tidak menafikan Emma adalah wanita paling rapat dengannya ketika ini dan dia selesa bersahabat dengannya. "Kami masing-masing ada pengalaman pahit dalam percintaan sebelum ini dan lebih baik kami bersahabat sahaja buat masa sekarang. "Tidak ada apa yang ingin kami sorokkan pun dan meletakkan soal jodoh kepada ketentuan Allah," jelasnya. Sementara itu, Emma yang turut ditemui pada majlis sama senada dengan Kamal namun memberitahu tidak tertekan apabila sering dikaitkan dengan pemuda tersebut. "Benar kami rapat tetapi sebagai sahabat dan saya senang dengan sikapnya yang sentiasa menjadi diri sendiri," jelasnya.

CATRIONA ROSS SELAMAT LAHIRKAN ANAK KETIGA

We both received this precious gift from up above earlier on today, Friday at 3.28p.m... Introducing our no 3, Edruce Riyadh Ross-Idin... @smshaha," demikianlah kata Catriona Ross yang telah selamat melahirkan bayi lelaki pada 17 April lalu. Untuk rekod, Catriona dan suaminya Shaharuddin mendirikan rumahtangga mereka pada 26 Jun 2009 dan sebelum ini telah dikurniakan dua orang anak bernama Sephia Rania Ross-Iddin, 5, dan Jammal Raess Ross-Iddin, 3.

Fahrin Ahmad Berasa Sunyi Berjauahan Dengan Isteri

PELAKON Fahrin Ahmad memberitahu dia berasa sunyi kerana sering sendirian akibat berjauhan dengan isteri walaupun sudah mendirikan rumah tangga pada 9 Mei lalu. Fahrin, 36, berkata, dia dan isterinya Elena Hani Eleas, 37, hanya dapat berjumpa dua minggu sekali memandangkan isterinya itu masih lagi bekerja sebagai ketua pramugari di sebuah syarikat penerbangan yang berpangkalan di Dubai. Bagaimanapu dia menytifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang biasa. "Terasa juga bila dia (Elena) tiada di sisi, tetapi nak buat macam mana bukan? Konsep kami sekarang ini, kami akan berjumpa setiap dua minggu, sama ada dia datang ke sini (Malaysia) atau saya ke Dubai. "Saya rasa perkara ini ada juga hikmahnya di mana kami dapat serasikan diri antara satu sama lain sebelum dia berhenti kerja dan menetap di sini," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.
Tambah Fahrin, dia juga tidak sabar mahu isterinya berhenti bekerja di negara itu agar memudahkan mereka merancang untuk mendapatkan cahaya mata. Sementara itu, Fahrin turut berkata, sejak menjadi suami, cara pemikirannya terhadap sesuatu perkara lebih berbeza dan sentiasa memikirkan Elena dalam membuat sesuatu keputusan. "Kalau dulu, apa-apa keputusan saya akan buat sendiri. Tetapi sekarang, walaupun dia duduk jauh, saya tetap teringatkan dia. "Beli barang-barang runcit juga saya akan memikirkan Elena. Kita tahu sekarang ini, pergi mana-mana pun, kita sudah ada tanggungjawab antara satu sama lain," ujarnya. Dalam pada itu Fahrin berkata, dia tidak sabar untuk melalui pengalaman berpuasa bersama memandangkan selama ini dia sering sendirian terutamanya ketika berbuka puasa. "Sebelum ini, jika tidak terlibat dengan sebarang majlis, saya akan berbuka puasa sendirian. "Dan untuk tahun ini, perkara itu tidak akan berlaku. Elena sudah pun mengambil cuti untuk berpuasa pada minggu pertama bersama saya. Jujurnya saya teruja! Hahaha..." katanya.

Neelofa Pantau Tudung Jenamanya Dijiplak

Sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab menjiplak rekaan tudung jenama ‘Naelofar Hijab’ tidak pernah menggugat perniagaan pemiliknya iaitu pelakon Neelofa. Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 25, bagaimanapun berkata dia tetap mengambil perkara itu dengan serius kerana semakin ramai yang menjual tudung tiruan dengan menggunakan jenamanya.
"Saya tahu banyak tudung tiruan Naelofar di luar sana dan saya mempunyai 'team' tersendiri pantau berhubung perkara itu. "Alhamdulillah, kebanyakan pihak yang kami jumpa, mereka memberi kerjasama dengan tidak menjual tudung tiruan Naelofar. "Tetapi masih ramai lagi menjual, cuma saya tidak mempunyai masa untuk menguruskan perkara ini. Mujurlah ia tidak menggugat perniagaan saya," katanya kepada mStar Online pada Isnin. Neelofa ditemui pada majlis pelancaran koleksi tudung terbaharu Naelofar for ZALORA iaitu Majestic Love di Hotel Hilton di sini pada Isnin. Dalam pada itu, ditanya adakah dia boleh dipanggil sebagai jutawan muda seperti yang diperkatakan, Neelofa hanya tersenyum dan menganggap ia adalah satu doa daripada orang ramai. "Saya aminkan sahaja jika orang berkata begitu," tuturnya. Mengenai Naelofar for ZALORA, pelakon filem Azura itu berkata, selepas empat bulan perniagaannya, dia ditawarkan pihak pengendali gudang fesyen dalam talian itu untuk bekerjasama menghasilkan sebuah koleksi khas untuk butik tersebut.
"Saya mahu lebih dikenali di kalangan pelanggan dan kerana itu reputasi cemerlang ZALORA merupakan sebab utama kami mengadakan usahasama ini. "Koleksi Majestic Love disifatkan sebagai kemegahan dan keanggunan yang dilihat lebih bergaya dan elegan. Ia juga diberi sentuhan tambahan menggunakan fabrik kulit bagi motif bunga," ujarnya.

Sharnaaz Ahmad Enggan Lagi Lantang Bersuara

Pelakon Sharnaaz Ahmad mengambil pendekatan tidak mahu terlalu lantang dalam mengeluarkan kenyataan di akaun Instagram miliknya seperti yang sering dilakukan sebelum ini. Kata Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 30, dia menyedari setiap status yang dimuat naik di Instagram sering mendapat perhatian sehingga menjadi kontroversi dan perkara itu membuatkan dia lebih berhati-hati selepas ini. "Itulah, kebanyakan status saya mesti jadi isu. Mungkin saya perlu perlahankan kelantangan saya itu. "Cuma sebab saya buat macam itu pun bagi menjelaskan sesuatu isu atau mengelakkan kekeliruan terutamanya peminat. Dan apabila mereka baca, mereka akan faham," katanya kepada mStar Online. Sharnaaz yang ditemui di majlis pelancaran filem Darah Panas di TGV One Utama pada Isnin diminta mengulas mengenai kebanyakan kenyataannya yang dimuat naik di Instagram menimbulkan pelbagai kontroversi. Sementara itu, mengenai filem Darah Panas, Sharnaaz berasa risau mengenai respons peminat mengenai mutu lakonannya memandangkan penggambaran filem itu dibuat tiga tahun lalu. Namun pelakon itu sedia menerima kritikan jika lakonannya itu tidak memberangsangkan. "Saya tak kisah jika orang nak kritik lakonan saya. Kalau saya kritik orang boleh, takkan saya tak boleh dikritik pula bukan? "Tetapi, tidak dinafikan saya berdebar menantikan respons peminat mengenai mutu lakonan saya," ujarnya. Darah Panas mengisahkan Syahana, seorang gadis yang berpegang pada agama, namun bercita-cita menjadi seorang model muslimah kerana terpengaruh dengan video di laman sosial. Syahana berkenalan dengan Fandi melalui laman sosial dan meminta bantuan Fandi bagi mencapai cita-citanya dan menyatakan hasrat kepada keluarganya, namun ditentang ayah dan abangnya. Bagaimanapun dia tetap mahu meneruskan cita-citanya, lalu mengambil keputusan melarikan diri ke Kuala Lumpur. Setibanya di ibu kota, Fandi membawa Syahana ke dunia pelacuran. Filem arahan Arjin Uppal yang turut membariskan pelakon Fathia Latiff, Datuk Jalaluddin Hassan, Sofi Jikan dan Aznah Hamid bakal ditayangkan bermula Khamis ini.

Foto Mesra Bersama Kekasih, Aliff Aziz Mohon Maaf

Penyanyi Aliff Aziz memohon maaf kerana memuat naik foto-foto mesra bersama kekasih di akaun Instagram miliknya sehingga mengundang rasa kurang senang segelintir pihak. Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 23, berkata , dia tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk namun sekadar ingin berkongsi rasa bahagianya itu bersama peminat-peminat.
"Sebagai artis, saya tahu tidak boleh terlalu berlebih-lebih dalam melakukan sesuatu perkara kerana boleh mengundang cakap-cakap orang. "Dan kekerapan memuat naik foto mesra kami bukan kerana mahu menunjuk-nunjuk, tetapi ini adalah cara saya menyampaikan rasa cinta pada dia (Bella) dan pada masa sama ingin berkongsi detik bahagia ini bersama peminat," katanya yang dihubungi mStar Online pada Selasa. Ahad lalu, akhbar mingguan menerusi ruangan pojok melaporkan Aliff bersikap terlalu terbuka apabila memuat naik foto-foto mesranya sehingga mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak. "Saya seorang yang terbuka dengan komen-komen nasihat serta kritikan yang diberi tetapi laporan yang ditulis terlalu keras dan bagi saya bukan cara itu nak beri nasihat. "Ia ditulis seolah-olah kami berkelakuan tidak senonoh, bukan itu caranya jika ingin memberi nasihat. Kasihanilah keluarga kami yang pastinya akan terkena tempias hanya kerana laporan itu. "Saya tahu reputasi saya bukannya bagus sangat tetapi tidak bermakna kisah kami boleh ditulis begitu. Lagipun saya sedang berusaha untuk menjadi seorang yang lebih baik," ujarnya.

"Hamil Anak Kedua, Isteri Suka Meragam" - Aeril Zafrel

Pelakon Aeril Zafrel memberitahu isterinya Wawa Zainal lebih kerap meragam ketika mengandungkan cahaya mata kedua mereka yang kini memasuki usia enam bulan. Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari, 27, berkata, ketahanan diri isterinya itu juga agak lemah berbanding kandungan pertama apabila sering tidak sihat dan selalu bersikap dingin. "Kandungan kali ini berbeza sedikit kerana mood dia tidak konsisten, kadang-kadang sebab jerawat pun dia tiada mood nak keluar rumah. "Apa yang saya lihat kandungan pertama dia lebih kuat, mungkin sebab banyak urat putus sewaktu melahirkan anak pertama dan ketahanan badan dia tidak seperti dahulu," ujarnya kepada mStar Online. Bagaimanapun, Aeril berkata, isterinya itu tidak terlalu cerewet atau mengidam sesuatu makanan seperti kebiasaan wanita mengandung. Dia juga mendedahkan jantina anak dalam kandungan tersebut adalah perempuan seperti yang diharapkan isterinya. "Alhamdulillah, dia tidak mengidam yang bukan-bukan, kalau ada pun dia tidaklah memaksa untuk saya dapatkan makanan itu," ujarnya.
Sementara itu, Aeril berkata, sepanjang bulan Ramadan, dia akan berehat daripada sebarang penggambaran drama bagi membantu isterinya menguruskan perniagaan pakaian dibawah label WA. Katanya, Wawa kini lebih memberi perhatian menguruskan perniagaan pakaian tersebut secara kecil-kecilan berbanding bidang lakonan. "Saya suka dia sibuk dengan anak dan uruskan bisnes itu. Hal mencari rezeki dan berlakon biar saya sahaja yang buat, namun saya tidak menghalang kalau dia rasa rindu untuk berlakon," ujarnya. Aeril Zafrel dan Wawa Zainal pernah mencetuskan kontroversi pada Oktober 2013 apabila mendedahkan mereka sudah bernikah sebanyak dua kali iaitu pada 25 Februari 2012 dan kali kedua, 4 Februari 2013. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ahmad Fakharuddin Attar, pada 24 Ogos 2013. Dalam perkembangan lain, Aeril turut terlibat dalam drama Hidayah Mu Ramadan menghiasi bulan Ramadan di slot Samarinda, TV3. Drama itu sudah disiarkan bermula pada 4 Jun lalu. Selain Aeril, Hidayah Mu Ramadan turut dibintangi Zara Zya, Aeril Zafril, Reen Rahim, Nazrief Nazri dan Roy Azman.

Jojie Tidak Akan Tinggalkan Kerjaya Urus Ella

Kakak Ratu Rock Negara Ella, Jojie tidak akan meninggalkan kerjayanya sebagai pengurus kepada penyanyi itu biarpun sudah mendirikan rumah tangga. Jojie atau nama sebenarnya, Rozita Aminuddin, 50, berkata, suaminya Syahrizal Ismail,36, tidak menghalang untuk dia terus menjadi tulang belakang kerjaya nyanyian adiknya itu. "Saya akan terus menguruskan Ella dan Syah tidak menghalang apa yang membuatkan saya gembira. "Syah juga menggalakkan dan suka dengan kerjaya saya ini, dia mahu saya terus aktif dalam industri biarpun selepas berkahwin," ujarnya kepada mStar Online.
Jojie selamat diijab kabul dengan pasangannya Syahrizal Ismail dalam sebuah majlis yang diadakan di Masjid Ara Damansara, di sini, malam Jumaat. Pada majlis tersebut Jojie menerima mas kahwin sebanyak RM888, manakala wang hantaran sebanyak RM20,000. Dalam pada itu, Jojie mengakui mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang selepas dua adiknya iaitu Ella dan Korie berkahwin terlebih dahulu. "Saya tidak mahu melihat mereka bersendirian sebab itu saya ambil keputusan melepaskan mereka berkahwin dahulu. "Selepas saya beritahu ingin berkahwin, Ella rasa sangat risau dan takut kami akan berpisah, tetapi saya yakinkan dia bahawa saya akan sentiasa ada jika dia memerlukan saya disisinya," ujarnya. Dalam pada itu, Jojie turut memberitahu bahawa dia dan Ella merancang untuk menunaikan ibadah haji bersama-sama pasangan masing-masing pada tahun ini.
Bercakap tentang keistimewaan lelaki yang menjadi pilihan hatinya, Jojie berkata, Syahrizal merupakan seorang yang memahami dan matang. Katanya, dia yakin Syahrizal merupakan seorang lelaki yang mampu membimbingnya dalam soal agama. "Apa yang buat saya terpikat ialah dia sentiasa menjaga solatnya dan mengingatkan saya tentang waktu untuk bersolat. "Dia juga faham tentang hubungan saya dan adik beradik yang terlalu rapat," katanya. Sementara itu, Syahrizal berkata, Jojie merupakan wanita yang melengkapi kriteria perempuan patut dikahwini dalam Islam. Katanya, sepanjang setahun perkenalan mereka, Jojie seorang yang sangat berdikari dan mempunyai pendirian sendiri. "Dalam Islam wanita yang patut dikahwini ada empat iaitu, agamanya, rupa paras, keturunan dan harta. Sepanjang kami berkawan saya perhatikan dia ada semua kriteria itu," ujarnya. Pasangan ini turut merancang untuk berbulan madu di Switzerland selepas resepsi mereka yang dijangka diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails