Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Rahim Syak Ada Individu Cuba Runtuhkan Rumah Tangga

Pelawak Rahim (Sepahtu) mengesyaki ada pihak cuba meruntuhkan rumah tangganya dengan menyebarkan maklumat palsu di laman sosial. Rahim atau nama sebenarnya Rahim Mat Ali, 45, berkata, wujud usaha pihak tertentu menyebarkan laporan polis palsu kononnya dia telah memukul dan menendang isterinya, Norazlin Abdullah, 38. "Macam mana tak risau, dengan kecanggihan teknologi sekarang ini, orang boleh hancurkan rumah tangga sesiapa sahaja dengan sekelip mata. Sudahlah kami mempunyai empat orang anak. "Saya syak, individu yang menyebarkan laporan polis palsu itu adalah orang yang sama menyebarkan maklumat palsu 'kematian' saya sebelum ini," katanya kepada mStar Online.
Jumaat lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan isterinya telah dipukul dan ditendang akibat pertengkaran antara mereka kira-kira pukul 5 pagi, 13 Ogos lalu. Pelawak itu dikatakan berbuat demikian gara-gara marah kerana isterinya keluar rumah tanpa kebenarannya. Susulan insiden tersebut, Norazlin dikatakan membuat laporan polis pada hari sama di Balai Polis Sri Muda, Shah Alam dekat sini. Pasangan itu mempunyai empat orang anak iaitu Shafiariza Amira, 19, Aidil Aiman, 15, Airina Shazlein, 11 dan Harith Haikal, 11. Sementara itu, Rahim berkata, dia kini mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak ada pihak yang sewenang-wenangnya menyebarkan laporan berunsur fitnah. Malah, dia juga telah menasihati isterinya agar tidak mudah mempercayai laporan di internet kerana berkemungkinan besar ia adalah palsu. "Saya percaya akan timbul cerita lain tentang saya pada masa akan datang. Jadi saya akan lebih berhati-hati dan menasihati isteri termasuk juga anak-anak agar tidak mudah percaya dengan laporan yang dikeluarkan. "Mana tahu masih ada lagi yang tidak senang dengan kebahagiaan kami," ujarnya. Dalam pada itu dia bersyukur kerana peminat-peminatnya tidak mudah percaya dengan berita berkenaan dan pada masa sama terharu kerana menerima banyak mesej yang menunjukkan tanda sokongan mereka kepadanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat ketika dihubungi mStar Online bagaimanapun telah mengesahkan terdapatnya laporan tersebut.

No comments:

Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails