Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

"Biarlah Ini Perkahwinan Terakhir" - Abby Abadi

Bekas anggota kumpulan Elite, Abby Abadi menjelaskan dia tidak menunggu lama untuk membuat keputusan berkahwin dengan Muhammad Faizal Zakaria kerana ingin mengelakkan fitnah. Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 38, berkata, biarpun perkenalan mereka singkat namun dia yakin lelaki berkenaan adalah pilihan tepat buatnya.
"Biarpun sudah mengenali suami sejak 2012 tetapi kami tidak rapat dan hanya kembali berhubung akhir tahun lalu. "Bagaimanapun kami membuat keputusan untuk segera berkahwin kerana ingin mengelak fitnah dan Alhamdulillah majlis pada hari ini (Jumaat) berjalan lancar," katanya kepada mStar Online. Abby ditemui selepas selesai majlis akad nikahnya yang diadakan di Masjid As-Sobirin Keramat di sini, Jumaat. Abby dan Muhammad Faizal, 41, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz. Muhammad Faizal adalah wartawan kanan di media pembangkang iaitu Harakah. Majlis akad nikah disempurnakan oleh Imam Masjid As-Sobirin, Osman Daud dan Abby diwalikan bapanya, Abdul Manan Tadin.
Abby menerima mas kahwin sebanyak RM300 dan senaskah Al Quran sebagai pengganti wang hantaran. Hampir 200 tetamu hadir pada majlis berkenaan termasuk rakan artis Azza dan Sasha Saidin. Dalam pada itu, Abby berkata, dia terbuka hati untuk menerima Muhammad Faizal kerana sikap rendah diri lelaki berkenaan selain menerima dia seadanya. "Paling penting dia terima saya seadanya dan seperti pasangan lain saya berharap ini adalah perkahwinan terakhir dan akan berkekalan sehingga ke syurga," ujarnya. Sementara itu, Muhammad Faizal berkata, mereka berharap dapat dikurniakan dengan cahaya mata secepat mungkin sebagai penyeri rumah tangga mereka. "Kalau boleh (nak) kembar... Apa pun kami berharap diberikan rezeki cahaya mata secepat mungkin," katanya yang sudah mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu.
Tambahnya lagi, mereka juga merancang untuk membawa anak-anak bercuti ketika berbulan madu nanti. Sementara itu, pasangan berkenaan akan diraikan dalam sebuah majlis sederhana di Taman Tasik Titiwangsa Ahad ini. Terdahulu Abby pernah berkahwin dengan aktor, Norman Hakim dan dikurniakan tiga cahaya mata sebelum bercerai pada tahun 2008. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 12, Marissa Dania Hakim, 10, dan Maria Danisha Hakim yang berusia tujuh tahun. Abby kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 25, pada 2013 sebelum bercerai selepas 11 bulan berumah tangga.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails