Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Anak Jins Shamsuddin Sayu Tengok Reaksi 'Kosong' Ayah

Anak bongsu kepada pengarah dan pelakon Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Putera Hang Nadim sayu apabila melihat reaksi 'kosong' bapanya semasa tayangan perdana filem Bukit Kepong versi definasi tinggi (HD) yang diadakan pada malam Selasa. Hang Nadim, 24, berkata, Jins langsung tidak mengingati tentang filem arahannya itu malah tidak mengenali dirinya sendiri yang turut berlakon dalam filem berkenaan. "Pada awal filem itu ditayangkan dia teruja kerana namanya terpapar di skrin tetapi selepas itu dia langsung tidak mengingati tentang Bukit Kepong. "Dia kelihatan bersungguh menonton tetapi saya tahu pandangan diberikan adalah kosong malah dia tidak mengenali dirinya sendiri dalam filem berkenaan," katanya kepada mStar Online. Hang Nadim berkata demikian selepas ditemui pada tayang perdana filem berkenaan yang diadakan di Golden Screen Cinemas (GSC) Pavilion di sini.
Selain Jins, turut hadir pada majlis berkenaan adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim, penerbit dan Datuk Yusof Haslam. Bukit Kepong versi HD arahan Jins pada tahun 1981 dengan kos RM1 juta berjaya dinaik taraf melalui proses membaik pulih visual dan audio yang dilakukan oleh anak syarikat KRU iaitu Prodigital Lab Sdn Bhd. Bukit Kepong HD bakal ditayangkan semula di pawagam bermula 27 Ogos ini di pawagam terpilih bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 58. Dalam pada itu, Hang Nadim yakin sekiranya kesihatan bapanya masih baik, bekas Ahli Dewan Negara itu pasti bangga dengan usaha dilakukan oleh pihak KRU terhadap filem berkenaan. "Sebagai anak saya yakin beliau pasti bangga melihat filem arahannya dinaik taraf malah ditayangkan semula di pawagam biarpun untuk masa singkat.
"Sayu juga saya melihat reaksinya seperti tidak memahami apa yang berlaku tetapi Alhamdulillah biarpun dengan keadaannya beliau masih berkesempatan untuk berada pada hari bersejarah itu," katanya. Selain Bukit Kepong, Hang Nadim berkata, tiga lagi filem arahan bapanya iaitu Menanti Hari Esok, Esok Masih Ada dan Tiada Esok Bagimu akan menjalani proses sama. Sementara itu, bercakap mengenai keadaan terkini Jins, Hang Nadim berkata, selain penyakit Alzheimer kesihatan bapanya berada dalam keadaan baik. Bagaimanapun kata Hang Nadim, ingatan bapanya semakin merosot namun masih mengenalinya dan abangnya Hang Jebat. "Ayah hanya mengenali saya dan abang (Hang Jebat), jadi kami kena sentiasa berada dekat dengannya agar dia tidak berasa terasing tanpa mengenali sesiapa. "Alhamdulillah kesihatannya berada dalam keadaan baik dan sehingga kini langsung tiada masalah jantung, darah tinggi atau kencing manis seperti mana biasa di alami oleh golongan tua sepertinya," jelasnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails