Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nelydia Senrose Tidak Musuhi Qi Razali

Pelakon Nelydia Senrose menegaskan tidak pernah memusuhi bekas teman lelakinya, Qi Razali walaupun hubungan cinta di antara mereka telah berakhir baru-baru ini. Nelydia, 21, berkata, dia tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian namun tetap dengan pendiriannya untuk tidak mendedahkan punca sebenar perpisahan mereka. "Kami berdua ingin fokus kepada kerjaya masing-masing dan perpisahan ini bukan bererti kami bermusuh dan masih berkawan. "Apa pun sebab kami berpisah biarlah ia menjadi rahsia kami berdua kerana tidak mahu memperbesar-besarkan hal tersebut," katanya. Nelydia ditemui pada majlis RTM Screening yang diadakan di Cathay E@Curve di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun kata Nelydia, dia tidak menolak sekiranya jodohnya dengan Qi panjang namun buat masa ini dia ingin memberi fokus kepada kerjayanya sahaja. Dalam pada itu, Nelydia berkata, perpisahan dengan Qi banyak mengajarnya untuk tidak terlalu terbuka tentang soal peribadi kerana ia boleh mengundang kepada sepkulasi negatif kepada segelintir pihak. "Bercerita salah, sorok pun salah tetapi saya fikir pada masa hadapan cukuplah benda-benda peribadi hanya untuk pengetahuan diri sendiri. "Bukan apa bila terlalu banyak didedahkan kepada umum ia banyak menimbulkan spekulasi dan kebanyakan daripadanya tidak tepat," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Nelydia berkata, dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Lara Terindah selain bakal muncul dalam dua filem iaitu Kimchi Untuk Awak dan Bukan Kerana Aku Tak Cinta.

Ibu Terguris Hati, Adira Dipanggil Hantu

Penyanyi Adira memberitahu sikap pengikut Instagram yang keterlaluan dengan mengejeknya sebagai hantu dan mendoakan keburukan dia membuatkan ibunya iaitu Rujinah Sarungin terguris hati. Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 24, berkata, kebanyakkan meraka tidak sensitif dan memikirkan perasaan orang lain sebelum meninggalkan sebarang komen biarpun dengan niat untuk bergurau. "Mereka memang selalu ejek saya hantu di Instagram, saya tidak kisah dan peduli sehingga pada minggu lalu ibu saya telefon dan menegur tentang perkara itu. "Dia sungguh sedih apabila mereka menulis begitu biarpun hanya untuk bergurau. Lebih teruk ada yang mendoakan agar saya tidak boleh berjalan pada satu gambar di Instagram," ujarnya kepada mStar Online.
Adira diminta mengulas mengenai tindakan dia membalas komen-komen negatif pengikutnya pada satu foto di laman Instagram. Foto yang dimuat naik pada Rabu lalu itu memaparkan Adira berpakaian jubah sambil menaiki skuter roda elektrik telah mendapat lebih 60 komen pengikut laman sosial itu. Kata Adira, dia membalas komen itu bukan berniat untuk bergaduh dengan pengikutnya, namun ingin memberi kesedaran tentang perasaan ibunya yang terasa hati dengan tulisan berkenaan. "Saya jarang balas komen-komen di Instagram, namun bila ibu saya menangis dan sedih saya jadi marah dan ingin mereka tahu perkara itu tidak sepatutnya berlaku. "Kalau seorang dua sahaja tidak mengapa, ini tidak... mereka tag kawan-kawan yang lain supaya meninggalkan komen yang buruk-buruk pada gambar saya itu," ujarnya.

Tiada Gambar Bulan Madu Keterlaluan - Nubhan

Penyanyi Nubhan menganggap tindakannya berkongsi gambar ketika berbulan madu bersama isteri iaitu Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 26, di Eropah baru-baru ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk selain tiada gambar ketelaluan. Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 29, berkata, perkara itu dilakukan bagi berkongsi kenangan manis yang dilaluinya kepada peminat di laman sosial. "Saya rasa perkara itu normal dilakukan oleh orang lain juga ketika berada di luar negara, malah yang duduk Malaysia pun banyak ambil gambar dan muat naik di laman sosial, inikan pula kalau kita pergi ke negara lain. "Saya teralu teruja sebab itu saya kongsi kenangan manis yang saya lalui itu di laman sosial. Lagi pula itulah tujuan laman sosial diwujudkan," ujarnya kepada mStar Online.
Nubhan diminta mengulas tentang foto-foto bulan madunya bersama isterinya pada akhir bulan lalu yang menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak. Sebanyak lebih 70 keping foto yang dimuat naik di laman sosial milik penyanyi itu dikritik kerana dianggap cuba menunjuk-nunjuk dan terdapat gambar-gambar yang dikatakan tidak sesuai ditayangkan kepada umum. Sementara itu, Nubhan berkata, foto-foto yang dimuat naik itu merupakan gambar biasa dan tidak dianggap keterlaluan sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat.
"Gambar saya bersama isteri yang dimuat naik adalah gambar biasa sahaja, kalau gambar peluk pun tidaklah ia keterlaluan. "Lainlah kalau gambar tersebut gambar bercium atau isteri saya berpakaian seksi yang benar-benar menyentuh sensitiviti," ujarnya. Nubhan berkata, dia enggan mengambil serius tentang pandangan negatif penguna laman sosial yang sering sahaja mencari kesalahan seseorang artis. Bercerita tentang pengalaman berbulan di Eropah, Nubhan berkata, disebabkan nilai ringgit yang jatuh, dia terpaksa merancang perkara yang lebih penting untuk dibelinya.
Biarpun begitu, dia menghabiskan lebih RM30,000 sebagai kos perbelanjaan harian sepanjang dua minggu percutian. "Kami pergi ke Amsterdam, Brussels dan Paris dan melihat beberapa tempat menarik yang sering dikunjungi pelancong. "Kejatuhan ringgit memang agak terasa kerana semua perkhidmatan dan barang mahal termasuk tiket pengangkutan. Jadi saya terpaksa beli apa yang penting sahaja," ujarnya. Nubhan bergelar suami kepada Afifah Hidayah Ahmad Tawfek dengan sekali lafaz pada 29 Ogos lalu di kediaman wanita tersebut di Seremban, Negeri Sembilan.

Ezlynn 'Hilang', Fokus Dapatkan Anak Selepas 4 Tahun Kahwin

Penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye, Ezlynn menjelaskan kehilangannya daripada industri hiburan sejak setahun lalu bukan disebabkan kecewa dalam bidang berkenaan. Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 33, sebaliknya berkata, sepanjang tempoh berkenaan dia banyak memberi fokus kepada rumah tangga dalam usaha mendapatkan cahaya mata. "Saya tidak merajuk atau hilang dari industri tetapi sejak kebelakangan ini lebih memberikan fokus kepada keluarga selain cuba mendapatkan cahaya mata. "Bagaimanapun saya masih aktif dalam bidang seni cuma tidak terlalu kehadapan," katanya kepada mStar Online. Ezlynn ditemui pada sidang media program Gegar Vaganza musim kedua di The Gardens Theater di sini, Isnin. Selain Ezlynn, 11 peserta lagi yang turut bertanding adalah Nassier Wahab, Azian Mazwan Sapuan, Faradhiya, Amir (Ukays) dan Siti Nordiana. Turut menyertainya ialah Acong (Sweet Child), Sheeda, Nizam (Laksamana), Haiza, Zul (Handy Black) dan Ezad Lazim. Gegar Vaganza musim kedua akan bersiaran selama lapan minggu bermula 18 Oktober ini dari Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Ia turut disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123). Dalam pada itu tambah Ezlynn, dia tidak tertekan kerana masih belum dikurniakan cahaya mata biarpun sudah berkahwin selama empat tahun dan menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah. "Saya tidak tertekan pun kerana itu semua rezeki daripada Allah namun sebagai manusia saya dan suami tidak pernah berhenti berusaha. "Keluarga juga memahami dan tidak pernah membangkitkan soal berkenaan dan Insya-Allah jika ada rezeki pasti ada," katanya. Dalam pada itu, Ezlynn berkata, sepanjang kehilangannya juga dia turut mencuba bidang lakonan dan pementasan teater. Kata Ezlynn, suami yang juga pengurusnya, Adam Fahmi banyak memberi dorongan untuk terjun dalam bidang lakonan. "Saya sempat terlibat dalam teater Mimpi Atilla arahan Adlin Aman Ramlie dan ia adalah pengalaman paling berharga buat saya kerana tidak pernah terlibat dalam pementasan besar seperti itu. "Tanpa dorongan suami mungkin saya tidak berpeluang mencuba berlakon di pentas teater," ujarnya. Sementara itu, mengulas mengenai penglibatan dalam Gegar Vaganza, Ezlynn berkata, dia melihat program berkenaan platform terbaik untuknya memeriahkan kembali karier nyanyiannya. Dia juga ingin mengambil kesempatan itu untuk menunjukkan bakatnya yang mungkin tidak pernah diketahui peminat sebelum ini. "Ramai tidak tahu saya boleh menyanyikan lagu pelbagai genre dan ini adalah platform terbaik untuk membuktikan diri saya. "Insya-Allah, Gegar Vaganza mampu menyinarkan kembali karier nyanyian saya," jelasnya.

Johan As'ari Kagum Aktor Lelaki Elak Sentuh Wanita

Pelakon Johan As'ari berasa kagum dengan prinsip beberapa aktor lelaki yang berani mempertahankan hak dan syarat untuk tidak bersentuhan dengan wanita ketika penggambaran sesebuah drama atau filem. Johan, 29, berkata, ia merupakan tindakan yang betul dalam mempertahankan hak masing-masing terutama apabila tidak berasa selesa dan menganggu fokus ketika penggambaran. "Tindakan pelakon-pelakon meletakkan syarat untuk tidak bersentuhan itu sesuatu yang bagus dan ia adalah hak mereka untuk berbuat demikian. "Ketika ini pengarah drama susah boleh dibawa berbincang tentang apa yang boleh dan apa yang tidak, mereka boleh bertolak ansur," ujarnya kepada mStar Online. Johan ditemui pada Karnival Juvana di Citta Mall, di sini, pada Ahad. Johan diminta pendapatnya mengenai pelakon lelaki yang sudah meletakkan syarat terutama soal bersentuhan dengan wanita bukan muhrim ketika penggambaran. Antara artis terbaharu yang meletakkan syarat itu ialah pelakon Nazim Othman dan Syarul Ridzwan. Bagaimanapun, Johan berkata, setakat ini dia belum lagi meletakkan sebarang syarat kepada pengarah ketika penggambaran. Dia masih membawakan apa juga watak yang diberikan sebaik mungkin termasuk babak bersentuhan selagi ia tidak melampaui batas. "Bagi saya selagi babak itu tidak keterlaluan, boleh diterima dan tidak menjengkelkan, saya akan lakonkannya sehabis baik. "Lagi pula kita ada sesi perbincangan dengan pengarah untuk menjayakan sesuatu babak dan dari situ juga kita boleh berbincang untuk kurangkan apa yang tidak sepatutnya," ujar Johan. Selain itu, Johan yang baharu kembali ke tanah air selepas berkelana menuntut ilmu Islam selama tiga bulan di India dan Bangladesh pada Jun lalu berpendapat dirinya bukan seorang yang terlalu alim dalam hal berkaitan agama. Tambahnya, biarpun dia banyak mendalami agama Islam, namun ia bukan tiket untuknya memandang rendah dengan berasa bangga terhadap ilmu yang dimiliki. Katanya, apa yang dipelajari ketika penggambaraan itu adalah untuk dirinya sendiri dan bukan mahu menunjuk-nunjuk.
Sementara itu, bercerita tentang kerjaya lakonan, Johan berkata dia kini menanti lima buah filem baharu yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Katanya, filem siri drama popular yang mengangkat namanya iaitu Juvana 2 akan ditayangkan di seluruh pawagam pada 29 Oktober ini. "Alhamdulillah tawaran saya masih sama seperti dahulu, sekarang baru abis telefilem untuk siaran RTM sempena Maal Hijrah. "Bagi filem Juvana kali ini cabaran utama ialah beraksi dengan beberapa pelakon yang menjadi idola saya iaitu Pekin Ibrahim dan Hasnol Rahmat," ujarnya. Filem tersebut turut menampilkan pelakon Zahiril Adzim, Adam Shah, Nad Zainal dan Shera Ayob.

Tiada Keyakinan Kahwin, Siti Nordiana Bimbang Anak Tersisih

Penyanyi Siti Nordiana masih belum mempunyai keyakinan untuk mendirikan rumah tangga buat kali kedua walaupun sudah menjanda sejak enam tahun lalu. Siti Nordiana atau lebih mesra dengan sapaan Nana, 31, juga bimbang anak lelaki tunggalnya, Ryyan Nakhaie yang kini berusia tujuh tahun akan terasa tersisih. "Jujurnya jika bercakap soal kahwin saya tidak cukup kuat untuk mengharungi alam rumah tangga buat kali kedua selepas pernah bercerai sebelum ini. Kalau boleh biarlah perkahwinan itu nanti akan kekal sehingga akhir hayat. "Kebimbangan saya juga adalah terhadap anak yang mungkin akan rasa tersisih sekiranya kemunculan lelaki lain dalam hidup kami," katanya kepada mStar Online. Nana berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Gegar Vaganza yang diadakan di The Gardens Theater di sini, Isnin. Penyanyi lagu Cinta Hanya Sandaran itu sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Faizal Yusop sebelum bercerai pada tahun 2009. Bagaimapun Faizal yang berkahwin lain meninggal dunia pada 1 Januari 2011 akibat serangan jantung. Dalam pada itu, Nana berkata, dia mungkin akan mula berfikir tentang perkahwinan secara serius hanya selepas usia Ryyan mencecah sembilan tahun.
Ini kerana katanya, sebagai ibu dan bapa kepada anaknya itu, dia ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada kanak-kanak berkenaan memandangkan Ryyan masih kecil. "Mencari pengganti bukan mudah tambahan pula saya hadir dengan 'pakej' (punyai anak) namun saya tidak terlalu tertekan memikirkan perkara berkenaan kerana buat masa ini Ryyan adalah keutamaan saya. "Dia hanya mengenali saya sebagai ibu dan bapanya dan biarlah dia besar sedikit dahulu sebelum saya fikir soal kahwin," katanya. Dalam perkembangan lain, Nana memberitahu dia teruja dapat menyertai program Gegar Vaganza musim kedua kerana ia adalah platform terbaik untuknya memperkenalkan kembali namanya kepada peminat. Kata Nana, walaupun berasa sedikit gementar untuk bertanding dengan nama-nama besar lain namun dia menyahut cabaran tersebut. "Saya tidak pernah hilang dari dunia nyanyian cuma kurang muncul dalam program televisyen atau pun radio namun Gegar Vaganza adalah peluang saya untuk merancakkan kembali karier. "Menerusi program itu juga saya dapat mengadakan persembahan dan menyanyikan pelbagai genre lagu mengikut tema diberikan nanti," jelasnya. Selain Nana, 11 peserta lagi yang turut bertanding adalah Nassier Wahab, Azian Mazwan Sapuan, Faradhiya, Amir (Ukays) dan Ezlynn. Turut menyertainya ialah Acong (Sweet Child), Sheeda, Nizam (Laksamana), Haiza, Zul (Handy Black) dan Ezad Lazim. Gegar Vaganza musim kedua akan bersiaran selama lapan minggu bermula 18 Oktober ini dari Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Ia turut disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

SEDIA TAMBAH ANAK - DIANA AMIR BELUM MAHU AKTIF BERLAKON

Semenjak mendapat anak, Diana Amir atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 29, kurang dilihat berlakon. Kali terakhir Diana muncul di kaca TV adalah menerusi drama 'Cinta Ilahi' di TV3, Mac lalu. Menurut Diana, bukan kerana tidak mendapat sebarang tawaran, tapi ia atas pilihan diri sendiri apatah lagi usia anak sulungnya, Khaulah Al Azwar baru mencecah tujuh bulan. "Belum masanya lagi untuk saya kembali aktif. Memandangkan anak masih kecil, menyusu badan dan dijaga sendiri oleh saya, lebih baik tak terima sebarang tawaran dulu.
"Saya tak nak menyusahkan produksi atau pelakon lain sekiranya dalam keadaan ini saya terbabit dalam sesuatu projek. Insya Allah, kalau anak sudah besar dan boleh dikawal, saya akan terima. "Saya terima tawaran mengacara ini sebab jadual dan waktu penggambaran tak lama berbanding drama atau filem. Jadi apabila saya keluar bekerja, anak dijaga oleh ibu mentua," ujarnya dipetik sebagai berkata. Ditanya berkenaan perancangan menambah anak, Diana berkata yang dia bersedia bila-bila masa. Jelas Diana, dia dan juga suami tidak pernah merancang mengenai hal tersebut.

Erma Fatima Tarik Permohonan Cerai, Enggan Lagi Layan Madu

Pengarah filem Erma Fatima membuat keputusan menarik balik permohonan cerai yang dibuat terhadap suaminya, Bade Azmi. Erma berkata, dia membuat keputusan itu pada tiga minggu lalu selepas melihat kesungguhan Bade yang enggan bercerai dengannya. "Saya tak jadi cerai. Keputusan itu dibuat pada tiga minggu lalu. Saya tengok Bade bersungguh-sungguh mahu menjaga hubungan kami. ”Keputusan itu juga dibuat selepas suami bersungguh-sungguh desak saya tarik balik fail cerai itu. Apatah lagi sudah 27 tahun perkahwinan kami," katanya kepada mStar Online. Erma ditemui pada majlis pelancaran konsert Ku Mohon di Equestarian Park Bukit Kiara di sini pada Selasa. Kes berkenaan yang difailkan Erma pada awal Mei lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003. Sepatutnya Erma dan Bade perlu hadir ke mahkamah pada Rabu (hari ini) dengan membawa wakil lelaki dari kalangan keluarga atau pun kenalan terdekat bagi proses pendamaian. Sementara itu, Erma berkata dia dan Bade sebenarnya tidak mempunyai masalah rumah tangga namun punca dia memfailkan cerai kerana masalah lain yang berkait dengan perkahwinan mereka.
"Kami tak bergaduh pun. Penceraian ini tiada kaitan dengan Bade, tetapi kerana masalah lain, ia mengganggu perkahwinan kami. "Mungkin saya beri peluang pada diri dan Bade untuk menerajui kehidupan bersama. Saya harap perkara ini tidak akan berlaku lagi," ujarnya. Dalam pada itu, Erma juga berkata dia membuat keputusan untuk tidak mahu masuk campur hal-hal berkaitan madunya. "Dulu saya baik dan mesra dengan madu, tetapi saya rasa perkara itu tidak patut berlaku. Sekarang ini saya tak mahu masuk campur dan tidak mahu ada kaitan dengan madu saya lagi," tuturnya. Bade atau nama sebenarnya Badaruddin Azmi, 51, dan Erma atau Farimah Rahmad, 47, bernikah pada 30 November 1990. Mereka memiliki lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 22, Ahmad Arir, 20, Ahmad Aifin, 18, Citra, 13 dan Nurain berusia sembilan tahun. Bagaimanapun pada awal 2014, Bade telah berkahwin dengan wanita bernama Aida berasal dari Pahang. Hasil perkahwinan itu mereka mendapat anak lelaki hujung tahun lalu yang bernama Jihad, berusia lapan bulan. Terdahulu dalam satu temubual sebelum ini Erma dan Bade menafikan akan bercerai dan Bade menegaskan dia masih sayangkan Erma.

Lelaki Dipenjara Tunjuk Kemaluan Depan Rumah Siti Nurhaliza

Tindakan seorang lelaki menunjukkan kemaluan di depan rumah penyanyi Datuk Siti Nurhaliza pada Ahad lalu membawa padah apabila dijatuhkan hukuman enam bulan penjara selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Rabu. Majistret Noor Farah Hazwani menjatuhkan hukuman itu terhadap Amiruddin Sulaiman, 49, selepas tertuduh gagal membayar denda sebanyak RM5,000. Amiruddin didakwa menunjukkan kemaluannya kepada pembantu rumah Siti Nurhaliza di hadapan rumah artis itu di Bukit Antarabangsa, Ampang di sini pukul 5 petang pada 4 Oktober lalu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Menurut fakta kes, Amiruddin dipercayai datang beberapa kali ke rumah selebriti tersebut dengan tujuan yang sama. Terdahulu, peguam, Dony Abdullah berkata Amiruddin adalah seorang duda menganggur dengan dua anak berusia 19 dan 21 tahun. Dony berkata ia juga merupakan kesalahan pertama anak guamnya.

Dayana Roza Minta Kekasih Pastikan Instagram Mode 'Private'

Pelakon Dayana Roza meminta teman lelakinya meletakkan akaun Instagram milik dirinya dalam mod peribadi kerana tidak mahu hubungan mereka menjadi perhatian umum. Dayana atau nama sebenarnya Nur Dayana Kamsun Baharin, 24, berkata, dia membuat permintaan itu kerana ingin pemuda berkenaan mengekalkan kehidupan seperti orang biasa kerana dia tidak terlibat dalam bidang hiburan. "Dia adalah orang biasa dan tidak terlibat dengan industri hiburan jadi saya minta dia 'private' akaun Instagram milik dia agar tidak menjadi perhatian umum. "Malah saya minta dia tidak sewenang-wenangnya menerima pengikut daripada individu yang tidak dikenali di akaunnya," kata Dayana Roza kepada mStar Online. Dayana ditemui pada sidang media drama lakonan terbaharunya, Memori Cinta #3 di Menara Kuala Lumpur di sini, Rabu. Drama arahan Boy Cavalera itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Amy Mastura, Shima Anuar dan Riz Amin.
Ia bakal menemui penonton bermula 11 November depan, setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 9 malam di HyppSensasi, HyppTV saluran 116. Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Asam Pedas Untuk Dia itu sebelum ini pernah bercinta dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Muslim Ahmad namun hubungan berkenaan berakhir pada awal tahun ini. Dalam pada itu, Dayana berkata, hubungan bersama teman lelaki baharunya itu masih lagi pada peringkat mengenali hati budi masing-masing. "Buat masa ini saya selesa berkawan dengannya selepas diperkenalkan orang rakan kami. "Pada saya biarlah kami mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu kerana jika ada jodoh pasti tidak ke mana," ujarnya. Sementara itu, Dayana yang juga bekas peserta program Anak Wayang berkata, dia bersyukur usahanya selama enam tahun untuk membina nama sebagai pelakon mula menampakkan hasil biarpun nyaris berputus asa. Bagaimanapun dia tidak pernah berasa selesa dengan kedudukannya kini kerana masih banyak perkara perlu dipelajari sebagai pelakon. "Alhamdulillah usaha tanpa jemu sebelum ini mula membuahkan hasil sehingga dapat memegang peranan utama dalam drama tetapi saya tidak boleh berasa selesa kerana ia akan menyebabkan saya malas. "Saya perlu sentiasa memperbaiki diri dan menghargai peluang dan kepercayaan diberikan kepada saya kerana masih banyak kekurangan yang perlu dipertingkatkan," jelasnya. Bercakap mengenai drama bersiri Memori Cinta #3, Dayana berkata, ia adalah projek paling panjang yang pernah dia terlibat iaitu perlu menyelesaikan 30 episod. Bagaimanapun kata Dayana, dia seronok dapat menjayakan projek berkenaan kerana ia mengetengahkan kisah menarik mengenai tiga penuntut universiti yang mengalami pelbagai rintangan untuk pulang ke Malaysia. Dalam perkembangan lain, Dayana baharu sahaja memasuki set penggambaran drama bersiri Demi Allah Aku Pilih Kamu untuk slot Samarinda di TV3.

Shahrizal Jaszle Alami Alahan Gara-Gara Isteri Hamil 4 Bulan

Pelakon Shahrizal Jaszle mengalami alahan teruk sejak isterinya, Hanis Husna Mohamad Nadzree disahkan hamil empat bulan. Shahrizal, 27, berkata, pada awalnya dia pelik dengan kerana alahan tersebut berlaku sebelum dia mendapat tahu isterinya sedang berbadan dua. "Saya pada mulanya pelik dengan diri sendiri sebab selalu berasa loya dan muntah sehingga kadang-kadang ia menggangu kerja di set penggambaran. "Bagaimanapun saya mula faham situasi itu apabila isteri disahkan hamil empat bulan tetapi peliknya dia tidak mengalami sebarang alahan sepanjang tempoh itu," katanya kepada mStar Online.
Shahrizal ditemui pada sidang media pelancaran drama bersiri lakonan terbaharunya, Maria Terindah di Menara Kuala Lumpur di sini, Rabu. Drama 30 episod itu diarahkan oleh Kabir Bhatia dan turut menampilkan barisan pelakon seperti Sharifah Sakinah, Redza Rosli dan Shakila Koriri. Ia sudah pun mula bersiaran sejak 5 Oktober lalu setiap hari Isnin dan Selasa, pukul 9 malam di HyppSensasi, HyppTV saluran 116. Tambah Shahrizal, biarpun berasa kurang selesa dengan alahan dialaminya namun dia tidak menganggap ia sebagai satu bebanan. Sebaliknya, dia bersyukur dapat berkongsi kepayahan bersama isterinya dan situasi itu adalah penghargaan dikurniakan oleh Tuhan. "Bukan semua suami dapat merasai dan berkongsi apa yang dialami isteri yang hamil dan saya bertuah sebenarnya. "Sekurang-kurangnya dapat menanggung bebannya yang sedang mengandungkan anak sulung kami," jelasnya. Terdahulu, Shahrizal mengejutkan peminatnya apabila mengambil keputusan berkahwin dengan Hanis yang juga seorang model pada 1 Mei lalu selepas mendedahkan hubungan mereka di Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia gembira apabila mendapat tahu isterinya hamil selain tidak sabar untuk menanti kehadiran orang baru dalam keluarga mereka. Ditanya soal jantina anak, Shahrizal berharap dapat menimang anak lelaki namun menyerahkan perkara itu kepada takdir. "Alhamdulillah setakat ini keadaan isteri dalam keadaan baik cuma dia selalu mengidam sahaja tetapi tidaklah benda-benda yang pelik. "Apa-apa pun saya bersyukur bakal bergelar bapa kerana saya memang inginkan cahaya mata dan sudah bersedia memikul tanggungjawab itu pada usia muda," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Shahrizal kini terpaksa berehat selama beberapa hari selepas jari kelinking kirinya retak ketika dia menjalani penggambaran drama bersiri Maria Terindah. Jelas Shahrizal, kejadian berlaku ketika dia sedang melakonkan babak merentap cadar di atas katil sehingga ia mencederakan jarinya. "Saya pun pelik bagaimana cadar boleh menyebabkan jari saya retak tetapi itulah yang berlaku. Mungkin saya rentap terlalu kuat. "Ikutkan saya perlu masa sebulan untuk sembuh tetapi penggambaran drama berkenaan masih ada baki lagi dan saya akan tetap teruskan," katanya. "Bagaimanapun kata Shahrizal, dia puas dapat berlakon dalam drama berkenaan kerana watak Aris dipegangnya sangat mencabar. "Saya suka dengan watak sebagai Aris kerana dia seorang yang psiko dan ia memberi cabaran kepada saya sebagai pelakon. "Melalui Maria Terindah juga penonton dapat melihat transformasi saya daripada berbadan gempal kepada kembali bentuk asal selepas berusaha mengamalkan diet dan senaman," ujarnya.

Enggan Sentuh Wanita, Syarul Ridzwan Dukung Jurusolek Lelaki

Pelakon Syarul Ridzwan tepaksa mendukung seorang jurusolek artis lelaki untuk sebuah adegan drama Kau Aku Kita selepas dia berhasrat untuk tidak menyentuh mana-mana wanita bukan muhrim. Syarul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 26, berkata, pengarah drama itu, Jinggo memberi kelongaran kepadanya untuk melakukan sesuatu babak dengan cara lain kerana menghormati prinsipnya itu. "Ini bukan syarat tetapi prinsip saya tidak mahu berpelukan dan bersentuhan dengan wanita, ia juga perkara baru yang saya sedang belajar untuk didik diri saya sendiri. "Alhamdulilah pengarah faham dan menghormati prinsip itu. Baru-baru ini dalam drama Kau Aku Kita, pengarah meminta saya mendukung jurusolek lelaki bagi mengantikan pelakon wanita iaitu Janna Nick dalam satu adegan drama tersebut," ujarnya kepada mStar Online. Syarul berkata demikian ketika diminta mengulas tentang sejauh mana prinsipnya yang tidak mahu adegan berpelukan dan bersentuhan dengan pelakon wanita. Kau Aku Kita bakal disiarkan di slot Lestari, TV3 tidak lama lagi.
Tambah Syarul, prinsip tersebut dipraktikkan bukan kerana selepas menunaikan umrah pada Ramadan lalu, sebaliknya selepas satu kejadian dalam drama berjudul Romie Cinta Julie. Bagaimanapun, dia enggan berkongsi peristiwa yang membuatkan dia berazam mahu menjaga batasan bersama wanita ketika penggambaran. “Dalam drama berjudul Romie Cinta Julia tahun lalu ada adegan berpelukan yang mana terjadi satu peristiwa yang membuatkan saya tidak mahu lagi bersentuhan atau berpelukan dengan wanita. “Namun biarlah peristiwa itu saya rahsiakan," ujarnya. Syarul menambah, dia juga sedang belajar untuk mengamalkan prinsip tersebut ketika berada di luar terutamanya ketika bersalaman dengan wanita. "Saya perlu istiqamah bukan sahaja ketika penggambaran, malah sedang belajar untuk cuba prinsip itu di luar. Kadang-kadang apabila wanita hulur tangan saya tersalam juga. Itu yang saya kata perlu istiqamah dan belajar sedikit demi sedikit," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Syarul berkata, dia bakal mengadakan pertemuan dengan peminat-peminat drama popular lakonannya berjudul Hati Perempuan di Singapura. Acara tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kepada peminat Singapura yang memberi sokongan terhadap drama berkenaan yang sedang ditayangkan di negara itu. “Saya dan Mia Ahmad bakal bertemu dengan peminat kami di Singapura pada 7 November ini. Ia sebagai tanda penghargaan kami terhadap mereka yang membantu menaikkan nama kami berdua,” ujarnya. Selain itu, Syarul turut terlibat dengan pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Da Wicjk yang bakal dipentaskan pada 12 hingga 18 Oktober ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

"Saya Bukan Diva" - Amy Mastura

Penyanyi dan pelakon Amy Mastura tidak pernah meletakkan dirinya setaraf diva dan tidak malu untuk menerima tawaran lakonan diberikan kepadanya walaupun jumlah adegan yang sedikit. Amy, 44, berkata, dia tidak pernah mengamalkan sikap memilih watak diberikan kepadanya namun ia perlu dengan karakter dan imejnya yang kini berhijab. "Jika ditawarkan lima babak pun saya terima janji ia sesuai dengan saya dan tidak pernah pula hendak bersikap memilih. "Pada saya kita kena hargai peluang yang diberikan dan tidak perlu bersikap sombong atau diva biarpun sudah bertaraf senior," katanya kepada mStar Online. Amy ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Memori Cinta #3 di Menara Kuala Lumpur di sini, Rabu. Drama arahan Boy Cavalera itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Dayana Roza, Shima Anuar dan Riz Amin.
Ia bakal menemui penonton bermula 11 November depan, setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 9 malam di HyppSensasi, HyppTV saluran 116. Dalam pada itu, Amy berkata, biarpun dia sudah lama berada dalam industri itu tidak bermakna dia boleh mendabik dada dan mengakui masih banyak perkara perlu dipelajari sejajar dengan perubahan zaman. "Saya bukan diva dan tidak pernah meletakkan sebarang jurang dikalangan artis lain terutamanya yang masih baharu kerana saya sendiri masih banyak belajar. "Jika saya kenal seseorang artis baharu itu tidak semestinya dia yang perlu tegur saya hanya kerana saya senior tetapi sebaliknya," ujarnya. Sementara itu, Amy berkata, dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan dunia seni yang diceburinya sejak 20 tahun lalu. Jelas Amy, selagi ada tawaran diberikan kepadanya dia akan terus berada di dalam industri namun menegaskan keluarga adalah keutamaannya. Dalam perkembangan lain, Amy berkata, dia baharu sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Jom Menari Ler yang turut dijadikan lagu tema drama bersiri Memori Cinta #3.

Masih Ada Sayang Pada Bekas Tunang - Adira

Penyanyi Adira masih menyimpan sedikit perasaan sayang terhadap bekas tunangnya Shahrul Nasrun Kamarudin walaupun hubungan mereka sudah putus sejak April lalu. Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 24, berkata, sebagai manusia biasa, sukar untuk dia mengikis perasaan itu disebabkan hubungan yang dijalinkan sudah terlalu lama. "Ada pihak yang kata saya tidak nampak sedih. Mungkin mereka lihat saya gembira tapi mereka tidak tahu perasaan sebenar saya. Kami berkawan lama dan sudah tentu sehingga sekarang masih ada lagi rasa sayang dalam hati saya terhadap dia," katanya kepada mStar Online. Adira ditemui pada majlis pelancaran Festival Orang Asli dan Pribumi yang diadakan di Restoran Istana Bambu, di sini, Khamis. Tambah Adira lagi, kejadian gempa bumi di Sabah baru-baru ini turut mengalihkan tumpuan kesedihannya terhadap kegagalan hubungan tersebut. Dia juga lebih memikirkan keselamatan ibu dan keluarganya yang ditimpa bencana berbanding masalah yang dilalui.
"Selepas saya putus tunang, rumah saya di Sabah terlibat dengan gempa bumi dan perkara itu membuatkan saya lupa tentang masalah tersebut. "Saya asyik fikirkan ibu dan ahli keluarga lain dan menganggap mereka lebih memerlukan saya ketika itu," ujarnya. Dalam pada itu, Adira memberitahu, tarikh lahirnya pada 19 September lalu sepatutnya menjadi hari bersejarah hubungan mereka namun ia hanya tinggal kenangan. Bagaimanapun rakan-rakan terdekat meraikan hari tersebut bagi membuatkan dia lupa dan tidak bersedih mengenangkan kesedihan sebelum ini. "Kalau ikut rancangan hari perkahwinan saya pada hari lahir saya iaitu 19 September lalu, namun nak buat macam dah tiada jodoh. "Ucapan dan kejutan yang dibuat oleh kawan-kawan saya pada hari tersebut membuatkan saya lupa ia sepatutnya menjadi hari bersejarah saya," ujarnya. Adira berkata, buat masa ini dia masih menjaga batasan dan menolak mana-mana lelaki yang ingin mendekatinya semata-mata mahu menjaga hati keluarga bekas tunangnya itu. "Sejak saya putus tunang ada juga beberapa orang yang ingin mendekati saya tapi saya tolak, kadang-kadang dengan alasan yang tidak masuk akal. "Saya belum bersedia dan hati saya belum terbuka untuk terima lelaki lain, saya juga ingin menjaga hati dan perasaan keluarga bekas tunang. "Saya tidak mahu mereka kata apa pula nanti, baru sahaja putus sudah anda pengganti, " ujarnya. Dalam pada itu mengenai Festival Orang Asli dan Peribumi, Adira yang merupakan suku kaum daripada etnik Kadazan Dusun bakal membuat persembahan pada 23 hingga 25 Oktober ini di Taman Tasik Titiwangsa, dekat sini. Katanya, sebagai salah seorang masyarakat peribumi, dia berbangga dapat memberi sumbangan dan meraikan hari tersebut. "Saya rakyat Malaysia yang berbangsa Kadazan Dusun saya bangga diberi peluang menyertai festival ini. Saya akan menyanyikan dua buah lagu dalam bahasa Dusun," ujarnya.

TIDAK MAHU DITAJA - MILA JIRIN INGIN MAJLIS PERNIKAHAN GUNA WANG SENDIRI

"Bukan berlagak ataupun tidak sudi, tetapi Mila lebih berpuas hati jika dia dapat menggunakan wang titik peluhnya bagi merealisasikan majlis sekali seumur hidup itu," demikianlah kata Mila Jirin yang lebih selesa tidak menerima sebarang tajaan kerana enggan mengecewakan mana-mana pihak. Mila yang bakal melangsungkan perkahwinan pada November depan berkata jika mereka masih mahu menghulurkan bantuan dalam majlis itu boleh, cuma Mila minta agar dia dan bakal suaminya, Ahmad Ailis Mustapha atau Isz diberi keizinan untuk memberi token penghargaan pada kerja mereka.
"Kalau dapat harga istimewa, apa salahnya. Rezeki jangan ditolak," ujar Mila dipetik sebagai berkata. Mengenai perkembangan seni, single terbaharunya yang bertajuk 'Bukan Isteri Sempurna' sudah mula berkumandang di corong-corong radio. Di samping itu, juara Akademi Fantasia musim ke-5 ini juga rancak dengan perniagaannya Bizz Milla Katering, Baju Kurung Milla dan Restoran Embun Urai yang sekarang semakin maju.

WAJAH TERKINI FALIQ, ANAK ERIN MALEK

Gambar terkini Mohamed Faliq Mohamed Farriz anak kepada Erin Malek atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek, 21, dan Farriz Fauzy yang dilahirkan 1 Oktober lalu. Umum mengetahui bahawa kembar kepada Faliq sudah meninggal dunia akibat lebihan cecair di dalam perut sehingga menyebabkan badan membengkak ketika kandungan Erin mencecah usia 16 minggu. Jom kita tengok wajah si kecil ini!

ISTERI EZAD EXIST SELAMAT LAHIRKAN ANAK KEDUA

"Alhamdulillah anak lelaki saya selamat dilahirkan tanpa sebarang masalah. Cuma saya sedang menunggu perkembangan isteri kerana dia mengalami pendarahan yang banyak," demikian kata Ezad Exist apabila isterinya, Nor Azeana Ramli selamat melahirkan anak kedua mereka. Apa yang lebih penting, isterinya turut sama dapat melihat anak kedua tersebut bersama suami tercinta.
Sebelum ini, Azeana bernekad mahu melahirkan anak kedua mereka walaupun disahkan mengidap ketumbuhan Stroma Gastrousus (GIST) yang akan memberi kesan sampingan. Malah Ezad sendiri pernah mengharapkan keajaiban akan berlaku dan berdoa agar ketumbuhan tersebut akan hilang setelah isterinya melahirkan anak.
Translation Services
There was an error in this gadget

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails