Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

"Artis Baharu Jangan Kesal Berhijab" - Irma Hasmie

Pelakon Irma Hasmie menasihati pelakon-pelakon yang baharu berhijrah agar tidak menyimpan perasaan kesal akibat peluang terhad dalam bidang lakonan selepas mengambil keputusan untuk berhijab. Irma, 33, berkata, mereka perlu menetapkan niat sebenar berubah iaitu ke arah kebaikan selain harus percaya bahawa setiap rezeki yang datang adalah ketentuan Allah. "Ada artis saya lihat takut nak mengenakan syarat kepada pengarah ketika berlakon kerana mereka bimbang tiada tawaran lagi pada masa akan datang. Jangan risau pada rezeki Allah dan setiap orang yang berubah perlulah berani menegakkan sesuatu yang mereka mahu," ujarnya kepada mStar Online. Irma Hasmie diminta mengulas apabila terdapat pelakon yang mengadu kekurangan tawaran selepas mengambil keputusan untuk bertukar imej dengan menutup aurat. Tambah Irma, mereka perlu percaya bahawa Allah sentiasa memberi rezeki dengan pelbagai cara biarpun bukan dalam bidang lakonan. "Banyak cara rezeki yang Allah beri pada kita bila kita betul-betul berubah, saya dahulu lahir sebagai pelakon tetapi akhirnya diberi rezeki dalam bidang pengacaraan pula," ujarnya. Sementara itu, bercerita tentang kerjaya lakonan Irma berkata, dia sudah dua tahun menolak tawaran lakonan semata-mata untuk meluangkan masa bersama keluarga. Dia juga tidak mahu terlepas melihat pembesaran anak-anaknya jika terlalu sibuk dengan penggambaran. "Saya memang terpaksa tolak secara baik tawaran berlakon drama terutama apabila melibatkan penggambaran di luar dari Kuala Lumpur. "Kebiasaan masa yang dihabiskan terlalu banyak di set penggambaran dan saya tidak mahu terlepas masa bersama anak-anak dan mahu lihat mereka membesar di depan mata saya," ujarnya. Kata Irma, buat masa ini, dia lebih selesa untuk menerima tawaran mengacara program-program televisyen yang tidak memerlukan komitmen terlalu lama. "Saya masih bersama program untuk stesen TV Alhijrah dan satu projek berjudul Kerja Kahwin di Astro Prima yang bakal bersiaran September depan," ujarnya.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails